Bab 21: Tebus

Romance Series 733860

Bab 21

“Encik Fairuz tunggu di belakang kan?!” Damya masih menarik tangan Hayden yang sudah pun melepaskan kot di badannya lalu dibuang ke lantai.

Damya sempat mengutip kot itu lalu menolak Hayden ke laluan belakang.

“Damya!” Hayden cuba menarik tangan tangannya yang digenggam Damya.

“Kita tak boleh gagal bila dah sampai sejauh ni! Kita plan semuanya dari awal dengan teliti. Awak nak rosakkan ke?” tegas Damya. Dia melihat Hayden semakin kuat berpeluh.

Hayden berhenti melangkah dan menahan Damya. Sebelum ini dia berjaya yakinkan Damya untuk perangkap Aizat. Mereka membuat perancangan dari awal tetapi Damya tidak setuju dengan jumlah wang yang akan diberikan kepada Aizat. Akhirnya, Hayden terpaksa berpura-pura untuk memberi pinjaman kepada Damya dengan jumlah yang dipersetujui. Namun, jumlah sebenar yang diberikan kepada Aizat tanpa pengetahuan Damya jauh lebih tinggi.

“I’m okay! Kesan ubat itu akan hilang tak lama lagi. Tapi, kita perlu berpecah. Awak pergi ke kereta saya, Encik Fairuz tunggu di belakang.”

Damya berdiri tegak dan melihat dua orang lelaki bertubuh sasa datang menghampiri mereka.

“Dua lelaki ini akan iringi awak ke kereta. Kita jumpa lagi nanti.” Hayden menolak tangan Damya sehingga terlepas.

“Hay… Hayden.” Mata Damya jelas menampakkan kebimbangannya. Dia seakan tidak mahu berpisah di situ.

“Don’t worry about me. Bye,” Huyden terus memusingkan badan dan berjalan masuk semula ke dalam kelab.

“Hayden!” jerit Damya lalu mahu mengejar Hayden tetapi ditahan oleh dua orang lelaki tersebut.

“Madam, kami akan bawa madam ke kereta dengan selamat. Tolong ikut kami.”

Damya hanya mampu melihat Hayden hilang dari pandangannya. Entah kenapa dia berasa sangat sukar untuk melepaskan lelaki itu.

*****

Kayla masih menumpukan perhatian di hadapan komputer riba untuk memeriksa hasil suntingan video yang telah siap. Apabila berasa puas hati dan menunjukkan hasilnya kepada Damya, dia terus menghantar salinan video itu ke telefon pintar Damya. Setelah selesai dia menutup semula komputer riba miliknya dan meletakkan ke tepi. Dia mencuri masa rehatnya ketika sedang berkerja untuk bertemu Damya di kafe kegemaran mereka.

“Berikan kepada peguam kau. Dia tahu apa dia perlu buat. Jangan risau Damya, kau akan menang kes tuntutan cerai ni. Sama ada secara fasakh ataupun Aizat sendiri akan jatuhkan talak di mahkamah. Bukti ini semua kuat, dan aku yakin Aizat tak ada pilihan lain.” hujah Kayla dengan yakin.

Damya mengangguk perlahan. Dia mencari nama peguamnya di kalangan senarai nombor telefon. Kemudian salinan video itu dihantar dengan berjaya.

“Ingat, Damya. Jangan sesekali hubungi Aizat atau jawab panggilan dia. Biar peguam kau yang berurusan dengan dia. Kau cuma perlu hadir ke mahkamah je nanti,” pesan Kayla.

“Aku tahu. Kau jangan risau.” balas Damya perlahan.

“Kenapa kau nampak susah hati lagi ni?” soal Kayla ketika melihat wajah redup Damya.

“Hayden bantu aku dapatkan peguam yang terbaik. Dia bayar semuanya…”

Kayla melepaskan keluhan halus. Dia faham dengan kebimbangan Damya saat itu.

“Kau risau berhutang budi?”

“Terlalu banyak aku berhutang budi dengan Hayden, Kayla.” luah Damya.

“Hayden tak akan minta apa-apa balasan. Aku yakin… Dia tolong kau dengan ikhlas.” Kayla cuba tenteramkan hati sahabatnya itu.

“Kalau family dia tahu… Aku akan dituduh gunakan Hayden dalam masalah peribadi aku. Ini bukan benda kecil. Dia tolong aku untuk tuntutan cerai.”

“Aku ada soalan nak tanya…” Kayla tiba-tiba berubah serius.

Damya mengangkat wajah dan memandang Kayla. “Apa?”

“Kalau… Hayden nak jadikan kau isteri dia. Kau akan setuju?”

“Kayla. Aku mana boleh bagi jawapan untuk soalan macam tu dalam keadaan diri aku sekarang.” jawab Damya.

“Hayden pun faham hukum sebab itu dia tak melamar kau. Tapi, aku yakin dia akan mulakan langkah bila kau betul-betul bebas. Cuma, dia bukan jenis memaksa, walaupun dia dah banyak tolong kau. Dia pasti akan membuka ruang untuk kau buat pilihan tanpa paksaan.”

Damya menggeleng perlahan. “Aku bukan pilihan yang layak untuk dia, Kayla. Keluarga dia terang-terang akan tolak aku. Buat apa aku nak jerumuskan hidup aku dalam lembah yang gelap sekali lagi selepas aku bebas? Tidak Kayla… Aku nak kebebasan, aku dah tak mahu ada masalah dengan lelaki, suami atau keluarga mentua. Aku dah serik…”

“Hmm… Aku faham. Tapi, Hayden bukan macam Aizat, Damya. Aku tak nak cakap lebih lanjut pasal ni sebab kau pun masih lagi isteri orang. Tapi, bila masa itu tiba nanti, aku harap kau fikir panjang.”

Damya terus tersandar lemah. Mengapa dia perlu bimbang dengan masa depan yang belum pasti?

****

“Kita sambung nanti. Cukup untuk hari ni.” ujar Datin Dayana kepada dua orang pengurus di hadapannya apabila menerima panggilan masuk dari nombor yang penting.

“Baik, Datin.”

Datin Dayana terus menjawab panggilan itu apabila kedua staf itu beredar dari pejabatnya.

“Yes,” ucap Dayana tegas.

“Datin, saya dapat maklumat yang Tuan Hayden sudah tidak tinggal di kondo tu. Tapi, tak ada urusan jual beli kondo. Saya rasa ada orang lain yang tinggal di sana sebab, ada penghantaran barang belian online di alamat kondo Tuan Hayden.”

“Barang atas nama siapa?”

“Penerima menggunakan nama Tuan Hayden. Tapi, seperti barangan perempuan. Kosmetik.”

Datin Dayana mengetab bibir. Dia bangun dan berjalan mundar-mandir.

“Tolong siasat siapa yang tinggal di sana!”

“Saya sudah cuba, Datin. Kawalan keselamatan sangat ketat, jadi…”

“Ini bukan jawapan yang I nak selepas I bayar you mahal!”

“I’m sorry, Datin. Saya akan usahakan!” jawab pemanggil itu sebelum talian diputuskan Dayana.

Datin Dayana menghempas tangan ke atas meja dengan wajah berang.

“Siapa perempuan yang kau simpan tu, Hayden? Kenapa perlu sembunyikan di kondo kau? Kalau dia anak orang atasan, dia tak akan merempat di tempat kau!”

Datin Dayana kemudian berdiri tegak dan menggariskan senyuman sinis.

“Aku tak akan biarkan perempuan murahan macam tu jadi menantu Tan Sri Musa dan akhirnya dapat segala-galanya. Kalau aku tak akan dapat kau, kau pun tak akan dapat kedudukan tertinggi AG Group, Hayden! Well… Tan Sri pasti akan terkejut bila anak kesayangan dia akhirnya pilih perempuan murahan…”

****

Damya kelam kabut menyediakan makan malam kerana agak terlambat pada petang itu. Namun dia dapat menyiapkan makanan itu tepat pada masa. Encik Fairuz muncul di hadapan pintu rumah tersebut seperti kebiasaan. Damya membawa bersama bekal makan malam Hayden ke depan lalu menyerahkannya kepada Encik Fairuz.

“Jangan panaskan terlalu lama. Nanti overcook.” pesan Damya.

Encik Fairuz angguk faham. “How are you, Puan Damya?” soal lelaki itu kemudian. Dia masih berdiri tegak di hadapan pintu.

Damya tersenyum nipis. “Saya baik… Emm, tuan Hayden apa khabar?”

Hatinya tiba-tiba dipagut rasa ingin tahu yang teramat. Sebulan Hayden menyepi tanpa sebarang khabar. Tidak menghubunginya walaupun dengan mesej ringkas.

“Esok puan akan cuti kan? Untuk hadir mahkamah?” Encik Fairuz mengalih topik. Dia tidak akan menjawab soalan Damya tentang Hayden tanpa kebenaran tuan badan.

Damya angguk. “Tolong urus makanan Tuan Hayden untuk siang esok. Untuk makan malam saya akan cuba…”

“Tak apa, puan boleh berehat satu hari. Take your time.”

Damya mengehela nafas. Dia cuba untuk menahan diri dari bertanya soalan kepada Encik Fairuz tetapi sudah terlalu lama ia dipendam.

“Encik, boleh saya tahu Tuan Hayden tinggal di mana sekarang? Selepas dia keluar dari rumah ni, saya risau dia tak ada tempat tinggal yang selesa.”

“Puan jangan risau. Itu masalah kecil untuk Tuan Hayden. Cuma, puan perlu berhati-hati. Ada orang cuba siasat siapa yang tinggal di sini sekarang.”

"Siasat? Kenapa?” soal Damya dengan hairan.

Encik Fairuz gerakkan cermin matanya agar lebih selesa. “Rasanya tak akan ada masalah sebab puan bayar sewa kan?”

“Saya minta Tuan Hayden tolak gaji saya.” jelas Damya.

Encik Fairuz angguk faham. “Baiklah, saya akan buat surat perjanjian sewa rumah untuk tutup masalah ni. Semoga urusan puan berjalan lancar esok. Saya minta diri dulu.”

“Terima kasih, Encik Fairuz.” ucap Damya sebelum lelaki itu melangkah pergi. Dia menutup puntu dengan rapat dan kunci dengan baik.

“Hayden… Kenapa, awak senyap macam ni? Ini kali kedua awak buat kepada saya… Kali ini lebih lama.” Damya bersandar di pintu sambil menyentuh dadanya bersama keluhan panjang.

****

Mahkamah bersidang dengan lancar dengan beberapa orang pasangan menunggu giliran untuk bicara. Damya berjalan bersama linangan air mata ketika meninggalkan bilik persidangan Mahkamah Syariah. Namun, bibirnya tidak putus-putus mengucapkan syukur sehingga dia terasa mahu bersujud di situ.

Dia menyeka air mata penuh rasa syukur itu dengan langkah yang luas menuju ke tempat letak kereta. Kayla sedang menunggu di situ dan sanggup mengambil cuti demi untuk menemaninya.

“Damya! Tunggu, Damya!”

Damya terus melangkah laju dan tidak pedulikan panggilan Aizat. Kain baju kurung yang dipakai terpaksa diangkat sedikit.

“Hey, perempuan! Kau dengar tak?!”

Damya terasa lengannya direntap dengan kuat sehingga badannya terpusing menghadap lelaki itu.

“Awak nak apa lagi Aizat?! Kita sudah selesai dalam mahkamah tadi!” tegas Damya lalu menarik tangannya kembali.

Wajah Aizat kelihatan merah padam. Dia menatap tajam wajah wanita yang baru sahaja dilepaskan dengan talak satu itu. Aizat terpaksa akur apabila peguam wanita itu penuh dengan taktik kotor. Malah terdapat surat perjanjian diantara dia dan individu yang tidak dikenali setelah mendapat wang tebus talak yang banyak bagi pihak Damya.

“Kau guna taktik kotor Damya! Kau perangkap aku di club tu! Hidden camera? What the fuck!”

“Jaga mulut kau, Aizat! Kita masih dalam kawasan mahkamah!” Damya membalas tikaman mata Aizat yang tajam itu.

“Lagi satu, siapa yang mula-mula sediakan perangkap? Aku cuma masukkan kau dalam perangkap yang kau cipta sendiri! Inilah senjata makan tuan! Kau belum sedar ke Aizat?!”

“Huh! Kau tak akan boleh buat benda macam tu tanpa bantuan orang lain. Siapa di sebalik semua ni? Jantan mana yang tolong kau!” herdik Aizat dengan lantang.

“Itu bukan masalah kau lagi Aizat. Aku minta selesai cara baik, tapi kau yang heret aku sampai tahap ni.”

Aizat mengetap rahang. Dia semakin berang tetapi cuba menahan diri kerana masih di kawasan mahkamah.

“Jantan tu habiskan banyak duit untuk kau. Apa yang kau bagi kepada dia masa masih jadi isteri aku? Kau ingat… Kau akan bahagia ke dengan jantan tu? Ini baru permulaan, Mya. Kau tak tahu apa yang aku boleh buat nanti.” Aizat tiba-tiba tersengih sinis.

“Aku akan cari siapa lelaki tu… Bukan susah pun. Orang atasan aku je kan? Bukan ramai pun lembaga pengarah. Aku akan cari satu persatu… Bila aku dah jumpa. Aku pun nak bagi dia hadiah… untuk kenang-kenangan…”

“Kau merepek apa ni? Kau ingat aku takut dengan kau? Kau tu lelaki pengecut yang pernah aku kenal. Aku bersyukur sebab akhirnya aku terlepas dari lelaki tak guna macam kau. Hari ni memang akan aku maki kau. Sebab kau bukan orang yang aku perlu hormat lagi. Go to hell, Aizat! Go to hell!” jerit Damya sekuat hati.

“Kau!!” Aizat cuba untuk mengangkat tangan tetapi pengawal terus datang dan menghalang perbuatan Aizat.

“Encik tak boleh buat kecoh dalam kawasan mahkkamah!”

Damya mengambil peluang itu untuk terus melarikan diri. Aizat cuba untuk mengejar tetapi ditahan oleh pengawal keselamatan tersebut.

“Kau tunggu Damya!”

KAYLA menanti dengan penuh debaran di dalam kereta. Dia berharap urusan Damya berjalan lancar di dalam mahkamah. Ketika Kayla dalam kegelisahan menanti Damya, dia terlihat sebuah kereta yang dikenali lalu bersebelahan keretanya menuju ke pintu keluar.

“Hayden ke tu?” Kayla cuba menjenguk ke luar tetapi kereta itu sudah menghilang.

“Dia datang untuk pantau Damya ke? Wow… Macam manalah Damya tak jatuh cinta.”

Senyuman Kayla terus mati apabila terkejut pintu sebelah penumpang dibuka dengan kasar. Damya masuk dengan nafas tercungap-cungap.

Kayla pantas mengunci semua pintu dan berpaling melihat keadaan Damya.

“Kau okey ke? Kenapa ni?” Kayla turut cemas melihat dada Damya turun baik dengan pantas.

“Tak ada apa. Aku lari dari Aizat.”

“What?! Dia kejar kau ke?” Terbeliak mata Kayla lalu menoleh melihat ke belakang jika ternampak Aizat masih mengekori Damya.

“Rasanya tak. Cuma tadi dia cari pasal lepas bicara. Jomlah kita gerak. Aku tak nak dia perasan kereta kau kat sini.”

“Okey-okey!” Kayla pantas menolak gear dan keluar dari parking dengan berhati-hati.

Akhirnya kereta Kayla berjaya keluar dari kawasan mahkmah tanpa diekori Aizat. Barulah Damya kelihatan tenang dan dapat mengawal pernafasannya.

“Damya, macam mana tadi? Semua selesai ke?” soal Kayla.

Damya angguk perlahan. “Alhamdulillah, berjalan lancar. Aizat tak ada pilihan. Peguam aku bijak manipulasi dia.”

“Alhamdulillah… Jadi, kau dah bebas, Damya!” Kayla menekup mulut dan menahan kegembiraannya. Patutkah berduka untuk perceraian seperti ini?

Damya tersenyum hambar. “Aku masih dalam idah. Dalam tempoh tu, aku kena hati-hati dengan Aizat. Aku tahu dia akan meroyan.”

“Dia tak boleh buat apa-apa, Damya. Dia dah terikat dengan perjanjian yang dibuat peguam Hayden. Kalau dia langgar, siaplah kena saman.”

“Aku tahu… Tapi Aizat kan gila.”

Kayla terus ketawa besar mendengar ayat keramat Damya. “Dahsyat eh… Baru sekarang kau kutuk dia. Sebelum ni macam mana teruk pun Aizat. Kau tak akan caci maki dia depan orang. Betapa baiknya seorang Damya…” puji Kayla.

Damya hanya tersengih. “Puas hati aku dapat maki dia…”

“InsyaAllah… You deserve better, Damya. Aku harap siapa pun datang dalam hidup kau lepas ni, akan hargai kau betul-betul.”

“Aku tak nak fikir lagi tentang tu. Sekarang aku nak fokus pada kerjaya aku. Aku nak tebus semula lima tahun yang sia-sia tu.”

Kayla akhirnya angguk setuju. “Baiklah! Kita buka buku baru!”

“Aku tak pernah rasa betul-betul lega macam ni Kayla…” Damya lantas memegang tangan Kayla.

Kayla membalas genggaman tangan Damya yang erat.

“Baguslah… hmm, Hayden tahu ke kau datang mahkamah hari ni?” soal Kayla untuk kepastianz

Damya menggeleng perlahan. ”Entahlah… Sudah sebulan kami tak berhubung. Tapi, PA dia tahu. Aku rasa dia mungkin tahu.

Kayla tersenyum kerana Damya tidak perasan kehadiran kereta Hayden di mahkamah. Mungkin lelaki itu sengaja memberi ruang untuk Damya. Mustahil Hayden akan lepas tangan begitu sahaja.

“Kenapa kau senyum?” soal Damya.

“Aku happy sangat hari ni… Kawan aku dah dapat semula kehidupan dia. Setelah harungi jalan yang sangat berliku. I’m so proud of you!”

“Kayla, kalau kita sanggup hidup. Maknanya kita sanggup untuk diuji. Sebab dunia ini… Memang pentas ujian.”

****

Share this novel

ainun76
2024-03-07 17:46:35 

penantian adalah satu penyiksaan wahai TJ.

iftyhaula
2024-03-05 13:17:45 

plsss....sambung lg cepat cepat

Nazain Nakriz
2024-03-04 16:46:34 

plz PJ, update mlm Ni..huhuhu


NovelPlus Premium

The best ads free experience