Prolog
PLAK!
Kelopak mata bundar itu terbuka luas apabila terkejut mendengar sesuatu telah jatuh ke lantai. Tangannya langsung memegang dada kerana jantungnya berdegup laju. Dia terlelap rupanya, hanya di atas lantai yang dingin beralaskan lengan. Cukup nyenyak. Mungkin kerana keletihan.
Damya kembali ke realiti, matanya mencari barang apa yang terjatuh tadi. Dia menghela nafas lega apabila melihat hanya bekas kosong terjatuh apabila terkena langsir yang bergerak ditiup angin dari luar jendela. Mata bundar itu sekali lagi memandang ke arah luar jendela, terlihat awan yang mendung dan tiupan angin yang agak kuat. Nampaknya hujan akan turun dalam beberapa waktu sahaja lagi. Cuaca redup, patutlah dia boleh tertidur ketika mengemas bilik stor di sebelah dapur itu. Walaupun hanya bilik stor, Damya pastikan ia kekal bersih dan kemas.
Ah! Sudah jam berapa?! Berapa lama kau terlelap Damya!
Wanita itu bingkas bangun mengambil bekas kosong itu dan diletakkan di tempat asal. Dia menarik daun tingkap dan menutupnya rapat. Damya mencapai bakul besar di belakang pintu bilik stor tersebut, dia bergegas keluar untuk mengangkat kain di jemuran.
Tangannya pantas seperti lipas kudung. Kesemua pakaian isi rumah itu diangkat dan diletakkan dalam bakul yang sama. Ya, dia juga akan melipat pakaian itu dan mengasingkan kepada pemilik masing-masing. Selesai mengangkat kain, dia begegas pula ke dapur untuk menyediakan makan malam untuk keluarga besar itu.
Nampaknya dia terlambat pada petang itu, jadi dia perlu memasak menu yang lebih mudah. Beberapa minit dia berdiri di hadapan peti sejuk yang terbuka. Semua barangan tersusun kemas dan teratur. Matanya terpandang bungkusan pasta di rak sebelah dan terus terfikir untuk menyediakan spaghetti goreng sahaja. Udang dan sotong terus dikeluarkan dari bahagian sejuk beku.
Lengannya kecil, tetapi cukup tangkas ketika menyediakan hidangan. Apabila siap memasak dalam tempoh 30 minit, Damya mengambil pinggan Porcelain berwarna putih dan meletakkan spaggethi yang siap di masak ke atasnya. Lengkap bersama sedikit dekorasi yang menaikkan seri di pinggan. Damya mencapai telefon pintar jenama Samsung yang sudah lama tidak bertukar baharu, skrin juga sudah retak.
Klik!
Bibir yang kering dan pucat itu akhirnya mengukir senyuman. Gambar hidangan itu cantik dipandangannya. Secebis kebahagian mekar di hati walaupun dengan hanya sekeping gambar.
Tepat jam 6.30 petang hidangan sudah siap tersedia di atas meja makan. Ketika itu kedengaran bunyi deruman ejin kereta memasuki perkarangan rumah. Damya pasti ahli rumah itu sudah pulang dari kerja. Sebuah, kemudian sebuah lagi kereta memasuki garaj. Damya menyangkut kain lap di penyangkut dan mencuci tangannya.
“Laparnya… makanan dah siap ke?” Suri terus menjenguk ke dapur.
Damya masih di sinki, dia hanya diam dan kaku. Nafas ditarik tetapi tersekat!
”Spaghetti je?! Eh… kita orang lapar tau. Sehari suntuk kerja. Mana nasi? Lauk?”
“Tak ada nasi ke? Dia buat apa sehari suntuk kat rumah? Tidur je la tu.” Suami Suri, Amar turut memasuki ruang dapur dan mengangkat tudung saji.
“Bising-bising apa ni?” Puan Juriah dari tingkat atas turun apabila mendengar anak-anak menantunya sudah pulang dari kerja.
Anak sulungnya Zaki bekerja sebagai Juruteknik di sebuah syarikat swasta, isterinya Iffah bekerja sebagai setiausaha di sebuah jabatan kerajaan. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Danish. Anak keduanya Suri, bekerja sebagai pensyarah di kolej swasta, suaminya Ammar bekerja sebagai juru ukur bahan. Mereka berdua mempunyai anak kembar iaitu Mimi dan Muaz.
Dan anak lelaki bongsunya… nampaknya masih belum pulang. Bekerja di sebuah syarikat besar dan bakal dinaikkan pangkat sebagai pengurus.
Puan Juriah bangga dengan anak-anak menantunya itu, masing-masing mempunyai kerjaya yang menjamin masa hadapan. Mereka semua tinggal di rumah pusaka merupakan banglo lama peninggalan ayah mentuanya. Suaminya pula telah meninggal dunia dua tahun lepas. Tetapi, hubungan antara anak-anak masih erat dan mereka mahu tinggal bersama walaupun masing-masing sudah bekeluarga.
Tetapi…
Ada sesuatu yang agak menyakitkan mata di rumah itu pada pandangan Puan Juriah.
“Tengoklah perempuan ni mak. Kita ni balik kerja lapar, dia buat spaghetti je. Dahlah kita yang bayar segala bil dalam rumah ni, cukai apa semua. Dia duduk senang lenang satu kerja pun tak boleh harap.” Suri berdengus geram. Wajahnya terpamer meluat.
“Tengahari tadi cikgu call kau lambat ambil si kembar kan? Itu kan kerja kau, kami ni tak sempat nak urus Mimi dan Muaz.” kata Ammar dengan lantang, supaya ibu mentuanya dengar. Mereka tahu Damya takutkan Puan Juriah.
“Minta maaf, tengahari tadi saya terlupa sebab tengah masak.” Jawab Damya perlahan. Entah kenapa rasa terhina diri membuatkan keyakinan dirinya merudum dan berada di bawah tapak kaki. Bahunya juga mengecut setiap kali berhadapan dengan mereka.
“Kau guna alasan masak pulak. Memanglah setiap hari kau kena masak tapi dah tugas kau ambil si kembar. Habis tu kau nak duduk rumah ni goyang kaki jadi Queen?” Nampaknya berang Suri masih belum reda. Matanya mercerlung tajam ke arah Damya yang semakin pucat.
“Suri, sudahlah tu. Baru balik kerja kan penat. Naik dulu mandi. Lepas tu malam ni kita keluar makan. Mak pun tak ada selera nak makan pasta. Ingat kita Mimi dan Muaz ke…” Puan Juriah walau hanya bersuara tenang cukup untuk menghantar sindiran halus.
“Okay. Kita tunggu Abang Zaki dan Kak Iffah balik. Kau makanlah semua ni.” kata Suri sebelum melangkah keluar dari dapur. Marahnya masih bersisa.
Puan Juriah hanya merenung Damya, Ammar seperti ingin berkata sesuatu tetapi melihat ibu mentuanya masih di situ, akhirnya dia turut beredar.
”Minta maaf mak. Mya tak tahu semua orang nak makan nasi malam ni.” luah Damya perlahan. Ke dua belah tangannya yang kasar digenggam erat.
“Kau sengaja kan? Nak bagi anak-anak aku marah bila balik kerja. Kau tahu diorang penat? Lepas ni kau tanya dulu semua orang nak makan apa. Kalau 10 jenis pun kau buat je. Duduk rumah bukan kena kerja teruk pun.” Balas Puan Juriah. Panas hatinya terpaksa ditahan. Risau jika Damya lari pula dari rumah seperti beberapa tahun lalu.
Kali ini Damya tidak dapat bersuara. Hatinya terasa amat pedih. Walaupun sudah lali dengan sindiran seperti itu 5 tahun lamanya. Duduk di rumah tidak buat kerja teruk? Damya mahu ketawa tetapi nanti dikatakan gila pula!
Hello there… selamat membaca karya baru PJ. Ini bacaan percuma ya, jadi PJ harap korang support sepenuhnya dan meriahkan komen. Tak mustahil kita boleh kembalikan vibes macam dulu2. Ahakss!
Share this novel
smoga PJ Sihat slalu...bleh update lgi x sbar nak baca smbungan seterusnya
update plissssss
hello.....