Series
6302
Lampu jalan mula berubah kelam ketika mereka memasuki sebuah terowong panjang. Veyro mengambil peluang itu untuk menghilang dari radar musuh. Beberapa kereta dipotongnya dengan gerakan tajam dan licik, sehingga McLaren hitam hilang dari pandangan. Senyum puas mula menghiasi bibirnya.
Namun, sebaik keluar dari terowong, dari sisi lorong gelap muncullah McLaren hitam itu, meluncur deras lalu menghentam sisi Ferrari Veyro. Tubuh Syifa dan Veyro sama-sama terhentak, kereta bergoyang hebat. Veyro menoleh, pandangan bertembung dengan pemandu kereta itu yang melempar senyuman sinis dari sebalik cermin gelapnya.
"Hell!" Veyro menekan pedal minyak, cuba memecut menjauh. Tetapi McLaren itu memintas laju ke hadapan, lalu membelok mendadak untuk menghentam kereta mereka dari depan. Dentuman kuat membuat Ferrari itu terundur, tayar memekik melawan tar.
Dalam kekalutan itu, sosok lelaki dari McLaren muncul melompat keluar melalui tingkap sisi, tubuhnya melayang lalu menghentam cermin depan Ferrari Veyro. Kaca pecah berderai, serpihan beterbangan ke dalam kabin. Lelaki itu menendang masuk, tubuhnya mendarat tepat di atas papan pemuka dengan kaki menekan leher Veyro yang terperangkap di kerusinya.
Syifa menutup wajahnya dengan lengan, tubuhnya menggigil. Namun suara berat lelaki itu membuatkan darahnya terasa beku.
"From the very first moment, you were destined to be my bride, Syifa… and you know it."
Nada menggodanya menyusup halus, membuatkan Syifa perlahan-lahan menurunkan tangannya dari wajah. Matanya membulat, wajahnya kerut menahan keterkejutan.
"Lelaki tak guna ni…" bisiknya perlahan, suaranya terhenti di hujung kerongkong.
Haris.
Awan pekat mula berarak perlahan, menyembunyikan cahaya bulan yang sekejap-sekejap muncul di balik kabus tebal. Malam itu terasa berat, dingin, dan sunyi, hanya bunyi cengkerik yang mengisi ruang udara di kawasan pergunungan itu. Dari jalan berliku, kelihatan sebuah masjid kecil dengan kubah keemasan berdiri megah, cahaya lampu malap dari dalamnya menembus kabus yang mengelilingi.
Di hadapan pagar masjid, tiga lelaki masih teguh berdiri. Hassan dan Epol bersilih-ganti melempar pandangan pada Tok Imam Kamarul, seorang lelaki berwajah tenang namun penuh rahsia. Mereka tahu benar tujuan malam ini menjadi saksi kepada sebuah akad nikah. Namun, persoalan tetap berlegar di benak, mengapa harus dilangsungkan pada jam sepuluh malam, saat tiada seorang pun ahli keluarga atau tetamu kelihatan, seolah-olah majlis ini sengaja disembunyikan dari dunia luar.
"Tok, benarkah malam ini juga mereka akan dinikahkan?" soal Epol, nada suaranya berbaur sangsi.
Hassan hanya sempat mengerling tajam, memberi isyarat agar temannya itu menjaga kata-kata.
Kamarul mengangguk perlahan, matanya tetap terarah ke pagar masjid yang sudah terbuka luas, menanti ketibaan orang yang ditunggu.
"Lain benar kalau dibuat waktu malam begini, tetamu pun tak nampak bayang. Agak-agak... scam kot." Epol bersuara lagi dengan selamba, meskipun hatinya sebenarnya berdebar.
Hassan menggeleng kecil. "Mulut kau ni, Epol..."
Namun Kamarul tetap tenang, tidak sedikit pun terusik oleh kata-kata anak muda itu. "Kalau perkara baik, wajib disegerakan. Sama ada pagi atau malam, Tok percaya dia akan datang. Lagi pula, ini bukan sembarangan. Sebagai balasan, dia sudah berjanji untuk memberikan peruntukan bagi membina masjid yang lebih besar untuk kampung kita."
Mata Hassan dan Epol serentak memandangnya, jelas terkejut dengan berita itu.
"Peruntuk juta-juta, keh Tok?" soal Epol dengan nada tidak percaya.
"Epol, sudah," pintas Hassan, suaranya tegas. Dia tahu Tok Imam tidak pantas dilayan dengan kata-kata semberono.
Kamarul hanya menarik nafas panjang, lalu mengukir senyuman kecil. Namun sebelum sempat dia membalas, cahaya lampu kereta menyuluh dari kejauhan. Semakin lama semakin terang, menembusi kabus malam.
Sebuah kereta McLaren 720S berwarna hitam masuk ke perkarangan masjid dengan penuh bergaya. Bunyi enjin yang mendatar membuatkan suasana hening itu semakin terasa mendebarkan. Kereta berhenti kemas. Pintu terbuka, lalu keluar seorang lelaki berkemeja putih. Dia tinggi, tegap, dan penuh karisma. Senyuman tipis menghiasi wajahnya.
"Assalamualaikum," ucapnya, tenang namun jelas.
"Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh," sahut mereka bertiga hampir serentak. Pandangan mereka masih terikat pada lelaki itu, seolah-olah kehadirannya membawa beban rahsia besar.
Langkah lelaki itu kemudian menuju ke pintu penumpang. Dia membukanya, dan dari dalam keluar seorang wanita bergaun putih. Kepalanya ditundukkan, wajahnya dilindungi oleh kot tebal lelaki itu yang diselempangkan menutup hampir keseluruhan tubuhnya. Wajah-wajah mereka bertiga segera bertukar hairan, namun tiada siapa berani menyuarakan persoalan yang menghimpit dada.
Haris berjalan perlahan membawa Syifa mendekati mereka. Gadis itu tetap tunduk, langkahnya hati-hati, seolah-olah enggan menjadi tumpuan.
"Muhammad Haris Arsyad?" tanya Kamarul, ingin memastikan lelaki di hadapannya adalah yang sebenar.
"Ya, saya, Tok." Senyuman tipis terbit dari bibir Haris, pandangannya bersilih ganti pada ketiga-tiga lelaki itu.
Kamarul mengangguk, wajahnya terlukis dengan kepastian. "Baiklah, Tok sudah siapkan segalanya di dalam. Saksi sudah ada, dokumen juga sudah lengkap. Hanya tinggal ijab kabul kamu malam ini."
Haris mengangguk faham. "Terima kasih, Tok. Saya harap semuanya dipermudahkan malam ini."
"Insya-Allah," balas Kamarul sambil menepuk bahu Haris dengan penuh yakin. "Masuklah. Masjid ini saksi kepada sesuatu yang suci. Semoga langkahmu diberkati Allah Subhanahu Wa Ta‘ala."
Haris sempat menoleh ke belakang, memastikan Syifa berhati-hati melangkah di bawah lindungan kotnya. Tanpa sepatah kata, dia memimpin gadis itu masuk, meninggalkan kabus dan kegelapan malam di luar, menuju cahaya lampu masjid yang menanti di dalam.
Suasana dalam masjid kembali tenang, hanya bunyi kipas tua berputar perlahan di atas kepala menemani malam yang pekat. Syifa masih duduk tidak jauh di belakang Haris. Kot yang menutupi kepalanya dibiarkan tidak terusik, seakan benteng terakhir untuk menyembunyikan wajah dan resah hatinya. Sesekali Hassan melirik ke arah wanita itu, seakan terpaku pada bayangan tubuh yang menunduk diam. Namun setiap kali matanya singgah terlalu lama, ekor pandangannya bertembung dengan renungan Epol. Lelaki muda itu hanya menurunkan bibirnya, seperti memberi isyarat diam, sebelum mereka sama-sama kembali menumpukan perhatian pada Tok Kadi, Kamarul, yang sudah bersedia memulakan majlis.
"Boleh kita mulakan." Suara Kamarul memecah sunyi, tenang dan berwibawa setelah selesai meneliti beberapa dokumen rasmi yang perlu disahkan.
Haris mengangguk kecil, senyuman tipis masih menghiasi bibirnya. Tenang, seolah-olah semuanya hanyalah formaliti yang telah lama dijangka.
Kamarul kemudian memalingkan wajahnya ke arah Syifa yang masih diam, duduk sedikit ke belakang dengan tubuh dilindungi kot yang besar. "Khawla Syifa binti Abdullah, kamu dengar Tok?" Suaranya lembut, seolah tidak mahu membebankan gadis itu yang kelihatan tenggelam dalam dunianya sendiri.
Mendengar panggilan itu, jemari Syifa yang bertaut di riba mengetat, menegang seakan cuba menahan getaran halus yang menjalar di tubuhnya. Kepalanya masih tunduk, namun keningnya terjongket sedikit, tanda dia tersentak kembali ke dalam nyata. Haris sempat menoleh ke arahnya, pandangan matanya datar, sukar ditafsir. Perlahan-lahan, Syifa mengangguk sekali, ringkas namun cukup untuk menjawab pertanyaan Kamarul.
"Baiklah," ujar Kamarul sambil menarik nafas tenang. Dia kemudian bersuara panjang, memberi nasihat sebagaimana tanggungjawabnya sebagai tok kadi.
"Anakanda berdua, rumah tangga itu ibarat bahtera. Suami adalah nakhoda yang memimpin, isteri adalah pengemudi yang membantu. Tanggungjawab suami ialah memberi nafkah zahir dan batin, melindungi, membimbing isteri dan keluarga ke jalan yang diredhai Allah. Tanggungjawab isteri pula ialah taat kepada suami dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syarak, menjaga kehormatan diri, serta menjadi penyejuk mata dan penenang hati suami. Perkahwinan ini bukan hanya menyatukan dua insan, tetapi mengikat janji di hadapan Allah. Maka peliharalah janji ini dengan sabar, kasih, dan rasa syukur. Ingatlah, dalam setiap perselisihan, doa adalah jalan, dan dalam setiap kesusahan, sabar adalah kekuatan."
Haris mengangguk sekali lagi, wajahnya tenang tanpa sebarang ragu. Senyuman tipis itu masih melekat, seakan semua kata-kata itu hanyalah angin lalu yang tidak menembusi dinding hatinya.
Setelah itu, Kamarul mengangkat tangan, memberi isyarat akad akan dimulakan. Haris segera menyambut tangan lelaki itu, genggamannya teguh.
"Bismillahirrahmanirrahim. Muhammad Haris Arsyad?"
"Ya, saya."
"Aku nikahkan dikau, Muhammad Haris Arsyad dengan Khawla Syifa binti Abdullah yang diwakilkan kepadaku selaku wali hakim, dengan mas kahwin seutas gelang emas tunai."
Suara Kamarul jelas, setiap perkataannya bergetar di ruang masjid.
"Aku terima nikah Khawla Syifa binti Abdullah yang diwakilkan kepadamu itu dengan mas kahwin seutas gelang emas tunai," balas Haris tenang, tidak terputus, suaranya mantap.
Kamarul mengalihkan pandangan kepada Hassan dan Epol yang berdiri sebagai saksi. Kedua-duanya serentak mengangguk.
"Sah."
"Alhamdulillah." Kamarul menadah tangan, lalu melantunkan doa dengan suara lembut namun penuh makna.
"Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim. Kami memohon kepada-Mu agar Engkau memberkati pernikahan ini. Satukanlah hati kedua mempelai dalam cinta dan kasih sayang kerana-Mu. Limpahkanlah rahmat-Mu agar mereka menjadi pasangan yang saling melengkapi, saling menguatkan dalam taat kepada-Mu. Jadikanlah rumah tangga mereka baiti jannati, rumah yang penuh sakinah, mawaddah, wa rahmah. Ya Allah, peliharalah mereka dari segala fitnah dunia, jauhkan dari sengketa dan permusuhan, dekatkanlah mereka dengan kebaikan, dan pimpinlah langkah mereka menuju redha-Mu. Rabbana atina fid-dunya hasanah, wa fil-akhirati hasanah, wa qina ‘azabannaar."
"Amin..." serentak keluar dari bibir Hassan dan Epol, menggetarkan ruang sepi masjid itu.
Syifa menunduk khusyuk sebelum mengaminkan doa Tok Kadi. Dan ketika tangan itu menyapu wajah, dia seakan merasakan kelembutan doa yang menyentuh jiwanya, doa untuk tabah menempuh perjalanan hidup yang baru bermula. Ada sesuatu yang panas mengalir di pipinya, membasahi wajah yang masih terlindung oleh kot Haris. Matanya dipejam rapat, nafasnya berat, namun hatinya penuh redha. Jalan ini bukan yang pernah dia pinta, tetapi dia tetap percaya Allah sentiasa bersama, meskipun pandangan ke hadapan kabur tanpa jalan keluar yang jelas.
Share this novel