BAB 12

Crime Series 5101

Angin laut yang lembap menyapu rerumputan hijau yang tumbuh liar di atas bukit. Bunga-bunga liar berwarna putih dan jingga bergoyang perlahan, seakan menari mengikut alunan angin. Langit kelabu, diselubungi kabus tipis yang membuatkan tebing curam di hadapan kelihatan samar-samar, seolah-olah dunia di hujung lautan itu hanyalah mimpi yang sukar untuk disentuh.

Di tengah padang yang luas itu, seorang budak perempuan bergaun putih berlari riang, kakinya menyentuh tanah lembut yang basah kerana embun pagi. Rambutnya yang perang keemasan berayun bebas, ditiup angin. Dia mengejar seekor rama-rama berwarna biru yang berterbangan ke sana-sini, jarinya terhulur, seolah-olah ingin menangkap makhluk kecil itu, tetapi rama-rama itu sentiasa mengelak dengan lincah.

Di bawah teduhan sebuah pokok besar yang berdiri megah di pinggir tebing, seorang wanita duduk dengan senyuman lembut di bibirnya. Matanya, sepasang mata yang redup tetapi penuh kasih sayang, tidak lepas daripada memerhati anak kecil itu. Senyumannya terbentuk setiap kali melihat tawa ceria gadis kecil itu, tawa yang begitu jarang kedengaran sejak sekian lama. Namun, jauh di dalam hatinya, ada kebimbangan yang tidak terungkap.

"Hermosa... como un sueño, (Indah... seperti mimpi,)" bisiknya perlahan, seolah-olah berbicara dengan angin yang bertiup lembut.

Dia menarik nafas dalam, cuba mengusir segala kebimbangan yang bermain di fikirannya. Tetapi tiba-tiba, wajahnya berubah. Dahinya berkerut. Gadis kecil itu, yang sebentar tadi berlari di hadapan matanya, kini sudah tiada dalam pandangannya.

"¿Dónde está? (Di mana ia?)" Suaranya bergetar sedikit, tubuhnya menegak dengan panik.

Dia segera bangun, melangkah ke hadapan, matanya liar mencari bayangan anaknya. Angin yang tadinya menenangkan kini terasa menggigit, menusuk ke tulang. Jantungnya berdegup kencang, firasat buruk mula menyelinap masuk.

"Aurora... ¿Dónde estás? (Aurora... Di mana kamu?)" panggilnya, suaranya nyaris tenggelam dalam bunyi ombak yang menghentam tebing berbatu di bawah sana.

Namun, tiada jawapan.

Hanya angin, dan lautan yang membisu.

Langkahnya semakin berat. Nafasnya tercungap-cungap, dada turun naik dengan cepat, tetapi dia tidak peduli. Sepasang kakinya terus berlari meredah padang rumput, melewati bunga-bunga liar yang kini langsung tidak dipandangnya. Fikirannya hanya satu—di mana Diana?

Angin semakin kencang, meniup rambut panjangnya ke belakang, tetapi dia terus berlari. Hingga akhirnya, langkahnya terhenti. Di hadapannya, hanya ada tebing curam yang menjunam ke lautan luas.

Mata wanita itu membulat. Tangannya segera menutup mulutnya yang ternganga, cuba menahan getaran di bibirnya. Darahnya terasa seakan beku seketika, tetapi dalam masa yang sama, degupan jantungnya berdenyut kuat, bagaikan genderang perang yang menjeritkan ketakutan paling dalam.

"No... por favor, no... (Tidak... tolong, tidak...)" bisiknya, hampir tidak bersuara.

Matanya mengintai ke bawah—ombak ganas menghempas batu-batu besar di dasar tebing, memercikkan buih putih ke udara. Suara laut yang tadinya mendamaikan kini bergema seperti jeritan maut di telinganya.

"Aurora... ¿dónde estás? (Aurora... di mana kamu?)" suara itu pecah, bergetar dalam kepanikan.

Tangannya menggigil memegang dadanya, berharap ini hanyalah imaginasi, bahawa anak kecilnya tidak mungkin jatuh dari sini. Air mata mula menggenang di pelupuk matanya, tetapi dia tidak membiarkannya jatuh. Tidak. Dia perlu yakin. Diana pasti selamat.

Dengan lutut yang hampir lemah, dia melangkah perlahan ke tebing, menelan ketakutan yang menghimpit dada. Matanya liar mencari, menelusuri setiap inci curam itu.

Tetapi tiada sesiapa di sana.

Tiada suara tawa riang.

Tiada kelibat gadis kecil bergaun putih.

Hanya lautan yang terus bergelora, seolah-olah ingin menelan segala harapannya.

Ketakutan yang menyelubungi fikirannya kian menggila. Permainan mindanya mula mencipta bayangan ngeri—Diana terjatuh, Diana hilang, Diana... sudah tiada.

Namun, saat bunyi kecil itu menyentuh gegendang telinganya, dunia seakan terhenti.

"Madre. (Ibu.)"

Suaranya lirih, lembut, tetapi cukup untuk membuatkan wanita itu tersentak. Pantas dia menoleh ke belakang, matanya terbuntang luas.

Di situ, beberapa langkah darinya, berdiri seorang gadis kecil bergaun putih. Tetapi gaun itu tidak lagi bersih seperti sebelumnya. Ia berlumuran merah. Begitu juga tangannya, wajahnya, jari-jarinya yang kecil, semuanya bersalut darah pekat.

Wanita itu terkaku, nafasnya tersekat di kerongkong.

Diana tersenyum tipis. Senyuman yang seharusnya polos, tetapi kini terasa begitu aneh.

"Mi madre encontró un conejito, saltaba de aquí para allá así que lo maté, pero ahora no se mueve. ¿Todavía se ve lindo? (Ibu saya menjumpai seekor arnab, ia melompat ke sana sini jadi saya membunuhnya, tetapi sekarang ia tidak bergerak. Adakah ia masih kelihatan comel?)"

Suara kecil itu mengalun dengan nada yang begitu polos, begitu ringan, seolah-olah apa yang diucapkannya bukanlah sesuatu yang ganjil. Tanpa ragu, tangan kecilnya membuka genggaman, melemparkan sesuatu ke tanah di hadapan ibunya.

Seekor arnab kecil.

Bulu putihnya ternoda dengan warna merah gelap, tubuhnya terkulai tanpa nyawa. Mata hitamnya yang dulu bercahaya kini terbuka tanpa jiwa, beku dalam kematian.

Wanita itu menutup mulutnya dengan kedua-dua tangan, tubuhnya mula menggigil. Darah yang membasahi tanah itu seperti membakar jiwanya. Dia tidak mampu berkata-kata, hanya mampu memandang anak kecilnya yang masih berdiri di situ, kepala sedikit ditelengkan, menatapnya seolah-olah menunggu jawapan.

Dengan langkah perlahan, wanita itu menghampiri anaknya, lututnya jatuh ke tanah di hadapan gadis kecil itu. Tangannya yang sejuk menggenggam kedua tangan Diana, merasakan betapa melekitnya darah di jari-jari halus itu. Air matanya deras mengalir, jatuh tanpa mampu ditahan.

"Aurora..." suaranya pecah, hampir terisak. "¿Por qué? (Mengapa?)"

Gadis kecil itu berkerut, kepalanya semakin condong ke sisi, seolah-olah tidak memahami emosi yang ditunjukkan ibunya. Dia hanya membunuh seekor arnab. Apa yang salah?

Ombak terus menghentam tebing, angin terus bertiup, tetapi dunia wanita itu seakan lenyap dalam kesunyian. Hanya ada dia, dan anak kecilnya yang kini terasa begitu asing.

Syifa tersentak. Dadanya turun naik, nafasnya berhamburan keluar seiring dengan degupan jantungnya yang masih berdetak liar. Seolah-olah dia baru sahaja terlepas dari cengkaman mimpi yang begitu nyata, begitu menyesakkan.

Matanya liar memerhati sekeliling. Siling putih. Lampu malap. Bau samar lavender dari lilin aromaterapi yang sudah hampir padam. Dia berada di dalam biliknya. Hakikat itu cuba dia hadam, cuba dia yakinkan dirinya bahawa semuanya hanyalah sebuah mimpi—sebuah memori yang kembali memburu.

Tangannya meraba dadanya yang berombak kencang, cuba menenangkan diri. Namun, sebaik sahaja kelibat gadis kecil itu kembali menari di fikirannya—gaun putih bersalut darah, tangan kecil yang berlumuran merah, mata polos yang tidak memahami ketakutan—nafasnya kembali tersekat-sekat.

Syifa mengerang perlahan, tangannya pantas menarik laci kabinet di sebelah katilnya. Jari-jarinya yang menggigil meraba-raba ke dalam laci sebelum akhirnya menemui botol kecil itu. Tangannya menggenggam erat botol ubat tersebut, tetapi dia tidak terus menelannya. Dia hanya menatapnya—memandangnya seolah-olah di situlah jawapan kepada segala keresahan yang membelenggunya.

"Aku kena lawan... Aku kena kembalikan semua memori lama itu."

Suara itu keluar sebagai bisikan yang hampir lenyap dalam kesunyian biliknya. Syifa cuba mengawal nafasnya yang tidak stabil, cuba menenangkan dirinya. Namun, sebaik sahaja dia menahan semuanya—menekan segala rasa yang menggila dalam tubuhnya—datang satu lagi perasaan lain yang lebih menyakitkan.

Panas. Sesuatu membakar di dalam tubuhnya.

Dia mengerang kecil, bibirnya diketapkan rapat menahan rasa sakit yang seolah-olah menjalar ke seluruh sarafnya. Tubuhnya melengkung, kedua-dua tangannya memeluk perut, tubuhnya membulat seperti bola di atas katil. Setitis peluh dingin mengalir di dahinya, tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa selain menahan, menahan, dan terus menahan.

Ketika itu, suara wanita itu kembali menerjah ke dalam kepalanya. Lembut. Tenang. Tetapi menusuk ke dalam jiwanya seperti belati yang diselaputi bisikan samar.

"No los mates, a veces dejar ir algo que queremos les dará libertad. (Jangan bunuh mereka, kadang-kadang melepaskan sesuatu yang kita inginkan akan memberi mereka kebebasan.)"

Melepaskan sesuatu yang kita inginkan akan memberi mereka kebebasan.

Mata Syifa membesar, tangannya yang masih menggenggam botol ubat itu menggeletar. Nafasnya kembali tersekat, tetapi kali ini bukan kerana panik, bukan kerana sakit.

Tetapi kerana ketakutan yang lebih dalam.

Ketakutan terhadap dirinya sendiri.

Jeritan itu menggema dalam sunyi.

Mikael hampir sahaja tidak percaya pada telinganya. Tanpa membuang masa, dia meluru masuk ke dalam bilik adiknya. Pintu dikuak kasar, dan sebaik sahaja dia melangkah masuk, pandangannya terus tertancap pada Syifa yang sedang menggeliat kesakitan di atas katil.

Tubuh gadis itu melengkung, jari-jarinya mencengkam cadar, nafasnya tercungap-cungap seolah-olah sedang menahan sesuatu yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Mukanya pucat, peluh dingin mengalir di pelipisnya.

Tanpa berfikir panjang, Mikael menghampiri Syifa dan merangkul tubuh gadis itu ke dalam pangkuannya. Dia merasakan betapa panasnya tubuh adiknya, seolah-olah ada api yang membakar dari dalam.

"Syifa! Hei, bangun!" Suaranya keras, tetapi Syifa tidak memberi reaksi.

Mata gadis itu separuh terbuka, pandangannya kosong, bibirnya sedikit terbuka dengan nafas yang tidak teratur. Mikael mengalih pandangan ke sisi dan melihat sebotol kecil ubat di atas katil. Pantas, dia mencapai botol itu, membuka penutupnya, dan menuangkan sebiji pil ke tapak tangannya sebelum memaksa Syifa menelannya.

Syifa tersedak sedikit, tubuhnya memberontak secara refleks, tetapi dia sudah terlalu lemah untuk melawan. Ubat itu akhirnya melewati kerongkongnya. Mikael terus memerhatikan adiknya, menunggu kesan ubat itu untuk bertindak balas.

Beberapa saat kemudian, tubuh Syifa yang tegang mula mengendur. Nafasnya yang berat tadi semakin perlahan, kembali stabil.

Mikael menghela nafas lega, tetapi sejurus itu juga, wajahnya berubah marah.

"Kau dah gila ke?! Apa yang kau buat ni?!" tengkingnya, nada suaranya jelas menunjukkan kekecewaan.

Syifa masih terduduk, kepalanya tertunduk. Nafasnya diatur perlahan-lahan, cuba memahami situasi yang baru sahaja berlaku. Namun, sebaik sahaja dia mendongak, tatapan matanya menikam tajam ke arah abangnya.

Mikael terpaku.

Syifa tersenyum sinis sebelum ketawa kecil.

"Sejauh mana kau nak berlakon dengan aku?" suaranya mendatar, namun ada sesuatu dalam nada itu yang membuatkan Mikael merasakan satu perasaan aneh menjalar dalam dirinya.

"Kamu cakap apa ni?" Mikael mengerutkan kening, tidak menyukai cara Syifa menatapnya.

Syifa menghela nafas, tubuhnya sedikit bersandar ke kepala katil sebelum melipat tangan di dada. Matanya tidak lari daripada menatap wajah abangnya yang jelas menunjukkan kebingungan.

"Untuk apa ambil stok ubat aku sampai tiga bulan?" soalnya dingin. "Aku lupa nak bagi tahu... dah setahun lebih aku tak makan ubat aku, hanya saja kalau tekanan. Kau buat apa dengan ubat aku?"

Mikael terdiam.

Matanya berkilat seketika sebelum kembali menatap Syifa, kali ini dengan ekspresi yang sukar dijelaskan. Ada sesuatu yang bermain di kepalanya, tetapi dia tidak segera menjawab.

Syifa tersenyum kecil, tetapi tidak ada kehangatan di situ.

"Kau takut aku ingat sesuatu, kan?"

Perlahan-lahan, Mikael menelan liur. Tangannya mengepal di sisi, tetapi dia tidak berkata apa-apa.

Dan di saat itu, Syifa tahu.

Ada sesuatu yang Mikael sembunyikan darinya. Sesuatu yang lebih besar daripada sekadar ubat. Sesuatu yang berkait dengan ingatannya—dan mungkin juga, dirinya yang sebenar.

Tatapan Syifa masih sama—dingin dan mencabar. Pandangannya seakan mengejek, seolah-olah mencabar Mikael untuk berkata sesuatu yang lebih meyakinkan.

Mikael, yang sudah cukup faham dengan sikap adiknya, menarik nafas dalam. Riaknya mendatar, tidak mahu menunjukkan riak gelisah yang mula bercambah dalam dirinya. Jika dia menunjukkan kelemahan sekarang, Syifa pasti akan lebih mendesak.

Dia harus berdiri sebagai abang yang masih patut dihormati.

Namun, Syifa tidak mahu berhenti di situ. Dia tahu ada sesuatu yang Mikael cuba sembunyikan. Sesuatu yang lebih besar daripada sekadar ubat-ubatan.

"Lepas ni, jangan cuba menahan diri. Kamu tak tahu efek jika membiarkan sesuatu itu keluar dengan paksa." Mikael bersuara, nada suaranya tegas dan tidak berkompromi.

Syifa mengepal tangannya, bibirnya diketap rapat. Itu bukan jawapan yang dia mahukan. Itu cuma peringatan kosong yang tidak menjawab soalan yang bermain dalam fikirannya.

"Aku tak peduli." Suaranya bergetar sedikit, bukan kerana takut, tetapi kerana amarah yang mula membuak-buak. "Kalau kau tak nak buka mulut, aku akan buat dengan cara aku."

Mikael masih tidak menunjukkan sebarang perubahan pada raut wajahnya. Dia tetap berdiri tegak, tidak sedikit pun terkesan dengan ancaman Syifa.

"Selagi along kat sini, itu tanggungjawab along." Nada suaranya tetap, tidak beremosi. "Tidurlah."

Dengan itu, Mikael memusingkan badan dan melangkah ke pintu. Sebelum keluar, dia sempat melirik ke arah Syifa sekali lagi, memastikan adiknya tidak akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaannya.

Syifa hanya memerhatikan abangnya menutup pintu. Tiada kata-kata lagi yang keluar dari bibirnya. Tetapi, hatinya terus bergemuruh dengan perasaan yang bercampur-baur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience