Vitalis Specialist Hospital. Uyaina tersedar perlahan, kelopak matanya terasa berat saat cahaya lampu lembut bilik rawatan menerobos masuk ke dalam pandangan. Dia memejamkan matanya kembali seketika, cuba menenangkan denyutan di kepala sebelum membuka mata semula. Beberapa luka di wajahnya sudah dirawat dengan baik, terasa sedikit perih tetapi tidak lagi berdarah. Seluruh tubuhnya masih terasa sengal, kesan daripada tendangan dan pukulan yang diterima. Namun, bukan itu yang mengganggunya.
Matanya melilau mencari sosok yang telah membawanya ke sini. Syifa. Tapi bayangan gadis itu tidak kelihatan di mana-mana. Rasa kecewa menerpa seketika sebelum dia melihat pintu bilik air yang tertutup rapat. Mungkin Syifa ada di dalam. Beberapa minit kemudian, pintu itu terbuka, dan sosok yang dicari melangkah keluar dengan wajah tenang.
Uyaina mengangkat muka, matanya kembali berkaca-kaca. Melihat Syifa di hadapannya memberi sedikit ketenangan dalam hatinya yang sedang berkecamuk. Syifa hanya menghadiahkan senyuman tipis sebelum melangkah mendekati katilnya.
"Kau rehatlah untuk dua hari di sini. Surat cuti, ubat, dan bil hospital, aku dah uruskan." Suara Syifa kedengaran tenang seperti biasa. Tangannya mengeluarkan satu set pakaian sukan dari beg galasnya dan meletakkannya di atas rak.
Uyaina hanya diam, bibirnya diketap rapat seolah-olah ada sesuatu yang ingin diluahkan tetapi tersekat di kerongkong. Matanya memandang Syifa, namun dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara.
"Aku nak balik dah ni. Ada kerja nak buat-"
Belum sempat Syifa menghabiskan kata-katanya, tangan Uyaina pantas mencapai pergelangan bajunya, menggenggamnya erat. Syifa tersentak seketika sebelum menatap wajah gadis itu. Riak wajah Uyaina jelas menunjukkan betapa dia tidak mahu Syifa pergi.
Syifa mengerutkan dahi, cuba memahami emosi yang sedang berputar di dalam diri Uyaina. Senyuman tipis terukir di bibirnya sebelum dia menepuk tangan Uyaina perlahan, cuba menenangkan gadis itu.
"Jangan risau, semua orang kat sini akan jaga kau dengan baik." Nada Syifa lembut, tetapi Uyaina menggelengkan kepala berkali-kali. Itu bukan apa yang dia ingin dengar.
Syifa menghela nafas panjang sebelum melabuhkan punggung di birai katil. "Ada apa?" Soal Syifa, cuba memberi ruang untuk Uyaina bersuara.
Air mata Uyaina mula menitis. Dia cuba menahan, tetapi semakin dia menekan emosinya, semakin deras air matanya mengalir. Melihat itu, Syifa hanya diam, membiarkan Uyaina meluahkan segalanya dalam kebisuan. Tangannya tetap erat menggenggam tangan Uyaina, memberi keyakinan tanpa perlu kata-kata.
Beberapa minit berlalu sebelum Uyaina akhirnya bersuara, suaranya serak kerana tangisan. "Akak... tak apa-apa?" soalnya, masih dalam esakan. Kepalanya yang tadi tertunduk kini terangkat, matanya memandang Syifa dengan penuh rasa bersalah dan bimbang.
Syifa tersenyum tipis. "Aku okey," jawabnya dengan anggukan kecil.
"Ada kalanya, membiarkan saja sekeliling yang bising itu dengan mata tertutup lebih baik, kan?" Nada suara Uyaina bernada getir, seolah-olah menahan beban yang tidak terungkap.
Syifa faham maksud kiasan itu. Ia bukan sekadar bicara kosong. Uyaina sedang berbicara tentang keputusasaannya, tentang kepedihan yang tidak berkesudahan.
"Jadi, rasa sakit ini tak akan berterusan lagi." Uyaina tersenyum pahit, disusuli gelak kecil yang lebih kepada mengejek dirinya sendiri.
Syifa menghela nafas panjang. "Saya tak nak kau putus asa. Kalau kau tersedar dan masih berasa terkejut bila mendapati kau masih selamat, itu bermaksud kau masih mahu hidup," ucapnya lembut. Tangannya mengusap kepala Uyaina dengan penuh kasih sayang.
Uyaina menggigit bibir. "Memang tak semua orang ada kekuatan... tapi..."
"Tapi kita masih ada Allah, kan?" Syifa menyambung kata-kata Uyaina dengan nada yakin.
Uyaina terdiam. Kata-kata itu meresap jauh ke dalam hatinya. Namun, kesakitan yang dialaminya selama ini tidak mudah untuk dilupakan. "Tapi... mereka jahat, akak. Mereka pukul, mereka tendang... semua itu sakit, dan saya perlu menghadapi mereka setiap kali bertembung mata. Saya.. cuma nak hidup.. tanpa rasa menghinaan itu.." Suaranya serak, dadanya terasa sempit kerana sebak yang semakin menyekat nafasnya.
Syifa mengetap bibir. Dia memahami perasaan itu. Betapa sakitnya diperlakukan tanpa sebab. Betapa peritnya menjadi mangsa dalam dunia yang tidak adil ini.
"Satu hari nanti, kau akan berjalan tanpa perlu menghiraukan tatapan menjengkelkan mereka. Saya... janji." Syifa menatap Uyaina dengan penuh keyakinan. Dia mahu Uyaina percaya bahawa akan ada hari di mana semua kesakitan ini hanyalah kenangan yang sudah berlalu.
Air mata Uyaina semakin deras mengalir. Tanpa berfikir panjang, dia memeluk Syifa erat, seolah-olah Syifa satu-satunya yang masih peduli akan kewujudannya.
Syifa membalas pelukan itu, tangannya menepuk belakang Uyaina perlahan. Di dalam diam, dia juga bertanya pada dirinya sendiri. Apakah manusia memang memerlukan seseorang untuk terus kuat? Kalau begitu... bagaimana dengan dirinya sendiri?
Tapi aku masih ada Tuhan, kan? Ya Allah, aku masih ada Kau...
Beberapa minit kemudian, Syifa melangkah keluar dari bilik rawatan yang menempatkan Uyaina. Pintu ditutup perlahan, seakan tidak mahu mengganggu ketenangan gadis itu yang baru saja mengalami detik hitam dalam hidupnya. Langkahnya tenang, namun di dalam hati, masih ada keresahan yang sukar diungkapkan.
Dari kejauhan, suara derapan kasut yang pantas memijak lantai koridor menarik perhatian beberapa jururawat yang sedang bertugas. Sosok seorang lelaki muda kelihatan tercungap-cungap berlari memasuki koridor hospital. Peluh membasahi dahinya, dadanya turun naik menahan lelah. Pandangannya segera tertancap pada seorang gadis bertudung yang baru sahaja keluar dari bilik yang ingin dimasuki. Namun, dia tidak menegur, hanya membiarkan gadis itu berlalu pergi sebelum dia akhirnya mencapai tombol pintu dan melangkah masuk.
Pintu ditutup kembali dengan perlahan, seolah-olah bimbang mengganggu penghuni bilik itu. Suasana di dalam bilik sunyi, hanya bunyi alat pemantau kesihatan yang berbunyi perlahan menemani. Ezhar berdiri di sisi katil, matanya tertancap pada susuk tubuh kecil yang terbaring membelakanginya. Jantungnya terasa dihimpit kesakitan saat melihat keadaan adiknya yang penuh lebam dan luka. Rasa bersalah mula menghimpit dadanya, menyesakkan nafasnya. Dia menggenggam kuat jemarinya, menahan perasaan yang mula bergolak di dalam hati.
"Aku memang tak guna..." Gumamnya perlahan, matanya masih tidak lepas dari wajah Uyaina. "Kenapa kau lebih menderita daripada aku?" Suaranya serak menahan sebak. Dia menggeleng kepalanya berkali-kali, terasa dirinya gagal sebagai seorang abang. Dia sepatutnya melindungi Uyaina, bukan membiarkannya menderita seperti ini.
Ketika itulah matanya menangkap sesuatu di atas rak kecil di sisi katil. Sehelai pakaian sukan berlipat kemas di situ, dan pada tag nama yang terlekat di bahagian koler, tertulis satu nama yang tak asing baginya
Khawla Syifa.
Matanya sedikit membulat, jari-jarinya terhenti di udara seakan mahu menyentuh pakaian itu tetapi ragu-ragu. Rasa tanda tanya mula bertapak dalam benaknya.
Syifa melangkah keluar dari lif hospital dengan langkah penuh berhati-hati. Dari kejauhan, kelihatan dua sosok lelaki yang tidak ingin ditemuinya Muaz dan Zarif. Kedua-duanya duduk di ruang menunggu dengan tatapan dingin. Syifa segera berpaling, mengambil jalan belakang untuk mengelak pertemuan yang tidak diingini. Namun, beberapa langkah kemudian, dia terhenti apabila melihat seorang wanita yang baru keluar dari lif di hadapannya. Miss Sarah.
Syifa mengukir senyuman sinis. Dunia ini benar-benar kecil.
"Hai, Miss," sapa Syifa mesra, nada suaranya sedikit menyindir.
Miss Sarah yang baru saja keluar dari lif kelihatan sedikit terkejut melihat Syifa berdiri di situ. Tanpa membuang masa, dia segera menarik tangan gadis itu ke kawasan tangga kecemasan, jauh dari pandangan orang ramai.
"Kamu cari saya sampai ke sini, ke?" Nada suara Miss Sarah jelas memancarkan kemarahan yang cuba dikawal.
"Tak lah." Syifa menjawab selamba, malas untuk menjelaskan lebih lanjut. "Miss Sarah dah ada keputusannya?" soalnya dengan wajah tenang.
Miss Sarah menghela nafas panjang. Dia memang tidak gemar berbicara dengan pelajar seperti Syifa-penuh muslihat dan sukar dijangka.
"Ini keputusan yang keluar. Saya tak perlu terangkannya panjang lebar, saya tahu awak cukup bijak untuk memahami sendiri." Miss Sarah menghulurkan sampul putih bersama sampel ubat yang diberikan oleh Syifa sebelumnya. Syifa mengambilnya dengan ekspresi mendatar.
"Terangkan secara singkas," pintanya tanpa nada mendesak.
Miss Sarah mengeluh kecil sebelum meraup rambut ke belakang, menahan rasa geram dengan sikap acuh tak acuh gadis itu.
"Ubat dalam botol dan sampel ubat yang kamu berikan sebelum ini adalah ubat yang sama." Terangnya dengan nada serius.
Dahi Syifa berkerut. Dalam fikirannya, dia mula menyusun semula setiap persoalan yang bermain di benaknya.
"Tapi ubat dalam darah awak berbeza." Sambung Miss Sarah. "Saya tak dapat menerangkan secara terperinci kerana ia sudah bercampur dalam tubuh awak, sukar untuk dianalisis dengan tepat. Tapi satu bacaan yang saya dapat kesan dengan jelas ialah ubat itu mengandungi Kortikosteroid, yang boleh menyebabkan penyakit dalam tubuh menjadi aktif semula."
Syifa menoleh ke arah Miss Sarah dengan tatapan tajam. "Maksud?"
"Contohnya, jika seseorang mempunyai asma atau penyakit paru-paru, ubat ini boleh menyebabkan penyakit tersebut menjadi tidak terkawal dan datang secara tiba-tiba. Disebabkan Kortikosteroid itu telah bercampur dengan beberapa bahan lain, saya tak dapat mengesahkan kesannya sepenuhnya kecuali awak ada sampel ubat yang awak makan sebelum ini."
Syifa diam sejenak, mencerna maklumat yang baru diterimanya.
"Miss masih nak tolong saya untuk kali kedua?" tanyanya dengan nada yang sukar ditebak.
Miss Sarah mendengus. "Jangan cakap kau masih menyimpan salinan gambar dan video saya?"
Syifa tersenyum tipis. "Dalam Islam, janji itu amanah, bukan sekadar skrip drama. Saya menepati janji yang saya buat pagi tadi."
Miss Sarah menghulurkan tangannya. "Telefon?"
Syifa tersengih kecil. "Oh, hampir terlupa." Dia mengambil telefon bimbit dari beg galasnya dan menyerahkannya kepada Miss Sarah. Wanita itu segera memeriksa kandungannya, memastikan tiada sebarang bukti yang tertinggal.
"Lepas ni, jangan sesekali libatkan saya dalam apa-apa lagi." Tegas Miss Sarah dengan ekspresi marah.
Syifa mengangkat tangannya, seolah-olah menyerah. "Tak janji," katanya sambil tersengih sebelum melangkah turun dari tangga.
"Hey!" tengking Miss Sarah, namun langkah Syifa tidak terhenti.
"Bye. Have a nice day," balas Syifa dari kejauhan.
Miss Sarah mengetap bibirnya geram. Namun tanpa disedari mereka, perbincangan mereka tadi telah didengari oleh seseorang yang berdiri di tingkat atas tangga kecemasan. Sosok itu mendengar dengan teliti sebelum akhirnya berlalu pergi tanpa meninggalkan sebarang jejak.
Share this novel