Bilik senjata itu terletak di sayap kanan rumah agam, tersembunyi di balik panel kayu berukir yang tampak seperti dinding biasa, sunyi dan sejuk seperti peti besi bawah tanah. Cahaya lampu neon malap mencurah dari siling kayu gelap, membiaskan pantulan kelam pada deretan senjata api yang tersusun rapi di sepanjang dinding kayu cerah. Deretan rifle, SMG, dan senjata taktikal lain digantung dengan kemas, setiap satunya berkilau dijaga, diminyak dan disusun seperti harta paling bernilai. Kotak-kotak amunisi hitam berlabel diletakkan bertingkat di lantai, mencipta dinding senyap antara pemilik dan peluru.
Di hujung lorong senjata itu, seorang budak perempuan belum pun mencecah remaja berdiri di hadapan rak kaca, tangannya memegang sepucuk pistol ringan jenis Glock 19, lengkap dengan lampu taktikal kecil di muncungnya. Wajahnya tenang, namun sorot matanya tajam, menyapu ruang sekeliling seperti sudah biasa.
Dia mengangkat senjata itu, memeriksa kebersihan laras, menyelak slide dengan cekap. "Tujuh belas peluru, cukup untuk bertahan sepuluh minit." gumamnya sendiri, sebelum memasukkan pistol itu ke dalam holster taktikal kecil yang digantung di paha kanannya.
Di belakangnya, rak penuh senjata automatik AR-15, MP5, SCAR-L berdiri angkuh. Namun dia tak tergoda. Latihannya pagi itu bukan untuk senjata berat, tapi tentang kelajuan, ketepatan, dan kawalan diri.
Budak itu melangkah keluar dari bilik senjata dengan langkah tenang. Tugasnya belum bermula, tapi tubuhnya sudah bersedia. Di tempat ini, usia bukan penghalang hanya kekuatan hati dan tajamnya fokus.
Syifa menarik jaket kulit berwarna kelabu gelap itu ke tubuhnya. Jahitan kasar di bahu kiri dan kesan calar pada lengan menjadi bukti bahawa jaket itu bukan sekadar pakaian ia saksi kepada ribuan jam latihan yang telah dia harungi. Langkahnya mantap, laju, dan berirama. Tiada gentar, tiada ragu.
Pintu besi yang menghubungkan ruang kediaman ke gelanggang latihan bawah tanah terbuka sendiri saat dia menghampiri. Derapan but kulitnya bergaung perlahan di lantai konkrit, bergema seperti irama permulaan sebuah peperangan kecil yang belum terjadi.
Di hadapannya, berdiri tegap seorang lelaki tua berusia sekitar lima puluh lima tahun. Namun pada wajahnya tidak ada garis masa, tidak ada tanda dimakan usia. Otot tangannya masih tegang, belakangnya masih tegap seperti pegawai tentera aktif. Itulah Ichiro Tatlock, datuk Syifa lelaki yang mengangkat dirinya sejak kecil, membesarkannya bukan dengan dongeng dan pelukan, tapi dengan senjata dan disiplin ketenteraan.
Di sisi Tuan Ichiro, berdiri Adrik, pembantu setia yang tidak banyak bicara. Tangannya sibuk menyusun kotak-kotak kecil berisi bekalan peluru, tali, lampu kecemasan, dan makanan ringan yang hanya cukup untuk bertahan beberapa hari di lapangan.
Syifa berhenti tepat di hadapan mereka, berdiri tegak tanpa mengalihkan pandangan. Tatapan matanya tajam, namun kosong. Dia tidak tahu apa yang bakal menantinya hari ini seperti hari-hari sebelumnya dan dia sudah berhenti bertanya.
Tanpa sepatah kata, Tuan Ichiro mengangkat tangan dan melemparkan sesuatu ke arahnya. Sepucuk pistol HK USP, lengkap dengan lampu taktikal SureFire X200A, meluncur di udara. Syifa menyambutnya dengan satu tangan, cekap. Pistol itu terasa asing dalam genggamannya bukan miliknya, bukan pilihannya.
Dia mengangkat kening sedikit, tidak menyuarakan protes, namun jelas menunjukkan pertanyaan dalam raut wajahnya.
Tuan Ichiro menjawab sebelum dia sempat bertanya, suaranya dalam dan tegas seperti bilah besi menghiris batu. "Jangan terbiasa menggunakan senjata yang sama. Kau bukan tentera biasa, kau pelindung garis hadapan keluarga ini. Gunakan pistol itu hari ini. Biasakan dengan ketidakselesaan."
Syifa hanya mengangguk. Soalan dalam fikirannya perlahan-lahan lenyap, diganti rasa tanggungjawab yang sudah tertanam lama.
"Latihan hari ini bertahan hidup. Hutan sektor enam, garis perbatasan timur. Kau keluar sekarang... dan aku hanya nak tengok muka kau semula dua hari dari sekarang. Kalau kau kembali terlalu awal, itu tanda gagal."
Tuan Ichiro melangkah ke tepi, memberi ruang. Syifa masih berdiri tegak.
Adrik menambah dengan suara yang perlahan tapi menikam. "Kalau kau tak dengar bunyi nafas sendiri, jangan berhenti. Kalau ada bunyi lebih satu kaki melangkah, jangan pandang belakang tembak dulu, tanya kemudian."
Syifa memasukkan pistol ke dalam holster di pinggulnya. Jari jemarinya menggenggam kuat, tak sedikit pun bergetar.
"Faham." katanya ringkas, dan berbalik meninggalkan mereka langkahnya terus masuk ke dalam bayang-bayang lorong menuju keluar ke dunia liar.
Taun Ichiro berdiri diam saat Syifa menghilang di sebalik pintu besi yang menghala ke hutan sektor enam. Hanya bunyi gema langkah cucunya itu yang tinggal, tenggelam perlahan seperti denyut jantung yang masuk ke medan.
Dia memalingkan wajah ke arah Adrik, matanya masih mengawasi pintu yang sudah pun tertutup.
"Siapkan orang untuk dia," ujarnya perlahan namun jelas. "Buatkan jalan itu berduri. Jangan jadikan latihan kali ini semudah yang lepas-lepas."
Adrik menoleh, sedikit terkejut. "Orang, Tuan? Maksud Tuan.."
Tuan Ichiro memotong dengan suara rendah yang penuh keyakinan, bahunya tegap seperti batu. "Dia bukan lagi budak yang perlukan perlindungan. Kalau dia jatuh hari ini, biar dia jatuh dalam api yang membakar lemah dalam dirinya. Tapi kalau dia bangkit... dia akan bangkit sebagai senjata yang kita perlukan."
Dia berpaling sepenuhnya ke arah Adrik, kali ini matanya tajam seperti bilah pisau yang sudah lama tidak digunakan.
"Saya percaya dia sudah sedia. Dan kalau saya silap… dunia luar akan ajar dia lebih kejam dari kita."
Adrik mengangguk perlahan. Tiada bantahan, tiada soalan. Mereka berdua tahu inilah titik pemisah antara latihan… dan kenyataan.
Kepalanya masih berdenyut ketika Syifa membuka mata, samar-samar pada awalnya hanya cahaya putih pucat yang menusuk dari celah lampu neon di siling konkrit. Dia tidak tahu berapa lama dia tidak sedarkan diri. Helaan nafasnya berat, tapi tidak terputus. Dia masih hidup.
Bilik itu bukan bilik. Ia sel. Dingin. Keras. Kelam. Setiap dinding dibina dari konkrit kelabu yang tidak mesra, dan setiap ruang dipisahkan dengan jeriji besi tinggi yang tidak pernah memberi rasa selamat hanya tanda bahawa kebebasan tidak lebih sekadar ilusi di tempat ini.
Dia menunduk. Seragam biru tua menggantikan jaket kulitnya. Tiada pistol, tiada sarung pinggang. Tiada sebarang kelengkapan di tubuh. Tangannya kosong, seperti dirinya.
Beberapa saat kemudian, kesedaran kembali sepenuhnya.
Dia perlahan-lahan bangkit dari katil besi yang sudah mula berkarat di hujung, tilam nipis di atasnya koyak dan berbau lembap. Langkahnya dibawa ke arah jeriji besi yang memisahkannya dari dunia luar. Tangannya menggenggam palang besi itu dengan erat, dinginnya logam seperti menggigit kulit, tapi dia tidak peduli.
Sel-sel di sebelahnya dihuni oleh tubuh-tubuh lain. Manusia. Namun mereka tidak hidup seperti manusia. Ada yang duduk termenung, mata kosong menatap lantai. Ada yang meringkuk di penjuru, tubuh mereka kurus, menggigil. Seolah-olah roh mereka sudah lama meninggalkan tubuh, hanya jasad yang masih dipenjarakan.
Tiada suara. Tiada jeritan. Tiada tangisan. Hanya kesunyian yang memekakkan.
Syifa menyedari satu perkara di tempat ini, tiada siapa akan datang menyelamatkanmu. Jika kau sakit, kau mati. Jika kau lemah, kau hilang. Dan sesiapa yang masih berdiri… berdiri kerana mereka memilih untuk tidak tumbang.
Perlahan, fikirannya kembali menelusuri pagi tadi latihan, pistol, datuknya. Adakah ini sebahagian daripada ujian yang Fairuz maksudkan? Atau ini adalah pengkhianatan yang dibalut dengan niat membentuk?
Matanya kembali menatap jeriji itu. Di seberang, seorang tahanan lelaki dengan rambut kusut dan mata merah hanya memerhatikannya. Namun tiada kata. Tiada ancaman. Hanya pandangan yang seolah-olah berkata "Kau juga akan jadi seperti kami... cepat atau lambat."
Syifa menghela nafas perlahan.
"Kalau ini latihan… maka aku akan jadi orang terakhir yang keluar hidup-hidup dari tempat keparat ini." bisiknya pada diri sendiri.
Dan genggaman tangannya pada besi itu menguat bukan kerana marah, tetapi kerana dia tahu... satu-satunya senjata yang tinggal, adalah dirinya sendiri.
Share this novel