BAB 14

Crime Series 5101

Keadaan dalam bilik persalinan masih tegang. Syifa berdiri di tengah ruang itu, mata tajamnya tidak berganjak dari Muaz yang masih menyembunyikan telefon di belakang badannya. Dadanya naik turun menahan amarah yang semakin membuak. Riak wajah Syifa yang dipenuhi rasa jengkel, Muaz hanya bersandar santai pada loker besi di sebelahnya, seakan sedang menikmati saat ini.

Senyuman sinisnya melebar.

"Apa yang kau nak?" Suara Syifa mendatar, namun cukup untuk menyampaikan emosinya yang terbakar saat ini.

Muaz tersengih sebelum perlahan-lahan mencondongkan badannya sedikit ke hadapan, seakan ingin lebih dekat dengan gadis di hadapannya.

"Kau masih tak tahu nak berterima kasih, kan?"

Mata Syifa membulat sedikit.

Seketika, ingatan kejadian beberapa hari lepas muncul dalam fikirannya-ketika dia hampir menjadi mangsa beberapa lelaki yang berniat jahat. Dia tidak tahu bagaimana, tetapi Muaz tiba-tiba muncul dan menyelamatkannya. Namun, selepas dia sedar di rumah lelaki itu dan mendapat rawatan, dia tidak menunggu lama sebelum melarikan diri tanpa sepatah pun kata.

Jadi... ini tentang itu?

Syifa mendengus kecil. Dia tahu Muaz bukan orang yang berbuat baik tanpa sebab. Lelaki itu mempunyai agendanya sendiri, dia pasti.

Dia melipat tangan ke dada, memandang Muaz tanpa ekspresi.

"Aku akan lupakan kejadian hari itu, dan kau dengan hal kau saja."

Balasnya bersahaja, nada suaranya menolak sebarang ikatan yang mungkin ingin lelaki itu cipta. Dia bukan jenis yang mudah terhutang budi, dan dia lebih suka menganggap kejadian itu selesai begitu saja.

Namun, reaksi Muaz jauh dari yang dia jangkakan.

"Oh, semudah ABC." Muaz mengulang kata-kata itu sambil ketawa kecil. Dengan begitu mudah, dia menghulurkan telefon itu kepada Syifa, langsung tidak menunjukkan sebarang tanda kecewa atau tidak puas hati.

Syifa sedikit hairan. Dia menyangka Muaz akan terus bermain permainan psikologinya. Tapi lelaki itu... terlalu mudah menyerah?

Dia mengangkat sebelah keningnya, masih belum mahu mengambil telefon itu.

Muaz menyeringai kecil sebelum bersuara lagi.

"Mari jadi kawan rapat selepas ini."

Syifa membulatkan matanya sedikit sebelum mendengus kecil.

Dengan kasar, dia mencapai telefon itu dari tangan Muaz.

"Aku bukan orang peramah. Banyak orang akan rasa tertindas kalau rapat dengan aku." Nada suaranya datar, memberi amaran awal bahawa dia tidak berminat dengan pelawaan itu.

Tapi Muaz hanya menyeringai.

"Itu menarik. Saya juga bukan seorang yang baik pada luarannya."

Nada suaranya penuh dengan makna tersirat.

Syifa berkerut. Dia tidak suka bagaimana Muaz bercakap dengan terlalu banyak makna tersembunyi. Seperti ada sesuatu yang lelaki itu tahu, tapi tidak mahu dikongsikan.

Dia menghela nafas kecil, menyedari terlalu banyak mata yang memerhatikan mereka sekarang. Beberapa pelajar lelaki lain yang berada dalam bilik itu sejak tadi jelas kelihatan tidak senang dengan kehadirannya. Ada yang berdehem, ada yang berbisik sesama sendiri.

Syifa mengangkat bahu sebelum bersuara.

"Rasanya ini bukan tempat berbual mesra." Dia melemparkan senyuman sinis kepada Muaz. " Well, well, seems like I've trespassed into your little private area. Sorry. "

Muaz hanya tergelak kecil, matanya masih memerhatikan Syifa dengan minat yang semakin bertambah.

Gadis itu... benar-benar menarik perhatiannya.

Tanpa menunggu lebih lama, Syifa melangkah keluar dari bilik persalinan, meninggalkan suasana yang masih dipenuhi bisikan dan tatapan ingin tahu.

Muaz hanya bersandar pada loker, matanya tidak lepas dari kelibat gadis itu yang semakin menjauh.

Bibirnya melengkung kecil.

"Let's see how long you can ignore me, Syifa."

Ruang bilik persalinan yang tadi sepi kini kembali riuh dengan suara-suara yang membincangkan tindakan kurang sopan Syifa. Beberapa pelajar lelaki mula berbicara sesama sendiri, tidak puas hati dengan cara gadis itu menceroboh masuk tanpa segan silu.

"Perempuan gila tu memang suka buat hal lah. Dia bukan saja jual diri, dia memang tak ada rasa malu menceroboh masuk dalam bilik ni." Suara seorang pelajar lelaki bergema, nada suaranya penuh cemuhan sambil dia memasang butang seragam sekolahnya.

Ucapan itu disambut dengan anggukan beberapa pelajar lain yang bersetuju.

"Cakap belakang berani lah," ejek seorang lagi kawannya, menyindir lelaki itu yang hanya lantang bersuara ketika Syifa sudah tiada.

Pelajar tadi mendengus geram sebelum bersuara dengan lebih lantang.

"Perempuan tu bukan kelas dengan kita, kalau tak hari-hari aku malukan dia."

Kenyataannya membuatkan beberapa pelajar lain ketawa kecil, mengiyakan kata-katanya.

Namun, dalam kesibukan mereka membicarakan Syifa, seorang lagi figura di dalam bilik itu tetap tenang. Muaz yang sejak tadi mendekati tubuh lelaki yang pengsan di lantai, langsung tidak menghiraukan perbualan itu. Dia hanya berjongkok, tangannya mula meraba kocek seluar lelaki itu sebelum mengeluarkan sesuatu-dompet.

Dia membelek dompet itu perlahan, menarik keluar kad pengenalan yang terselit di dalamnya.

"Ericson Miro."

Nama itu terlepas dari bibir Muaz dalam gumaman kecil.

Seakan ada sesuatu yang sedang bermain-main dalam benaknya saat ini. Pandangannya masih lekat pada kad pengenalan itu, senyuman sinis mula terukir di wajahnya. Namun, di sekelilingnya, suara para pelajar makin lantang menghina Syifa, seakan menikmati perbualan itu.

Muaz menarik nafas perlahan.

Bingit.

Tanpa sepatah kata, dia menyimpan kembali dompet itu ke dalam kocek seluarnya sebelum berdiri. Langkahnya perlahan tapi penuh makna ketika dia menghampiri kumpulan pelajar yang masih rancak berbual.

Saat dia bersuara, nada suaranya mendatar, tetapi cukup untuk membuat semua orang di situ membisu.

"Siapa yang lapor perempuan tadi tu, ini hari terakhir anda menikmati makan malam."

Suasana terus berubah sunyi. Semua mata tertumpu pada Muaz, wajah mereka menunjukkan kekeliruan bercampur gentar.

Muaz membiarkan mereka menelan kata-katanya sebelum meneruskan, kali ini dengan senyuman yang langsung tidak memberi rasa tenang.

"Lucky you! I've decided to be nice and end it tomorrow instead."

Nada suaranya masih ringan, seakan hanya bergurau, tetapi tidak ada seorang pun yang berani menganggapnya sebagai jenaka. Semua tahu siapa Muaz. Semua tahu, ancaman dari mulutnya bukan sekadar kata-kata kosong.

Mata Muaz kemudian melirik ke arah Ericson yang masih terbaring tidak sedarkan diri di lantai. Tanpa rasa belas, dia melangkah tubuh lelaki itu seolah-olah dia hanyalah objek tidak berguna.

Tanpa menoleh lagi, Muaz melangkah keluar dari bilik persalinan, meninggalkan suasana yang penuh dengan ketakutan dan bisikan cemas.

Di belakangnya, beberapa pelajar hanya mampu menelan liur, masing-masing tahu satu perkara-hari esok, sesuatu pasti akan berlaku.

Waktu rehat. Angin bertiup lembut, membawa bersama udara nyaman yang menari di sekeliling bangunan sekolah. Di atas bumbung bangunan sekolah, Syifa berdiri tegak di belakang pagar keselamatan, tudungnya berkibar perlahan mengikut ritma angin. Namun, ketenangan di sekeliling langsung tidak tercermin di wajahnya.

Matanya tertancap pada skrin telefon di tangannya, teliti meneliti setiap gambar dan video yang tersimpan dalam peranti itu. Setiap satunya bukti jelas-pergerakannya telah diawasi lebih lama daripada yang dia sangkakan.

Bukan satu, bukan dua. Terlalu banyak.

Seakan lelaki itu memang ditugaskan untuk mengawasinya. Setiap sudut, setiap detik, semuanya direkod dengan rapi. Nafasnya terasa semakin berat apabila dia membaca satu demi satu pesanan dalam telefon tersebut.

Bukan hanya perbuatan individu.

Ini adalah arahan.

Lelaki itu mendapat bayaran-jumlah yang tidak kecil-untuk kerja kotor ini. Namun, tidak ada nama pengirim dalam pesanan-pesanan itu. Hanya nombor tanpa identiti. Itu menyukarkan Syifa untuk mengenal pasti siapa dalang di sebalik semua ini.

Jari-jemarinya terus menatal skrin, mencari sesuatu yang boleh memberi sedikit petunjuk. Dan di saat dia hampir berputus asa, matanya terpaku pada satu fail.

Sesuatu yang berbeza.

Senyuman sinis mula terukir di hujung bibirnya.

"Aku ingat nak tebalkan muka minta tolong..." gumamnya perlahan, suaranya bercampur dengan desiran angin. "Tapi ada kalanya sesuatu seperti ini membuka jalan mudah buat aku."

Tanpa ragu, dia menekan butang 'off' . Skrin telefon pun menjadi gelap.

Syifa melepaskan nafas kecil sebelum mengangkat kepalanya, memerhatikan persekitaran sekolah dari tempatnya berdiri. Dari ketinggian itu, dia dapat melihat para pelajar yang sibuk dengan dunia masing-masing, ada yang berkumpul di kantin, ada yang berkejaran dan berjalan di padang, dan ada yang bersorak di gelanggang bola keranjang.

Tatapannya hampir terbiar kosong sehingga matanya bertembung dengan sepasang mata lain.

Dari gelanggang bola keranjang, seorang lelaki berdiri memandangnya.

Mirul.

Matanya dingin, pandangannya tajam, seolah-olah dia sudah lama memerhatikan Syifa.

Peluh membasahi pelipisnya setelah permainan yang melelahkan, tetapi tubuhnya tetap tegak, tidak berganjak. Di belakangnya, jeritan dan sorakan pelajar perempuan bergema, bersorak kepada para pemain yang masih meneruskan permainan. Namun Mirul tidak sedikit pun terganggu dengan kekecohan itu.

Syifa hanya membalas dengan riak mendatar.

Dia tidak tahu apa yang lelaki itu fikirkan.

Dan dia juga tidak mahu tahu.

Dengan jelingan yang akhirnya terbuang, dia berpaling tanpa sebarang kata dan melangkah pergi dari tempat itu, membawa bersamanya sebuah rahsia baru yang mungkin mengubah segalanya.

Langkah Syifa tenang tetapi penuh dengan tujuan, tangannya menggenggam erat sample bag yang tersimpan kemas dalam poket blazernya. Matanya tajam, fikirannya penuh dengan perancangan.

Destinasi yang dituju-bilik rawatan.

Dia berhenti di hadapan pintu kayu berwarna putih itu. Nafasnya ditarik perlahan, bersedia untuk mengetuk, namun sebelum sempat jarinya mendarat di permukaan pintu-

Klik.

Pintu itu terbuka dari dalam.

Syifa sedikit tersentak, tidak menjangka, tetapi riak wajahnya cepat dikawal kembali. Namun, apa yang lebih mencetuskan getaran dalam dadanya adalah wajah individu yang berdiri di hadapannya.

Pengetua.

Lelaki itu memandangnya sekilas, ekspresinya sukar dibaca, namun tatapannya menyiratkan sesuatu yang lebih dalam. Pengetua cuba mengawal riak wajahnya ketika itu, dia menelan liur perlahan, cuba menyembunyikan rasa cuaknya.

Perawat yang berada di dalam bilik turut tergamam, matanya beralih dari Syifa ke pengetua, seakan menyembunyikan sesuatu.

"Silakan masuk, Syifa."

Suara perawat itu lembut, tetapi Syifa dapat menangkap sedikit kegelisahan dalam nada bicaranya.

Pengetua berlalu pergi, meninggalkan ketegangan yang masih terawang-awang di udara. Syifa mengekori pergerakan lelaki itu dengan ekor matanya sebelum akhirnya melangkah masuk, membiarkan pintu tertutup rapat di belakangnya.

Miss Sarah, perawat sekolah itu, kini duduk di kerusinya dengan senyuman tipis.

"Kenapa, Syifa? Kamu tak sihat hari ini?" Soal Miss Sarah apabila bilik itu kembali sunyi.

Syifa tidak terus menjawab. Sebaliknya, matanya melirik ke arah satu rak kecil di sisi meja perawat itu. Kad kerja yang tersusun di situ menarik perhatiannya.

Dengan perlahan, dia mengambil salah satu kad kerja itu dan mengangkatnya di hadapan wajahnya, membiarkan Miss Sarah melihat dengan jelas apa yang sedang ditelitinya.

Perawat itu mengangkat kening, keliru dengan tindakan Syifa.

"Oh, saya kenal logo hospital swasta ni," ujar Syifa dengan nada yang tersirat.

Perubahan kecil pada riak wajah Miss Sarah tidak terlepas dari pengamatannya.

"Mesti Miss Sarah dari keluarga terhormat, kan?" Syifa meneruskan bicaranya, kali ini dengan nada yang lebih tajam. "Bagaimana kalau skandal yang awak buat boleh menghancurkan reputasi awak atau keluarga besar awak?"

Miss Sarah tersentak. Seketika, wajahnya berubah tegang.

"Kamu cakap apa ni?" Nada kesalnya jelas, dahinya berkerut rapat.

Syifa tersenyum tipis, seakan geli hati dengan cubaan wanita itu untuk berdalih.

Dia tidak punya kesabaran untuk permainan ini.

"Lagi cepat Miss Sarah buat kerja, lagi cepat saya berikan telefon ini." Syifa mengangkat telefon yang baru tadi dirampas dari lelaki yang mengawasinya. "Sebab saya tak tahu... bila-bila masa telefon ni boleh digodam oleh pemilik asalnya."

Miss Sarah semakin keliru. "Apa kaitan telefon dengan saya?"

Syifa mengangkat kening, seakan tidak percaya perawat itu masih cuba menafikan sesuatu yang jelas.

"Ini bukti kau skandal dengan pengetua sekolah ini. Banyak."

Kali ini, nada Syifa lebih dingin, lebih serius. Matanya tepat menikam pandangan Miss Sarah yang kini sudah mematung di tempatnya.

"Pada mulanya, ini bukan urusan aku," sambung Syifa. "Aku hanya mahu kau buat kajian Farmakokinetik, Toksikologi, dan Kimia Klinikal."

Miss Sarah mengetap bibir rapat, tangannya mengepal di atas meja.

Syifa tahu wanita itu tidak punya pilihan.

Keluhan berat akhirnya terlepas dari bibir Miss Sarah. "Saya perlukan sampel darah awak juga."

Syifa tersenyum sinis, menyedari perawat itu akhirnya akur.

"Oh, jangan risau. Saya sudah siapkan semuanya." Syifa mengeluarkan sample bag dari poket blazernya dan meletakkannya di atas meja. "Saya hanya perlu tunggu keputusannya saja, kan?"

Miss Sarah tidak menjawab.

"Tapi ingat." Nada suara Syifa menurun sedikit, tetapi lebih menusuk. "Apa pun bacaan yang keluar nanti, cukup hanya awak yang tahu. Sama seperti rahsia awak... cukup hanya saya yang menyimpannya."

Miss Sarah diam sebelum akhirnya mengangguk perlahan.

Syifa tersenyum puas sebelum beralih, melangkah keluar dengan tenang.

Ketika pintu tertutup rapat di belakangnya, Miss Sarah menghembuskan nafas berat. Matanya tertumpu pada sample bag yang kini berada di atas mejanya.

Wajahnya berkerut dalam.

"Ini sekolah atau pusat pesakit mental...?" gumamnya sendiri, nada suara penuh kelelahan. "Terlalu ramai pelajar gila di sini."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience