BAB 13

Crime Series 5101

Bilik itu kembali sunyi, tetapi soalan-soalan yang berlegar dalam fikirannya masih bergema di ruang itu.

Apa yang Mikael sembunyikan darinya?

Dan kenapa dia merasa seperti jawapan itu adalah sesuatu yang dia sendiri takut untuk tahu?

Mimpi itu… atau mungkin ia lebih dari sekadar mimpi—ia seperti memori lama yang lama dikunci, tetapi kini terbuka sedikit demi sedikit, menyelinap ke dalam mindanya seperti kabus yang menyesakkan. Dia cuba mengingati, tetapi setiap helaian ingatan yang tersentuh hanya membawa luka yang semakin bernanah.

Dadanya berombak, bukan kerana kepenatan, tetapi kerana hampa yang semakin menjerut hati. Betapa dia telah menelan semuanya seorang diri—rasa sakit, kecewa, dan harapan yang pernah dia genggam, hanya untuk melihatnya hancur menjadi debu. Dan kini, dia sendiri tidak pasti, adakah lebih menyakitkan untuk terus mengingati… atau lebih baik membiarkan semuanya tenggelam kembali dalam gelap?

Dia masih duduk di birai katil, kepalanya tunduk, seakan berat untuk diangkat. Angin malam menyelinap masuk melalui tingkap yang terbuka, membelai lembut kulitnya yang dingin. Dia memejamkan mata, cuba meresapi ketenangan yang dibawa oleh angin itu, tetapi sebaliknya, hening itu hanya memperjelaskan betapa kacau hatinya. Rasa itu tidak pergi, tidak pernah benar-benar hilang.

Perlahan-lahan, dadanya semakin sesak. Sakit itu mencengkam, menghimpit hingga dia tidak lagi mampu menahannya. Tanpa sedar, air mata mengalir, jatuh setitis demi setitis sebelum akhirnya menjadi deras. Dia biarkan. Tiada guna lagi menyimpan semuanya sendiri. Esakan kecil mula bergema dalam kesunyian bilik, semakin lama semakin kuat.

Dunia tidak peduli pada luka yang tersembunyi, seperti mana manusia cuba berpura-pura tidak merasa. Tapi mereka lupa… air mata jatuh bukan sekadar kelemahan, ia bukti bahawa hati masih bernyawa.

Setiap titis air mata yang jatuh membawa bersamanya serpihan luka yang selama ini dia pendam. Namun, seiring dengan setiap hembusan nafas yang dilepaskan, dia sedar—tiada kelegaan di penghujungnya. Hanya kekosongan yang semakin dalam, meresap jauh ke dalam jiwanya yang kian tenggelam dalam keperitan yang tiada penghujung.

Syifa tersentak dari lena. Nafasnya masih tidak teratur, tubuhnya terasa lelah meskipun dia baru sahaja tidur. Dengan mata yang masih samar-samar, dia mencapai jam tangan di atas meja lampu. Jarum jam menunjukkan pukul 3:00 pagi.

Dia mengeluh perlahan.

Malam yang panjang, namun fikirannya masih terperangkap dalam pusaran resah yang tiada penghujung. Dia duduk di atas katil, tubuhnya membongkok sedikit, kedua-dua tangannya menekan pelipis. Seperti biasa, tiada satu malam pun berlalu tanpa fikirannya dihantui.

"Ya, Rob... Lelah berjalan di duniamu dengan bekas-bekas luka belum sembuh, namun makin bertambah ini."

Ucapnya perlahan, hampir berbisik, seakan hanya mahu Tuhan sahaja yang mendengar keluhannya.

Dia bangkit perlahan, mengambil tuala yang tersangkut di belakang pintu, lalu menuju ke bilik mandi. Air dingin yang menyentuh kulitnya tidak mampu melenyapkan rasa sakit yang bersarang di dalam hatinya, tetapi setidaknya, ia menenangkan sebahagian jiwanya.

Setelah selesai membersihkan diri, Syifa membentangkan sejadah di tengah bilik. Dengan lafaz Allahu Akbar, dia mengangkat takbir, menyerahkan segala resah kepada Yang Maha Esa.

Solat taubat.
Solat tahajjud.
Solat hajat.

Dia sujud lebih lama dari biasa, seakan ingin menyatu dengan ketenangan yang hadir setiap kali dia berbicara dengan Sang Pencipta. Bibirnya masih bergerak perlahan, mengalunkan zikir yang mengisi ruang sunyi bilik itu.

Saat itu, dia merasakan sesuatu yang sukar digambarkan. Ketenangan memeluknya erat, membuatkan hatinya yang kacau seperti menemukan sedikit ruang untuk bernafas. Namun, di saat yang sama, pipinya terasa panas. Air mata yang sudah lama tertahan akhirnya mengalir deras, jatuh membasahi sejadah di bawahnya.

Syifa menutup matanya rapat. Membiarkan semuanya mengalir tanpa cuba menahan.

Setelah zikir dan selawatnya berakhir, dia masih diam. Hatinya berat, entah bagaimana ingin memulakan doa. Kerana dia tahu, dia ingin terlalu banyak. Dia mahu semuanya berubah dalam sekelip mata, tetapi dia sedar dirinya hanyalah hamba—hamba yang sedang diuji.

Dengan mata yang kembali berkaca-kaca, dia akhirnya bersuara:

"Ya Allah... Apakah aku begitu kuat seperti itu? Aku masih melihat diri seperti budak yang baru mengenal dunia, namun Kau mengatur takdirku seperti aku mempunyai kekuatan yang aku sendiri tidak sedar itu..."

Suara Syifa tersekat-sekat, esakannya semakin jelas.

"Sakit... Ya Rob, ini terlalu sakit. Tolong hamba, ya Rob. Hamba memohon kepada-Mu belas kasihan. Maaflah jika diri ini terlalu sukar menerima dengan hati terbuka. Jika semua ini sudah tertulis buatku, khas untukku... Hamba mohon, setiap langkahku, sentiasa ada pertolongan-Mu. Hamba penat... Ya, hamba percaya... semua akan terbentang indah jika ia sudah selesai."

Esakannya semakin kuat. Tetapi dalam setiap tangisan itu, dia berusaha mencari keyakinan.

Dia menarik nafas panjang, lalu menghembuskannya perlahan.

"Astaghfirullah... Astaghfirullah... Astaghfirullah..."

Dengan lafaz istighfar, Syifa menenangkan dirinya, menunggu azan Subuh berkumandang, berharap bahawa selepas ini, sekeping hatinya akan menjadi lebih kuat.

Pagi itu, Syifa sudah bersiap dengan seragam sekolahnya. Dia berdiri di hadapan cermin, membetulkan kolar bajunya dengan wajah kosong. Nafasnya dihela berat sebelum dia menoleh ke arah pintu bilik.

Langkahnya perlahan saat tangannya meraih tombol pintu. Ruang bilik ini—ruang di mana dia boleh menyembunyikan semuanya, tempat dia boleh berpura-pura bahawa dunia luar tidak wujud. Tetapi, sebaik sahaja dia melangkah keluar, dia perlu mengenakan topeng yang paling kuat, berpura-pura semuanya baik-baik saja.

Dengan satu tarikan nafas, dia membuka pintu.

Langkahnya turun satu persatu menuruni tangga. Banglo dua tingkat itu sunyi seperti biasa, namun nalurinya merasakan ada sesuatu di ruang makan utama.

Benar.

Dari ekor mata, dia menangkap kelibat Mikael yang sedang duduk di meja makan. Lelaki itu menoleh ke arahnya sebaik sahaja kakinya mencecah lantai bawah. Syifa membalas tatapan Mikael dengan pandangan mendatar, sementara abangnya melemparkan senyuman tipis. Namun, dia langsung tidak tertarik dengan senyuman itu. Sebaliknya, dia hanya menjeling tajam sebelum mengabaikan abangnya dan terus melangkah menuju ke pintu utama.

Tiba-tiba, suara Mikael bergema memenuhi ruang sepi.

"Syifa."

Syifa tidak berhenti. Dia mencapai kasut sekolah dari rak, bersedia untuk keluar.

"Jom sarapan," Mikael bersuara lagi, kali ini lebih lembut. "Along buatkan makanan favorite kamu."

Syifa yang sedang menyarungkan kasutnya mendongak sedikit, memandang abangnya dengan senyum sinis di hujung bibir. Senyuman Mikael mula pudar melihat reaksi itu.

"Sejak bila aku ada makanan favorite? Kenapa kau sorang saja yang ingat? Atau... kau tahu semuanya?" Nada Syifa dingin.

Mikael terdiam, wajahnya kembali serius. Matanya merenung Syifa dengan pandangan yang sukar ditebak.

"Along balik sebab betul-betul risaukan kau. Tak ada niat lain," ujar Mikael, suaranya sedikit tegas, menunjukkan bahawa dia bersungguh-sungguh dengan kata-katanya.

Syifa ketawa kecil, bukan kerana lucu, tetapi lebih kepada mengejek.

"Risau?" Dia mengulang perkataan itu dengan nada sarkastik. "Kenapa sekarang? Dulu hidup saya nampak normal kah?"

Mikael menggenggam jemarinya erat, cuba menahan diri. Dia tahu, perbincangan ini tidak akan membawa mereka ke mana-mana. Belum waktunya.

"Syifa..." suaranya merendah, seperti cuba menenangkan sesuatu yang tidak mampu ditenangkan.

Syifa memandang Mikael seketika sebelum mendengus perlahan. Dia tahu abangnya enggan meneruskan perbualan ini.

Baiklah. Kalau begitu, dia juga tidak mahu membuang masanya lagi.

Dengan langkah berat yang merendam rasa jengkel, Syifa keluar dari rumah. Mikael hanya mampu memandang kelibat adiknya dari sebalik pintu kaca gelongsor ruang tamu. Dia memerhatikan langkah Syifa yang makin menjauh, melangkah keluar dari pagar rumah, membawa segala beban yang tidak pernah dia lepaskan.

Hanya selepas kelibat itu hilang dari pandangan, Mikael bersandar pada dinding dengan tatapan kosong.

"Pada akhirnya, aku perlu bebaskan burung yang dulu dirawat keluar dari sangkarnya," monolognya sendiri dalam hati.

Namun, dia tahu.

Burung itu... mungkin sudah terlalu lama belajar terbang sendiri.

Sekolah Sri Bestari. Suasana sesi pembelajaran telah bermula di setiap bangunan kelas, suara guru mengajar bergema di ruangan tertutup. Namun, dari arah dewan renang, kedengaran riuh-rendah suara pelajar yang menjalani sesi pembelajaran luar. Beberapa pelajar perempuan sudah mula berjalan menuju ke bilik persalinan untuk menukar pakaian renang mereka.

Di antara pelajar yang masih berada di koridor, Syifa baru sahaja turun dari bilik darjah. Riaknya malas, wajahnya tidak berperasaan, malah kelopak matanya masih terasa berat akibat tidur di dalam kelas. Dia baru sahaja dikejutkan oleh guru yang mengajarnya, selepas cubaan untuk ponteng kelas sekali lagi dikesan.

Nafasnya dihela berat. Dengan langkah malas, dia akhirnya berjalan ke arah bilik persalinan. Dari kejauhan, beberapa pelajar perempuan sudah keluar satu persatu, berbual-bual kecil sambil ketawa, sebelum menuju ke kolam renang.

Syifa masuk ke dalam bilik persalinan. Dia berjalan menuju ke lokernya, membukanya dan mula menukar pakaian. Skirt sekolah yang tadinya tersarung pada tubuhnya kini sudah diganti dengan seluar sukan.

Seketika, matanya menangkap pantulan dirinya dalam cermin kecil di dalam loker. Dia menatap wajahnya sendiri, kosong, sebelum tangannya perlahan-lahan membuka pin tudungnya.

Tetapi tiba-tiba—

"Bip."

Bunyi elektronik yang aneh itu membuatkan Syifa kaku.

Denyutan di dadanya semakin kuat. Matanya bergerak pantas ke arah sumber bunyi. Di sebalik loker-loker yang tersusun rapi, sesuatu terasa janggal.

Kerongkongnya terasa kering.

Tangannya yang baru ingin menanggalkan tudung terhenti. Dia segera memasang kembali pin tudungnya, bersiap sedia untuk keluar dari situ. Namun, belum sempat dia bergerak lebih jauh—

Bunyi tapak kaki berlari!

Syifa tersentak.

Seseorang sedang berlari meninggalkan bilik itu.

Tanpa berfikir panjang, dia mengatur langkah pantas. Pintu bilik persalinan yang tadinya tertutup kini terbuka sedikit. Hatinya sudah dapat mengagak apa yang sedang berlaku.

Berlari sekuat hati, Syifa mengejar kelibat si pelaku yang sedang melarikan diri di koridor bangunan baru sekolah. Nafasnya mula naik turun, tetapi amarahnya lebih kuat dari kelelahan.

Orang itu…

Syifa kenal dia.

Orang yang menyebabkan dirinya dipermalukan di media sosial sebelum ini.

Orang yang mencipta ulasan buruk tentangnya, menyebarkan fitnah tanpa belas kasihan.

Dan kini, dia mendapat peluang untuk menangkapnya.

Lelaki itu terus berlari, membelok ke satu arah yang hanya mempunyai satu destinasi.

Bilik persalinan lelaki.

Syifa mengepalkan jari, tidak lagi mahu menunggu.

Dengan langkah yang dipenuhi bara amarah, dia terus menuju ke pintu bilik persalinan itu.

Tanpa sebarang amaran—

"BAM!"

Pintu itu diterajang sekuat hati sehingga terbuka luas, terhentak ke dinding.

Beberapa pelajar lelaki yang sedang menukar pakaian serentak menoleh ke arah Syifa dengan wajah terkejut.

Di hadapan pintu, seorang lelaki sudah terbaring tidak sedarkan diri, tubuhnya dihimpit oleh pintu yang telah tercabut dari engselnya akibat tendangan Syifa tadi.

Satu nafas berat dihela.

Turun naik dadanya akibat berlari sebentar tadi, tetapi matanya hanya tertumpu pada lelaki yang tidak sedarkan diri itu.

Dari sisi, seorang pelajar lelaki yang sudah siap menukar pakaiannya mula tersenyum sinis.

"Hoi.."

Syifa memalingkan wajahnya ke arah suara itu.

Muaz.

Dengan santai, Muaz menunduk sedikit, menyepak perlahan telefon yang terjatuh berdekatan dengan kasutnya sebelum mengambilnya. Jemarinya bermain di atas skrin sesaat, sebelum dia mengangkat wajahnya kembali ke arah Syifa.

Senyuman sinisnya semakin melebar.

"Syifa, are you looking for this? "

Nada suaranya bersahaja, tetapi matanya penuh dengan maksud tersembunyi.

Syifa mengetap rahang, matanya bersinar dengan api kemarahan yang semakin membara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience