Arena itu sunyi sepi, sepi yang menekan dada. Cahaya malap dari lampu gantung yang bergoyang perlahan mencipta bayang-bayang panjang di atas lantai simen yang lembap. Kabus tipis yang menjalar dari celahan rekahan lantai melingkari ruang seperti asap yang memeluk kematian. Namun semua mata tertumpu pada satu titik pada seorang budak perempuan kecil yang berdiri teguh di tengah gelanggang bawah tanah itu.
Syifa. Baru berusia dua belas tahun, tubuhnya kecil dan seakan tidak berdaya, namun sorot matanya lebih tajam dari hujung senjata yang dibawa empat lelaki dewasa yang kini mengelilinginya. Dalam ruang yang dihuni bau darah lama dan karat besi, dia tampak seperti bayang keberanian yang dibentuk dari luka dan ketakutan.
Di atas platform tinggi yang menghadap gelanggang, seorang lelaki duduk tenang bersama rakannya yang lain dengan riak wajah angkuh. Edward, dengan senyum tipis yang tidak pernah menjanjikan rahmat, menyilangkan kaki dan berkata dengan suara dingin.
"Let them experience it themselves... she's no ordinary girl. " Sebelah tangannya terangkat sedikit, satu isyarat ringkas yang cukup untuk melepaskan pemangsa.
Keempat-empat lelaki itu mula bergerak serentak, langkah mereka berat dan penuh niat membunuh. Seperti serigala lapar, mereka mengelilingi Syifa dengan mata tidak berkelip. Setiap satu bersenjata balisong yang berkilat dan dibuka dengan satu tangan, kerambit melengkung tajam seperti cakar syaitan, sepasang tekpi yang bersinar keperakan, dan sebuah kapak tempur yang kelihatan terlalu besar untuk manusia biasa.
Namun Syifa hanya memakai sepasang brass knuckles, logam tumpul dan kusam yang membalut jari-jemari kecilnya. Ia bukan untuk membunuh. Tapi cukup untuk menjatuhkan.
Serangan pertama dimulakan. Lelaki bertubuh sasa dengan kapak tempurnya mengaum, meluru dari hadapan. Yang lain kekal mengelilingi, memberi ruang kepada rakan mereka mencuba nasib dahulu. Dia mengangkat kapaknya tinggi ke udara, lalu menghayun ke bawah dengan kekuatan menggila. Suara senjata yang membelah angin menggetarkan ruang, namun Syifa pantas melompat ke sisi, mendarat ringan seperti bayang. Dengan refleks tajam, dia menghentak satu tumbukan ke rusuk lelaki itu. Dentuman logam bertemu kayu bergema, percikan bunga api kecil melayang. Si kapak berjaya menangkis serangan itu, tetapi wajahnya berubah. Dia tersenyum sinis. Dia tahu budak itu bukan biasa.
Melihat temannya ditahan dengan mudah, lelaki kerambit menyerbu dari sisi kanan. Tubuhnya rendah, pergerakannya pantas dan memburu. Kerambitnya menyasar perut Syifa, tetapi gadis kecil itu membongkok ke belakang, melentur seperti daun yang ditiup angin. Kerambit itu hanya mencakar udara kosong. Dalam satu gerakan putar, Syifa mengubah posisi dan menghentak lutut lelaki itu dengan tumit. Dia terdorong ke belakang belum tumbang, tapi kehilangan kestabilan.
Belum sempat lelaki itu bangkit semula, lelaki balisong datang menyerang dari belakang. Langkahnya senyap, tenang seperti samurai, namun membawa maut. Pisau pendeknya cuba menikam belakang Syifa, tapi gadis itu sempat menangkap pergelangan tangannya. Kedua-duanya bertarung rapat. Setiap langkah yang bergeser menghasilkan bunyi tajam dari simen kasar yang berlaga dengan tapak kaki mereka. Syifa memutar tubuh, menggunakan momentum untuk menghentak lelaki itu ke dinding. Sebuah tumbukan padu ke dagu membuatkan lelaki itu terhuyung. Dia cuba melibas balisong, tetapi Syifa lebih pantas tumbukan ke rusuk kirinya cukup kuat untuk memutuskan nafas. Lelaki itu rebah, tak sedarkan diri.
Lelaki kerambit bangkit kembali, kini dengan kemarahan. Dia menyerang lagi, tetapi Syifa sudah bersedia. Dia menepis dengan siku dan memutar, menghentak kepala lelaki itu dari sisi menggunakan kedua-dua brass knuckles. Bunyi hentakan kedengaran pekat. Lelaki itu jatuh terduduk, senjatanya terlepas ke lantai.
Lelaki kapak kembali, kini menggila. Dia menghayun kapaknya secara membabi buta. Syifa melompat ke dinding, menjejaknya seperti kucing, lalu menendang permukaan batu dan terbang ke arah lelaki itu. Dalam pusingan tubuh di udara, dia menghentak tengkuk lelaki itu dengan pukulan berputar. Kapak jatuh. Lelaki itu tumbang, tak bergerak lagi.
Kini hanya tinggal satu. Lelaki tekpi. Dia berdiri tidak seperti yang lain. Gerak tubuhnya tenang, setiap langkahnya penuh disiplin. Syifa tahu, ini bukan lawan yang boleh dipandang ringan. Dia bukan hanya menyerang, dia membaca.
Serangannya tepat, menikam ke arah titik lemah Syifa. Dia menyerang kiri, kanan, atas, bawah teratur, berbahaya. Syifa bertahan, namun satu tikaman berhasil menggores lengannya. Darah mula menitis ke lantai gelanggang. Dari tempat duduk atas, kedengaran suara sorakan wanita pujian sinis atas kejayaan orang bewahannya melukai gadis kecil itu.
Syifa menggigit bibir, menahan sakit. Namun matanya tidak gentar. Dia mengubah rentak. Daripada bertahan, dia mula menyerang. Tumbukan kiri dan kanan dihantar bertubi-tubi, seperti irama gendang perang. Lelaki tekpi cuba bertahan, tetapi kelajuan Syifa sukar dibaca. Satu tumbukan ke perutnya, kemudian ke dada, dan akhirnya satu hayunan ke bawah dagu mengangkat tubuh lelaki itu dari lantai sebelum dia tumbang berat ke simen. Wanita yang tadi bersorak seketika tergamang, dan dilirik oleh rakan lelakinya yang lain.
Empat lelaki dewasa kini terbaring di sekeliling Syifa pengsan, kalah tanpa sempat mencalarkan tubuhnya lebih dari sekali. Syifa berdiri, nafasnya kasar, lengannya berdarah, namun dia tetap tegak.
Di atas sana, Edward berdiri perlahan, menghampiri penghadang. Dia menatap Syifa dari atas, wajahnya tidak berubah namun sorotan matanya memancarkan rasa puas dan... minat yang mendalam.
Dia menyeringai, bibirnya melengkung nipis.
"I don’t know what you really are, kiddo… " suaranya menggetar udara bawah tanah itu, "…but you’re starting to get interesting. "
Syifa masih berdiri tegak di tengah gelanggang, nafasnya berat namun tetap teratur. Peluh membasahi tubuh kecilnya, membentuk jalur tipis di sepanjang pelipis dan leher. Darah mengalir perlahan dari lengan kirinya, menitik satu-satu ke atas simen yang telah lama menyerap bau besi dan penderitaan. Di hadapannya, lelaki terakhir yang dia tumbangkan masih terbaring, tidak sedarkan diri nafasnya pun tidak dapat dipastikan wujud.
Tiba-tiba, gelak tawa bergema, memecahkan keheningan yang berat dalam arena bawah tanah itu. Suara itu tajam dan kuat, seperti pedang yang mencantas kabus.
Edward, salah seorang daripada empat penonton utama perlawanan itu, menepuk-nepuk tangga batu tempat duduknya sambil ketawa besar. Dentingan suaranya bergaung di seluruh ruang bawah tanah, mencipta gema yang menjengkelkan.
"Kid! Just with brass knuckles? Hahaha! You think that’s impressive? All you did was knock them out? Pathetic... "
Nada bicaranya bukan untuk memberi pujian, tapi ejekan yang dibalut sinis. Dia tidak bersorak untuk Syifa, sebaliknya menghina kekalahan keempat lelaki dewasa yang menjadi orang bawahan mereka. Ketiga-tiganya kini hanya mampu duduk dengan wajah datar dan kecewa, diam membisu di bawah pandangan Edward tatkala itu.
Namun di sebalik gelaknya, terselit sesuatu kesalan. Bukan kerana budak itu lemah, tetapi kerana Syifa tidak membunuh. Kerana bagi mereka yang hidup dalam bayang-bayang kuasa dan darah, kemenangan tidak diukur dengan menjatuhkan... tetapi dengan menghapuskan.
Tiga orang atasan itu mula bersandar dengan wajah keruh. Tubuh mereka tegak, tangan berpeluk, dan pandangan mereka mencerun tajam ke arah Edward. Tak satu pun dari mereka bersuara, namun gerakan halus tubuh mereka mula berubah, resah, seolah-olah bersedia untuk beredar. Sorotan mata mereka berbicara tanpa kata: “Itu saja yang kau bawa?”
Affendi berdiri tidak jauh dari barisan itu. Wajahnya menegang saat dia melirik ke arah kedua orang tuanya. Ibunya kaku seperti patung batu, tidak memberikan sebarang reaksi. Tapi ayahnya seorang lelaki yang selalu menyembunyikan emosinya di sebalik renungan dingin telah pun bangkit, berdiri dengan wajah tawar dan penuh kehampaan. Tanpa sepatah kata, lelaki itu bersedia melangkah pergi.
Itu cukup untuk membakar darah Affendi.
Tanpa memberi amaran, dia melonjak dari platform atas. Tubuhnya menjunam laju, dan sepatunya menghentam lantai gelanggang dengan dentuman berat yang bergema ke seluruh penjuru. Semua mata tertumpu kepadanya.
Syifa mendongak, matanya bertembung dengan pandangan tajam pemuda itu. Rambutnya coklat gelap, disisir kemas ke belakang, dan sorot matanya tajam seperti bilah pedang yang baru diasah. Tubuhnya tidak sebesar lelaki-lelaki yang datang menyerang sebelum ini, namun langkahnya membawa aura yang lebih berat, lebih menakutkan.
"I will never allow anyone to disgrace my family over someone like you. " kata Affendi perlahan, suaranya menggetar namun penuh kawalan. Dia menanggalkan jaketnya, melayangkannya ke sisi, biar jatuh di atas simen yang kini dicemari darah dan peluh.
"If you truly have strength… show me. "
Dari tempatnya, Edward hanya tersenyum tipis, matanya membilang detik seperti seorang penjudi yang tahu ini pertaruhan terakhirnya.
"Now... this should be fun. "gumamnya sendiri.
Share this novel