BAB 30

Mystery Series 5364

Dalam bilik mandi berkonsepkan klasik yang mewah, setiap perincian direka penuh cita rasa. Lantainya diperbuat daripada marmar gelap dengan urat perak, menyatu harmoni bersama dinding panel kayu oak hitam yang dipernis berkilau. Lampu gantung dari kristal gelap tergantung anggun dari siling, memantulkan cahaya suram yang cukup untuk menimbulkan bayang pada setiap lekuk permukaan. Gabungan rona hitam, kelabu kelam, dan emas kusam menjadikan ruang itu kelihatan seperti bilik mandi istana yang sunyi, namun memiliki aura gelap yang misterius.

Syifa berdiri tegak di hadapan cermin besar berbingkai ukiran perak, di atas sinki porselin putih berukir halus. Wajahnya dingin. Mata Heterochromia milik gadis itu meneliti refleksi tubuhnya sendiri yang masih dibasahi sisa peluh pertarungan. Bahunya sudah tidak seperti sebelumnya. Sesuatu pada dirinya telah berubah secara zahir dan batin. Lengan kanannya dibalut rapi dengan kain perubatan, balutan yang cukup kemas, namun masih kelihatan bekas darah kering di tepinya.

"Dua point ditolak. Aku belum pernah terluka dalam latihan," gumamnya perlahan, suaranya tenggelam dalam bunyi titisan air dari paip yang belum ditutup rapat. "Setiap latihan diberikan lima point, jadi malam ini aku kena kembali dengan point tersisa… atau dikira gagal."

Dia tahu, datuknya tidak pernah kisah bagaimana dia bertahan yang penting dia perlu kembali dengan nilai yang cukup untuk lulus. Sama ada dia pulang dengan luka atau tidak bernyawa, yang penting ialah keputusan. Keputusan itu satu-satunya perkara yang menentukan nilainya di mata lelaki tua itu.

Setelah dia memenangi pertarungan tadi, lelaki bernama Edward berubah sepenuhnya dalam melayannya. Layanan lelaki itu begitu baik, sehinggakan ingin mengadakan satu majlis perayaan sempena kemenangannya malam nanti. Majlis yang entah ikhlas atau cuma satu permainan lain.

Syifa mencapai kemeja putih yang digantung di belakang pintu bilik mandi baju ganti yang diberikan oleh Edward sendiri. Dia menyarungkannya ke tubuh, satu persatu butang dikancing perlahan. Kemeja itu jelas lebih besar dari saiz tubuhnya yang kecil. Bahunya tenggelam dalam potongan baju itu, lengan panjangnya terlipat berkali-kali hingga ke pergelangan.

"The stench of a bastard. " keluhnya datar, hidungnya sedikit berkerut. Bau kemeja itu jelas seperti bau Edward. Ada aroma tembakau, campur bau kayu cendana yang entah bagaimana menusuk kuat pada deria baunya.

Tangannya menyeluk poket seluar daun ketumbit yang masih tersimpan di situ dikunyah semula perlahan-lahan, melegakan rasa sakit yang ada pada tubuhnya.

Syifa melangkah keluar dari bilik mandi. Kali ini pandangannya lebih tajam memerhati sekeliling. Barulah dia sedar, bilik lelaki itu dipenuhi dengan bingkai-bingkai gambar dan lukisan aurora. Cahaya-cahaya hijau kebiruan yang ditangkap dalam foto dan disapu dalam cat itu menghiasi dinding, kabinet, dan ruang-ruang di sekitar bilik. Pada sebuah kabinet rendah, tersusun rapi gambar seorang budak lelaki yang mungkin Edward sendiri ketika seusianya, berdiri di sisi seorang wanita berambut hitam keperangan, mengenakan kot makmal putih. Mungkin seorang saintis. Atau… seseorang yang penting.

Namun tiada sebarang perasaan muncul dari hatinya. Pandangannya kosong, dingin. Hanya sekilas lalu sebelum dia menoleh ke arah pintu bilik yang tiba-tiba terbuka.

Syifa berdiri kaku. Wajahnya bertukar beku.

Edward masuk, sebatang rokok terselit di antara bibirnya. Asap berkepul keluar dari hujungnya, menari-nari di udara yang suram. Lelaki itu tidak lagi tampil seperti ketua organisasi yang menakutkan. Sebaliknya dia kelihatan santai kemeja hitam lengan pendek yang dibuka dua butang atas, seluar slack gelap, dan rambut panjang yang melepasi punggungnya dibiarkan terurai bebas.

Dia tersenyum sinis, mata tertancap tepat ke arah Syifa.

"Looks like you didn’t die, " katanya sambil menghembuskan asap rokok ke udara, menyandar pada rangka pintu. "Well done, princess. "

Syifa tidak membalas. Hanya tatapan tajam sebagai reaksi. Aura antara mereka mula menebal sunyi, tetapi padat dengan makna yang tersembunyi.

Kata-kata lelaki itu sekadar bernada gurauan, namun Syifa tahu dari riak wajah dan sinar matanya lelaki itu sebenarnya senang melihat dia masih berdiri tegak, tanpa sebarang emosi yang biasanya digantungkan di wajah dinginnya. Tiada air mata, tiada getar ketakutan. Hanya keteguhan yang menyilaukan.

Edward mengukir senyuman lebar, bibirnya sedikit terangkat melihat tubuh kecil Syifa tenggelam dalam kemeja putih yang longgar di tubuhnya.

"Qué lindo, (Comelnya,)" ucap lelaki itu, senyumannya lebar namun sinis. Langkahnya santai sewaktu dia berjalan menghampiri Syifa yang kini berdiri di sisi kabinet lampu, berhampiran katil yang beralas cadar hitam kelam. Lelaki itu membongkok sedikit agar sejajar dengan paras wajah budak itu. Dari mulutnya, asap rokok yang masih belum dilepaskan akhirnya dihembus perlahan ke wajah Syifa.

Syifa menoleh sedikit, wajahnya jelas menunjukkan rasa bengang. Matanya mengecil, bibirnya mengerut, namun dia tidak bersuara. Cuma tatapan tajam yang dilemparkan, cukup sebagai amaran diam.

Edward tergelak kecil, seolah puas dengan reaksi itu.

"¿Qué vamos a hacer juntos en esta habitación, chico? (Apa yang kita nak lakukan bersama dalam bilik ini, budak?)" Suara Edward kedengaran datar, kosong dari sebarang emosi sebelum bibirnya melukis senyuman sinis. Jarinya terulur, menyentuh dagu Syifa dengan gerakan perlahan tetapi mengancam. Mata lelaki itu menatap wajah gadis itu tajam dan meneliti, seakan sedang membaca seluruh isi fikirannya.

"Yo no toco a los niñas. Ni siquiera sé qué tiene de interesante tu cuerpo. ¿Realmente vale la pena como festín? (Aku tak menjamah budak kecil. Aku pun tak tahu apa yang menarik sangat pada tubuh kau. Adakah ia layak dijadikan santapan?)" Suaranya lembut, berbisik dekat ke telinga Syifa, menyusup masuk ke cuping telinganya bagai racun halus yang menyelinap tanpa suara.

Namun Syifa tidak memberi sebarang reaksi. Wajahnya kekal datar, matanya tidak berkedip, seolah-olah apa yang dikatakan Edward langsung tidak menjejaskan jiwanya. Edward ketawa kecil, sinis. Dia memerhati wajah gadis itu sejenak, barangkali tertanya-tanya sama ada budak itu benar-benar tidak faham makna kiasannya tadi, atau sengaja memilih untuk tidak memberikan reaksi.

"A partir de hoy, te enseñaré cómo servir a un superior como se debe, (Mula hari ini, aku akan ajar kau bagaimana melayani atasan dengan selayaknya,)" katanya, suaranya kembali serius, hampir seperti satu sumpah. "No te di ese ‘título’ solo porque eres buena para resistirte. (Aku tak beri kau ‘gelaran itu’ hanya kerana kau pandai melawan semata-mata.)"

Tangannya mengelus lembut rambut Syifa, rambut coklat gelap yang kini tampak tidak bernyawa di bawah sentuhan yang jijik itu. Edward tersenyum serong, matanya berkilat dengan niat yang gelap.

"Quiero oír tu voz... en el dolor. (Aku nak dengar suara kau… dalam kesakitan.)" Senyumannya mengembang, menyeramkan, sebelum dia membawa rambut Syifa ke hidungnya, menghirup aromanya seperti seorang pemangsa menikmati bau darah mangsa. Tatapannya kembali dilemparkan pada Syifa dingin, penuh kebencian yang terselindung di sebalik lagak tenangnya.

Syifa mengepal kedua-dua tangannya dengan kuat. Darahnya terasa mendidih. Lelaki di hadapannya itu yang digelar ‘atasan’ hanya tahu menghina dan menginjak maruah orang lain tanpa rasa belas. Dalam hatinya, api menyala.

Suatu hari nanti… aku akan pegang kepala kau sendiri. Aku akan seret tubuh kau ke tanah dan berikan pada binatang buas sebagai habuan.

"Sígueme, (Ikut saya," katanya tenang tiba-tiba seakan mula berubah suasana perasannya tatkala itu. "Prepararé la ropa adecuada para esta noche. Me aseguraré de que te sientas cómodo llevándola. (Saya akan sediakan pakaian yang sesuai untuk malam ini. Saya akan pastikan awak selesa memakainya.)" Dia sengih, pandangannya masih belum berganjak dari wajah Syifa pandangan yang sarat makna, tersirat dengan niat yang tak sepenuhnya dapat dibaca.

Syifa tidak menjawab. Dia hanya menghela nafas perlahan, menyerahkan kepasrahan kepada langkah yang terpaksa diikuti. Tubuhnya mula bergerak, mengekori langkah lelaki itu yang telah mendahului.

Mereka melangkah keluar dari bilik itu, menyusuri koridor utama menara. Menara hitam itu tidak hanya menampung ruang-ruang menggerunkan seperti penjara dan gelanggang berdarah. Ia juga memiliki sisi lain yang penuh kemewahan kediaman eksklusif, ruang mesyuarat mewah, perpustakaan rahsia, dan koridor berlantai batu hitam yang sentiasa berkilat. Langit-langit tinggi dan lampu gantung logam kelam menciptakan suasana agung namun kelam.

Langkah mereka bergema di sepanjang lorong itu, seperti paluan jam yang menghitung detik. Suara kasut menyentuh lantai batu mencipta irama yang sunyi tetapi penuh tekanan.

Di sepanjang koridor, tingkap kaca besar memanjang dari lantai ke siling membingkai dunia luar. Syifa mengalihkan pandangannya ke luar. Pemandangan itu seolah lukisan kelabu yang hidup barisan gunung berbatu, puncaknya berselimut kabus pekat. Matahari senja menggantung di kaki langit, memantulkan cahaya jingga keemasan yang samar pada permukaan kaca. Cahaya terakhir itu menyentuh wajahnya, mencipta bayang yang panjang ke lantai koridor.

Syifa sedar, dia hanya mempunyai beberapa jam lagi sebelum dia harus kembali. Kembali dengan nilai yang cukup, atau pulang dengan kegagalan. Dia harus mengatur strategi. Dan waktu tidak pernah menjadi sahabat kepada mereka yang lambat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience