Mereka melangkah masuk ke dalam sebuah butik mewah yang dihias penuh citarasa klasik, ibarat lukisan zaman silam yang dihembus nafas moden. Segalanya tampak indah dan tersusun sempurna. Aroma mewah dan damai teradun dalam udara yang nyaman. Setiap inci ruang itu memancarkan rasa eksklusif yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Lampu gantung kaca menjuntai dari siling tinggi, memancarkan cahaya hangat ke atas permukaan marmar gelap yang mengilat. Setiap pantulan cahaya membentuk lukisan ilusi, memecahkan kesenyapan butik itu dalam cara yang elegan.
Di tengah ruang utama, berdiri seorang lelaki tua berkaca mata bulat. Pakaiannya rapi sut kemeja kelabu diseterika halus, rambut tersisir kemas, wajahnya tenang namun penuh disiplin. Dia tidak menyambut dengan ucapan atau senyuman, cukup hanya dengan anggukan kecil yang penuh makna.
Kedai itu sunyi dan kemas, hampir seperti galeri seni. Setiap helaian pakaian yang tergantung di sana seolah-olah menyimpan nilai dan cerita yang tak ternilai. Beberapa set pakaian tergantung elok pada patung-patung model yang tersusun rapi di bahagian hadapan. Selebihnya tersimpan di dalam kabinet kaca bercermin emas, seperti khazanah yang dijaga rapi.
Edward melangkah ke arah lelaki tua itu tanpa melengahkan masa. Suaranya rendah, hampir seperti bisikan. Kata-kata yang keluar dari bibirnya hanya ditujukan kepada lelaki itu rahsia yang tidak perlu didengari orang lain. Syifa tidak bertanya. Dia tidak mahu tahu, dan tidak perlu tahu.
Langkah kakinya membawa dirinya ke bahagian lain butik itu. Kawasan yang sedikit tersembunyi, seolah-olah satu ruang eksklusif hanya untuk pelanggan terpilih. Di sinilah matanya tertancap. Barisan patung berdiri megah, masing-masing menggayakan set seragam tempur dan pakaian perlindungan khas jaket taktikal, baju badan yang padat, celana bertali, dan sepatu khas yang direka untuk pergerakan ekstrem. Setiap satu kelihatan seperti hasil kerja tangan mahir dan pemikiran strategik. Tali pinggang pelengkap, pelindung lengan, dan perincian teknikal pada fabrik menunjukkan bahawa ini bukan pakaian biasa. Ini pakaian untuk bertempur.
Warnanya gelap, potongannya tajam. Aura keberanian dan kekuatan terpancar dari setiap helaian. Syifa berdiri kaku di hadapan mereka. Matanya tidak berkelip. Dalam diam, dia tahu pilihannya sudah dibuat.
"Well, well, what do we have here, little one? " suara lembut namun sinis itu menyapa dari belakang. Edward muncul semula, rambut panjangnya bergoyang mengikut lenggok langkah yang tenang dan tersusun.
"¿Qué haces aquí? Nadie usa ropa así para un evento. (Kau buat apa kat sini? Tak ada orang guna pakaian macam ni untuk majlis.)" sindirnya dengan senyuman kecil yang sukar dibaca.
Syifa berpaling, wajahnya datar. Dia tidak tergugat dengan kehadiran Edward di belakang. Malah, dia terus merenung lelaki itu, memegang kukuh pendiriannya.
"Me prometiste que podía pedir un deseo, ¿verdad? Porque gané. (Kau janji aku boleh minta satu hajat, kan? Sebab aku menang.)" katanya ringkas, namun penuh ketegasan.
Edward mengangguk perlahan. Riaknya masih santai, seolah-olah soalan itu sudah dia jangka sejak awal.
"Solo uno... quiero un conjunto de ropa de combate. Para esta noche. (Satu je... aku nak set pakaian tempur. Untuk malam ni.)" Suaranya jelas dan tetap. Tiada getar, tiada ragu.
Kening Edward terangkat sedikit. "Justo iba a preparar ropa a juego para los dos. (Saya baru nak siapkan pakaian sedondon untuk kita berdua.)" balasnya dengan nada yang kedengaran kecewa atau mungkin sekadar menyindir. Namun, reaksinya hanya seketika apabila melihat wajah Syifa yang kelihatan menjengkelkan, seolah-olah berkata, "Tak penting."
Edward membongkokkan sedikit tubuhnya agar wajahnya sejajar dengan gadis itu. Matanya meneliti ekspresi Syifa yang tetap tidak berubah datar dan tidak terganggu. Perlahan-lahan, dahi Syifa berkerut apabila lelaki itu dengan sengaja menunjal dahinya, sengaja menimbulkan rasa tidak selesa. Senyuman sinis Edward terpamer, seolah-olah dia sedang membaca suasana dan emosi gadis itu seperti helaian buku terbuka.
Melihat reaksi Syifa, Edward tergelak kecil. "No soy alguien que rompe sus promesas. Está bien, niña. Tienes derecho a obtener lo que has elegido. (Saya bukan orang yang mungkir janji. Baiklah, budak. Kau berhak dapatkan apa yang kau pilih.)"
Senyuman nipis terukir di bibirnya sebelum dia berpaling untuk meninggalkan ruang itu. Namun, langkahnya terhenti di ambang pintu. Dia menoleh semula, matanya tertancap pada tubuh kecil Syifa yang masih berdiri teguh di hadapan patung pakaian tempur itu.
"¿Cómo te llamas? (Nama kau apa?)" soalnya perlahan namun jelas, penuh minat yang sebenar.
Syifa terdiam sejenak. Nama sebenar bukan sesuatu yang dia ingin kongsikan. Tapi dia teringatkan sesuatu lukisan aurora yang memenuhi dinding bilik Edward. Bingkai-bingkai yang memaparkan langit utara yang menari, penuh warna dan keindahan.
Tanpa ragu, dia menjawab pendek.
“Aurora.”
Edward mengerut sedikit dahinya. Bibirnya mencebik kecil antara terkejut atau geli hati. Namun jelas ada sesuatu pada nama itu yang mencuit fikirannya. Sekilas wajah wanita dalam gambar di biliknya terlintas dalam benaknya bayangan yang kini terasa lebih dekat dari sebelumnya.
Dia hanya mengukir senyuman sinis sebelum berpaling semula dan melangkah keluar, membiarkan Syifa terus berdiri di situ diam, datar menyaksikan bayang lelaki itu hilang perlahan-lahan ditelan cahaya butik yang malap.
Share this novel