Desir udara sejuk menyentuh leher Syifa, menyusup masuk ke celah kolar bajunya yang basah dek peluh dan darah. Namun tubuhnya tetap tenang, berdiri tegak di tengah gelanggang yang kini kembali menjadi saksi kepada satu lagi pertarungan luar biasa. Ruang itu senyap, sunyi yang menekan, sehinggalah bunyi derapan langkah Affendi mula memecahkan kesunyian. Irama langkahnya berat dan berirama, memberi isyarat jelas bahawa dia bukan datang untuk bermain-main.
Di tangannya, tergenggam sesuatu berbentuk segi empat tepat gelap, berkilat seolah-olah disalut obsidian. Sekilas kemudian, dia menekan satu butang kecil, dan dalam sekelip mata, benda itu berubah bentuk. Sebilah pedang logam menjelma, tajam, dengan ukiran halus dan teknologi canggih yang menjadikannya senjata kelas elit. Cahaya lampu dari atas memancar ke permukaan bilahnya, memantulkan kilauan perak yang cukup untuk membuat tulang belakang sesiapa saja menggigil. Namun tidak Syifa.
Matanya tidak berganjak.
Dia tidak gentar.
Dia tahu... penonton tidak akan puas dengan pertarungan “tanpa darah” yang berlaku sebelum ini. Mereka mahukan lebih. Mereka dahagakan bukti. Sesuatu yang akan terpahat dalam ingatan. Dari jauh, Edward memerhati dengan mata tajam. Dia bangkit, menarik sebilah pedang langsing dari sarungnya pedang yang hanya diberikan kepada tangan yang benar-benar tahu menggunakannya. Tanpa berkata sepatah pun, Edward menghayun tangannya, melemparkan pedang itu ke tengah gelanggang.
Thud!
Pedang itu terbenam sedikit ke lantai, hujungnya tegak seperti cabaran yang menunggu disambut. Syifa melangkah perlahan, mendekati senjata itu dan menggenggam pemegangnya tanpa ragu. Dia tahu maksud Edward.
"Beri mereka perlawanan yang layak dikenang."
Pertarungan pun bermula. Affendi menyerang dahulu. Langkahnya lebar dan deras, penuh dendam dan tekanan yang selama ini dipendam. Pedangnya diangkat tinggi dan dihayun deras dari atas ke bawah. Syifa menyelak ke kiri dengan ketenangan yang hampir tidak manusiawi, matanya tidak sesekali lari dari pergerakan lawan.
Affendi tidak memberi ruang. Serangannya datang bertalu-talu dari sisi ke sisi, dari atas ke bawah. Tapi setiap kali, Syifa menghindar, menunduk, meluncur rendah, malah berputar ke belakang lelaki itu dengan gerakan yang tenang dan teratur.
"Dia laju… tapi terlalu ikut emosi." fikir Syifa dalam diam.
Setiap libasan Affendi memang kuat, tapi tidak kemas. Dia menghentam, bukan menembus. Syifa membaca setiap geraknya seperti membaca novel lama yang sudah pun dia hafal penghujungnya.
Dalam satu celah waktu yang sempit, Syifa mengangkat pedangnya namun bukan dengan niat melukakan. Dia gunakan pemegangnya, bukan bilah tajam, lalu menghentak ke arah tulang rusuk kanan Affendi.
Pak!
Bunyi itu tumpul, berat, dan cukup menyakitkan. Affendi terduduk, tubuhnya membongkok, nafas tersekat-sekat. Tapi di wajahnya, tidak kelihatan tanda ingin mengalah. Dengan jeritan yang datang dari campuran marah dan malu, dia bangkit semula, menggenggam pedangnya erat.
Syifa tahu... dia tidak boleh terus bermain.
Dengan satu helaan nafas, dia berputar, mengangkat pedangnya tinggi, dan dalam satu gerakan licin seperti air, dia libaskan bilah itu ke arah leher Affendi...
"STOP!! "
Jeritan lantang menggema dari tempat duduk atas. Suara seorang wanita, nyaring dan cemas. Ibu Affendi.
Tangannya terangkat ke hadapan, wajahnya pucat bukan kerana takut pada Syifa, tetapi kerana ketakutan akan kehilangan anaknya sendiri. Jeritan itu bagai memecahkan momentum waktu. Syifa menghentikan serangannya. Pedangnya kaku, tergantung hanya beberapa inci dari leher Affendi. Nafasnya laju. Matanya sedikit menggigil, seperti dilanda keraguan seketika.
Dan dalam detik teragak-agak itu...
Bam!
Affendi menyerang. Dengan sisa tenaganya, dia melayangkan satu tendangan kuat ke arah kaki Syifa. Tubuh kecil gadis itu terangkat dan terhumban ke belakang, terhempas ke lantai batu yang keras. Pedangnya hampir tercampak dari tangan. Nafasnya tercungap, namun matanya tetap terbuka.
Affendi, dengan darah menitis dari bibir, bangkit perlahan. Dia menggenggam pedangnya tinggi, bersedia untuk mengakhirkan segalanya.
Namun sebelum bilah itu sempat menyentuh tubuh Syifa...
Gadis itu membuka mata. Dan tersenyum.
Senyuman sinis. Teguh. Tiada gentar walau sekelumit.
Dengan gerakan secepat kilat, Syifa mengangkat senjatanya dan menggunakan sisi tumpul pedang bukan mata tajam menghentak tepat ke sisi leher Affendi. Hayunan itu bersih dan tepat.
THUD!
Tubuh Affendi jatuh ke lantai, berdentum kuat seolah-olah seluruh lantai bergoyang. Pedangnya terlepas dari tangan. Matanya terpejam. Nafasnya tenggelam dalam pengsan yang dalam.
Syifa bangkit perlahan. Tubuhnya berdiri kembali di tengah-tengah arena yang kini sunyi menyaksikan detik itu. Setitis darah mengalir dari pipinya, namun dia tidak rebah. Tidak tunduk.
Dia mengangkat pedang Edward ke arah langit-langit kelam, lalu melepaskannya perlahan ke lantai. Bunyi logam bertemu batu menyentuh keheningan.
Satu pengumuman tanpa suara.
Kemenangan kedua.
"Esto es aburrido, (Ini membosankan,)" monolog Edward dalam hati. "Espero que prepares algo con tu verdadero poder, chica. (Aku harap kau siapkan sesuatu dengan kekuatan sebenar kau... budak.)"
Edward hanya tersenyum tipis. Walau kecewa tiada pertumpahan darah, dia tidak berkata apa-apa. Matanya kosong, tapi tajam. Tatapannya bertembung dengan mata Syifa dingin, senyap, penuh pertanyaan yang belum dijawab.
Share this novel