BAB 21

Mystery Series 5360

Beberapa jam telah berlalu sejak Syifa terjaga dalam sel dingin itu. Kini dia hanya terbaring memandang siling konkrit yang kelam tidak ada sinar matahari, tidak ada jam, tidak ada petunjuk masa. Hanya rasa sepi dan tubuh yang semakin berat dimamah kegelisahan. Fikirannya kosong. Kosong namun sarat.

Ketika kelopak matanya hampir mahu layu dalam kelelahan itu, derap tapak kaki mulai bergema dari kejauhan. Bukan satu. Bukan dua. Tapi rentetan langkah berat, seragam, dan penuh tujuan. Syifa bingkas bangun. Dia mendekati jeriji besi sel, jari-jarinya menggenggam erat palang besi itu, dan matanya membidik sumber suara.

Dari lorong yang suram itu muncul seorang wanita berjubah hitam. Jubahnya tebal dan menyapu lantai, seluruh tubuhnya terlindung termasuk wajah yang dilitupi kain hitam dari kepala hingga ke dagu. Di belakangnya, beberapa tahanan digiring dalam keadaan bergari tangan dan kaki, wajah mereka muram dan kehilangan harapan.

Wanita itu berhenti tepat di hadapan sel Syifa. Diam. Nafasnya mendatar.

"¿Quién eres tú, chico? (Kau siapa budak?)" suara wanita itu kedengaran garau dan tajam jelas sekali bahasa Sepanyol digunakan, tapi intonasinya tak ubah seperti nada mencela. Syifa tidak menjawab. Pandangannya hanya terpaku, dan alisnya mula berkerut ketika wanita itu mendekat ke panel kawalan di dinding sel.

Dengan satu sentuhan, skrin kecil menyala, menayangkan biodata Syifa secara ringkas. Nama. Kod DNA. Tempat asal. Status ‘Eksperimen Tidak Disahkan’. Sekilas senyuman sinis muncul dari balik kain nipis yang menutupi wajah wanita misteri itu.

"Así que... esta es la criatura que trajo Lewis Strauss. ¿Qué haces en un lugar tan asqueroso como este, chico? (Jadi... ini dia makhluk yang dibawa masuk oleh Lewis Strauss. Kenapa kau berada ditempat kumbahan seperti ini budak?)" kata wanita itu dalam nada sinis, suaranya kini lebih jelas dan dalam. "Deberías estar arriba... disfrutando del mundo, no aquí entre los desechos de la humanidad. (Kau sepatutnya berada di tingkat atas... menikmati dunia, bukan di sini bersama najis manusia.)"

Tanpa amaran, dia menekan tombol pembuka sel. Pintu besi berkeriut terbuka. Syifa bergerak ke belakang secara refleks, namun wanita itu jauh lebih pantas. Tangannya mencengkam lengan Syifa dengan kuat, menarik tubuhnya ke hadapan.

Dalam sekelip mata, kain penutup wajah wanita itu ditarik turun  memperlihatkan wajah yang pucat lesu, hampir seperti mayat, namun dengan mata merah menyala dan rambut kelabu perak mengalir seperti kabus. Sebelum Syifa sempat menjerit, wanita itu membenamkan wajahnya ke sisi leher Syifa, menggigit dengan kehausan liar.

Tubuh Syifa mengejang. Nafasnya tertahan. Dia meronta, menolak tubuh wanita itu dengan sekuat tenaga, namun kekuatan makhluk itu tak tergoyah sedikit pun. Baru ketika darah mula mengalir, wanita itu melepaskan gigitannya dan menarik wajahnya.

"Tu sangre apesta... (Darahmu busuk...)" bisik wanita itu jijik. "Casi me hace vomitar. Tan repugnante como el resto de los desechos humanos. Maldita sea... me tragué la mitad. (Hampir memuntahkan aku. Sama busuk seperti manusia buangan lain. Sialnya... aku telan separuh.)"

Dengan satu isyarat, dua pengawal berpakaian hitam masuk ke dalam sel. Mereka menyerbu Syifa, memegang tubuh kecil itu dengan kasar, mengunci pergelangan tangan dan kakinya dengan rantai berat besi.

"¡Lleva a este maldito chico al ring! (Bawa budak sialan ini ke gelanggang!)" arah wanita itu tajam, sebelum dia memalingkan tubuhnya dan melangkah keluar dari sel.

Syifa tidak melawan. Dia tidak perlu melawan, belum lagi. Fikirannya masih berputar, cuba memahami aturan gila di tempat ini. Tanpa suara, dia digiring melalui lorong gelap, menaiki tangga berbatu, langkah demi langkah.

Dan kemudian, pintu besi besar terbuka.

Sinar matahari memancar masuk, menyilaukan matanya yang sudah terbiasa dengan gelap. Dia menutup wajah seketika, namun udara segar yang masuk ke paru-parunya seolah memberi semangat baru. Nafasnya dalam. Jiwanya terjaga.

Ketika matanya kembali terbuka  dia melihatnya.

Gelanggang.

Sebuah arena raksasa terbentang di hadapan. Silingnya berbentuk kubah kaca yang membenarkan cahaya matahari melimpah masuk, membasahi lantai kotor yang berlumuran darah dan debu. Bangunan bulat itu terdiri dari tiga tingkat, setiap tingkat dipenuhi oleh penonton yang berpakaian anggun, memakai topeng aneh, dan bersorak kecil seperti mereka sedang menonton pertunjukan eksotik.

Tirai merah gelap tergantung megah dari setiap penjuru. Di tengah gelanggang, beberapa tahanan lain telah berdiri dengan rantai di tangan, beberapa bersenjata primitif, yang lain kosong tangan. Mata mereka berputar penuh cemas. Masing-masing menanti giliran untuk bertahan hidup... atau mati demi hiburan.

Dan Syifa... kini menjadi salah seorang daripada mereka.

Seorang lelaki berjubah putih muncul dari pintu besar di tengah-tengah bangunan gelanggang. Seluruh tubuhnya dibalut kemas dengan kain putih seperti mumi, hanya sepasang mata tajam berkilau dari celah balutan wajah itu. Di tangannya tergenggam erat sebatang tongkat logam bersimbol pelik. Dia tidak berkata sepatah pun, hanya berdiri tegak di tengah gelanggang seolah-olah kehadirannya sendiri adalah isyarat permulaan sebuah pembantaian.

Penonton di bangku atas bersorak seakan itu hanyalah satu pertunjukan sarkas. Sorakan mereka bukan datang dari belas ihsan, tetapi dari kegilaan seperti menonton haiwan bertarung sampai mati.

"Solo cinco saldrán con vida... los demás solo servirán de lección. Así es como se define a un verdadero ganador. (Hanya lima akan keluar hidup-hidup… selebihnya cuma jadi pengajaran. Begitulah pemenang sebenar ditentukan.)" Suara lelaki berjubah putih itu bergema lantang dalam bahasa Sepanyol. Suara itu menusuk seperti palu memaku peti mati. Tiada rasa. Tiada simpati. Nyawa manusia seperti Syifa hanya angka hiburan semata yang hanyalah mainan mereka diatas sana.

Syifa terpaku, sementara di sekelilingnya, bunyi rantai besi dijatuhkan ke lantai mula bergema. Para tahanan dilepaskan satu persatu. Rantai yang membelenggu tangan dan kaki kini bebas. Seakan naluri bertahan menyala, mereka terus berlari ke setiap sudut gelanggang mendapatkan senjata yang telah disediakan dalam peti kayu usang di setiap penjuru.

Syifa tetap berdiri diam. Kepalanya berpusing mencerna situasi, namun tubuhnya masih kaku. Sementara itu, pertempuran mula meletus suara jeritan, bunyi besi bertembung, dan darah yang tumpah mula mencorak lantai kering itu dengan merah pekat.

Seorang lelaki kurus, wajahnya penuh ketakutan, meluru ke arah Syifa sambil melontar kapak kecil. Namun Syifa tanpa panik memiringkan tubuhnya, membiarkan senjata itu meluncur melepasi bahunya. Tatapan lelaki itu berubah, dari takut menjadi kejam dia menghayun kapak keduanya ke arah Syifa.

Syifa menapak pantas, tubuhnya menyerap momentum lalu dia menjatuhkan lelaki itu ke lantai. Jeritan kesakitan bergema. Penonton bersorak

"¡Mátalo! ( Bunuh dia!)"

Syifa memandang lelaki itu yang kini terbaring, kapak tergelincir dari tangannya. Dadanya naik turun, nafas tersekat-sekat. Dan dalam diam, Syifa dilanda konflik. Tangannya bergetar. Dia tidak pernah membunuh. Tidak pernah secara langsung.

Namun lelaki itu tiba-tiba mencapai kembali senjatanya, bersedia menghunus tepat ke dada Syifa. Tubuhnya bergerak spontan kapak dalam genggamannya diayunkan.

"Krakkk!"

Darah memercik. Kapak Syifa menembusi kepala lelaki itu.

Sunyi. Dunia terasa diam. Hanya degup jantung Syifa yang bergema dalam benaknya. Sorakan bergema akan tindakannya sebentar tadi kedengaran makin samar-samar.

Dia berdiri kaku. Matanya memandang tangan yang berlumuran darah.

"Tak... bukan... aku..."
Suara itu keluar perlahan. Terputus-putus. Seolah tidak percaya dirinya sendiri. Dadanya sesak. Gema dari tragedi dalam bas jeritan, mayat, makhluk menakutkan datang menghantui semula. Dia kembali ke waktu di mana segala-galanya bermula.

Tangannya bergetar hebat. Jiwanya retak.

Apakah ini... sebahagian latihan Datuk?
Fikiran itu muncul dalam kepalanya. Pertanyaan yang tiada jawapan.

Namun gelanggang itu tidak berhenti untuk kesedihan. Dunia tidak menunggu air mata. Ia hanya menagih darah.

Tubuh kecil Syifa terpelanting jauh apabila seorang lelaki bertubuh sasa menarik bajunya dari belakang. Dia terbaring, pandangannya kabur, dan dia tidak mampu menghadapi kejutan besar yang datang tiba-tiba itu. Apakah dunia kotor seperti ini benar-benar tersembunyi dari dunia luar? Tetapi mengapa aku yang terjebak dalam dunia ini?

Lelaki itu berdiri di hadapannya, memegang pedang yang bersinar tajam, siap untuk menghancurkan segala yang ada di hadapannya. Syifa menatap bilah pedang yang meluncur deras ke arahnya, tubuhnya kini bergerak tanpa kawalan, tanpa ada rentak yang dia inginkan dalam benaknya. Bingung, dia memandang dengan mata yang terbuka lebar. Bagaimana dia bisa menghindari serangan pedang ini? Di dekat kaki Syifa, sabit yang terlepas dari tangan seorang tahanan yang telah mati tergeletak, seakan menjadi satu-satunya harapan yang ada.

"Aku nak hidup… Kerana hanya ini pilihan yang ada sekarang." Syifa berkata dalam hati, tekad yang baru tumbuh membuatkan dia meraih sabit yang tergeletak di dekatnya. Wajahnya yang tadinya datar kini berubah menjadi serius. "Aku tak ada pilihan. Aku tak nak mati!"

Dengan semangat yang menggebu, Syifa berlari cepat, gerakannya lincah dan penuh perhitungan. Dia menangkis serangan pedang lelaki itu dengan kekuatan sabit yang dia genggam erat, lalu serangan itu dibalas dengan satu hayunan hebat yang menembus tubuh lelaki tersebut. Tubuh lelaki itu tumbang, dan Syifa berdiri dengan tatapan kosong, matanya tidak berkilau walau sedikit pun, seolah-olah tidak merasa apa-apa.

Ada sepuluh orang lagi yang masih bertarung. Syifa memandang sekeliling, menganalisis situasi, merasakan pertempuran ini semakin hampir ke penghujungnya. Tetapi pertanyaan itu berlegar dalam benaknya: Apakah aku masih perlu membunuh lagi?

Ketika dia sedang merenung, satu panah tiba-tiba menembus bahunya. Syifa terduduk dan mengerang kesakitan, tubuhnya terhuyung seketika sebelum matanya beralih ke arah wanita yang baru saja memanahnya. Wanita itu berjalan angkuh, tanpa sebarang kekotoran pada pakaian putihnya, seakan dia hanya memerhati dari jauh, jauh daripada pertempuran yang sebenarnya.

"¿Cómo puedes seguir con vida, chico? Este no es tu lugar. (Bagaimana kau boleh hidup, budak? Ini bukan tempat kau.)" Suara wanita itu datar, seolah-olah meremehkan Syifa, sebelum dia menarik senjata dari sisinya dan menghala anak panah yang patah ke dada Syifa. "No necesitas luchar hasta la muerte, esto no vale la pena... (Kau tak perlu berjuang mati-matian, ini tidak berbaloi…)"

Belum sempat wanita itu menghabiskan kata-katanya, Syifa dengan pantas mencabut anak panah yang tertancap di bahunya. Tanpa memberi peluang, Syifa melemparkan anak panah tersebut tepat ke leher wanita itu. Mata wanita itu terbeliak, dan tubuhnya terhumban ke lantai, darah memancut keluar dari lehernya. Syifa kembali berdiri, walaupun tubuhnya masih berlumuran darah dari luka di bahunya, dia menahan rasa sakit itu dengan tekad yang kuat.

"No voy a morir sin saber por qué muero. (Aku tak akan mati tanpa mengetahui untuk apa aku mati.)" Suara Syifa serak, datar, ketika dia memandang wanita yang kini terbujur kaku di lantai. Wanita itu, dalam kesakitan yang perlahan menguasai tubuhnya, tersengih tipis sebelum akhirnya mati.

Syifa memandang sekelilingnya. Bunyi terompet yang nyaring menandakan bahawa perlawanan ini telah dimenangi oleh lima orang yang masih bertahan termasuk dirinya. Orang-orang bertopeng itu bersorak kegirangan, dan mereka mulai melemparkan emas ke arah gelanggang. Empat lelaki yang masih hidup berlari, berebut-rebut mengutip emas yang jatuh, tetapi Syifa hanya berdiri diam di tempatnya.

Dia mendongak, memandang langit biru yang terbentang di atas kubah kaca yang melingkari gelanggang. Hatinya kosong, tiada lagi rasa bangga atau kemenangan. Hanya ada rasa hampa yang meresap ke dalam dirinya.

"Aku tak akan mati tanpa mengetahui untuk apa aku mati."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience