Lonceng sekolah berdentang nyaring, menggema di seluruh koridor, menandakan sesi pembelajaran tamat untuk hari itu.
Di dalam sebuah kelas yang semakin sepi, seorang gadis masih terbaring kepalanya di atas mejanya. Kedua-dua tangannya menjadi pelindung bagi wajah yang tersembunyi, seakan tidak mahu menghadapi realiti di sekeliling. Suara pelajar lain kian menghilang satu persatu, langkah-langkah mereka bergema di koridor sebelum lenyap ditelan jarak.
Pelahan-lahan, gadis itu-Uyaina-mengangkat kepalanya.
Tatapan kosongnya menyapu ruang kelas yang kini sunyi. Bangku-bangku berselerakan, helaian kertas yang ditinggalkan seakan menambah perasaan kosong yang menguasai hatinya. Suara pelajar lain masih terdengar dari kejauhan, namun di dalam kelas ini, hanya kesunyian yang berbicara.
Matanya kemudian beralih ke arah tingkap kaca di sebelah.
Bayangannya sendiri terpampang di sana-wajah yang lesu, lebam yang membiru di pipi dan lengan, luka kecil yang masih terasa perit. Air mata mula bertakung di kelopak matanya, namun dia cepat-cepat menunduk, menggigit bibir agar tidak terlepas keluhan kesakitan atau rasa putus asa.
Bila semua ini akan berakhir...?
Hatinya bertanya, tetapi tidak ada jawapan.
Dengan nafas berat, Uyaina memaksa dirinya berdiri. Seluruh tubuh terasa sengal-tanda kesan tumbukan dan tendangan yang diterimanya sewaktu waktu rehat tadi. Dia mengetap gigi, menahan diri dari menunjukkan kesakitan yang melumpuhkan langkahnya.
Sebelum melangkah keluar, matanya sempat tertancap pada meja yang sudah diconteng dengan pelbagai makian dan cacian. Namun, ada satu baris ayat yang paling mencucuk perasaannya.
"Matilah s*al!"
Uyaina menatap kata-kata itu lama, sebelum senyuman sinis terbentuk di bibirnya. Bukan kerana geli hati, tetapi kerana betapa ironi nasibnya sekarang.
Bagai hidup segan, mati tak mahu.
Dengan langkah yang perlahan, dia melangkah keluar dari kelas itu, namun hatinya sudah bersedia menghadapi dunia yang tidak pernah memihak kepadanya.
Tapi ternyata dia silap.
Sangkaannya bahawa penyiksaan tadi sudah cukup memuaskan pembuli-pembulinya hancur sebaik sahaja dia melihat sekumpulan pelajar perempuan menunggunya di luar kelas.
Tatapan mereka tajam, penuh dengan sindiran, dan senyuman sinis masing-masing membuatkan Uyaina menelan liur.
Lima orang.
Dan yang berdiri di hadapan sekali adalah seseorang yang paling dia takuti-Lily.
"Kau lambat keluar, Uyaina." Nada suara Lily manis, tetapi Uyaina tahu racun tersembunyi di sebalik kata-kata itu.
Ketawa kecil dari ahli kumpulan Lily menyusul, sebelum mereka melambai-lambai ke arahnya dengan gerakan yang mempermainkan.
Uyaina merasakan tekaknya kering.
Walaupun belum disentuh, benaknya sudah terasa sakit. Dia sudah tahu ke mana semua ini akan berakhir.
Namun, sebelum sempat dia berpaling untuk melarikan diri-
Tangan Lily sudah mencengkam lengannya.
"Sini kau!"
Uyaina meronta, cuba membebaskan diri, tetapi usahanya sia-sia. Dua lagi kawan Lily segera datang membantu, menariknya dengan kasar.
"H-Hei! Lepaskan aku!" Uyaina berusaha menjerit, tetapi tubuhnya terlalu lemah untuk melawan.
"Jangan banyak cakap, Uyaina." Lily berbisik di telinganya, suaranya penuh dengan ancaman. "Kau ikut je. Takkan nak buat aku marah, kan?"
Ketawa kumpulan itu bergema di koridor yang kini semakin sunyi, hanya meninggalkan jejak kaki mereka yang menyeret Uyaina ke suatu tempat yang lebih tersembunyi.
Dan Uyaina hanya mampu mengutuk nasibnya sendiri-kerana dia tahu, tidak ada sesiapa yang akan menyelamatkannya.
Suasana di dalam dewan latihan Taekwondo dipenuhi dengan bunyi hentakan kaki dan suara pelatih yang memberikan arahan. Udara di ruang itu terasa hangat akibat tenaga yang dikeluarkan para pelajar, namun Syifa hanya duduk di bangku kayu di sudut dewan, menarik nafas dalam setelah menyelesaikan latihannya lebih awal. Kelelahan terukir di wajahnya, namun fikirannya melayang jauh, bukan pada sesi latihan di hadapannya, tetapi kepada sesuatu yang lebih berat untuk ditanggung seorang diri.
Dari kejauhan, Zarif memerhatikan Syifa yang termenung di tempat duduknya. Dengan langkah santai, dia mendekat sambil membawa dua botol air mineral yang masih sejuk.
Tanpa sepatah kata, dia menghulurkan sebotol kepada Syifa.
Syifa menyambutnya dengan anggukan kecil, menundukkan sedikit kepala sebagai tanda terima kasih.
Zarif melabuhkan punggung di sebelahnya, membuka penutup botol lalu meneguk beberapa kali sebelum melontarkan usikan santai.
"Curi tulang, eh?"
Syifa menjeling sekilas. "Aku tak buat latihan pun, boleh patah mematah tulang menulang engkau." Balasnya selamba, sebelum meletakkan botol di sisinya.
Zarif hanya ketawa kecil, sudah terbiasa dengan sindiran tajam gadis itu. Namun, dia perasan sesuatu-sejak kebelakangan ini, Syifa jarang hadir ke sekolah.
"Kebelakangan ni kau jarang masuk sekolah." Zarif memecah kesunyian. "Kau ada masalah ke?"
Syifa tidak memberikan jawapan. Matanya tetap fokus ke arah pelatih dan beberapa pelajar lain yang masih giat berlatih. Dia tahu, ada perkara yang tidak boleh dikongsikan dengan sesiapa, termasuk Zarif.
Zarif menghela nafas perlahan sebelum kembali bersuara.
"Janganlah buat-buat pekak pula, Ifa." Senyumannya masih sama-tenang, mesra, dan penuh tanda tanya.
"Aku kerja." Akhirnya, Syifa menjawab, namun suaranya datar.
Zarif mengerutkan dahi. "Umur kau sekarang ni, sekolah. Kerja tu, lepas sekolah. Bukankah sepatutnya begitu?"
Syifa menghela nafas panjang. "Itu cara budak yang orang tua layan dengan baik. Tapi aku, kena hidup macam ni."
Zarif terdiam seketika, tidak menyangka jawapan Syifa akan seberat itu.
"Bukankah kau perlu berjaya untuk diri sendiri? Keluarga itu hanya menyokong, tapi manfaat semua untuk kau," balas Zarif, masih cuba memberikan kata-kata semangat.
Syifa tersenyum nipis, namun penuh sinis. "Aku just nak hidup dengan cara aku. Baik atau buruk, aku akan tanggung sendiri."
Zarif tidak segera membalas, sebaliknya hanya mengangguk perlahan. Matanya merenung jauh, seakan cuba memahami gadis di sebelahnya yang semakin sukar dijangka.
"Hidup ini penuh dengan masalah sementara," ucap Zarif akhirnya, suaranya perlahan tetapi bermakna. "Bersihkan dan jalani hidup kau sepenuhnya."
Syifa mendengus kecil, mengangkat sebelah kening. "Segalanya bertambah baik apabila memutuskan untuk tidak peduli lagi."
Dia bangun dari tempat duduk, mencapai botol mineralnya, lalu bersedia untuk keluar.
Zarif menatapnya dengan riak tidak puas hati. Perbualan mereka terasa terlalu singkat-seperti selalu.
"Syifa..." Panggilnya.
Syifa menoleh, matanya separuh malas. "Apa?"
"Hari ni kau free tak?" Soal Zarif penuh harapan.
Syifa mengangkat kening. "Kau nak belanja aku makan ke?" soalnya, nada sedikit bergurau.
Zarif tersenyum. "Anything for you. Lepas sesi latihan ni selesai, aku tunggu kau tempat biasa."
Syifa mengangguk perlahan, senyuman tipis terukir di bibirnya. "Okay."
Setelah meminta izin daripada pengajar, dia segera beredar ke bilik persalinan untuk menukar pakaian. Namun, sebaik sahaja membuka lokernya, tangannya terhenti.
Dia masih ingat.
Ingatan tentang peristiwa sebelumnya, ketika seorang lelaki diam-diam merakam videonya menukar pakaian, menghantui fikirannya. Rasa gelisah menjalar ke seluruh tubuh.
Syifa menggenggam erat pakaian seragamnya.
Bilik persalinan ini dah tak selamat untuk aku.
Dengan hati yang berat, dia membuat keputusan.
Dia menutup lokernya kembali, menyimpan pakaian gantinya ke dalam beg, lalu keluar dari bilik itu tanpa menukar pakaian.
Biar saja dia keluar dengan pakaian seragam Taekwondonya.
Lebih baik begitu, daripada mengulangi mimpi buruk yang masih berlegar dalam fikirannya.
Bilik makmal sunyi, hanya deruan angin yang masuk melalui tingkap terbuka menemani suasana tegang di dalamnya. Uyaina berdiri di situ, bersandar pada bingkai jendela tingkat tiga bangunan sekolah. Angin sepatutnya memberi rasa nyaman, namun tubuhnya yang panas tidak merasai sedikit pun kesejukan itu. Seluruh badannya menggigil, bukan kerana kesejukan, tetapi kerana ketakutan dan keputusasaan yang menekan jiwanya.
Darah mengalir dari bibirnya yang pecah, mukanya merah dengan lebam-lebam yang mula timbul. Bajunya kotor, penuh dengan kesan tapak kasut yang menghina maruahnya. Tangan kecilnya menggenggam erat skirtnya, seolah-olah cuba mencari kekuatan untuk bertahan. Matanya yang kabur dek air mata melirik ke luar jendela, ke arah tanah yang jauh di bawah sana. Hanya satu langkah lagi dan semuanya akan berakhir.
"Kau buat apa lagi... Terjun!" Bentakan kasar Lily memecah lamunannya. Suara itu menusuk, menyedarkan Uyaina dari kekosongan fikirannya. Ini semua kerana dia telah berani melawan, kerana dia telah menyentuh wajah Lily dalam satu insiden sebelumnya. Itu kesalahan besar.
"Terjun je lah. Paling-paling patah kaki, patah tangan je. Tak mati pun." Aileen ketawa, diikuti dengan suara Aufa dan Ciara yang turut tergelak sambil merakam dengan telefon mereka. Hanan, yang berdiri menjaga pintu, hanya diam. Matanya kosong memerhatikan segalanya. Manusia memang sehina ini, jika kau tak mampu melawan, bisiknya dalam hati.
Uyaina menggeleng berkali-kali, air matanya semakin deras mengalir. Dia tidak mahu ini. Dia tidak mahu mati. Tapi tekanan di sekelilingnya terlalu berat.
"Aileen, pergi tolong dia. Aku rasa dia tak cukup keyakinan untuk buat lompatan tu." Arahan Lily disambut dengan anggukan faham daripada Aileen.
"Hwaiting!" Sorakan bergema dari mulut Aufa, Ciara, dan Lily. Mereka berseronok dalam kebiadaban mereka sendiri.
"Hoi! Full memori aku ni doh! Cepat sikit boleh tak?" Ciara merungut, matanya masih terpaku pada skrin telefon.
Lily semakin hilang sabar. "Tendang je lah dia!"
Tanpa ragu, Aileen menoleh dan dengan kejamnya, menghentak kaki ke dada Uyaina. Sepantas kilat, tubuh Uyaina terlempar ke belakang, keluar dari jendela.
Semua terdiam.
Udara terasa hening, seolah-olah dunia berhenti berputar.
Uyaina menutup matanya rapat. Masa terasa terhenti. Angin deras menyapu tubuhnya yang kini melayang di udara. Dalam gelapnya kesedaran, hanya satu perkara yang terlintas dalam fikirannya. Tak mengapa, Uyaina. Sekurang-kurangnya kau tak akan merasa sakit lagi...
Air matanya menitis perlahan, seiring dengan tubuhnya yang menjunam ke tanah.
Namun, sebelum segalanya menjadi gelap sepenuhnya
"Tingginya kau lompat?"
Suara itu menyentap jiwanya.
Uyaina tersentak, matanya terbuka luas. Segala-galanya kembali terang. Dia tidak jatuh ke tanah. Dia berada dalam dakapan seseorang.
Syifa.
Uyaina kini terbaring di atas riba Syifa yang terduduk di tanah. Nafas Syifa kasar, tubuhnya jelas menahan kesakitan akibat impak kuat dari hentakan ke tanah.
"Bangunlah... patah dah pinggang aku." Syifa mengeluh, menekan belakangnya yang terasa sengal. Dia membaringkan tubuhnya di atas tanah, cuba mengatur nafas.
"Ak... akak... akak tak apa-apa?" Uyaina tergagap, air matanya mengalir deras. Dia duduk di sisi Syifa, menatapnya dengan penuh rasa bersalah dan cemas.
Syifa memandangnya, lalu menghulurkan senyuman nipis. "Jangan mati seperti itu. Tuhan tak siapkan tempat indah untuk kau." Nada suaranya lembut, penuh makna.
Uyaina tunduk, menggeleng berkali-kali. Tangisannya semakin kuat.
"Syifa! Awak tak apa-apa?" Zarif tiba-tiba muncul, berlari ke arah mereka. Dia telah menyaksikan segalanya dari bangunan sebelah.
Syifa hanya mengangkat tangan, mengisyaratkan bahawa dia baik-baik saja. "Okay je." Namun, ketika dia cuba bangun, sakit di belakangnya membuatkan tubuhnya sedikit tidak stabil.
Zarif pantas menghulurkan tangannya, menarik pergelangan Syifa untuk membantunya berdiri dengan tegak.
Syifa tersentak. Dia menoleh ke arah Zarif dengan tatapan serius, seakan meminta penjelasan atas tindakan lelaki itu. Namun, akhirnya dia hanya menghela nafas panjang.
"Tolong bawa dia pergi hospital." Syifa mengarahkan Zarif, matanya terarah ke Uyaina yang masih teresak di sebelahnya.
Zarif mengerutkan kening. "Kau pun nak pergi hospital juga. Kau memang tak fikir dulu ke buat sesuatu benda?"
Syifa mendengus kecil, malas melayan. Memang aku tak fikir apa-apa dah time tu.
"Pergi hantar dia. Tak payah nak membebel." Keluh Syifa, menarik nafas panjang.
Namun, sebelum Zarif sempat bertindak, dia tiba-tiba meraih pergelangan Syifa dengan kuat, cuba menariknya untuk turut ikut ke hospital. Tubuh Syifa tersentak sedikit ke depan sebelum tarikan itu dihentikan secara paksa.
"Lepaskan." Suara baru bergema.
Zarif berpaling dan mendapati seorang lelaki berdiri di hadapannya, dengan tangannya mencengkam lengan Zarif.
"Kau siapa?" Nada suara Zarif tegang, matanya menikam tepat ke wajah lelaki itu.
Uyaina yang berada di sebelah hanya mampu terpaku, memandang dua lelaki yang kini saling bertatapan dengan ketegangan yang mendebarkan.
Mirul tersenyum kecil, wajahnya tenang seolah-olah tidak terusik dengan suasana tegang yang berlaku.
"Someone." Balas Muaz selamba, sebelum matanya beralih kepada Syifa. Senyumannya menjadi sedikit lebih lebar, seolah-olah menyimpan sesuatu di sebaliknya.
Syifa berkerut, tidak menyukai situasi yang semakin menjengkelkan ini.
Share this novel