Banglo kediaman Syifa sunyi seketika, hanya kedengaran suara barang-barang dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain di dalam bilik air. Syifa berdiri di depan kabinet cermin, tangannya cepat mengeluarkan segala ubat yang ada di dalam, meletakkannya di laci bawah singki. Rambutnya yang masih lembap dibiarkan, air menitik perlahan di hujung rambutnya. Selepas selesai mengalihkan semua ubat-ubat itu, Syifa menutup kabinet cermin, memandang dirinya di dalam cermin dengan pandangan kosong. Dia menghela nafas panjang, dan dengan perlahan mengambil tuala kecil yang ada di situ, mengeringkan hujung rambutnya.
Namun, ketika tangannya menggeringkan rambut, matanya tertumpu pada beberapa helai rambut yang kelihatan berbeda dari yang lain. Rambut yang tadinya berwarna coklat gelap kini tampak berwarna keemasan. Syifa melirik ke arah beberapa helai rambut yang berwarna perang keemasan itu, kelihatan begitu jelas di hujungnya.
“Apa ni? Stress sangat kah sampai beruban?” Syifa mengeluh sendiri, seraya melangkah keluar dari bilik air.
Tiba-tiba, jantungnya berdenyut kencang, rasa tajam menusuk di dada. Syifa tersungkur ke lantai, tubuhnya terhuyung-hayang dan gelas di tepi lampu terjatuh pecah. Kesakitan itu menghantui kepalanya, terasa seperti sesuatu yang tidak mampu ditahan. Darah mula mengalir keluar dari kedua lubang hidungnya. Syifa bersandar lemah pada lampu kabinet di tepi katilnya. Nafasnya tercungap-cungap, penglihatannya mula kabur, tubuhnya sejuk dan bergetar.
Ketika itu, imej seorang budak perempuan berambut perang, berpakaian gaun penuhi noda merah dengan darah yang melumuri tangannya, berdiri di hadapannya dalam bayangannya. Perasaan takut dan kebingungan menghantui fikirannya.
Syifa menunduk memandang permaidani putih di bawahnya, titisan darah yang mengotori kain halus itu. Tangan memegang kepalanya seakan ingin pecah kerana rasa sakit yang menekan. Sebelum dia terjatuh, terlentang ke lantai, matanya memandang siling, air mata mengalir tanpa disedari.
"Allah... Allah..." keluhnya dengan suara yang hampir hilang.
Secara perlahan, rasa sakit itu berkurangan. Syifa menghela nafas, cuba menguatkan diri. Tangannya masih bergetar ketika dia memegang tepi katil, berdiri dengan tubuh yang lemah. Dia memegang setiap penjuru perabot di sekelilingnya untuk menampung tubuhnya yang hampir jatuh sebelum akhirnya duduk di kerusi malas yang terletak bersebelahan pintu kaca balkoni.
Tubuhnya disandarkan pada kerusi dengan lesu, matanya kelihatan kosong, darah yang masih mengalir dari hidung dikesat kasar dengan hujung bajunya yang putih. Rambutnya terjuntai di belakang, memantulkan cahaya bulan yang menyinari biliknya, mengubah warna rambutnya menjadi perang keemasan yang bersinar. Pandangannya tertumpu pada pintu balkoni yang terbuka, angin yang masuk seolah menyapa, membuatkan matanya seketika terlelap. Hanya cahaya dari bilik air yang masih menyala, memberi sedikit pencahayaan di dalam ruang gelap tersebut.
Syifa sempat melirik ke cermin panjang di tepi pintu balkoni, matanya masih tertumpu pada rambutnya yang berkilauan di dalam kegelapan. Dia merenung dirinya sendiri tanpa berbicara, hanya bertanya dalam hati.
"Sampai bila mereka menyembunyikan segalanya? Aku seperti orang bodoh yang lahir tanpa memori masa lalu," bisiknya perlahan.
Kedengaran ketukan pintu pelan dari luar biliknya. Syifa diam saja, tetap bersandar lemah pada kerusi, tidak menghiraukan ketukan tersebut. Beberapa saat kemudian, pintu terbuka perlahan. Mikail masuk ke dalam biliknya, riak wajahnya jelas menunjukkan kebimbangan apabila menyedari gelas yang pecah tadi.
Syifa tidak berkata apa, membiarkan abangnya itu melihat keadaannya. Mikail melangkah menghampiri, memperhatikan keadaan adiknya yang tampak lemah dan bingung.
"Kau tahu photoluminescence?" Suara Syifa tiba-tiba memecah keheningan, hampir berbisik.
Mikail hanya diam, matanya masih merenung Syifa yang sedang bersandar pada kerusi malas itu.
"Ia merujuk kepada fenomena di mana bahan atau objek memancarkan cahaya selepas menyerap cahaya, seperti yang berlaku pada rambut aku ketika terkena cahaya bulan." Syifa berkata lagi, matanya kosong memandang langit gelap di luar balkoni.
Mikail menatap rambut Syifa, yang kini berkilauan di bawah cahaya bulan. Raut wajahnya berubah, terkejut dengan keadaan adiknya.
"Aku tak tahu siapa musuh dalam selimut yang sebenarnya. Yang memakai topeng atau kejutan yang rupanya sekarang," tambah Syifa dengan nada tenang, seakan tidak terkesan dengan apa yang baru saja berlaku.
"Apa tujuan kau datang semula, Mikail? Aku tahu kau tahu sesuatu," tanya Syifa tanpa berpaling, suara yang terdistorsi dengan emosi yang tak dapat disembunyikan.
Mikail diam, tidak segera menjawab. Wajahnya tenang, tetapi ada sesuatu yang tersembunyi di balik ekspresi itu. Dia memandang Syifa dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan.
"Aku tak nak kau tipu aku dan selindung dari ayat 'pelindung' tu bagai. Kau tahu tentang organisasi atau puak keh? Tak.. paling senang pun beri tahu aku.. aku ni apa sebenarnya? Kenapa orang-orang gila itu seakan rakus ingin mendapatkan aku?" Suara Syifa semakin meninggi, tertekan dengan kata-kata yang terus menimbun di dalam dadanya. Melihat Mikail yang hanya diam saja sejak tadi tanpa berkata sepatah pun setiap bertanyaannya
"Selagi aku ada, tak ada sesiapa boleh... rampas kau," ujar Mikail dengan tegas, namun kata-katanya seakan tidak cukup meyakinkan Syifa.
Syifa mencebik, senyuman sinis terukir di bibirnya, mendengar jawapan abangnya. "Kau tahu tak berapa kali strategi yang berlaku kebelakang ni? Kau kat mana ketika itu? Aku yang keluar dari lubang mereka sendiri, bodoh!" Syifa menengking dengan amarah yang semakin membakar.
"Apa jeh yang kau ada untuk aku tak terjebak dengan puak orang-orang gila tu?! Kau cakap, tapi aku yang bertindak ikut akal aku sendiri. Aku... berjuang sendiri dalam hidup aku selama ni. Aku tak minta belas kasihan pun. Aku nak tahu apa yang kau tahu tentang aku yang sebenarnya," tegas Syifa sebelum berjalan menuju ke rak kabinet laci di sisinya.
Dengan perlahan, Syifa membuka laci itu dan mengeluarkan sesuatu. Mikail yang sedar akan apa yang sedang dipegang oleh adiknya, bergegas menghampiri.
"Syifa... kamu nak buat apa ni?" tanya Mikail, suaranya penuh dengan rasa cemas, cuba menghalang tindakan adiknya yang kelihatan membahayakan dirinya.
Syifa hanya tersenyum sinis. "Aku nak tunjukkan 'magic' yang kononnya aku belajar beberapa hari ni. Bersedia lah untuk rasa terkejut... atau tak," ujar Syifa dengan nada sarkastik, sebelum dengan sengaja menghiris pisau lipat pada pergelangannya. Darah menyembur keluar.
Mikail terkejut, matanya membulat, sebelum berlari ke arah Syifa. Dengan cepat, dia mengeluarkan sapu tangannya dan menekan luka di pergelangan tangan Syifa, menahan darah yang mengalir deras. Wajah Mikail terkejut dan cemas, namun Syifa hanya memandangnya dengan tatapan tajam yang penuh dengan pengertian.
"Why are you so surprised? Bukankah kau sudah tahu semua ni tak ada apa-apanya, pada manusia jadian seperti aku?" Syifa bertanya dengan suara datar, seolah tidak merasa apa-apa.
Mikail berkerut, dia mengangkat sapu tangan yang sudah dipenuhi darah dari pergelangan Syifa, luka itu yang dalam dan sepatutnya menyakitkan mula perlahan-lahan tertutup. Kulit yang terkoyak kembali bertaut sendiri, darah berhenti mengalir seolah tubuh itu menolak realiti manusia biasa. Mikail menatap Syifa dalam kebingungan.
"Mutasi? Monstar atau apa? Sebelum aku meminta pengesahan orang lain, aku nak penjelasan orang yang sangat dekat dengan aku. Buat aku tak menyesal untuk percaya kau kali ni, along." ujar Syifa dengan tatapan tajam, mencerlung ke arah Mikail yang berdiri di hadapannya.
Share this novel