JARI jemari menari laju diatas papan kekunci. Mata diberikan fokus sepenuhnya kepada kerja-kerjanya. Hari ini Aleena sedikit sibuk kerana ada laporan yang perlu disiapkan dengan segera.
"Hai Cik Aleena Arissa, sibuk ke tu?" Yanie yang muncul entah dari mana datang menyapa. Punggung dilabuhkan duduk bertenggek di tepi meja kerja Aleena.
Keluhan berat Aleena hela perlahan. Tak suka betul bila ada yang datang menganggu saat dia betul-betul sedang sibuk menyiapkan kerja-kerjanya.
"Ya, Puan Yanie. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" soalnya malas.
"Hui, garangnya. Aku tahulah kau tengah sibuk tapi muka tu tak payahlah nak ketat sangat," bibir dijuihkan.
Bebola mata dijulingkan ke atas. "Kau nak apa datang sini? Kalau datang semata-mata nak mengacau aku. Aku rasa ada baiknya kau balik semula ke tempat kau. Aku betul-betul tengah busy ni. Tak ada masa nak melayan kau."
"Amboi! Menghalau nampak. Aku tahulah kau tengah busy tapi cubalah kau relaks sikit. Hari ni Puan Aida tak ada. So, kau tak payah nak rushing sangat siapkan laporan kewangan tu," ujar Yanie senang hati.
Wajah santai Yanie direnung tunak. Perhatian kini diberikan sepenuhnya kepada rakan sekerjanya itu.
"Puan Aida tak ada? Dia tak masuk ke hari ni?" soal Aleena ingin tahu.
Kepala Yanie angguk laju.
"Ini yang aku nak membawang dengan kau ni," sengihan kerang busuk terpeta diraut wajah Yanie.
Nafas Aleena hela perlahan. Belakang tubuh disandarkan selesa di kerusi yang didudukinya.
Aleena dah agak Yanie dan membawang memang tak dapat dipisahkan.
"Kali ni gosip pasal apa pula?" soal Aleena bosan.
Terpaksalah juga Aleena melayan. Kalau tidak sampai ke sudah Yanie takkan bagi dia buat kerja selagi tak dengar gosip apa yang wanita itu mahu sampaikan kepadanya.
"Aku dengar cerita daripada budak HR yang tak lama lagi Puan Aida nak pindah," bisik Yanie perlahan.
Risau kalau-kalau info yang dia sampaikan ini akan didengari oleh orang lain. Benda tak sahih lagi jadi tak bolehlah nak kecoh-kecoh.
"Pindah ke mana pula? Tapi kenapa tiba-tiba je Puan Aida nak pindah?" bulat mata Aleena. Terkejut dengan apa yang barusan didengari olehnya.
"Apa yang aku dengar Puan Aida sendiri yang minta dipindahkan ke Melaka. Katanya dia minta tukar sebab dah tak sanggup nak PJJ dengan suami dia. Kau pun tahukan perhubungan jarak jauh ni bukannya mudah. Dan tak semua orang sanggup untuk melaluinya," ujar Yanie panjang lebar.
Kepala dianggukkan faham.
"Hmm macam tu rupanya. Betullah kata kau tu PJJ ni bukannya mudah. Yang melaluinya kena kuat dari segi mental dan fizikal."
"Lima tahun babe, Puan Aida tu bertahan berjauhan dari suami dia. Daripada dia baru kahwin sampailah dah beranak dua. Pergh! Kalau akulah memang tak sanggup. Apa-apa urusan semuanya kena buat sendiri. Dah gaya macam orang tak ada laki aje," komen Yanie.
"Nak buat macam mana dah rezeki dia macam tu. Kalau ditanya Puan Aida sekalipun mesti dia pun tak nak hidup berjauhan dari suami dia. Tapi nak buat macam mana masing-masing ada tanggungjawab dan komitmen pada kerja masing-masingkan."
"Ya. Apa yang kau cakapkan tu ada betulnya juga."
"Jadi lepas ni siapa pula yang akan gantikan Puan Aida tu? Encik Anuar ke?" soal Aleena ingin tahu.
Mendengarkan soalan yang diajukan, Yanie dah mula mempamerkan senyuman gatal.
"Inilah yang aku nak ceritakan dekat kau. Berita hot!" ujar Yanie bersungguh.
Dahi Aleena berkerut halus. Wajah Yanie direnung hairan.
"Berita apa yang hot sangat tu?"
"Aku dengar daripada budak HR akan ada orang lain yang bakal menggantikan Puan Aida. Yang pasti bukan Encik Anuar orangnya."
Mengangguk faham Aleena menerima setiap maklumat terkini yang disampaikan oleh Yanie kepadanya.
"Tak kisahlah siapa pun yang bakal jadi ketua baru kita tu. Yang penting dia boleh buat kerja dan jaga kebajikan kita semua sebagai staf bawahan dia," ujar Aleena mudah.
Aleena mahu kerja secara aman dan damai. Dia tak mahu ada sebarang masalah dengan sesiapa terutamanya sekali dengan pihak atasan di syarikat tempat dia bekerja.
"Yang itu aku setuju. Tapi Leena, kau tak nak tahu ke siapa yang bakal jadi ketua baru kita tu?" kening dijongketkan.
"Siapa? Aku kenal ke?" dalam malas Aleena menyoal juga.
"Taufiq Amsyar! Senior kita masa sama-sama belajar dekat UM tu dulu," beritahu Yanie penuh teruja. Wajah dah cerah dengan senyuman lebar.
Luas bebola mata Aleena tika sebaris nama itu meluncur laju dibibir Yanie.
"Taufiq Amsyar?" soal Aleena tak percaya.
Taufiq Amsyar, senior ketika Aleena dan Yanie sama-sama melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Lelaki tinggi lampai serta memiliki susuk tubuh tegap itu sememangnya cukup terkenal di kalangan para pelajar. Bukan setakat kacak bergaya bahkan lelaki itu juga terkenal dengan kebijaksanaannya dalam bidang akademik.
"Yes! Taufiq Amsyar. The hot man yang bakal gantikan tempat Puan Aida," ujar Yanie penuh teruja.
Ah! Tak sabar Yanie nak bekerja dibawah satu bumbung yang sama dengan bekas senior mereka itu. Pasti seronok kerana mereka sudah saling mengenali diantara satu sama lain.
Dan Aleena bagaikan terpukul di tempatnya sendiri apabila bayangan lelaki kacak itu kembali memenuhi ruang memorinya.
Share this novel