BAB 2

Mature Content Series 3457

LIPSTIK merah dari jenama Dior dicalitkan ke bibir mongelnya. Usai itu, rambut panjang miliknya yang diwarnakan dengan warna crimson red diperbetulkan agar kelihatan kemas.

Puas hati dengan penampilannya, tubuh segera dibawa keluar dari dalam perut kereta. Diatur langkah kaki dengan penuh menggoda, merapati pintu utama yang masih tertutup kemas.

Loceng pintu ditekan beberapa kali. Dengan penuh sabar Lily menanti agar pintu kayu itu terkuak lebar untuknya.

Beberapa minit menanti, muncul figura tuan rumah menyambut kedatangannya. Lebar senyuman manis meniti dibibir Lily buat Puan Mariani merangkap ibu saudara kesayangannya.

"Hai, mak long..."

"Eh, Lily rupanya. Ingatkan siapalah yang datang tadi," kedatangan Lily disambut dengan senang hati.

Tangan tua Puan Mariani dikucup hormat.

"Sorry mak long sebab Lily datang tak bagitahu dulu. Lily bosanlah duduk dekat rumah tu tak ada buat apa-apa."

Kaki diatur selamba melangkah masuk ke dalam rumah banglo milik keluarga Puan Mariani.

"Mak kamu tak ikut sekali?" soal Puan Mariani.

Dah hampir beberapa bulan dia tak bersua muka dengan Puan Marisa. Rindu pula dia pada satu-satunya adik kesayangannya itu.

"Tak. Lily malas nak ajak mak. Buat kacau program Lily je nanti," cebik Lily.

Ada tujuan dia berkunjung ke rumah mak longnya ini. Semuanya sebab nak cuci mata. Eheks!

Dahi tua Puan Mariani berkerut halus. "Program apa pula ni?"

"Tak ada apalah, mak long. Sunyi je rumah mak long ni. Yang lain mana?" bebola mata dah melilau ke segenap ruang rumah banglo dua tingkat itu. Bayang seseorang cuba dicari.

Lily yang dah duduk santai diruang tamu rumahnya didekati. Punggung dihenyak kasar sebelum bibir menjawab pertanyaan anak saudaranya itu.
"Pak long kamu keluar ke masjid. Katanya hari ni orang-orang dekat masjid tu ada buat program imarahkan masjid. Itu yang dia pergi tolong apa yang patut."

Macam burung belatuk Lily mengangguk faham.

"Abang Taufiq mana, mak long?" tak dan-dan laju Lily menyoal kembali.

Memang itu pun tujuan asal dia kemari. Mahu menggeletis dengan abang sepupunya.

"Taufiq tak ada. Dia keluar. Katanya ada perkara penting yang nak dia selesaikan."

Berkerut halus dahi Lily.

"Perkara penting? Hai takkanlah hujung minggu macam ni pun Abang Taufiq tu kerja, mak long? Penting sangat ke perkara yang nak dia selesaikan tu sampaikan dah tak boleh nak tunggu esok?" bebel Lily sebal.

Ish! Ingatkan datang bolehlah cuci mata. Alih-alih orang yang dicari pulak tak ada!

"Dah kerja dia memang macam tu. Nak buat macam mana lagi. Lagipun sekarang ni Taufiq tu dah naik pangkat jadi lepas ni semakin bertambah sibuklah dia," ujar Puan Mariani. Dalam pada masa yang sama dia sebagai ibu begitu bangga dengan pencapaian anak tunggalnya itu.

Bersinar galak bebola mata Lily. Wajah dah cerah dengan senyuman gedik.

"Naik pangkat? Abang Taufiq dah jadi bos besar ke sekarang ni, mak long?" soalnya berminat.

"Ya. Katanya sekarang ni dia dah jadi ketua eksekutif. Bangga betul mak long dengan pencapaian Taufiq."

Makin kembang senyuman meniti di raut wajah Lily. Kening terjongket penuh makna.

"Naik pangkat mesti gaji pun naik, kan? Bestnya!"

"Mestilah naik. Sesuailah dengan jawatan yang dia pegang tu," jawab Puan Mariani senang.

"Pangkat dah besar. Gaji pun dah besar. Jadi bila lagi Abang Taufiq tu nak kahwin, mak long? Dia tu bukannya muda lagi. Memang dah sesuai sangat kalau Abang Taufiq tu nak tamatkan zaman bujang dia," ujar Lily penuh makna.

Keluhan Puan Mariani hela perlahan.

"Itulah yang merisaukan mak long. Kalau diikutkan Taufiq tu dah nak masuk 35 tahun. Memang dah sesuai sangat kalau nak berumahtangga. Tapi mak long ni kalau boleh tak naklah terlalu memaksa. Soal jodoh mak long serahkan semuanya pada Taufiq sendiri. Yang nak kahwinnya nanti dia. Jadi biarlah dia sendiri yang tentukan."

Soal jodoh Puan Mariani tidak terlalu memilih. Asal baik dan sesuai itu dah dikira cukup baginya.

"Abang Taufiq dah ada girlfriend ke, mak long?" selidik Lily.

Bahu dijongketkan. "Yang itu mak long tak tahulah pula. Ada ke tak ada Taufiq tak pernah bercerita. Kenapa kamu tanya?"

"Tak ada apa. Sajalah Lily nak tahu. Kalau belum ada girlfriend bolehlah Lily masuk line. Manalah tahu jodoh Abang Taufiq tu sebenarnya dengan Lily. Orang yang dah lama ada dekat depan mata dia sendiri," pecah berderai ketawanya senang hati.

Berbunga riang hati Lily bila fikiran dah menerawang membayangkan yang dia dan Taufiq sedang bersanding indah diatas pelamin.

Ah! Taufiq Amsyar lelaki itulah yang sudah lama bertahta di dalam hatinya sedari dia kecil lagi.

PAP

Lengan Lily ditampar kuat. Wajah Lily yang sedang tersengih macam kerang busuk itu Puan Mariani jeling geram.

"Kamu ni kuat betul berangan ya, Lily."

Rasa perit yang melekat di lengannya diusap perlahan. Berkerut halus wajahnya menahan rasa perit akibat ditampar Puan Mariani.

"Ish! Mak long ni dah kenapa? Sakitlah," rungut Lily. Cebik bibir tak puas hati.

"Mak long tahu berangan tu free tapi kamu tak payahlah nak berangan sangat, Lily. Hidup kamu sendiri pun masih lagi terumbang-ambing. Dah tu ada hati pula nak kahwin dengan si Taufiq tu," bidas Puan Mariani selamba.

Perkahwinan diantara sepupu memanglah dibenarkan di dalam Islam cumanya sebagai ibu, Puan Mariani tidak begitu menyokong. Dia bimbang jika di kemudian hari akan timbul masalah yang lain pula.

Masalah yang nantinya muncul dan boleh merosakkan hubungan kekeluargaan yang sudah lama terjalin diantara mereka semua.

"Jadi mak long nak cakap yang Lily ni tak setaraflah dengan Abang Taufiq?" soalnya sebal.

Puan Mariani menghela nafas panjang. Lain yang dia cuba sampaikan lain pula yang Lily faham.

"Ini bukan soal setaraf ataupun tidak. Lily, cuba kamu tengok diri kamu. Usia kamu dah 30 tahun. Kamu masih tak reti-reti lagi ke nak cari pekerjaan yang elok sikit?"

Dahi berlapis halus. "Jadi insta famous bukan satu pekerjaan yang elok ke, mak long?"

Dah hampir 5 tahun Lily Aulia berkecimpung dalam dunia media sosial. Bergelar seorang pempengaruh dunia media sosial menjadikan dia cukup terkenal dengan memiliki ratusan ribu pengikut di laman sosial miliknya.

"Mak long tak cakap pun jadi insta famous tu tak elok. Cumanya sampai bila kamu nak buat kerja macam tu? Cubalah kamu cari pekerjaan yang tetap sikit. Yang boleh menjamin masa depan kamu. Pekerjaan yang betul-betul stabil," nasihat Puan Mariani.

"Cara mak long bercakap ni macam kami yang jadi insta famous ni semuanya macam orang yang tak ada masa depan. Lily tahulah kerja Lily ni tak ada income yang tetap tapi sekurang-kurangnya Lily masih ada sumber pendapatan."

"Sumber pendapatan daripada hasil kamu buat live dan review produk entah apa-apa tu semua? Berapa sen sangatlah yang kamu dapat, Lily. Ada baiknya kamu pergi cari kerja tetap. Sekurang-kurangnya ada KWSP. Ada juga simpanan untuk hari tua kamu. Lagipun takkanlah sampai ke tua kamu nak jadi insta famous? Buat video terkinja-kinja lepas tu post dekat dalam media sosial. Eh! Mak long tengok pun naik malulah."

Dah banyak kali dia ternampak video si Lily ni duk terkinja-kinja dekat dalam Tik Tok tu. Semuanya semata-mata sebab nak promosikan produk yang telah dibayar kepada anak saudaranya itu.

Bebola mata Lily julingkan ke atas.

"Kalau mak long malu janganlah tengok. Lily tak suruh pun mak long tengok. Mak long tak payah nak bising-bising. Lily tahu apa yang Lily buat. Lagipun Lily jadi insta famous ni bukannya sampai ke tua. Lily pun ada target Lily sendiri. Nanti bila dah tiba masanya Lily berhentilah. Cuma buat masa sekarang ni belum masanya lagi untuk Lily berundur dari kerjaya Lily ni.

"Agaknyalah kan, nak tunggu kamu berhenti sempatlah kucing tu bertanduk dulu," perli Puan Mariani selamba.

Rengusan dihela kasar. "Mak long kena suruh Abang Taufiq tu cepat-cepat masuk meminang Lily. Nanti bila Abang Taufiq dah kahwin dengan Lily masa tu dengan secara rasminya Lily akan umumkan yang Lily bersara dari dunia hiburan ni," bibir tercarik dengan senyuman senang hati.

Membayangkan saja yang dia bakal menjadi isteri kepada Taufiq Amsyar pun Lily dah rasa macam nak lompat sampai ke bulan. Macam manalah agaknya kalau impian dia tu betul-betul bertukar menjadi realiti.

Fuh! Sudah pasti dialah perempuan yang paling bahagia diatas muka bumi ini.

Muka menyampah ditayang. Wajah Lily tersengih macam kera dapat bunga itu dijeling tajam.

"Tak inginlah aku nak ada menantu tak siap macam kau ni, Lily."

Diangkat kakinya dan langkah diatur berlalu meninggalkan Lily sendirian. Malas Puan Mariani nak melayan si Lily yang tak berapa nak betul ni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience