MAWAR: BAB 26

Romance Series 69343

“JEMPUT duduk. Tunggu sekejap ya, pembantu saya buatkan air.”

Wanita gempal yang sedang berdiri di hadapan mereka melemparkan senyuman manis. Layanannya juga tidak terasa kekok. Sepertinya sudah biasa menerima kedatangan tetamu. Dia langsung duduk di sebelah Hud Aariz tanpa meminta izin terlebih dahulu.

Hud Aariz dan Harraz menurut sahaja apa yang disuruh oleh wanita itu. Nasib mereka baik kerana wanita itu bersikap ramah dan menerima kehadiran mereka berdua di rumah tersebut dengan hati yang terbuka sedangkan wanita itu tidak mengenali mereka.

“Ya, terima kasih. Errr Cik Mawardah ada ke? Boleh kami berjumpa dengan dia?”

“Mawardah? Hahaha…”

Permintaan Hud Aariz dibalas dengan tawa besar. Sempat dia memukul paha Hud Aariz yang duduk di sebelahnya.

“Awak tak kenal saya ke? Sayalah Mawardah.”

“Awak Mawardah?”

Serentak Hud Aariz dan Harraz menyoal. Mereka saling memandang. Riak terkejut di wajah mereka tidak dapat disembunyikan. Pengakuan wanita itu benar-benar membuat mereka terkejut.

“Ya, saya Mawardah. Hud dah lupa ya wajah saya? Sampai hati kan...”

“Errr bukannya lupa tapi awak nam… nampak lain. Dulu awak kurus, sekarang sudah errr berisi.”

Hud Aariz cuba untuk bersopan dengan Mawardah. Dia risau jika akan mengguris perasaan sahabat yang sudah lama dia tidak bertemu itu. Perubahan pada diri Mawardah membuatnya hilang kata-kata.

“Hahaha yalah, nama pun orang bahagia, mestilah badan semakin gemuk. Awak pun nampak lain. Dulu awak kurus, sekarang dah tegap. Dah semakin handsome.”

Senyuman Mawardah membuatkan Hud Aariz seram sejuk. Dia dapat melihat perbezaan yang ketara di antara Mawardah yang dulu dengan yang di hadapannya sekarang.

“Oh ya ke? Hurm biasa-biasa saja. Dulu remaja lagi, sekarang dah matured, itu yang nampak berbeza.”

“Awak datang sini ada apa ya?”

Soal Mawardah tanpa berbasa-basi lagi. Kali ini dia kelihatan lebih tegas. Senyumannya juga tiba-tiba sahaja hilang.

“Saya tahu, mesti awak nak pujuk saya kembali kepada awak kan? Sorry, saya dah berkahwin. Cinta awak dah tak laku untuk saya.”

Mawardah mengangkat tinggi jemarinya. Jemari itu digoyangkan supaya mereka berdua dapat melihat cincin di jari manisnya.

“Tak, awak jangan salah faham, bukan itu sebenarnya niat kami datang. Errr kami sebenarnya nak errr nak berjumpa dengan semua kawan-kawan kita masa belajar dulu. Kan, Harraz?”

“Hah? Ha ah, betul tu. Reunion orang kata. Nak mengeratkan sillaturahim. Hihihi…”

“Owh begitu tapi awak siapa? Kenapa saya tak kenal awak?”

Terjongket sedikit kening sebelah kanan. Mawardah mula menatap wajah Harraz dan perhatikan dia daripada atas kepala hingga ke hujung kaki.

“Dia ni Mokhtar. Ingat tak dulu dia yang gemuk-gemuk, yang pakai cermin mata bulat tu.”

Ujar Hud Aariz ingin meneruskan penipuan. Dia tersengih-sengih sambil berpaling ke arah Harraz dan Mawardah silih berganti.

“Hurm yang selalu kena buli tu ke?”

“Ya, dialah tu. Kan Harraz? Hahaha…”

Hud Aariz menkenyitkan matanya ke arah Harraz berharap supaya Harraz faham maksudnya.

“Owh tapi kenapa nama dia lain? Muka dia pun dah lain? Yang sekarang ni lebih handsome daripada yang dulu tu…”

“Errr nama dia kan Harraz Mokhtar. Dulu kita selalu panggil dia Mokhtar saja sebab dia suka nama tu. Haha kan Harraz eh Mokhtar.”

“Ha ah, betul. Sayalah Mokhtar. Surprise…”

Keadaan sunyi buat seketika. Kata-kata Harraz tidak dibalas. Mawardah hanya diam sahaja memerhatikan mereka berdua. Kedutan pada wajahnya menunjukkan bahawa dia sedang memikirkan sesuatu.

“Saya tak sangka dapat berjumpa dengan awak berdua hari ini tapi macam mana awak tahu rumah saya. Lepas saya tinggalkan kolej dulu, saya tak pernah lagi contact kawan-kawan kita.”

Riak wajah Mawardah mula berubah. Dia yang tadinya ceria, mula bertukar muram. Anak matanya tertumpu pada mereka berdua tanpa berkelip.

“Hurm betul ke awak ni Hud Aariz dan dia tu Mokhtar? Atau awak berdua ni sebenarnya perompak yang nak rompak saya?”

“Eh kami bukan perompak. Saya memang Hud Aariz. Sumpah.”

Hud Aariz mengangkat tangannya tinggi paras bahu. Harraz juga turut melakukan perkara yang sama.

“Sebenarnya tujuan saya datang ni sebab nak bertanya, sebelum ini awak ada errr hantar bunga mawar untuk saya tak?”

“Saya hantar bunga mawar? Kepada awak?”

Laju Hud Aariz menganggukkan kepalanya mengiyakan pertanyaan Mawardah. Dia yakin, Mawardah adalah orangnya.

“Kenapa saya nak hantar bunga mawar kepada awak? Saya kan sudah bersuami. Awak ingat saya ni terhegeh-hegeh sangat dengan awak? Sorry ek, saya dah lama lupakan awak. Sekarang ini, saya cuma sayangkan suami saya saja.”

“Saya tak bermaksud begitu. Saya…”

“Abang, sini sekejap.”

Mawardah mula menjerit dengan suara yang lantang. Dia tiba-tiba sahaja bangun berdiri sambil memeluk tubuh.

“Errr Mawardah, saya takda niat nak…”

Kata-kata Hud Aariz terhenti sebaik sahaja dia melihat seorang lelaki yang bertubuh besar dan tinggi lampai berjalan mendekati mereka di ruang tamu.

“Kenapa, sayang? Ada apa?”

“Abang, inilah lelaki yang dulu tergila-gilakan sayang yang sayang cerita tu. Sekarang, dia datang sini sebab nak rampas sayang daripada abang. Nampaknya dia masih tidak boleh lupakan sayang. Please abang, tolong sayang.”

Terbeliak bola mata Hud Aariz apabila mendengar tipu daya Mawardah. Pandai pula wanita itu berbohong di hadapan suaminya. Mawardah tetaplah Mawardah. Sampai bila-bilapun, wanita itu tidak akan pernah berubah.

“Berani kau datang sini mahu merampas isteri aku! Kau langkah mayat aku dulu!”

Hud Aariz terus berdiri tegak apabila ditengking oleh suami kepada Mawardah. Ini bukan lakonan lagi tetapi benar-benar terjadi. Jika mereka masih lagi berada di dalam rumah ini, pasti perkara buruk akan berlaku.

“Tak tak tak. Saya tak… errr saya cuma nak berjumpa dengan Mawardah.”

“Kenapa kau nak berjumpa dengan dia, hah? Dia isteri aku!”

“Saya tahu yang dia isteri abang. Saya cuma… saya cuma… Harraz, dalam kiraan tiga. Satu… dua… lari selamatkan diri…”

Tanpa menoleh lagi, Hud Aariz terus melarikan diri meninggalkan Harraz dan mereka yang berada di dalam kediaman itu. Dia tahu tiada guna hendak berlawan. Lebih baik dia lari menyelamatkan diri.

“Datuk… tunggu saya…”

Lintang pukang Harraz mengejar daripada belakang. Sempat dia menoleh melihat Mawardah dan suaminya yang sedang ketawa terbahak-bahak. Pasti mereka sedang tertawakan dia dan Hud Aariz. Dasar wanita jahat penuh dengan muslihat.

“Bye awak berdua. Hati-hati di jalan.”

Sempat pula Mawardah melambai ke arah mereka berdua. Suara ketawanya masih dapat didengar oleh mereka berdua walaupun dalam jarak yang agak jauh. Tanpa berlengah, kereta yang dipandu oleh Harraz terus memecut meninggalkan kawasan rumah tersebut.

*
Terbahak-bahak Harraz ketawakan Hud Aariz tanpa menghiraukan mata yang memandang. Sepanjang perjalanan pulang ke pejabat, Harraz tidak berhenti ketawa. Melihat wajah Hud Aariz sahaja sudah membuatnya geli hati.

“Abang…”

“Diamlah!”

“Tak sangka datuk pun penakut juga. Siap panggil orang tu abang...”

Tawanya semakin kuat. Rasa kelakar pula apabila melihat wajah Hud Aariz yang ketakutan ketika berhadapan dengan suami Mawardah sebentar tadi.

“You kalau tak buat I sakit hati memang tak boleh kan. Suara ketawa you ni, satu aras ni boleh dengar you tahu tak.”

“Saya tak boleh tahan gelaklah, datuk. Datuk kelakar sangat. Hurm maafkan saya, datuk.”

“You nak ke berlawan dengan giant tu? Silap hari bulan, patah riuk tulang kita ni dia kerjakan. I taknak tanggung risiko buat kali yang ke-dua.”

“Betul tu, datuk. Saya pun taknak. Lagipun memang salah kita sebab tiba-tiba saja masuk ke rumah dia orang. Saya rasa, Cik Mawardah tu bukan pengirim bunga tulah. Mustahil senang-senang saja dia izinkan kita masuk dalam rumah dia kalau betul dia yang kirim bunga tu.”

“I pun rasa macam tu. Ingat Harraz, you kena rahsiakan perkara tadi. I taknak perkara ini sampai ke pengetahuan Dhia. You faham?”

“Baik, datuk. Saya akan rahsiakan perkara ni.”

Dengan wajah yang murung, Hud Aariz terus berjalan ke arah bilik pejabatnya. Sia-sia sahaja usahanya untuk mencari pengirim bunga misteri itu, tetapi masih gagal juga. Fikirnya Mawardah adalah pengirim bunga misteri itu, rupanya ada wanita lain yang sedang mempermainkan dia.

“Eh datuk, Harraz.”

“Ya, Murni.”

“Bukan ke tadi datuk kata nak balik pukul 4? Ni baru saja pukul 3.”

“Ya, urusan kami dah selesai lebih awal. Ada apa-apa lagi ke?”

“Saya nak ingatkan datuk yang sekejap lagi datuk ada meeting dengan Tiara dan Datuk Halim, selepas itu datuk free sampai malam. Saya cuba kosongkan jadual datuk untuk hari ini. Datuk pun nampak macam letih saja.”

Wajah Hud Aariz diperhatikan tetapi Hud Aariz terus melangkah meninggalkan mereka berdua.

“Thanks, Murni. I nak masuk dalam untuk berehat sekejap, nanti panggil I.”

“Baiklah, datuk.”

Murni membuntuti langkah Hud Aariz dengan ekor matanya. Entah apa yang ada di dalam fikiran Hud Aariz sehingga membuatkan dia kelihatan tidak bermaya. Mungkin kerana terlalu penat bekerja setiap hari.

“Errr Harraz, tadi Cik Dhia ada beritahu saya yang Harraz dah ada girlfriend, hurm siapa tu? Staf sini ke?”

Harraz menoleh ke arah Murni. Soalan yang ditanya oleh Murni langsung tidak menarik minatnya. Dia malas hendak menjelaskan status dirinya.

“Kenapa awak nak tahu? Hari tu bukan main lagi awak tazkirah saya yang saya ni lelaki gaylah, berdosalah, masuk nerakalah.”

“Itu sebab saya ingatkan awak betul-betul ga… okay okay, saya minta maaf.”

“Yalah, saya maafkan awak. Saya nak masuk ke dalam bilik saya sekejap. Penat betul hari ni.”

“Kenapa? Ada masalah lagi ke?”

“Masalah besar. Penat melarikan diri daripada pengirim bunga mis…”

Harraz menutup mulut dengan telapak tangan. Tanpa sengaja dia terlepas cakap. Harap-haraplah Murni tidak mendengar kata-katanya.

“Lari? Maksud awak?”

“Errr takda apa-apa. Saya masuk ke dalam dulu, ya.”

“Hurm ya, okaylah.”

Murni berjalan mendekati meja kerjanya apabila Harraz berlalu pergi. Dia duduk termenung sambil memikirkan apa yang hendak diberitahu oleh Harraz sebentar tadi. Entah apa yang dilakukan oleh mereka berdua. Patutlah Dhia Safiya salah faham, gelagat mereka benar-benar menimbulkan syak wasangka.

“Hishhh pelik-peliklah.”

Hanya itu yang mampu Murni katakan. Tidak layak dia hendak ikut campur urusan mereka berdua. Biarlah mereka berdua selesaikan sendiri, asalkan gaji masuk ke dalam akaunnya tiap-tiap bulan sudah cukup memadai.

*
Selepas kejadian tempoh hari, ini kali pertama Hud Aariz dan Datuk Halim bersemuka. Datuk Halim tidak berani mendekati Zanita lagi selepas diugut oleh Harraz, malah dia mengambil keputusan untuk menutup ketat mulutnya. Biarlah kejadian tersebut terus hilang daripada ingatan.

Dari jauh Hud Aariz dapat melihat Datuk Halim dan Tiara sedang rancak berbual. Sesekali terdengar suara mereka ketawa. Entah apa yang dibualkan sehingga mereka langsung tidak sedar kehadiran Hud Aariz dan Harraz di situ.

“Hai Miss Tiara, Datuk Halim. Rancak berbual. Ada apa-apa cerita best ke?”

“Eh Datuk Hud. Maaflah, tak sedar pula datuk dah sampai. Kami berbual kosong saja.”

Senyuman Datuk Halim terus hilang daripada bibirnya apabila dia melihat wajah Harraz. Rasa janggal pula apabila berdepan dengan Harraz kerana Harraz sudahpun tahu rahsia terbesarnya. Jika Harraz buka mulut, pasti perniagaan dan keluarganya akan hancur.

“Datuk Halim, lama kita tak berjumpa. Ada baiknya kita berjumpa hari ini. Ada perkara penting yang I nak bincangkan dengan datuk nanti.”

“Oh ya ke? Perkara apa tu? Dengar tu macam penting saja.”

Datuk Halim tidak senang duduk. Dia menelan liur. Apakah perkara penting yang Hud Aariz maksudkan? Apakah ada kaitan dengan Zanita?

“Nanti I beritahu selepas habis meeting kita hari ini. Okay, I akan mulakan. Kita semua tahu yang Lisa telah ditangkap sekarang, so berkenaan dengan produk baru yang menggunakan Lisa sebagai duta, kami dah sepakat untuk you gantikan tempat dia?”

“Betul ke? Wow menarik tu. Patutlah I rasa berdebar-debar nak datang hari ini, rupanya ada berita baik. I setuju tapi ada syaratnya.”

“Apa syaratnya?”

Datuk Halim menyoal pula.

“I nak Datuk Hud ada dengan I setiap kali ada sesi photoshoot. Boleh ke?”

Lirikan mata Tiara seolah-olah sedang menggoda Hud Aariz. Senyuman yang dilemparkan seperti sedang menyimpan sesuatu muslihat.

“Sorry, Miss Tiara. I tak boleh buat macam tu. You know, I ada banyak perkara yang perlu dilakukan. Why not kalau Datuk Halim temankan you. I rasa dia tak kisah. Betul tak Datuk Halim?”

Senyuman kelat dilemparkan kepada Hud Aariz. Datuk Halim tahu yang Hud Aariz sengaja hendak mengenakannya.

“Sebagai pemilik produk, I tak kisah pun. Asalkan kerja berjalan dengan lancar. Miss Tiara, you tahu kan yang Datuk Hud ni sentiasa busy. Memang susah dia nak stay dekat satu-satu tempat. Betul kan, Datuk Hud.”

Hud menganggukkan kepalanya. Ternyata Datuk Halim bijak menyusun kata-kata di hadapan wanita cantik. Sifat buaya daratnya jelas kelihatan.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, meeting kita habis setakat ini saja. Thanks, Miss Tiara kerana sudi berjumpa hari ini. Hopefully semuanya berjalan dengan lancar and I taknak isu-isu remeh temeh terjadi lagi.”

“Most welcome. Thank you sebab percayakan I. I akan lakukan yang terbaik untuk syarikat you dan Datuk Halim. I pergi dulu. Bye…”

Tiara terus melangkah pergi meninggalkan Hud Aariz dan Datuk Halim. Sekarang Hud Aariz perlu bersemuka dengan Datuk Halim. Apapun yang terjadi, dia perlu minta kebenaran daripada Datuk Halim terlebih dahulu.

“Datuk Hud, apa perkara yang datuk nak bincangkan dengan I? Mustahak sangat ke?”

Belum sempat Hud Aariz membuka mulut, Datuk Halim terlebih dahulu memulakan perbualan.

“Errr sebenarnya datuk, I dah bincang dengan Dhia, kalau boleh kami nak percepatkan perkahwinan kami. Datuk setuju ke?”

“Hah? Why?”

Terperanjat Datuk Halim selepas mendengar usulan daripada Hud Aariz. Lagaknya seperti baru sahaja mengetahui hubungan antara dia dan Dhia Safiya tetapi hakikatnya, dia terkejut kerana bukan soal Zanita yang Hud Aariz ingin bicarakan. Nafas lega dihembus.

“Kenapa datuk terkejut? Datuk tak setuju ke? Datuk pun tahu kan yang kami berdua sudah bertunang. I rasa lebih baik kalau kami percepatkan perkahwinan ni.”

“No, I bukannya tak setuju. Itu hal you'll kalau you'll nak cepatkan perkahwinan. I cuma terkejut sebab Datuk Hud Aariz yang I kenal lebih pentingkan anak I daripada kerjaya dia. I'm so impressed.”

Kening Hud Aariz mula berkerut. Di sebalik kata-kata Datuk Halim, dia tahu yang lelaki itu sedang menyindirnya.

“Okay good. I rasa datuk pun dah setuju dengan cadangan I, so nanti datuk bolehlah berbincang dengan Datin Mastura. I akan buat preparation untuk majlis tu and I harap semuanya berjalan dengan lancar. Thanks, datuk. I need to go. See ya…”

Senyuman sinis diberikan kepada Datuk Halim sebaik sahaja Hud Aariz ingin melangkah pergi. Walaupun Datuk Halim bakal menjadi ayah mentuanya tetapi entah mengapa, dia merasa baran apabila melihat wajah lelaki tua itu.

“Hisyyy tak guna. Orang macam ni ke nak jadi suami Dhia? Ni bukan menantu tapi hantu. Geramnya aku…”

Datuk Halim terus menundukkan wajah apabila Harraz berpaling ke arahnya. Pandangan tajam anak mata Harraz benar-benar menakutkan. Dia perlu menjauhkan diri daripada Harraz buat sementara waktu. Dia perlu merencanakan sesuatu untuk membuat Harraz diam buat selama-lamanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience