SAMPUL surat yang berada di dalam genggaman tangan diperhatikan dengan pandangan kosong. Perlahan-lahan isi kandungan di dalam sampul surat itu dikeluarkan. Wajah Hud Aariz kelihatan tenang tetapi di dalam hati, hanya Tuhan yang tahu.
Seketika, keningnya mula berkerut apabila menatap gambar di hadapannya. Riak wajahnya juga berubah. Beberapa keping gambar sosok tubuh seorang wanita diperhatikan. Melalui kerutan di dahinya, jelas menunjukkan yang dia memang tidak mengenali siapa empunya sosok itu.
“Harraz, I rasa I tak pernah jumpa dengan wanita ni. You ada gambar dia yang lebih jelas?”
“Tak ada, datuk. Lagipun dia tutup mukanya dengan face mask, jadi memang tak nampak jelas muka dia.”
Hud Aariz mendongak menatap wajah Harraz tetapi dia tunduk semula menilik gambar di tangannya.
“Siapa perempuan ni? Apa agaknya yang dia dendam sangat dengan I? You rasa I ada sakitkan hati mana-mana wanita ke?”
Sekali lagi Hud Aariz mendongak. Kali ini anak matanya tajam menikam wajah Harraz yang juga sedang memandangnya.
“Hurm saya rasa mungkin juga dia marahkan datuk selepas datuk bertunang dengan Cik Dhia.”
“Tapi… you kan tahu I tak pernah ada perasaan dekat mana-mana wanita selain Dhia. So, kenapa pula dia nak sakit hati? Kalau betul dia sukakan I, kenapa dia sendiri tak datang jumpa I dan kenapa dia perlu bersembunyi. Why? Why, Harraz?”
Suasana sunyi seketika. Hud Aariz tertunduk memandang gambar yang diletakkan di atas meja. Tangannya naik memicit kepala. Terasa berat kepalanya memikirkan sosok wanita di dalam gambar itu. Matanya dipejamkan buat seketika.
“Hurm entahlah, datuk. Saya rasa mungkin dia pernah lafazkan cinta dia dengan datuk tapi datuk menolak. Mungkin sebelum datuk bangunkan syarikat ini, datuk pernah bercinta dengan sesiapa. Cuba datuk ingat semula.”
Hud Aariz membuka semula matanya. Fikirannya jauh melayang memikirkan kata-kata Harraz. Muncul bayang seorang wanita dalam kotak memorinya. Bola matanya terbeliak. Dadanya mula berombak. Nafas yang disedut terasa sesak. Sekali lagi dia mendongak dan menatap wajah Harraz tanpa berkelip.
*
7 tahun yang lalu
“Awak dah buka hadiah yang saya beri? Saya buat sendiri tau. Warna yang saya pilih tu pun warna kesukaan awak. Nanti awak bolehlah pakai pergi kelas. Errr selamat ulang tahun kelahiran, Hud…”
Mawardah tersenyum sambil sesekali melirik ke arah Hud Aariz. Terasa malu hendak menatap wajah lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Lelaki itu terlalu sempurna di matanya. Tidak disangka yang Hud Aariz sudi menjadi sahabatnya dan persahabatan mereka juga sudah hampir 2 tahun.
“Terima kasih atas ucapan tu dan terima kasih juga bagi saya hadiah ni. Awak tak perlu pun susah payah berikan saya hadiah. Lagipun kita kan cuma kawan saja. Apa kata kalau awak beri kepada orang yang awak suka.”
Hud Aariz melemparkan senyuman kepada Mawardah tetapi Mawardah menundukkan wajahnya semula apabila anak mata mereka bertembung. Debaran hatinya semakin kuat dirasakan. Dia tidak dapat menyembunyikan perasaannya terhadap Hud Aariz lagi.
“Errr sebenarnya saya dah lama nak beritahu awak perkara ni. Sa… saya su… sukakan awak, Hud.”
Hud Aariz terdiam mendengar luahan Mawardah. Dia menelan liur. Wajah Mawardah yang merah merona ditatap lama.
“Sorry, Mawar. Saya terpaksa tolak cinta awak. Saya nak fokus pada pelajaran saya. Awak pun tahu kan yang tahun depan tahun terakhir pelajaran kita. Saya tak nak kalau hubungan ini buat kita lalai dan gagal dalam pelajaran.”
“Tapi Hud, saya takkan ganggu pelajaran awak. Saya sumpah hubungan kita ni takkan jejaskan pelajaran kita. Saya pun akan rahsiakan hubungan kita. Saya janji.”
Satu keluhan kasar dilepaskan. Hud Aariz mulai muak dengan pujuk rayu Mawardah. Entah mengapa cukup sukar untuk gadis itu menerima kenyataan.
“Mawar, awak ni tak faham atau buat-buat tak faham? Saya tak sukakan awak. Selama ini saya cuma anggap awak sebagai kawan saja. Tak lebih daripada tu.”
Tangan Hud Aariz dicengkam kuat. Mawardah mula berlutut di hadapannya. Dia tersentak dengan perlakuan Mawardah yang tiba-tiba itu.
“Apa awak buat ni? Awak dah gila ke? Lepaskan saya.”
Hud Aariz menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia mulai risau jika ada pelajar yang menyaksikan perlakuan Mawardah.
“Hud, tolong jangan tolak cinta saya. Saya betul-betul ikhlas sayangkan awak. Tolong terima cinta saya. Saya janji saya tak akan ganggu pelajaran awak. Tolonglah…”
Rayuan Mawardah yang disusuli dengan esakan kecil membuatkan Hud Aariz merasa gementar. Bagaimana jika suara tangisan Mawardah akan didengari oleh pelajar yang lalu lalang? Dia tidak mahu semua orang tahu apa yang terjadi antara mereka berdua.
“Lepaslah! Kau dah gila ke?”
Tanpa belas kasihan, Hud Aariz menarik tangannya sehingga Mawardah tersungkur di atas tanah. Perlahan-lahan Mawardah bangun dan menilik tapak tangannya yang terluka dan berdarah.
“Kau dengar sini, Mawar. Mulai hari ini, kau dan aku putus kawan. Kau jangan cari aku lagi. Aku taknak tengok muka kau sampai bila-bila. Kau faham?”
Hud Aariz berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang sedikitpun. Dia meninggalkan Mawardah yang masih duduk di atas lantai tanah.
“Hud… jangan tinggalkan saya. Saya janji saya tak akan ganggu awak. Saya cuma nak bersama dengan awak. Hud…”
Rayuan Mawardah langsung tidak diendahkan. Hud Aariz menonong meninggalkan kawasan tersebut. Bukan dia mahu menyakitkan hati Mawardah tetapi dia tidak mahu Mawardah berharap yang dia akan membalas cintanya. Biarlah hubungan mereka kekal sebagai sahabat.
Selepas kejadian tempoh hari, kelibat Mawardah langsung tidak kelihatan. Dia tidak pernah muncul lagi di hadapan Hud Aariz. Desas desus menyatakan yang Mawardah sudahpun berhenti belajar dan berpindah ke luar negara bersama keluarganya.
Berita itu membuatkan Hud Aariz merasa sedikit tenang kerana tidak akan diganggu lagi tetapi dalam hatinya, dia merasa bersalah terhadap Mawardah. Mungkin dia terlalu tegas dengan gadis itu tetapi itulah yang terbaik buat mereka berdua.
*
“Datuk okay ke?”
Soalan Harraz membuatkan Hud Aariz tersedar daripada lamunan. Terlalu jauh dia memikirkan masa lalu. Masa lalu yang sudah lama dia padam tetapi memori itu tiba-tiba kembali lagi setelah sekian lama. Semuanya kerana pengirim bunga misteri itu.
“Harraz, I nak you selidik orang ini, di mana dia tinggal dan apa dia lakukan sekarang.”
“Baik, datuk tapi siapa orang yang datuk maksudkan?”
Hud Aariz diam seketika. Bayangan wajah Mawardah muncul dalam ingatannya. Entah di mana gadis itu sekarang. Adakah dia masih berada di luar negara atau sudah pulang ke tanah air?
“I rasa I masih lagi simpan gambar dia. Sekejap.”
Laci kecil di sebelah meja mula diselongkar. Sebuah fail kecil dikeluarkan daripada dalam laci. Sehelai demi sehelai muka surat diselak sehinggalah dia berhenti pada satu muka surat. Sekeping gambar dikeluarkan daripada plastik helaian muka surat. Gambar dia bersama Mawardah ketika kali pertama mereka berkenalan.
“I nak you selidik wanita yang ada dalam gambar ni. I nak tahu di mana dia berada sekarang. Maybe dia adalah pengirim bunga misteri tu.”
Harraz mengambil gambar yang dihulurkan kepadanya. Wanita di dalam gambar tersebut diperhatikan.
“Hahaha ini ke orang yang datuk suka tu? Saya rasa Cik Dhia lagi cantik. Datuk ni memang tak ada tastelah.”
Hud Aariz memicingkan matanya. Berani sungguh Harraz menertawakannya.
“I nak you cari dia tinggal di mana, bukannya I suruh you gelakkan I. Orang kacak macam I ini memang diminati ramai, termasuk orang lanjut usia dan kanak-kanak. Selama ini yang sukakan I semuanya model-model terkenal, bukannya macam you, single.”
“Datuk yakin ke yang saya ni single?”
Terbeliak bola mata Hud Aariz apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Harraz. Pasti ada sesuatu yang Harraz sembunyikan daripadanya. Dia bangun dan berjalan mendekati Harraz.
“You dah ada girlfriend ke sekarang? Siapa?”
Harraz berundur sedikit ke belakang. Senyuman di bibir Hud Aariz benar-benar menakutkan.
“Errr kenapa saya nak kena beritahu kepada datuk. Itu kan hal peribadi saya.”
“Ohhh berani you melawan cakap I. Cepat cakap, siapa girlfriend you?”
“Tak boleh, girlfriend saya nak saya rahsiakan siapa dia.”
Senyuman Hud Aariz membuatkan Harraz merasa cemas. Dia bersandar pada dinding dan cuba mencari jalan untuk melarikan diri daripada Hud Aariz. Dia yakin Hud Aariz ingin melakukan sesuatu yang dia tidak suka.
“Mana you nak lari? Hahaha you tak akan terlepas, Harraz.”
“Jangan, datuk. Jangan…”
Jeritan Harraz bergema di dalam bilik pejabat Hud Aariz. Dia cuba berlari ke arah pintu tetapi kerana tapak kasutnya yang licin membuatkan dia terjatuh ke atas lantai.
“Datuk, saya bagi amaran. Datuk jangan sentuh saya.”
“Hah? Apa? Hahaha you tak akan terlepas, Harraz. You akan terima balasan you sebab berani tipu I. Baik you beritahu I siapa girlfriend you?”
Hud Aariz mendekati Harraz. Tangannya laju mencuit pinggang Harraz membuatkan Harraz ketawa dengan kuat. Suara jantannya yang nyaring itu membuatkan Hud Aariz semakin galak mengusik Harraz.
“Hubby, apa Hubby buat ni?”
Hud Aariz menoleh ke arah pintu sebaik sahaja terdengar suara Dhia Safiya. Harraz yang sedang berguling di atas lantai terus terdiam. Dia yang sedang tertiarap terus bangun dan duduk bersila. Nafasnya tercungap-cungap akibat penat ketawa.
“Hubby buat apa?”
Kening Dhia Safiya mula berkerut. Riak wajahnya kelihatan muram. Matanya tajam menikam wajah Hud Aariz dan Harraz silih berganti.
“Errr anje. Hubby tak… errr Harraz hurm biar hubby jelaskan.”
“Sampai hati hubby buat anje macam ni.”
“Anje, please. Biar hubby jelaskan. Hubby dan Harraz takda buat apa-apapun. Please anje…”
Dhia Safiya berlari meninggalkan bilik pejabat Hud Aariz. Hud Aariz mengejar dari belakang. Murni yang sedang tercegat di muka pintu hanya mampu memerhatikan mereka berdua berkejar-kejaran. Hilang sahaja kelibat mereka berdua, dia berjalan mendekati Harraz yang masih duduk di atas lantai. Dia terus duduk menghadap Harraz.
“Saya tak sangka yang awak dengan datuk ada hubungan istimewa. Patutlah awak tolak ajakan saya hari tu, rupanya… hurm. Tak baik tahu tak rampas cinta Cik Dhia. Lagi satu, berdosa tau suka sesama jenis. Nabi tak mengaku umat. Nanti awak masuk neraka. Isk isk isk…”
Tanpa menghiraukan Harraz, Murni terus menapak keluar daripada bilik pejabat. Malas dia hendak melihat wajah Harraz lagi. Ternyata Harraz sukakan lelaki, bukan wanita sepertinya. Lebih baik dia buang sahaja rasa sukanya terhadap Harraz.
“Err Murni. Saya tak sukakan datuk. Saya ada girlfriend. Saya bukan sejenis pelangi selepas hujan. Dengar dulu penjelasan saya. Huhuhu ini semua salah datuk. Kenapa datuk jatuhkan air muka saya. Arghhh…”
*
“Anje, please dengar dulu penjelasan hubby. Hubby dan Harraz tak ada hubungan yang macam anje fikir tu. Kami bukan golongan kaum Nabi Lut.”
Dhia Safiya berpaling menghadap Hud Aariz. Dia memeluk tubuh. Melihat sahaja wajah Hud Aariz, hatinya merasa panas. Udara yang disedut dan dihembus terasa sesak di dalam dada.
“Owh pandai pula cakap bab agama. Patutlah selama ini susah sangat hubby nak jumpa dengan anje. Ingatkan hubby sibuk nak cari wanita pengirim bunga tu, rupanya sibuk nak bercinta dengan Harraz.”
“Astaghfirullahalazim. Apa yang anje merepek ni. Hubby tak ada apa-apa hubungan cinta atau apapun yang anje anggap tu dengan Harraz. Harraz tu lelaki dan dia juga sudah ada girlfriend. Hubby cuma cintakan anje seorang saja. Sumpah.”
“Kalau betul hubby tak ada apa-apa hubungan dengan Harraz, hubby buktikan sekarang!”
“Buktikan? Errr…”
Hud Aariz menggaru kepalanya. Di mendekati Dhia Safiya. Tangannya laju menarik tubuh Dhia Safiya ke dalam pelukannya.
“Arghhh hubby buat apa ni?”
Satu tamparan kuat singgah di pipi Hud Aariz. Dhia Safiya menjarakkan dirinya dan berpaling membelakangkan Hud Aariz. Dia memeluk dadanya sendiri kerana risau jika Hud Aariz mengulangi tindakan yang sama sekali lagi.
“Anje… hubby tak sengaja.”
Hud Aariz meraba pipi yang terasa pedih. Buat pertama kali dia ditampar oleh seorang wanita dan wanita itu pula ialah tunangnya sendiri.
“Anje, tengok hubby.”
“Taknak. Cakap sajalah. Ada apa?”
“Anje, kita cepatkan perkahwinan kita. Hubby janji, sebelum berakhir tahun ini, kita kahwin.”
Sebaik sahaja mendengar kata-kata Hud Aariz, Dhia Safiya kembali tenang. Bibirnya mula mengukir senyuman. Akhirnya dia akan berkahwin dengan Hud Aariz. Lelaki itu akan menjadi miliknya.
Dhia Safiya berpaling menghadap Hud Aariz. Wajah yang tadinya manis dengan senyuman, tiba-tiba sahaja bertukar muram.
“Betul ke? Boleh ke anje percaya cakap hubby? Hubby janji?”
“Betul, anje. Hubby janji. Hubby taknak anje salah faham lagi. Hubby nak buktikan pada anje yang hubby ni betul-betul sayangkan anje dan hubby bukannya lelaki…”
Hud Aariz menggelengkan kepala.
“Lelaki yang anje fikir. Hubby sayangkan anje sangat-sangat. Hubby taknak anje rasa tersisih lagi.”
“Kalau macam tu, anje maafkan hubby atas apa yang berlaku hari ini tapi jangan ingat anje akan lupakan kejadian tadi tau. Anje tetap akan perhatikan hubby dan Harraz. Faham tak?”
“Faham anje ku sayang. Maafkan, hubby. Jom kita masuk ke dalam. Kejap lagi hubby ada meeting dengan Datuk Zakaria.”
“Hurm yalah…”
Dhia Safiya akur. Riak wajahnya muram sahaja tetapi di dalam hati, dia bersorak gembira. Impiannya untuk berkahwin dengan Hud Aariz akan tercapai. Hooray.
*
Hud Aariz dan Harraz berdiri di hadapan sebuah banglow mewah yang terpampang indah di depan mata. Berkali-kali Hud Aariz membaca alamat yang tertera di atas kertas di dalam tangannya. Tidak disangka-sangka orang yang dia cari selama ini rupa-rupanya berada berdekatan mereka sahaja.
“Betul ke ini rumah Mawardah?”
Entah kali ke berapa Hud Aariz mengulangi soalan yang sama. Perasaan was-was menguasai dirinya.
“Betul, datuk. Kalau ikut alamat di dalam kertas tu, memang ini rumah dia. Tak sangka kaya juga ex girlfriend datuk ni.”
Tidak pedulikan kata-kata Harraz, Hud Aariz lebih berminat ingin berjumpa dengan sahabatnya, Mawardah. Loceng yang berada dipagar rumah terus ditekan. Hampir 5 minit mereka menunggu, akhirnya muncul seorang wanita yang berbadan gempal.
“Assalamualaikum.”
Sapa Hud Aariz disusuli dengan senyuman.
“Waalaikumsalam. Encik berdua ni cari siapa ya?”
“Errr kami mencari seorang wanita yang bernama Mawardah.”
“Mawardah?”
Hud Aariz dan Harraz menganggukkan kepala mereka serentak. Rasa tidak sabar pula hendak berjumpa dengan pengirim bunga mawar misteri yang telah mengganggu hidup Hud Aariz selama ini. Kali ini, mereka akan memastikan wanita yang bernama Mawardah itu tidak akan terlepas. Dia perlu membayar setiap tenaga dan wang ringgit yang telah mereka keluarkan selama ini.
'Mawardah, kau tidak akan terlepas kali ini!'
Hud Aariz menjerit di dalam hati.
Share this novel