AYUNAN kaki Dhia Safiya semakin laju apabila dia terdengar bunyi tapak kasut yang semakin dekat. Dia berpaling ke belakang untuk melihat jika ada kelibat orang yang mengekorinya tetapi malangnya tiada sesiapa. Fikirnya mungkin kerana dia terlalu penat sehingga berhayal yang bukan-bukan.
Tak!
Tak!
Tak!
Kali ini bunyi tapak kasut itu tidak sekuat tadi. Bunyi langkahnya juga semakin perlahan.
“Siapa tu?”
Desis Dhia Safiya sambil anak matanya liar melihat sekeliling. File yang berada di dalam tangan terus terlepas daripada genggaman membuatkan dia semakin cemas.
“Ya Allah, selamatkan aku. Jauhkan aku daripada makhluk halus atau kejahatan manusia. Amiin.”
Sempat dia berdoa sambil mengutip file yang berselerak di atas lantai. Dia tahu bunyi tersebut bukanlah bunyi yang datang daripada makhluk halus tetapi bunyi itu datang daripada manusia yang mengekorinya secara sembunyi.
Bunyi tapak kasut itu tiba-tiba semakin perlahan dan terus menghilang. Suasana sunyi seketika. Dhia Safiya sudah tidak pedulikan bunyi tapak kasut itu lagi, malah semakin laju dia membawa kakinya ke arah kereta yang berada tidak jauh. Dia perlu segera masuk ke dalam kereta kerana hanya di dalam kereta dia rasakan satu-satunya tempat yang selamat di kawasan itu.
“Mana kunci kereta aku ni? Aduh, time-time macam ni lah kau nak hilang kan.”
Perasaan yang takut membuatkan Dhia Safiya panik. Tidak sampai beberapa saat selepas kunci ditemukan di dalam beg tangannya, dia terus masuk ke dalam perut kereta. Belum sempat dia menutup pintu kereta, tiba-tiba ada seseorang masuk ke tempat duduk penumpang di sebelahnya.
“Arghhh…”
Dhia Safiya menjerit dengan kuat dan matanya terpejam rapat. Tangannya naik menutup wajahnya. Tubuh badannya mula menggigil.
“Kenapa? Kenapa?”
Bola mata Hud Aariz terbeliak sambil melihat sekeliling. Dia menatap wajah Dhia Safiya yang ditutup dengan telapak tangan. Dia terus menggenggam jemari Dhia Safiya yang masih menggigil.
“Anje okay?”
Hud Aariz cuba menenangkan Dhia Safiya yang kelihatan takut dan wajahnya pula pucat seperti baru sahaja melihat sosok hantu.
Dhia Safiya membuka semula matanya. Sebaik sahaja melihat wajah Hud Aariz, tangannya laju memukul paha Hud Aariz dengan kuat. Nasib baik dia tiada penyakit lemah jantung, jika tidak pasti dia sudah pengsan kerana terkejut.
“Hubby ni, terkejut anje tau.”
“Sorrylah, anje. Tadi hubby nampak anje tergesa-gesa nak masuk ke dalam kereta. Kenapa? Ada orang kejar ke?”
“Tadi masa anje keluar daripada lift, anje terdengar bunyi tapak kasut. Tu yang buat anje takut. Anje ingatkan ada orang follow anje. Hubby ek yang sengaja takutkan anje?”
“Aik kenapa pula hubby nak takutkan anje. Daripada tadi lagi hubby duduk dalam kereta, tak kemana-mana lagi. Hubby tak nampak pula sesiapa yang follow anje. Maybe perasaan anje saja tu.”
“Hurm tapi anje yakin yang memang ada orang lain tadi. Hurm mungkin betul kata hubby, perasaan anje saja kot.”
“Anje jangan takut ya. Sekarang hubby ada dengan anje.”
Jemari Dhia Safiya diusap lembut. Risau dia melihat wajah pucat tunangnya itu. Andai benar apa yang diberitahu oleh Dhia Safiya, dia perlu lebih kerap perhatikannya selepas ini.
“Errr hubby daripada mana ni? Mana Harraz?”
“Harraz dah balik tadi. Sengaja hubby suruh dia balik awal. Anje pula, kenapa anje balik lewat?”
Hud Aariz tunduk menatap jam di pergelangan tangan kirinya dan dia angkat wajah menatap muka Dhia Safiya semula.
“Dah pukul 6.30 ni. Dah lewat dah. Rasanya semua orang dah balik. Banyak sangat ke kerja anje tu?”
“Tadi anje siapkan report. Minggu depan kan ada audit, jadi senanglah nanti nak present depan dia orang. Hubby kenapa balik office semula? Ada barang tertinggal ke?”
“Hubby nak ambil kereta. Tadi hubby tengok kereta anje masih ada, itu yang hubby tunggu. Anje, hubby dah berbincang dengan Datuk Halim untuk percepatkan perkahwinan kita.”
Terbeliak mata Dhia Safiya selepas mendengar berita daripada Hud Aariz. Dia tersenyum lebar sehingga terlihat baris giginya.
“Apa kata papa?”
“Datuk Halim setuju. So, hubby tunggu anje bagi jawapan.”
“Jawapan apa?”
Dhia Safiya mengerutkan keningnya tetapi tatapan redup daripada Hud Aariz membuatnya hilang pertimbangan buat seketika. Anak matanya bergerak-gerak menilik wajah Hud Aariz. Entah kali yang ke berapa dia telah jatuh cinta dengan lelaki itu.
“Anje sudi ke kahwin dengan hubby ni? Hubby kan tak sama dengan lelaki lain dekat luar sana tu. Hubby ni dah la tak romantik, selalu sibuk dengan kerja, selalu tak ada masa untuk anje, selalu buat anje sakit hati.”
“Dah tahu macam tu, kenapa hubby buat juga?”
“Sebab hubby kan dah tak ada pilihan. Apa yang hubby buat sekarang ini, semua untuk masa depan kita dan anak-anak kita nanti.”
“Anak-anak kita?”
“Ya, anak-anak kita.”
Senyuman manis yang terlakar di wajah Dhia Safiya membuatkan jiwa Hud Aariz meronta-ronta ingin memiliki wanita itu. Jantungnya mula berdegup laju. Dia merasakan seolah-olah dunia ini hanya ada mereka berdua sahaja.
“Terima kasih, anje sebab sudi tolak ansur dengan hubby. Hubby janji hubby tak akan sia-siakan anje dan akan sayang anje sampai maut yang memisahkan kita.”
Kata-kata Hud Aariz tidak dibalas, malah Dhia Safiya sibuk menilik wajah tunangnya itu. Daripada mata, turun ke hidung dan ke bibir pula. Setiap inci wajah Hud Aariz seakan-akan telah diimbas dan disimpan ke dalam ruang memori kepalanya.
“Anje, anje okay ke?”
“Hah? Anje okay. Hubby, hubby janganlah risau. Anje akan sayang hubby sampai bila-bila. Cinta dan sayang anje ni takkan hilang selagi nyawa dikandung badan.”
“Ehem… ini yang buat hubby tak sabar nak kahwin ni. Umi, Hud nak kahwin!”
Wajah Dhia Safiya mula merah merona. Dia melarikan wajahnya ke hadapan. Terasa malu hendak memandang wajah Hud Aariz.
“Hubby ni, malulah. Nasib baik tak ada orang. Jomlah balik, dah nak senja ni.”
“Jom, hubby hantar anje balik. Lepas ni, jangan balik lewat lagi. Jangan buat hubby risau okay. Nasib baik hubby ada tadi, kalau anje kena culik, menangis air mata darah hubby nanti.”
“Hisyyy tak baiklah kata macam tu. Hurm anje penatlah. Hubby drive boleh tak?”
“Untuk anje semua boleh…”
Hud Aariz dan Dhia Safiya langsung bertukar tempat duduk. Kereta milik Dhia Safiya yang dipandu Hud Aariz perlahan-lahan meninggalkan kawasan meletak kenderaan tersebut.
Tanpa mereka sedari, ada seseorang yang sedang memerhatikan mereka berdua dari jauh. Pisau kecil yang berada di dalam genggaman tangan dimasukkan semula ke dalam beg galas. Langkah demi langkah yang diayun disusuli dengan kata-kata kesat terhadap Dhia Safiya. Jika Hud Aariz tidak muncul sebentar tadi, pasti dia dapat menyerang wanita itu. Disebabkan oleh Hud Aariz, rancangannya telah gagal. Kelibat itu terus meninggalkan kawasan tersebut dalam keadaan marah yang membuak-buak.
*
Senyuman manis dihadiahkan kepada Zanita sebaik sahaja dia melihat wajah gadis itu. Hari ini mereka berpeluang makan bersama-sama kerana Hud Aariz sibuk menghadiri jemputan rumah terbuka di kediaman Datuk Zakaria.
“Abang, lamanya kita tak berjumpa kan. Lolita rindukan abang…”
“Iya, betul rindukan abang?”
“Betullah. Mana ada Lolita tipu.”
“Alhamdulillah. Syukur sangat sekarang ni dah ada orang rindukan abang. Sejuk rasa hati.”
Zanita mula menggenggam jemari Harraz dan jari jemari mereka saling bertaut antara satu sama lain. Rasa bahagia yang selama ini mereka dambakan akhirnya muncul juga.
“Lolita nampak cantik hari ini.”
Tatapan mata Harraz yang lembut itu membuatkan Zanita semakin tergoda dengan lelaki yang bernama Harraz. Entah kenapa dia tidak sedar akan kehadiran Harraz selama ini, malah dia semakin tenggelam dengan cinta palsu Datuk Halim yang hanya ingin mengambil kesempatan terhadap dirinya. Sekarang dia sudah sedar bahawa cinta sejati itu ternyata memang wujud.
“Ya ke? Terima kasih, abang. Abang pun nampak kacak juga. Erm abang janganlah tengok adik macam tu, adik malulah…”
Senyuman Harraz yang menggoda itu pasti telah membuat ramai wanita di luar sana cair.
“Haha okaylah. Malu pula dia.”
“Hari ni abang tak ikut along pergi rumah terbuka ke? Semalam Lolita ada terdengar umi dan abi berbual yang along menjadi tetamu undangan dekat sana.”
“Nanti selepas selesai majlis, baru abang pergi. Lagipun ada bodyguard lain yang ganti tempat abang. Nasib baik datuk tu prihatin, barulah kita ada peluang untuk berjumpa.”
Terjongket sedikit kening Zanita apabila Harraz memuji abangnya. Rasa tidak percaya pula. Hud Aariz memang baik orangnya tetapi sebagai seorang adik, dia tetap tidak bersetuju. Dia tidak salah kerana semua orang dalam dunia ini akan menganggap adik beradik mereka sebagai musuh ketat. Pantang dipuji, pasti cemburu.
“Oh ya. Baik pula dia hari ni, kalau tak asyik nak berkepit saja dengan abang. Menyampah dengan along tu. Macam manalah kak Dhia boleh tahan dengan perangai dia tu.”
“Cik Dhia boleh tahan dengan datuk sebab layanan datuk dengan dia lain, dengan kita ni lain.”
Zanita menjuihkan bibir. Rasa menyampah pula apabila dia menjadi orang kedua dalam hidup alongnya.
“Ah tak kisahlah. Mana boleh pilih kasih. Lolita ni kan adik dia. Patutnya dia layan Lolita ni sama level dengan dia layan kak Dhia.”
Lolita tunjuk wajah menyampah. Walaupun Hud Aariz manjakan dia tetapi dia tetap cemburu kepada Dhia Safiya. Pasti selepas ini dia tidak dapat bermanja dengan Hud Aariz lagi. Lagipun, Dhia Safiya ialah anak kepada bekas kekasihnya. Apakah nasibnya nanti jika Dhia Safiya tahu kebenaran tentang hubungan mereka sebelum ini?
“Lolita sayang, abang Harraz kan ada. Abang Harraz sudi bagi kasih sayang abang untuk Lolita sebanyak mana yang Lolita nak. Kalau takda sesiapa yang Lolita boleh bergantung, abang nak Lolita bergantung dengan abang seorang saja. Okay?”
“Terima kasih, abang. Sayang abang.”
“Abang pun sayangkan Lolita.”
Lolita tersipu malu apabila Harraz menunjukkan ‘mini love’ kepadanya. Tidak disangka-sangka yang dia akan jatuh cinta kepada bodyguard alongnya sendiri. Mungkin ini yang dikatakan cinta itu buta. Dia sudah buta terhadap cinta yang Harraz berikan kepadanya.
*
Seorang pengawal keselamatan menghampiri Harraz sebaik sahaja Harraz masuk ke ruang lobi bangunan. Dia menghulurkan sekeping surat kepada Harraz.
“Encik Harraz, ini ada surat untuk Datuk Hud.”
“Siapa yang berikan?”
“Tadi ada lelaki pengirim bunga yang hantar.”
“Sudah berapa kali saya beri amaran supaya jangan ambil apa-apa surat atau hadiah daripada pengirim bunga! Susah sangat ke kamu semua nak faham?”
“Ma… maaf, Encik Harraz. Pekerja baru yang terima tadi.”
“Alasan! Berapa ramai pekerja baru yang hr hired dalam masa 2 bulan ni? 10? 20?”
Pengawal keselamatan itu hanya diam sahaja sambil menundukkan kepalanya. Dia tahu dia akan dimarahi oleh Harraz jika mengambil surat itu tetapi dia tiada pilihan lain. Jika dia melawan, pasti dia akan dipecat serta merta.
“Ini amaran terakhir daripada saya, kalau saya nampak lagi surat atau hadiah daripada orang yang tidak dikenali, kamu semua akan dipecat. Faham?”
“Fa… faham, Encik Harraz.”
Tanpa membuang masa lagi, Harraz bergegas naik ke tingkat atas. Selepas menegur Murni di ruangan meja kerjanya, dia terus masuk ke dalam bilik pejabat Hud Aariz. Dia tersentak sebaik sahaja melihat Hud Aariz sedang sibuk menyemak file yang berselerak di atas meja.
“Datuk, bukan ke datuk patutnya ke rumah Datuk Zakaria?”
“Ya tapi I dah balik. Banyak benda yang nak diuruskan. Kenapa?”
Hud Aariz menyoal tanya memandang wajah Harraz. Dia masih sibuk menatap file di tangannya.
“Errr datuk, ini ada surat lagi untuk datuk.”
“Orang yang sama?”
Soalan Hud Aariz dibalas dengan anggukan. Sampul surat bertukar tangan lalu dibuka perlahan-lahan. Kelopak bunga mawar merah tiba-tiba terjatuh di atas meja sebaik sahaja Hud Aariz menarik keluar sekeping kertas A4 yang berwarna kuning cair. Bau wangian daripada bunga mawar itu menusuk ke dalam rongga hidung. Pasti wanita ini benar-benar sukakan bunga mawar.
[Hi, Aariz.
Awak cari saya ke? Dah jumpa? Belum kan? Hahaha. Saya tahu awak bersungguh-sungguh mencari siapa saya. Awak serius nak berjumpa dengan saya? Awak tidak akan menyesal?
Kalau itu kemahuan awak, saya akan tunaikan. Saya akan berikan awak petunjuk siapa saya sebenarnya tapi saya yakin yang awak tidak akan mampu mencari saya sebab saya yang akan tentukan permainan ini dan saya juga orang yang akan tamatkan kisah ini.
Petunjuk yang pertama: Sekuntum bunga mawar larangan.
Mungkin awak telah melupakan saya tetapi awak jangan risau, saya tetap ingat kepada awak.
Your lover,
Mawar]
“What the heck sekuntum bunga mawar larangan pula. Dia ingat I ni dah tak ada kerja lain ke selain daripada main teka teki dengan dia? Panas betul hati I dengan perempuan ni.”
“Sabar, datuk. Datuk kena bawa bertenang. Datuk cuba fikir, macam mana dia tahu yang datuk tengah mencari dia?”
Terdiam seketika. Andaian Harraz membuatkan Hud Aariz tenggelam dalam lamunan. Jika Mawardah bukan pengirim misteri ini, wanita manakah yang sedang mempermainkan dia? Bagaimana wanita ini tahu yang mereka sedang mencari di mana dia berada? Dan, apakah benar kata-kata Dhia Safiya semalam yang dia sedang diekori?
“Nampaknya dia memang ada dekat dengan kita ataupun dia ada simpan spy dalam kalangan kita. Sekarang ini, dia cuba bermain dengan kita sebab dia tahu kita tak akan mampu cari dia...”
Kata-kata Harraz ada logiknya. Apa yang ditulis di dalam surat itu menunjukkan yang dia sangat yakin bahawa mereka tidak akan mampu menemukan dia walaupun mereka berusaha bersungguh-sungguh sekalipun. Sebegitu sekali wanita itu memandang rendah kepada mereka.
“Fine. Kalau itu niat dia, kita akan bermain dengan dia. Dia salah pilih orang. Kali ini, dia takkan terlepas. I ada idea yang akan buat dia kecewa sampai bila-bila.”
“Idea apa tu datuk?”
Senyuman di bibir Hud Aariz membuatkan Harraz terdiam. Dia tahu Hud Aariz sedang merencanakan sesuatu. Dalam beberapa saat, wajah itu mula bertukar bengis. Senyuman tadi mulai hilang.
“Mawar atau siapapun nama kau, baik kau jangan bermain dengan api, nanti api ini yang akan meragut nyawa kau.”
Suasana sunyi seketika. Masing-masing sibuk memikirkan soal pengirim bunga tersebut. Hanya kerana seorang wanita misteri, mereka gagal tumpukan perhatikan kepada perkara yang lebih penting. Kuat sungguh aura si pengirim bunga misteri itu.
“Harraz, jom ikut I pergi ke bilik cctv. I ada benda nak kena settle…”
“Datuk nak tengok Cik Dhia ek?”
“Merepeklah you. Kalau I nak tengok dia, buat apa I nak pergi bilik cctv, baik I pergi bilik dia jer.”
“Hehehe saya gurau sajalah, datuk. Serius betul muka.”
Harraz terus terdiam apabila Hud Aariz menoleh memandangnya. Dia menelan liur yang terasa kelat. Jelingan tajam Hud Aariz dengan ekor matanya menandakan bahawa dia tidak mahu diajak bergurau. Silapnya juga kerana bergurau tidak kena tempat, kan sudah mendapat jelingan maut daripada Hud Aariz.
Share this novel