DHIA Safiya menapak perlahan-lahan masuk ke dalam bilik Hud Aariz setelah dibenarkan oleh bodyguard yang mengawal di hadapan pintu. Dari jauh dia melihat sosok tubuh Hud Aariz yang sedang berbaring di atas katil.
Beg jinjing yang berisi makanan dan sejambak bunga Daisy segar diletakkan di atas meja kopi. Dengan penuh berhati-hati Dhia Safiya menarik kerusi di sebelah katil kerana tidak mahu kekasih hatinya itu terjaga daripada tidur lalu dia duduk menghadap Hud Aariz. Wajah Hud Aariz ditenung lama. Senyuman nipis mula terukir di bibirnya.
“Handsome juga tunang aku ni, sejuk saja mata memandang. Hidung mancung, bibir penuh, ada jawline, urat tangan timbul…”
Anak matanya terarah ke tangan sasa milik Hud Aariz. Mahu sahaja dia menggenggam tangan itu.
“Memang idaman semua gadis. Empunya siapa ni? Eh, si Dhia Safiya yang punya. Bertuahnya dia. Hihihi…”
Mulutnya ditekup dengan kedua-dua belah tangan kerana tidak mahu suara ketawanya didengari oleh Hud Aariz. Pasti tunangnya itu akan ketawakannya nanti.
“I tahu I ni handsome. You tak perlu nak ceritakan kebenaran yang dah sememangnya benar.”
“Hah?”
Ternganga mulut Dhia Safiya apabila melihat Hud Aariz sedang tersenyum sambil menatapnya. Wajahnya merona merah. Mahu sahaja dia bersembunyi di bawah katil buat seketika.
“Bila hubby terjaga?”
“Sejak anje sebut perkataan jawline.”
“Errr… tak baik tau curi dengar kata-kata orang lain.”
“Dah anje puji-puji hubby, mestilah hubby terdengar…”
“Perasan.”
Satu jelingan dihadiahkan kepada Hud Aariz.
“Realitilah, bukan perasan...”
“Malas nak layan.”
Dhia Safiya bangun lalu berjalan mendekati meja kopi. Dia mencapai bunga Daisy dan pasu bunga kaca yang berada di atas meja lalu dibawa ke arah sinki. Bunga tersebut diletakkan di dalam pasu bunga kaca dan pasu bunga itu diletakkan pula di atas meja kecil di sebelah katil Hud Aariz.
Hud Aariz hanya diam memerhatikan perlakuan Dhia Safiya. Dia tahu Dhia Safiya malu untuk mengakui apa yang dikatakan sebentar tadi. Bukannya sehari dua dia mengenali tunangnya itu, malah sudah hampir 1 tahun perkenalan mereka.
“Anje, duduklah sini. Hubby tak puas lagi nak berbual dengan anje.”
Dhia Safiya kembali duduk di tempatnya sebentar tadi. Wajah Hud Aariz dipandang sekilas. Entah kenapa, jantungnya berdegup dengan kencang apabila mata mereka bertembung. Dia melarikan anak matanya lalu tunduk memerhatikan jemarinya yang diletakkan di atas katil.
“Hurm ingatkan hubby dah taknak berbual dengan anje…”
“Takkanlah hubby taknak berbual dengan anje. Anje kan tunang hubby, mestilah hubby suka berbual dan dapat luangkan masa bersama dengan anje.”
“Iyalah tu. Hurm hubby saja kan nak ambil hati anje. Hubby betul-betul sayangkan anje ke?”
Bibir Hud Aariz tersungging sedikit mendengar pertanyaan Dhia Safiya. Selama ini dia hanya mendengar soalan itu di dalam drama dan filem sahaja. Sekarang, dia pula mengalami sendiri.
“Hahaha mestilah hubby sayang anje, kalau tak sayang, kenapa hubby nak bertunang dengan anje.”
“Hubby tahu kan yang kita ni bukannya macam pasangan lain. Hubby selalu sibuk meeting sana sini, sampaikan anje susah nak berjumpa dengan anje. Bila hubby sakit, barulah kita dapat luang masa bersama…”
“Anje… anje tahu kan hubby sibuk. Lagipun bukannya hubby ada perempuan lain. Walaupun hubby tahu ramai wanita cantik yang sukakan hubby tapi hubby tetap pilih anje.”
Dengusan lemah keluar daripada mulut Dhia Safiya. Wajahnya yang tadi ceria mulai muram. Perasaan sedih dan bahagia bercampur baur dalam fikirannya.
“Kalau nanti pengirim bunga tu muncul, hubby akan tinggalkan anje ke?”
Tersentak Hud Aariz mendengar soalan yang ditujukan khas kepadanya. Pertanyaan itu seolah-olah telah menikam jantungnya dan sakit itu lebih perit daripada ditikam pisau tempoh hari.
“Kenapa anje tanya macam tu? Anje tahu kan yang hubby tetap cintakan anje seorang saja. Tiada siapa yang dapat menggantikan anje dalam hati hubby ni.”
Jelingan tajam dihadiahkan kepada Hud Aariz.
“Huh! Dasar buaya tembaga! Anje sudah muaklah dengar ayat yang sama. Semua lelaki sama saja. Penipu.”
“Kalau dah sama, mestilah ramai Hud Aariz dalam dunia ni. Habis tu anje cintakan Hud Aariz yang mana satu?”
“Hud Aariz bin Datuk Seri Hisham!”
“Yes, terima kasih anje sebab cintakan lelaki kacak ini.”
“Hisyyy… malaslah nak bercakap dengan hubby ni. Menyampah.”
“Hurm okaylah. Nak buat macam mana kalau anje dah tak sudi nak bercakap dengan lelaki kacak ni. Terpaksalah lelaki kacak ni bercakap dengan bunga. Kan bunga..”
Tangannya laju memetik sekuntum bunga Daisy di dalam pasu bunga. Bibirnya pula terus mengukirkan senyuman nipis.
Berkerut dahi Dhia Safiya melihat perlakuan Hud Aariz. Jika Hud Aariz bukan seorang pesakit, mahu sahaja dia mencekik lelaki itu.
“Kenapalah sejak dia ni masuk hospital, perangai semakin pelik. Betul ke dia ni Hud Aariz? Entah-entah roh orang gila mana masuk dalam badan dia…”
Gumam Dhia Safiya perlahan. Pandangan sinis dilemparkan kepada Hud Aariz tetapi lelaki itu buat tidak endah sahaja. Malah, Hud Aariz sibuk membetulkan rambutnya yang kusut. Dia hanya mampu mengeluh menyaksikan gerak geri Hud Aariz sambil menggelengkan kepalanya.
*
“Kenapa dengan muka abang ni? Abang jatuh ke? Anuar, kenapa dengan datuk?”
Datin Mastura mengusap lembut wajah Datuk Halim yang lebam dan membengkak tetapi Datuk Halim terus menepis tangan Datin Mastura.
“Awak jangan risaulah. Abang okay.”
Datuk Halim merebahkan punggungnya di atas sofa dan badannya bersandar pada penyandar sofa. Tangan kanannya mengusap bahagian pipi yang masih lagi bengkak.
Datin Mastura terus duduk di sebelahnya. Wajahnya kelihatan risau. Dia merenung wajah Datuk Halim tanpa berkelip.
“Macam mana saya tak risau. Tak pernah lagi saya tengok abang macam ni. Anuar, kenapa dengan datuk?”
Air liur ditelan. Anuar menundukkan kepala. Tidak berani hendak bertentang mata dengan Datin Mastura.
“Anuar, saya tanya awak. Kenapa dengan datuk?”
Datin Mastura menyoal sekali lagi. Dia masih tidak berpuas hati selagi soalannya tidak dijawab. Wajah Anuar ditatap lama.
“Sa… saya…”
“Awak ni dah kenapa nak paksa si Anuar tu? Kan saya dah kata tak ada apa-apa, maksudnya tak ada apa-apalah.”
Potong Datuk Halim. Jika dia biarkan Anuar bercakap, pasti rahsia mereka akan terbongkar.
“Ha, ni mana anak awak, Dhia?”
Sengaja Datuk Halim menukar topik perbualan.
“Dhia pergi melawat Hud dekat Hospital.”
“Sepatutnya awak jaga anak awak tu. Jangan biar dia pergi sana sini sesuka hati. Awak pun tahu kan si Hud tu ada ramai musuh, macam mana nanti kalau anak awak jadi mangsa balas dendam musuh-musuh Hud tu. Siapa nak tanggung?”
“Alah abang ni. Saya bercakap tentang abang, bukannya Dhia. Pandailah Dhia tu jaga diri. Dia pergi melawat Hud, bukannya pergi mana-mana. Yang abang pula keluar pagi, malam baru nak balik, abang pergi mana?”
Datuk Halim menelan liur. Susah payah dia menukar topik perbualan, akhirnya soalan berbalik kepada dia juga. Apa alasan perlu dia berikan kepada isterinya? Jika rahsianya terbongkar, pasti mengamuk isterinya itu.
“Saya pergi meetinglah. Nak pergi mana lagi.”
“Betul ke meeting? Kenapa kereta abang ada saja dekat pejabat tapi secretary abang kata abang keluar. Abang pergi ke mana? Abang ada buat sesuatu di belakang Mastura ke?”
“Errr sesuatu apa pula awak ni? Jangan berani menuduh saya yang bukan-bukan. Saya tak akan buat perkara buruk. Saya bukannya orang biasa-biasa. Saya ni bergelar datuk, awak tahu tak.”
Bersungguh-sungguh Datuk Halim pertahankan kesalahan dirinya. Dia tahu bukan mudah hendak menipu Datin Mastura tetapi hanya dengan penipuan sahaja yang dapat menyelamatkan dirinya.
“Okay tapi kalau saya tahu abang ada buat yang bukan-bukan di belakang saya, siap abang nanti. Awak pun sama, Anuar.”
Tanpa pedulikan Datuk Halim dan Anuar, Datin Mastura terus menapak naik ke tingkat atas. Walaupun dia tahu Datuk Halim sedang menipu tetapi dia malas hendak bertengkar dengan suaminya itu. Biarlah jiwanya tenang daripada serabut dengan perkara yang akan membuat dirinya kecewa.
Datuk Halim memandang Anuar tanpa berkelip. Puas dia memberi amaran kepada Anuar supaya menutup mulutnya ketika berada di dalam kereta. Dia tidak mahu Datin Mastura dan Dhia Safiya tahu tentang kejadian hari ini. Biarlah perkara itu kekal menjadi rahsia.
*
Harraz dan Zanita berjalan beriringan masuk ke dalam rumah. Puas Zanita memaksa Harraz untuk pulang ke rumah tetapi Harraz tetap berdegil untuk menghantar Zanita pulang. Dia risaukan gadis itu. Dia tidak mahu perkara buruk terjadi jika dia biarkan Zanita pulang bersendirian.
“Abang, nanti kalau umi dan abi tanya kenapa abang ada dekat sini macam mana?”
“Kita cakaplah yang abang temankan Zanita balik…”
“No no no. Kenapa nak cakap macam tu? Nanti umi dan abi mesti rasa pelik tiba-tiba saja abang temankan adik balik.”
“Kenapa datuk dengan datin nak rasa pelik? Sebelum ni okay saja abang hantar adik balik…”
“Eee abang ni kan, dulu lain sekarang dah lain.”
“Apa yang lainnya? Sebab kita dah…”
Harraz sengaja tidak menghabiskan ayatnya. Dia lebih suka melihat wajah Zanita yang kebingungan. Senyuman nakal mula terlakar di bibirnya.
“Ya, apa yang lainnya? Ada apa-apa yang kamu berdua nak cerita ke?”
Tegur satu suara yang muncul tiba-tiba.
Harraz dan Zanita menoleh serentak ke arah empunya suara. Mereka tergamam sebaik sahaja melihat sosok tubuh Datuk Seri Hisham yang baru sahaja keluar daripada ruang dapur.
“Abi.”
“Datuk.”
“Errr takda apa-apapun. Betul tak abang?”
Zanita menyiku lengan Harraz.
“Ha ah, betul tu. Takda apa-apapun. Saja saya nak hantar Zanita balik. Kebetulan jumpa dia dekat kedai tadi.”
“Abang, tak payah lah nak cerita. Diam sajalah.”
Zanita menggigit bibir bawah sebagai tanda amaran supaya Harraz menutup mulut.
“Pelik abi tengok kamu berdua ni. Yang kamu ni Lolita, malam-malam baru ingat nak balik. Kamu pergi ke mana?”
“Errr Lolita tak pergi ke mana-mana pun. Saja ronda-ronda ambil angin.”
“Ambil angin apa malam baru ingat nak balik? Lupa jalan balik rumah?”
Zanita menundukkan kepalanya. Tidak berani dia hendak menatap wajah Datuk Seri Hisham. Abinya itu jarang marah tetapi jika dia marah, uminya pun tidak mampu berdepan dengannya. Malam ini, pasti dia akan dibebel habis-habisan.
“Maafkan Lolita, abi. Lolita janji tak buat lagi.”
“Hurm yalah. Naik atas sekarang.”
“Baik, abi.”
Perlahan-lahan Zanita mengatur langkah menaiki anak-anak tangga ke tingkat atas tetapi di dalam fikirannya, dia hanya risaukan Harraz.
Datuk Seri Hisham memerhatikan Zanita sehingga kelibat Zanita hilang daripada pandangan. Dia mengalih pandang pula ke arah Harraz.
“Harraz, jangan disebabkan Hud masuk hospital, kamu ambil kesempatan. Ini amaran terakhir untuk kamu. Jangan kamu berani lagi bawa Zanita ke hulu dan ke hilir tanpa pengetahuan kami. Faham tak?”
“Faham, datuk seri. Maafkan saya. Selepas ini, saya akan minta izin daripada datuk seri atau datin seri sebelum bawa Cik Zanita keluar.”
“Bagus. Kamu boleh pergi.”
“Baik, datuk seri. Selamat malam.”
Tanpa berlengah lagi, Harraz terus meninggalkan kawasan rumah Datuk Seri Hisham. Tiada angin dan tiada ribut, tiba-tiba sahaja Datuk Seri Hisham melayaninya seperti musuh. Sebelum ini tidak pernah Datuk Seri Hisham bermasam muka dengannya. Mungkin kerana tertekan dengan keadaan Hud Aariz membuatkan Datuk Seri Hisham mula mengalami tekanan emosi. Apapun yang terjadi, dia perlu merahsiakan kejadian hari ini. Dia perlu menjaga Zanita. Keselamatan Zanita lebih penting buat dirinya berbanding orang lain.
*
“Encik Harraz, tadi ada orang berikan hadiah untuk Datuk Hud.”
Sebaik sahaja melihat wajah Harraz, seorang bodyguard yang mengawal pintu menghulurkan sekeping kad dan sekuntum bunga mawar kepadanya.
Dahi Harraz mula berkerut apabila melihat hadiah di tangan bodyguard itu. Dia sepertinya dapat mengagak siapa pengirim hadiah tersebut.
“Kenapa tak bagi terus dekat datuk?”
“Tadi ada Cik Dhia, jadi saya tak berani.”
“Hurm kau nampak muka pengirim bunga ni?”
“Entahlah, Encik Harraz. Tadi jururawat perempuan yang berikan dekat saya.”
“Okaylah. Terima kasih.”
Pintu bilik diketuk daripada luar. Setelah mendapat arahan daripada Hud Aariz, Harraz terus melangkah masuk ke dalam bilik.
“Datuk, nampaknya si pengirim ni tak seriklah.”
Harraz menghulurkan kad dan bunga mawar kepada Hud Aariz. Seperti biasa, wajah Hud Aariz nampak tenang sahaja. Hud Aariz terus membaca isi kandungan di dalam kad itu.
[Sometimes distance teaches you the value of a person. To my favourite person, be safe everyday. Miss you so much.
Your lover,
Mawar]
“You rasa tak apa yang I rasa?”
“Errr rasa apa tu, datuk?”
Hud Aariz menggelengkan kepalanya.
“I dapat rasakan pengirim bunga ni ada dekat dengan kita. Dia sedang perhatikan kita. Mana you dapat kad ni?”
“Tadi bodyguard kat depan yang bagi. Dia kata ada seorang nurse yang berikan kepada dia.”
“Tak guna. Nampaknya dia sudah berani munculkan diri. I rasa you patut pergi tanya siapa nurse yang beri benda ni dekat bodyguard kita...”
“Baik, datuk. Saya pergi sekarang.”
Harraz bergegas meninggalkan bilik rawatan. Dia menuju ke kaunter pertanyaan yang berada tidak jauh dengan bilik rawatan Hud Aariz. Terlihat beberapa orang jururawat berada di kaunter berkenaan.
“Maafkan saya. Boleh saya tahu ada tak orang kirim kad dan bunga mawar untuk pesakit yang bernama Hud Aariz?”
“Oh, datuk yang berada dalam bilik vvip tu kan. Err tadi…”
Jururawat itu menoleh ke belakang dan sesekali menoleh pula ke kiri dan ke kanan seperti sedang mencari sesuatu.
“Tadi ada seorang perempuan muda yang berikan kad dan bunga tu tapi dia tak beritahu siapa dia. Tak sempat saya nak tanya, dia dah pergi.”
“Boleh saya tahu orangnya atau gaya pakaiannya bagaimana?”
“Hurm saya tak nampak muka dia tapi saya yakin orangnya cantik. Dia sederhana tinggi dan berpakaian kemas. Maksudnya nampak seperti perempuan bekerjaya.”
“Perempuan bekerjaya. Hurm…”
Harraz mengusap dagunya. Tiba-tiba muncul bayangan semua gadis yang dia pernah kenal di dalam kepalanya. Mungkin gadis itu salah seorang daripada mereka.
“Kenapa ya, encik?”
Jururawat itu mula merasa hairan. Wajah Harraz ditenung.
“Takda apa-apa. Terima kasih.”
Sempat Harraz menkenyitkan matanya sebelum beredar meninggalkan kaunter pertanyaan tersebut. Dia bergegas ke bilik rawatan semula. Dia perlu memaklumkan perihal wanita itu kepada Hud Aariz secepat yang mungkin.
Share this novel