“KENAPA perlu hantar wakil?”
Soalan diulang sekali lagi sementelah soalan di awal tadi tidak dibalas. Hud Aariz dan Harraz masih lagi menatap ke arah pemilik suara tersebut.
“Umi…”
Desis Hud Aariz perlahan tetapi suaranya masih dapat didengar oleh Harraz yang setia berada di sebelah katil sedari tadi.
“Ada apa-apa yang umi perlu tahu ke?”
Nada suara Datin Seri Badriah agak tegas kali ini. Mengharap dapat perhatian daripada Hud Aariz dan juga Harraz. Anak matanya tajam merenung mereka berdua silih berganti.
“Errr Hud minta Harraz hantarkan wakil untuk meeting projek baru minggu depan. Betul tak, Harraz?”
Hud Aariz menoleh ke arah Harraz. Senyuman kelat dilemparkan kepada pembantunya itu.
“Ha ah, betul tu. Wakil untuk meeting projek baru dekat Ampang. Hehe…”
Datin Seri Badriah mendengus perlahan. Dia tahu Hud Aariz dan Harraz sedang merahsiakan sesuatu daripadanya. Dia terlebih dahulu makan garam, pasti dia dapat menghidu jika mereka berdua sedang menipu.
“Hurm yalah. Jangan buat perkara yang tidak baik. Luka pun belum sembuh lagi. Jangan tambah luka yang baru. Umi tak mahu ada apa-apa masalah lagi. Umi dah cukup serabut dengan perangai adik kamu. Jangan pula kamu hendak menambah serabut dalam kepala umi ni.”
“Ala, umi. Apa susah sangat. Kahwinkan saja adik dengan siapa-siapa yang umi kenal. Umi kan banyak kenalan. Ini, si Harraz ni kan ada. You nak tak adik I? Kalau nak, cepat masuk meminang.”
Ungkapan yang keluar daripada mulut Hud Aariz membuatkan Harraz tersentak. Air liur yang ditelan terasa kelat. Anak matanya menatap wajah Datin Seri Badriah. Mengharap supaya riak wajah tua itu tenang dan seperti yang dijangka, wajah Datin Seri Badriah tetap tenang seperti telah menduga apa yang ingin disampaikan oleh Hud Aariz.
“Harraz mahu ke dengan adik kamu, Zanita? Bukan kamu tak kenal macam mana adik kamu tu. Yang pelik-pelik semua ada dekat dia. Umi risau nanti diajarnya yang bukan-bukan pula dekat Harraz.”
“Mestilah dia nak. Lagipun si Harraz ni pun 2x5 dan 5x2, sama-sama pelik. Memang sesuai sangat dia orang ni. You nak kan dengan adik I?”
Soalan diulang sekali lagi. Kali ini soalan yang sama itu membuatkan Harraz mati akal dan apa pula jawapan yang perlu dia berikan kepada bosnya itu. Perlu ke dia mengiyakan sahaja atau menolak mentah-mentah saranan Hud Aariz.
“Errr adik, eh Lolita nak ke dengan saya ni. Saya ni orang biasa-biasa saja. Kerja pun biasa-biasa. Nanti kang, …”
Ayatnya terhenti. Harraz cuba mencari alasan supaya mereka berdua tidak curiga. Hubungan dia dan Zanita perlu dirahsiakan terlebih dahulu. Belum tiba masanya lagi untuk dia berterus terang. Demi kebaikan kedua-dua pihak.
“Mesti adik nak punya. Lagipun, adik tu macam rapat saja dengan you. Betul kan umi? Hahaha. Hurm umi datang seorang jer ke? Mana abi? Adik?”
Harraz menghembuskan nafas lega apabila Hud Aariz menukar topik perbualan. Bukannya dia tidak suka, tetapi dia risau jika tersasul pula. Pasti buruk padahnya.
“Umi datang dengan abi. Nanti naiklah orang tua tu. Dekat bawah tadipun masih ada wartawan yang cuba naik ke atas. Risau pula umi kalau mereka dapat naik. Adik kamu pula macam biasalah. Pagi-pagi lagi sudah keluar. Tak tahulah pergi ke mana.”
Terlihat jelas kerisauan di wajah tua itu. Walaupun Zanita hanyalah anak tiri Datin Seri Badriah tetapi dia tetap sayangkan zanita seperti anak kandungnya sendiri.
“Adik ke mana? Dia tak cakap dengan umi atau abi?”
“Takda pula. Mungkin dia ada kerja agaknya. Eh, ini umi ada bawakan sarapan. Harraz, ini bekal untuk kamu. Mesti penat jaga baby tua ni kan. Kalau kamu nak balik rehat dulu pun tak apa. Biar umi yang jaga Hud…”
“Kalau macam tu, saya balik dululah. Tiba-tiba ada hal pula. Nanti petang saya datang semula yer, datuk. Saya minta diri dulu.”
Tanpa berbasa-basi lagi, Harraz melangkah laju menapak keluar daripada bilik rawatan tersebut. Selepas apa yang diberitahu oleh Datin Seri Badriah, dia mula risaukan Zanita. Dia yakin Zanita sedang merencanakan sesuatu dan perkara itu pasti ada kaitan dengan Datuk Halim.
“Harraz… Harraz…”
Panggilannya itu tidak dipedulikan. Hud Aariz hanya mampu mendengus perlahan. Pantang diberikan ‘green light', laju sahaja Harraz meloloskan diri.
“Biarlah dia. Mesti dia ada urusanlah tu. Umi ada bawakan bubur. Makan dulu sementara masih panas…”
“Laju saja langkah dia tu. Tak tengok kiri kanan…”
“Huddd...”
Hud Aariz yang mula ingin membebel terus terdiam apabila dijeling tajam oleh Datin Seri Badriah.
“Yalah, umi.”
Dengusan lemah dilepaskan. Hud Aariz hanya mampu menurut sahaja kata-kata Datin Seri Badriah. Hendak dilawan, takut derhaka pula. Apa-apa sajalah demi umi tercinta.
*
“Baby, I tak sangka you akan datang juga. I tahu you masih sayangkan I dan I yakin, kita akan bahagia selepas ini.”
Datuk Halim meraih jemari Zanita apabila gadis itu mendekatinya. Senyuman lebar terukir di bibir. Anak matanya kelihatan bercahaya kerana dapat menatap wajah kekasih tercinta.
“You yakin ke apa yang kita buat ni betul? Kalau family I dapat tahu macam mana?”
Zanita menoleh ke kiri dan ke kanan kerana risau jika ada yang mengekori. Susah payah dia keluar awal supaya tidak bertembung dengan Datuk Seri Hisham dan Datin Seri Badriah pagi tadi. Jika tertangkap, pasti sia-sia sahaja usahanya.
“Baby, you janganlah risau. I dah plan semuanya. Nanti dah sampai di sempadan Malaysia-Thailand, kita berdua sudah selamat. Baby, you jangan takut, I kan ada. I akan melindungi you. Percayalah cakap I.”
“Betul I boleh percayakan you?”
“Betul. Sumpah, baby. I takkan tipu you…”
Wajah Datuk Halim direnung lama. Walaupun fikiran Zanita mengatakan apa yang mereka lakukan ini adalah salah tetapi hatinya meronta-ronta ingin menurut kemahuan kekasihnya itu. Zanita tahu apa yang bakal dilakukan mereka nanti akan menyebabkan masalah besar tetapi kerana rasa cintanya terhadap Datuk Halim yang masih tersisa itu telah membutakan matanya. Akhirnya, dia menurut sahaja kemahuan lelaki tua itu.
“Jomlah, baby. Takut nanti terlambat pula kita sampai. Makin lambat pula kita nikah kan…”
Pinta Datuk Halim dengan senyuman lebar yang masih meniti di bibirnya. Dia menolak perlahan tubuh Zanita supaya segera masuk ke dalam perut kereta.
Zanita membalas kata-kata Datuk Halim dengan anggukan. Hatinya merasa tidak tenang tetapi dia tidak mampu menolak. Mungkin ini yang terbaik buat dia. Selama ini pun, umi dan abi tidak pernah ambil tahu apa aktiviti yang dia lakukan di luar rumah. Mungkin tanpa dia, umi dan abi akan lebih tenang lagi.
Datuk Halim bergegas masuk ke dalam perut kereta yang sudahpun terbuka luas sebaik sahaja penutup pintu kereta untuk Zanita. Usai Datuk Halim menutup pintu kereta di bahagiannya, dia terus mengarahkan supaya pemandu meninggalkan kawasan tersebut.
Sepanjang perjalanan, Zanita hanya merenung ke luar tingkap. Hatinya berdebar-debar seperti dapat merasakan ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Dia menoleh ke arah Datuk Halim yang berada di sebelah. Lelaki itu sibuk menaip sesuatu pada telefon pintar miliknya.
“Darling, masih jauh lagi ke?”
Soal Zanita tetapi soalannya dibiarkan bagai angin lalu. Tindak tanduk Datuk Halim membuatnya merasa semakin curiga terhadap lelaki itu.
Perlahan-lahan Zanita mengeluarkan telefon pintar dari dalam beg tangan. Dia perlu melakukan sesuatu dan dia perlu berjaga-jaga kerana pada saat ini, kepercayaan dia terhadap Datuk Halim semakin menipis. Dia risau jika Datuk Halim cuba perangkap dirinya.
Tanpa berlengah lagi, dia terus mengirim lokasi keberadaannya kepada seseorang. Biar orang itu tahu di mana dia berada sekarang. Sekurang-kurangnya ada juga yang tahu di mana dia berada pada ketika itu.
Nafas dihembus perlahan sebaik sahaja Zanita mengirim pesanan ringkas kepada orang tersebut. Dia beristighfar di dalam hati dan hanya mampu berdoa supaya perkara buruk tidak akan berlaku terhadap dirinya. Dia berharap supaya alongnya akan risau jika dia tiba-tiba sahaja menghilangkan diri. Dalam keluarga, hanya Hud Aariz yang sayangkannya.
“Baby kenapa ni? Apa yang dikeluhkan tu?”
“Eh… errr tak ada apa-apapun, cuma baby risau saja. Harap-harap kita cepat sampai kan. Baby tak sabar nak jadi isteri halal darling.”
“Apa yang baby nak risaukan. Darling kan ada. Jangan fikir sangat. Apa kata baby tidur. Rehatkan mata dahulu. Dah sampai nanti, darling kejutkan baby.”
“Okaylah, kalau macam tu. Baby nak rehat sekejap. Mengantuk pula…”
Zanita mula menguap dan pejamkan matanya sambil kepala melentok ke atas penyandar kerusi. Senyuman di bibir Datuk Halim kian melebar apabila Zanita kembali tenang. Di dalam hati, dia berdoa semoga rancangan dia untuk menikahi Zanita akan berjaya. Selepas ini, pasti keluarga Hud Aariz tidak dapat berbuat apa-apa lagi selepas mereka tahu yang dia dan Zanita telah sah menjadi suami isteri.
“Baby rehat yer. Kesian baby…”
Kepala Zanita diusap perlahan. Perlahan-lahan Datuk Halim juga memejamkan matanya.
*
KERETA yang dipandu oleh pemandu Datuk Halim tiba-tiba sahaja berhenti secara mengejut menyebabkan Datuk Halim dan Zanita terbangun daripada tidur. Wajah kedua-dua mereka kelihatan agak terkejut dengan apa yang sedang berlaku.
“Anuar, kenapa ni?”
Datuk Halim mula menyoal pemandu yang masih lagi diam di tempatnya.
“Errr saya pun tak tahulah, datuk. Saya rasa tayar kereta kita pecah.”
“Pecah? Macam mana boleh pecah? Selama ini okay saja. Kau jangan nak main-main. Pergi tengok sekarang!”
“Ba… baik, datuk.”
Suara Datuk Halim yang agak kuat itu membuatkan Zanita merasa gementar. Dia diam tanpa sepatah kata. Dia membuntuti langkah pemandu dengan ekor matanya.
“Hisyyy, tak pasal-pasal tayar pecah. Duit yang aku bagi untuk servis kereta tiap-tiap bulan tu entah bawa ke mana. Menyusahkan betul!”
“Darling, sabarlah sekejap. Tak baik untuk kesihatan darling. Biarlah uncle Anuar settlekan pasal tayar tu…”
Lunak nada suara Zanita memujuk Datuk Halim. Jemarinya menyentuh lembut tangan lelaki tua itu. Dia perlu ambil hati lelaki tua itu kerana tidak mahu lelaki tua itu bertambah marah lagi. Silap hari bulan, dia pula menjadi mangsa amarah Datuk Halim.
“Hurm nasib baik ada baby, barulah sejuk hati I. Nak harapkan Anuar tu, semakin panas adalah.”
Senyuman manis dihadiahkan kepada Datuk Halim. Di dalam hati Zanita, dia hanya mampu berdoa supaya ada seseorang yang akan datang menyelamatkan dirinya daripada cengkaman Datuk Halim tetapi silapnya juga, rela buat-buat buta hanya kerana cinta, akhirnya dia sendiri yang terluka.
'Abang, tolong selamatkan adik. Please…’
Doanya di dalam hati walaupun dia tahu sangat mustahil perkara itu terjadi. Pesanan ringkas yang dia kirim juga langsung tidak dibalas. Mana mungkin keajaiban akan berlaku dan tiba-tiba sahaja orang yang dia harapkan itu muncul.
“Arghhh! Datuk!”
Terpinga-pinga Zanita dan Datuk Halim yang masih menunggu di dalam kereta. Laju tangan Datuk Halim membuka pintu kereta hendak melihat apa yang terjadi kepada Anuar.
“Kau diam kalau kau nak selamat!”
Tengking seorang lelaki yang berada di sebelah Anuar.
“Apa yang se…”
Kata-kata Datuk Halim terhenti sebaik sahaja dia melihat wajah Harraz yang bengis sedang mengacukan sepucuk pistol di kepala pemandunya.
“Har… Harraz.”
“Kau ikat tangan dia. Jangan biarkan dia terlepas!”
Arahan diberikan kepada salah seorang pengawal. Harraz mendekati Datuk Halim yang hanya terdiam kaku di sebelah pintu kereta. Dengan wajah yang menyinga, dia mencengkam kolar kameja lelaki tua itu.
“Mana Zanita?”
“Errr baby… errr Zanita ada dalam kereta.”
“Zanita!”
Panggil Harraz kuat dengan suara yang garau.
“Abang Harraz? Betul ke apa yang aku dengar ni?”
Bergegas Zanita keluar daripada perut kereta. Dia terkaku apabila anak matanya menangkap sosok Harraz yang sedang memandang ke arahnya. Matanya mula berkaca sebaik sahaja melihat wajah penyelamatnya itu.
“Abang…”
Zanita berlari ke arah Harraz dan tanpa segan dia terus memeluk tubuh Harraz yang sedang berdiri tidak jauh dengannya.
“Abang… Lolita takut… tolong Lolita…”
Dengan tangisan yang semakin laju dan suara yang gementar, Zanita terus merangkul tubuh Harraz tanpa pedulikan Datuk Halim yang sedang memerhatikan mereka.
“Ba… baby. Ke… kenapa baby… I kan ada…kenapa…”
“Kau diam!”
Tengking Harraz kuat di hadapan wajah Datuk Halim sehingga keningnya berkerut dan hampir bercantum menjadi sebaris.
“Berani kau naikkan suara dengan aku! Kau belum kenal siapa aku! Mampus kau aku kerjakan!”
Datuk Halim cuba melepaskan tumbukan ke arah muka Harraz tetapi tangan tua itu ditepis sehingga dia jatuh tersungkur di atas jalan raya.
“Datuk!”
Anuar menjerit dari jauh sebaik sahaja melihat Datuk Halim sedang berbaring di atas jalan raya.
“Arghhh… aduh. Berani kau, Harraz!”
Wajah Harraz direnung tajam. Datuk Halim mengeluarkan telefon pintar daripada dalam poket seluarnya. Jemarinya pantas menekan skrin telefon pintar.
“Hello… kau dat…”
Prang!
Belum sempat Datuk Halim menghabiskan ayatnya, telefon pintar tersebut jatuh menyembah bumi apabila ditendang oleh Harraz. Datuk Halim tergamam tanpa sepatah kata. Anak matanya terbeliak memandang wajah Harraz.
“Jangan cari pasal, Datuk Halim. Sebelum perkara ini sampai ke telinga Datuk Seri Hisham dan Datin Deri Badriah, lebih baik datuk berambus sekarang! Sani, lepaskan dia!”
“Kau… kau… kau tunggu nasib kau!”
“Berambus sekarang!”
“A… Anuar. Jom!”
Tergopoh-gapah kedua-dua mereka masuk ke dalam perut kereta. Kereta jenama Honda itu terus memecut dengan laju tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain. Kedengaran bunyi hon yang datang daripada beberapa buah kereta yang mengelak daripada terlanggar kereta mereka.
“Abang Harraz, terima kasih sudah selamatkan adik. Kalau abang takda, adik tak tahu apa nasib adik…”
“Ini memang tanggungjawab abang untuk menjaga adik. Adik janganlah menangis lagi.”
“Abang jangan beritahu dekat siapa-siapa, ya. Adik taknak nanti disebabkan adik, along bermusuhan dengan kakak Dhia…”
“Adik janganlah risau. Abang akan rahsiakan perkara ini daripada pengetahuan semua orang. Jomlah kita balik.”
Zanita mengangguk sebagai membalas kata-kata Harraz. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia bersyukur kerana Harraz datang menyelamatkan dia. Jika tidak, pasti dia telah dipergunakan oleh lelaki tua yang tidak sedar diri itu. Jika itu berlaku, hendak menyesal pun tiada guna.
*
“Semua dah selesai…”
“Bagus. Pastikan perkara ini tidak sampai ke pengetahuan wartawan. Biar pecah di perut, jangan sampai pecah di mulut.”
“Baik. Saya faham.”
Talian terus dimatikan. Telefon pintar dilempar ke atas sofa sebelum dia melabuhkan punggungnya di atas sofa tersebut. Dia menghembuskan nafas lega sambil bersandar pada penyandar sofa. Senyuman nipis terukir di bibir.
“Kau akan menyesal, Datuk Halim. Baru kau kenal langit tu tinggi ke rendah. Hahaha… ”
Suara tawanya bergema di dalam bilik pejabat yang hanya dihuni olehnya seorang. Puas dia dapat mengenakan Datuk Halim. Akhirnya, dendam kesumat sudah terbalas satu demi satu.
Share this novel