TERNYATA sepupu Dhia Safiya adalah seorang lelaki. Tidak mungkin dia tersalah dengar. Dalam banyak-banyak sepupu, kenapa mesti sepupunya yang lelaki juga menjadi teman rapat.
“Ya, sepupu anje tu lelaki. Dia baru saja balik daripada United Kingdom, jadi dia belikan gelang ini untuk anje. Anje dah lama sukakan gelang ini tau. Tak sangka Nazir hadiahkan untuk anje.”
Senyuman di bibir Dhia Safiya membuatkan Hud Aariz semakin cemburu dengan sepupunya itu. Mungkin mereka berdua pernah menjalinkan hubungan cinta sebelum ini. Batinnya menjerit sedih jika benar mereka adalah pasangan kekasih.
“Owh… hurm dia ex boyfriend anje ke?”
“Tak adalah. Itu kan sepupu anje. Kami memang rapat dari kecil lagi. Dia dah macam adik anje dah.”
“Oh okaylah tu.”
Fikiran Hud Aariz jauh memikirkan tentang sepupu Dhia Safiya. Walaupun Dhia Safiya sudah jelaskan tentang status hubungan mereka tetapi dia masih tidak dapat membuang rasa ingin tahu sejauh mana hubungan mereka, adakah sekadar sepupu seperti yang Dhia Safiya dakwa atau ada yang lebih istimewa.
“Hubby, jomlah. Tak sabar nak makan nasi ayam penyet. Mesti sedap kan, hubby.”
Hud Aariz diam membatu. Dia sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Fikirannya sibuk memikirkan dimana tempatnya di dalam hati Dhia Safiya.
“Hubby, hubby okay ke?”
Dia menoleh sekilas ke arah Hud Aariz.
“Huh? Hurm okay jer.”
“Kenapa ni? Ada masalah ke?”
“Tak ada apa. Nak makan nasi ayam penyet kan. Jom kita pergi. Harap-haraplah tak sesak sangat hari ini.”
“Itulah. Harap-harap ada. Time-time macam ni selalunya cepat saja ha…”
Ting!
Bunyi pesanan ringkas yang masuk ke telefon pintar milik Dhia Safiya membuatkan dia terdiam. Senyuman di bibir Dhia Safiya membuatkan Hud Aariz semakin curiga.
“Siapa?”
“Nazir.”
“Siapa Nazir?”
“Sepupu anje lah. Errr hubby, boleh ke kalau sepupu anje nak lunch dengan kita?”
“Kenapa dia lunch dengan kita?”
Berkerut muka Hud Aariz apabila mendengar permintaan daripada Dhia Safiya. Sesayang itu ke Dhia Safiya kepada sepupunya?
“Dah lama anje tak berjumpa dengan dia. Mana tahu nanti tiba-tiba dia balik ke United Kingdom semula. Bolehlah?”
Wajah Hud Aariz ditatap dengan penuh pengharapan. Pasti Hud Aariz tidak akan menolak permintaannya untuk makan tengahari bersama Nazir.
“Please hubby. Nanti hubby boleh berkenalan dengan dia. Please, bolehlah?”
Suara rayuan Dhia Safiya bergema di dalam kepalanya. Hendak menolak, risau jika tunangnya akan merajuk. Hendak dibalas ya, risau dia pula akan merajuk nanti.
“Hurm yalah.”
Hud Aariz terpaksa bersetuju dengan permintaan Dhia Safiya walaupun hatinya terasa berat. Mahu tak mahu dia terpaksa berjumpa dengan Nazir. Ada baiknya juga kerana dia dapat melihat orang yang telah mencuri tempatnya di dalam hati Dhia Safiya.
*
“Safiya, sini…”
Dhia Safiya melambai-lambai ke arah seorang lelaki yang sedang mengangkat tangan ke arahnya. Hud Aariz memerhatikan lelaki itu tanpa berkelip. Lelaki itu pasti sepupu yang Dhia Safiya beritahu sebentar tadi.
“Nazir, dah lama ke awak sampai?”
Tegur Dhia Safiya yang nampak gembira sahaja apabila mendekati Nazir di meja makan lalu terus duduk berhadapan dengannya.
“Taklah, baru jer.”
Nazir masih tersenyum sambil anak matanya memerhatikan Hud Aariz yang sudah mengambil tempat duduk di sebelah Dhia Safiya.
“Ini ke tunang awak?”
“Ya. Perkenalkan ini tunang saya, Hud Aariz. Errr Hud, ni Nazir sepupu saya.”
“Hi, Hud Aariz.”
Nazir menghulurkan tangannya kepada Hud Aariz.
“Hai, Nazir. Nice to meet you.”
Hud Aariz dan Nazir saling bersalaman. Senyuman di bibir Nazir membuatkan Hud Aariz merasa kurang selesa.
“Lama kita tak berjumpa.”
“Kita kenal ke?”
“Hud Aariz, lelaki yang pernah menjadi idola setiap pelajar wanita di kolej dulu. Seorang pelajar terbaik dalam kolej, menjadi salah seorang ahli perwakilan pelajar, dan pemegang rekod anugerah dekan setiap semester.”
Kata-kata Nazir diakhiri dengan satu tepukan. Nazir tertawa kecil sambil melihat wajah Hud Aariz yang nampak terkejut. Dhia Safiya yang sedang duduk di sebelah mereka, teruja melihat dua orang yang dia sayangi bertemu.
"Oh, kau orang kenal rupanya. Senanglah Hud dan awak berkawan lepas ni. Betul tak hubby?”
Hud Aariz tersenyum tawar. Bagaimana mungkin Nazir, musuh lamanya, ialah sepupu Dhia Safiya? Dia menahan perasaan cemburu yang mula membara dalam dirinya. Tambahan pula, gelang yang dia cemburui sebelum ini adalah hadiah daripada Nazir. Rasa tidak puas hati mula membuak-buak dalam hati Hud Aariz. Dia takkan biarkan Nazir merosakkan kebahagiaannya dengan Dhia Safiya.
“Awak jangan risau, saya okay jer dengan Hud. Kita pun boleh jadi kawan baik. Lepas ni kan kau akan jadi sepupu aku. Betul tak Hud?”
“Huh? Kawan baik? Aku risau kau yang tak boleh nak berkawan baik dengan aku. Dulu kau yang bersungguh-sungguh nak bersaing dengan aku kan tapi sayang, sekali pun tak pernah menang.”
Keadaan menjadi semakin tegang di antara mereka berdua walaupun Dhia Safiya tidak menyedari konflik dalaman Nazir. Nazir tahu dia perlu bersikap matang, tetapi bayang-bayang dendam lama masih menghantui dirinya, membuatkan dia sukar untuk melepaskan perasaan cemburu itu.
“It's okay, itu perkara lepas. Sekarang masing-masing ada kehidupan sendiri. Betul tak Dhia?”
Nazir cuba berlagak tenang walaupun di dalam hatinya, perasaan marah semakin bergelora.
“Betul tu. Yang dah lepas tu biar saja lepas. Jomlah kita order makan, dah lapar dah ni. Awak, nak menu.”
Nazir menghulurkan menu kepada Dhia Safiya. Dia terlihat gelang di pergelangan tangan sepupunya. Dalam fikirannya, timbul idea jahat untuk sakitkan hati Hud Aariz. Apapun yang terjadi, dia akan balas dendam atas apa yang berlaku dahulu.
“Awak dah pakai gelang tu. Awak suka tak hadiah yang saya beri?”
“Suka. Suka sangat. Cantik. Kan hud?”
“Hurm cantik. Tadi anje kata lapar kan, cepatlah pilih makanan yang anje nak, atau anje nak hubby pilihkan.”
Hud Aariz sengaja merapatkan tubuhnya dengan tubuh Dhia Safiya. Dia membetulkan pula rambut yang jatuh menutup sebelah mata Dhia Safiya.
“Hurm nak yang mana ek? Anje tak boleh pilihlah. Hubby nak yang mana? Anje ikut hubby…”
“Kita ambil set yang ini jer sebab tak pedas sangat. Anje tak boleh makan pedas tau nanti sakit perut.”
“Okay, anje ikut hubby…”
Panas hati Nazir melihat kemesraan antara Hud Aariz dan Dhia Safiya. Senyuman di wajah Dhia Safiya menunjukkan yang dia benar-benar bahagia apabila bersama Hud Aariz. Apa istimewanya Hud Aariz hingga membuatkan ramai wanita terpikat kepadanya?
*
Seusai solat maghrib, Hud Aariz duduk menopang dagu di atas sejadah. Kejadian tengahari tadi masih bermain-main di fikirannya. Tidak disangka rupa-rupanya sepupu Dhia Safiya ialah kenalannya sejak zaman belajar dahulu. Sudah lama dia tidak mendengar berita tentang Nazir, tiba-tiba lelaki itu muncul sebagai sepupu tunangnya pula.
Dulu, dia dan Nazir seringkali bertengkar hanya kerana Nazir tidak berpuas hati dengan apa yang dimiliki olehnya. Bagi Nazir, dia tidak layak digelar sebagai seorang sahabat kerana terlalu angkuh dengan kelebihan yang Tuhan kurniakan.
Mungkin salahnya juga kerana lebih mementingkan diri sendiri tetapi apa yang dia lakukan hanya untuk kebaikan dirinya. Nazir yang terlalu ikutkan perasaan dan salahkan dirinya pula. Ah! Nazir itu terlalu bersikap kebudak-budakan.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan di muka pintu bilik membuatkan kedua-dua belah bahu Hud Aariz terangkat tinggi. Belum puas dia mengelamun tiba-tiba ada pula yang datang mengganggu.
“Along, taknak makan ke? Diet? Tahulah sekarang dah ada tunang cantik tapi takkanlah sampai taknak makan.”
Muncul Zanita yang sedang bercekak pinggang di pintu bilik sebaik sahaja daun pintu dibuka.
“Budak ni, dah tak pandai nak beri salam ek? Kejap lagi along turun.”
“Yalah tu nak turun, kalau Lolita tak datang, memang tak makan lah malam ni kan. Jom cepat, nanti abi bising.”
“Ya, along nak turunlah ni. Pergilah turun sana. Menyibuk saja.”
“Eleh, kata orang menyibuk pula. Kalau dengan kak Dhia tu laju saja nak ajak keluar lunch sekali, kalau dekat rumah ni cukup susah nak makan sama-sama…”
Zanita berlalu pergi dengan leteran panjang yang masih dapat didengar oleh Hud Aariz. Hud Aariz yang sedang melipat sejadah hanya mampu menggeleng mendengar suara leteran Zanita.
“Sejak bila pula budak ni suka pot pet pot pet macam mak nenek. Eh macam mana dia tahu aku keluar lunch dengan Dhia, hurm ni mesti Harraz yang pandai-pandai cerita. Hisyyy…”
Usai menukar pakaian, Hud Aariz terus turun ke tingkat bawah dan menuju ke ruang makan. Di atas meja sudah terhidang pelbagai jenis lauk pauk kampung yang boleh menaikkan selera sesiapa sahaja. Dia terus melabuhkan punggung di atas kerusi menghadap Datin Seri Badriah dan Zanita.
“Wahhh banyaknya umi masak. Nak buat kenduri ke?”
Hud Aariz menyoal sebaik sahaja melabuh duduk. Nasi dicedok masuk ke dalam pinggan yang sudah tersedia di atas meja. Dia mengambil pula lauk udang masak sambal lalu diletakkan ke dalam pinggan.
“Kamu kata ada perkara yang nak dibincangkan, perkara apa tu?”
Tanpa membalas soalan Hud Aariz, Datin Seri Badriah terus bertanya. Anak matanya memerhatikan Hud Aariz yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut.
“Tentang majlis perkahwinan Hud dan Dhia, kami rancang nak percepatkan majlis tu nanti.”
“Along dah tak sabar nak kahwin dengan akak Dhia ek?”
Zanita yang duduk di sebelah Datin Seri Badriah mula mencelah. Dia tersenyum sumbing ke arah Hud Aariz.
“Budak ni, orang tua-tua tengah berbual, jangan nak mencelah...”
Tegur Datin Seri Badriah. Geram pula dengan sikap biadap Zanita. Teguran itu membuat Zanita tertunduk malu.
“Jadi bila yang Hud rasa nak buat majlis tu?”
Sambung Datin Seri Badriah. Wajahnya sudah menghadap Hud Aariz. Ternampak jelas kerisauan di wajahnya.
“Kalau boleh bulan depan. Lagi cepat lagi bagus kan. Perkara yang baik tak boleh lengah-lengahkan.”
Datuk Seri Hisham dan Datin Seri Badriah saling memandang. Sudah buang tabiat agaknya Hud Aariz ni, tergesa-gesa pula mahu mengadakan majlis perkahwinannya tanpa memikirkan perkara yang perlu diuruskan.
“Hud dah fikir masak-masak ke? Dhia dah tahu?”
Kali ini giliran Datuk Seri Hisham pula bertanya. Keputusan Hud Aariz itu terlalu terburu-buru dan benar-benar mengejutkan mereka.
“Dhia cuma tahu Hud nak cepatkan majlis perkahwinan tapi belum tahu yang majlis tu bulan depan.”
“Hisyyy budak ni, kalau ya pun beritahu lah Dhia dulu, lagipun kamu berdua yang nak berkahwin kan, bukannya Hud sorang saja.”
Riak kerisauan di wajah Datin Seri Badriah semakin terserlah. Bukan dia mahu menghalang perkahwinan anaknya tetapi, cara dan keputusan Hud Aariz seolah-olah telah pinggirkan mereka.
“Nanti Hud beritahu dia lah. Mesti dia takkan tolak punya.”
“Memanglah dia takkan tolak tapi nak siapkan majlis tu bukannya senang, nak kena ambil masa juga. Apa kata dalam masa 3 bulan lagi baru adakan majlis kahwin kamu. Uruskan dulu apa yang patut. Kamu tu sijil kursus perkahwinan pun takda lagi, sibuk saja nak kahwin.”
“Oh ya juga. Lupa pula. Nanti Hud urusakan tentang tu. Yang lain Hud serahkan dekat umi.”
“Iyalah, nanti umi uruskan. Yang penting, beritahu Dhia.”
“Ya, umi. Nanti Hud beritahu. Umi janganlah risau.”
“Mahunya tak risau. Majlis kahwin ni bukannya boleh dibuat main. Kamu ingat boleh siapkan semuanya dalam masa sehari dua ke...”
Datin Seri Badriah mula berang dengan sikap tidak acuh Hud Aariz. Mahu sahaja ditelan anaknya itu hidup-hidup. Sudahlah buat keputusan tanpa fikirkan perasaan mereka, sekarang tidak hiraukan pendapat Dhia Safiya pula.
“Dah dah, jom kita makan dulu. Nanti lepas makan kita sambung berbincang.”
Datuk Seri Hisham mula mencelah apabila melihat ketegangan di antara Hud Aariz dan Datin Seri Badriah. Dia tidak mahu pertengkaran kecil itu menjadi besar pula nanti.
*
Di sebuah bilik yang sunyi, hanya ditemani oleh cahaya samar dari luar, pengirim bunga duduk di tepi tingkap, memandang jauh ke luar. Mawar yang masih segar berada di atas meja di sebelahnya, seolah-olah menjadi simbol perasaannya yang tidak terungkap. Matanya sedikit sayu, merenung jauh sambil mindanya dipenuhi kenangan yang sukar dilupakan. Setiap kelopak mawar itu mengingatkannya kepada seseorang. Seseorang yang mungkin tidak pernah tahu rahsia yang tersimpan di hati.
Sekeping gambar Hud Aariz yang diletakkan di atas meja di sebelah bunga mawar segar itu ditenung lama. Air matanya tiba-tiba merembes keluar tanpa sengaja. Gambar itu dibelai dengan jari-jarinya. Dia bercakap perlahan, seolah-olah berbisik kepada dirinya sendiri.
"Berapa lama lagi aku harus sembunyikan perasaan ini? Setiap mawar yang aku kirimkan… adakah dia mengerti maksudnya? Atau aku hanya berharap pada sesuatu yang mustahil?"
Dia menarik nafas panjang sambil memejamkan matanya lalu mengalihkan pandangan ke luar jendela.
"Kalau dia tahu siapa aku, adakah dia akan terima? Atau semuanya akan berubah?”
Pengirim bunga masih duduk termenung. Dia mengambil setangkai bunga mawar segar yang berada di atas meja lalu menciumnya, namun tiba-tiba genggamannya pada mawar semakin kuat, duri mawar hampir menyakiti tangannya. Perasaannya mula berubah. Merasa marah dan kecewa dengan dirinya sendiri.
"Kenapa aku terus buat semua ni? Dia takkan pernah tahu, takkan pernah faham!"
Dia bangun dengan kasar melemparkan mawar ke dinding, kelopaknya berterbangan dan jatuh ke lantai.
"Bodoh! Semua ni sia-sia! Kenapa aku tak boleh hentikan? Setiap hari, setiap malam, hanya aku yang terseksa!"
Dia memandang sisa mawar yang berselerak, terengah-engah dengan kemarahan yang baru dilepaskan, namun sedikit demi sedikit emosinya mereda. Dia duduk kembali, memegang kepalanya, perasaan bercampur baur.
"Tapi... aku tak mampu... aku tak mampu lepaskan dia.”
Suara pengirim bunga semakin perlahan. Setiap butir bicaranya disusuli dengan esakan kecil. Air mata semakin deras mengalir. Betapa sakit hatinya tidak dapat memiliki lelaki yang dia cinta. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa cinta Hud Aariz bukan untuknya walaupun dia tahu, cinta tidak seharusnya memiliki.
Share this novel