MAWAR: BAB 21

Romance Series 69343

TERTAWA kuat Zanita sebaik sahaja mendengar luahan perasaan daripada Harraz. Tangisannya juga terhenti kerana terkejut dengan pengakuan Harraz itu. Air mata yang masih tersisa di pipinya dikesat perlahan dengan hujung jari. Dia masih lagi keliru. Mustahil Harraz sukakan dia sementelah dia telah lama mengenali lelaki itu dan lelaki itu juga merupakan orang kanan kepada abangnya tetapi selama ini tiada tanda yang lelaki itu sukakannya.

"Abang ni memang suka buat lawak ek. Serius tak kelakar lah. Ni kalau along tahu, habislah abang."

Harraz meletakkan jari telunjuk di bibirnya.

"Shshhh. Buat masa ini janganlah beritahu datuk. Diam-diam jer lah..."

Terjongket kedua-dua belah kening Zanita.

"Abang nak kita rahsiakan daripada along ke? Abang tidak takut dengan along?"

Laju Harraz mengangguk tetapi selepas itu dia mula menggeleng.

"Ya, tapi kalau adik nak beritahu along, abang okay jer. Terpulang dekat adik. Abang tidak kisah. Kalau datuk tahu, abang lebih selamat."

"Abang dah gila ek? Selamat apa kalau along tahu?" soal Zanita dengan suara yang agak kuat sehingga menarik perhatian pelanggan yang lain di dalam kedai.

"Sshhh… janganlah bising. Abang tahu benda ni mustahil tapi adik rasa sampai bila kita kena sembunyikan hubungan kita ini dengan datuk?"

"Hubungan apa? Kita bukannya pernah ada hubungan pun. Kalau abang betul-betul ikhlas nakkan adik, buat masa ni abang kena janji abang rahsiakan dengan family adik terutama sekali along. Faham!"

Harraz menelan liur. Bukan dia takut dengan amaran daripada Zanita tetapi dia risau jika Hud Aariz tahu dia dan Zanita akan menjalinkan hubungan cinta.

"Okay, abang promise. Thanks, adik sebab dah terima abang." ucap Harraz sambil melempar senyum kepada Zanita.

"Hurm…" ringkas Zanita membalas. "Adik terima abang ni pun sebab abang yang paksa adik tau. Bukan sebab adik memang sukakan abang."

Zanita memeluk tubuh sambil menjeling ke arah Harraz. Dia mula meletakkan kedua-dua tangannya di atas meja apabila melihat Harraz yang tenang sahaja.

"Yer tahu. Lepas ni abang taknak adik berhubung lagi dengan Datuk Halim. Kalau adik ada apa-apa nak buat atau nak pergi ke mana-mana, abang nak adik beritahu abang. Abang nak adik bergantung dekat abang sorang jer sebagai kekasih adik."

Harraz menggenggam jemari Zanita yang berada di atas meja. Jemari itu diusap perlahan. Selepas ini dia dapat meluangkan lebih banyak masa lagi dengan Zanita dan dia yakin, Hud Aariz atau sesiapa sahaja tidak akan dapat memisahkan mereka. Dia juga berjanji dengan dirinya sendiri yang dia tidak akan mensia-siakan wanita di hadapannya ini.

Senyuman terukir di bibir Harraz tanpa dia sedar. Rupanya inilah rasanya apabila mencintai orang yang tepat.

"Yer lah. Adik pun taknak abang jumpa dengan mak cik tu lagi tau. Kalau abang jumpa dengan dia diam-diam, adik korek biji mata abang!"

Terhambur ketawa Harraz selepas mendengar kata-kata Zanita yang berupa amaran tetapi terasa kelakar pula di cuping telinganya. Laju dia mengangguk untuk menyakinkan Zanita yang kini telah menjadi buah hatinya tanpa dirancang.

Mereka terus berbual dan sesekali terdengar suara mereka ketawa. Sungguh bahagia pasangan baru bercinta ini.

#
Dhia Safiya berjalan mundar-mandir di ruang tamu rumahnya. Mahu sahaja dia ke hospital untuk menemani Hud Aariz kerana risau akan keadaan tunangnya itu lebih-lebih lagi apabila Hud Aariz masih lagi di dalam pemerhatian si pengirim bunga mawar.

"Dhia, kenapa ni? Gelisah jer mama tengok."

"Eh, mama. Terkejut Dhia."

"Sorry lah. Mama tengok kamu macam gelisah jer. Kamu ada masalah dengan Hud ke?"

"Takdalah, mama. Dhia cuma risaukan Hud jer. Nasib baik dia takda apa-apa, kalau tak, tak tahu lah apa jadi dekat Dhia ni."

Datin Mastura mendekati Dhia Safiya. Bahu anak gadisnya itu ditepuk perlahan. Wajah Dhia Safiya yang gelisah itu ditatap dengan penuh rasa simpati.

"Dhia janganlah risau. Insyaallah, Hud takda apa-apa. Kan Dhia tengok sendiri kan macam mana keadaan Hud."

"Yer lah, mama tapi entahlah. Dhia rasa tak tenang selagi dia tak 'discharge'. Lagipun perkara ni tiba-tiba saja berlaku. Dhia masih rasa tidak percaya."

"Dhia, jangan risau yer. Insyaallah Hud pandai jaga diri dia," balas Datin Mastura masih cuba memujuk.

"Sepatutnya kamu putuskan saja pertunangan kamu dengan dia!" Tengking satu suara dari jauh.

Dhia Safiya dan Datin Mastura menoleh serentak ke arah suara garau itu. Datuk Halim sedang berjalan mendekati mereka yang masih berdiri kaku di ruang tamu.

"Dari dulu lagi papa tak suka kamu bertunang dengan dia. Kamu pun tahu kan dia itu ramai musuh. Sekarang kamu tengok apa yang terjadi."

"Papa ni dah kenapa tiba-tiba jer nak ungkit semua tu. Papa tahu kan Dhia sayangkan Hud dan Dhia takkan pernah tinggalkan Hud walaupun papa tidak sukakan dia."

"Kamu ni memang suka melawan kan. Sejak bila anak awak ini pandai balas kata-kata saya? Lepas kenal dengan si Hud tu?" Tengking Datuk Halim sambil bercekak pinggang.

Datin Mastura mendekati Datuk Halim. Belakang badan suaminya itu diusap perlahan.

"Abang, kenapa tiba-tiba saja nak marah? Hal budak-budak, biar sajalah," kata Datin Mastura. Kali ini, dia memujuk Datuk Halim pula.

"Macam mana saya nak biarkan jer kalau dah sampai jadi kes polis? Awak rasa anak kita selamat ke lepas kahwin dengan si Hud tu?" Datuk Halim masih tidak berpuas hati. Kali ini dia merenung tajam ke wajah Dhia Safiya.

Keluhan halus keluar daripada mulut Datin Mastura.

"Selama ni awak okay saja kan dengan Hud tu. Kenapa tiba-tiba saja awak nak naik angin? Awak jangan lupa yang awak banyak dapat 'tender' daripada syarikat dia. Awak tidak fikir ke yang awak dapat hidup senang selama ini sebab dia jugak."

Renungan mata Datuk Halim dialihkan ke arah Datin Mastura. Kerutan di dahinya menunjukkan yang dia mulai tersentap dengan kata-kata Datin Mastura dan perasaan marah pula akan muncul.

"Jadi awak nak kata saya ni tidak tahu nak berterima kasih dengan Hud tu ke? Awak nak saya biarkan jer anak kita ni dalam bahaya sebab syarikat saya dapat berdiri hari ini hasil kebaikan Hud? Macam tu?"

"Bukan macam tu maksud saya. Awak janganlah…"

"Dah la papa, mama. Dhia stress lah macam ni. Cukup lah apa yang terjadi dengan Hud. Papa dan mama janganlah nak bergaduh pula. Apapun yang terjadi, Dhia tidak akan pernah tinggalkan Hud. Sampai bila-bila pun sebab Dhia cintakan dia!"

Dhia Safiya berlari naik ke tingkat atas tanpa pedulikan Datuk Halim dan Datin Mastura. Dia merasa kesal dengan yang berlaku dan dia juga kecewa dengan sikap papanya yang tiba-tiba sahaja mementingkan dirinya sendiri.

"Kamu ingat dengan cinta saja boleh buat kamu kenyang? Kamu tu masih setahun jagung lagi. Banyak benda kamu kena tahu! Dengar tak Dhia?" Laung Datuk Halim kuat.

Tanpa pedulikan kata-kata Datuk Halim, Dhia Safiya melangkah dengan laju ke arah bilik tidurnya. Masuk sahaja ke dalam bilik, dia menghempas kuat daun pintu. Pintu terus dikunci dari dalam. Dia tidak mahu kedua-dua orang tuanya mengganggunya malam ini. Biarlah dia bersendirian.

Dhia Safira meniarap di atas katil. Dia menangis teresak-esak melepaskan rasa kesedihan yang terbuku di dalam dada. Perasaan kecewa terhadap Datuk Halim membuatkan dirinya merasa tertekan.

Selepas puas menangis, dia merangkak mengambil telefon pintar yang berada di atas meja di sisi katil. Nombor telefon Hud Aariz dicari. Dia perlu meluahkan rasa sedihnya kepada tunangnya itu.

"Hello. Hubby…" rengeknya manja disusuli dengan esakan perlahan dan air mata yang mula merembes keluar.

#
Perasaan Hud Aariz berbelah bahagi apabila mendengar tangisan Dhia Safiya di corong telefon pintar. Dia membiarkan sahaja tunangnya itu meluahkan rasa sedihnya tanpa mencelah sedikit pun. Dia tidak mahu Dhia Safiya merasa lebih sedih lagi. Seboleh-bolehnya, biarlah Dhia Safiya sentiasa gembira apabila berada bersamanya.

"Ya, anje. Jaga diri yer. Jangan stress tau. Esok kita jumpa. Ingat yer, hubby sayangkan anje sangat-sangat. Night, anje. Sweet dreams. Assalamualaikum."

Hud Aariz menamatkan panggilan telefon selepas Dhia Safiya membalas salamnya. Dia menghulurkan telefon pintar kepada Harraz. Daripada riak wajahnya, jelas ternampak kekesalan tetapi dia berusaha untuk menyembunyikannya.

"Datuk okay ke?" soal Harraz yang sedang berdiri di sebelah katil Hud Aariz.

Hud Aariz dongak menatap wajah Harraz.

"Hurm, okay. You dah boleh balik." Arahnya sebelum berbaring di atas katil. Dia membelakangkan Harraz.

"Nanti tolong tutupkan lampu sebelum you keluar," sambungnya lagi.

"Takpa, datuk. Malam ni biar saya temankan datuk."

"It's okay, Harraz. I taknak susahkan you. Lagipun dah ada dua orang bodyguard yang akan jaga I malam ni."

"Datuk, biar saya temankan datuk. Lagipun dah memang tugas saya untuk berada disamping datuk."

Kening Hud Aariz mula berkerut. Dia mendengus lemah.

"Suka hati you lah, Harraz but don't disturb me, okay?"

"Baik, datuk. Saya janji saya diam."

Harraz melemparkan senyuman walaupun tidak dilihat oleh Hud Aariz. Dia mula melabuh duduk di atas sofa yang tidak jauh dengan katil.

Hampir satu jam Hud Aariz berbaring mengiring di atas katil, dia mula mengubah posisi baringnya. Apabila merasa penat, dia mula bangun daripada perbaringan dengan bersusah-payah kerana menahan rasa sakit. Sebaik sahaja duduk, dia melihat Harraz sedang berbaring di atas sofa.

"Kata nak jaga aku, rupanya membuta jer. Hurm cakap tak serupa bikin. Aku potong jugak gaji kau nanti…" bebel Hud Hariz sendiri.

Hud Aariz berbaring semula. Dia mengambil telefon pintar yang berada di sisi katil. Dia mula membuka album di dalam galeri telefon pintarnya. Gambar pertunangan dia dan Dhia Safiya ditatap lama. Kelihatan Dhia Safiya tersenyum manis di dalam gambar. Bibir Hud Aariz juga mula mengukir senyum. Satu demi satu gambar diperhatikan.

Fikirannya Hud Aariz jauh mengingat kembali cerita yang disampaikan oleh Dhia Safiya sebentar tadi. Dia merasa hairan mengapa sikap Datuk Halim mula berubah selepas dia bertunang dengan Dhia Safiya. Setahunya, hubungan mereka sangat baik sebelum ini tetapi mengapa pula Datuk Halim tiba-tiba sahaja bencikannya. Mungkin ada sesuatu yang Datuk Halim sembunyikan daripada mereka.

#
PAGI ini Hud Aariz dikejutkan dengan kedatangan seorang pengirim bunga di awal pagi. Baru sahaja dia menerima setangkai bunga mawar daripada pengirim misteri semalam. Dalam keadaan dia yang sedang sakit, masih juga dia perlu memikirkan siapa gerangan pengirim bunga tersebut.

[Moments pass with every second. Live them fully before they take the hand of time and leave us behind. Open up your heart and stow these moments away for keeps.

Still waiting,
Mawar.]

Hud Aariz melemparkan kertas yang direnyukkannya di atas lantai. Dia mengetap gigi dengan kuat sehingga rahangnya bergerak-gerak. Mahu sahaja dia pergi ke tempat pengirim bunga itu serta-merta.

"Disebabkan Lisa, semua rancangan kita tergendala. Harraz, lepas I discharge, I nak kita terus ke tempat pengirim bunga tu. Dia ni betul-betul buat I stress!"

"Errr tapi datuk, macam mana dengan semua appointment datuk?"

"Suruh Murni uruskan! Selagi I tak jumpa siapa dia, hidup I tak akan aman. Dia betul-betul cari pasal dengan I!"

"Boleh datuk tapi datuk tahu kan risiko yang akan kita tanggung kalau appointment datuk dibatalkan."

Dengusan kasar keluar daripada mulut Hud Aariz. Dia mula memicit kepalanya. Kejadian yang menimpanya ini benar-benar mencabar dirinya yang selama ini tidak pernah gentar dengan ugutan sesiapa tetapi kali ini, pengirim bunga itu membuatnya seperti seorang lelaki yang lemah.

"Suruh Murni hantarkan wakil bagi pihak I. Buat apa I upah executive dan assistant director ramai-ramai tu kalau bila I perlukan dia orang, sorang pun tak berguna!"

Harraz menelan liur. "Baik, datuk. Saya akan sampaikan arahan datuk kepada Murni. Datuk janganlah marah-marah. Nanti tak sembuh luka datuk tu."

Wajah Harraz direnung tajam tanpa berkelip. Riak wajah Hud Aariz yang mula menyinga itu membuatkan Harraz tunduk menekur lantai.

"Shut up, Harraz!"

"Baik, datuk." balas Harraz masih lagi tunduk.

"Wakil nak ke mana? Kenapa perlu hantar wakil?"

Soalan yang ditanya tiba-tiba itu tidak dibalas serta merta. Harraz hanya diam sahaja. Begitu juga dengan Hud Aariz. Mereka memandang sesama sendiri. Tiada tanda yang soalan itu akan dibalas serta-merta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience