BAB 30

Drama Completed 1821

Pandangannya masih kabur, seperti orang rabun jauh yang sedang mengarahkan pandang ke tempat jauh. Dia menggagahkan juga kelopak kedua-dua mata untuk makin terbuka luas. Ada empat gadis duduk di sekelilingnya, dua di sebelah kiri dan dua lagi di sebelah kanan. Dia hanya mampu menyedari, empat gadis itu menatapnya penuh erti sambil ketawa gembira kerana dia sudah terjaga dari tidur panjangnya. Tetapi dia belum dapat mengenali siapa mereka.
"Syukurlah. Tidak sia-sia kita semua kasi satu doa kita. Adik kita sudah sedar."
Kata Rona. Pandangannya semakin jernih. Kini dia dapat melihat mereka dengan jelas, empat gadis kerdil yang tidak lekang tersenyum puas hati. Annylea menahan hasrat gadis itu yang mencuba untuk bangkit.
"Liya! Kau masih lemah, Liya. Kau belum bulih banyak bergerak lagi."
Liya membantutkan niatnya. Dia melirik ke sekeliling. Suasana wad hospital itu kelihatan begitu asing pada pengamatannya. Dua orang jururawat perempuan yang lalu di depan pintu ruangan itu membuat dia makin berasa janggal. Mereka berwajah orang barat.
"Ini hospital mana ni? Kenapa pelik saja aku tinguk?"
Soalnya dengan nada yang sayup, lemah.
"Kau ada di Itali, Liya. Lima hari sudah kau di sini."
Jelas Suzy. Liya mengerut kening hairan. Dia merenung lama wajah Suzy.
"Liya? Siapa Liya?"
Mereka berempat panik dan saling berpandangan setelah mendengar apa yang gadis itu katakan sebentar tadi.
"Liya! Kau tidak ingat sama nama kau sendiri?"
Liya menggeleng-geleng kepala.
"Aku tidak tau siapa nama aku. Kenapa kamu panggil aku Liya? Kamu kenalkah aku ni siapa?"
Gadis itu mengarahkan jari telunjuk ke dada, ke dirinya sendiri.
"Aku tidak kenal pun kamu siapa. Macam mana kamu kenal aku?"
"Adui! Kenapa jadi begini lagi ni?"
Keluh Suzan.
"Sedar-sedar saja, terus hilang ingatan."
"Aku betul-betul tidak ingat apa-apa. Cuma satu saja aku ingat."
"Apa?"
Soal mereka serentak, penuh semangat.
"Yang aku ingat... Sekarang ni aku sedang pura-pura hilang ingatan di depan si Annylea, si Rona, si Suzan sama si Suzy."
Lantas wad itu dipenuhi suara tawa.
"Kurang asam kau, Liya. Sedar-sedar saja dari pengsan, terus kasi kana kami ah!"
Rungut Annylea seraya menggelitik pinggang Liya. Liya ketawa kegelian.
"Ya bah."
Sampuk Rona, Suzan dan Suzy serentak.
"Sebenarnya dari semalam lagi aku memang sudah sedar. Cuma aku pura-pura belum sedar sebab mau dengar semua yang kamu cakap. Aku sudah tau kenapa aku bulih kena kasi pindah pigi di sini. Aku kena jebak di dalam tu bilik. Mama tiri aku sengaja letak roti sama tu jem epal di dalam tu laci. Dia tau aku akan lapar, sama aku akan makan tu roti di dalam tu laci. Dia ada letak racun di dalam tu jem epal."
Liya menghentikan seketika kata-katanya. Dia tersenyum merenung wajah mereka satu-persatu.
"Kenapa, Liya? Kenapa kau senyum?"
Soal Rona.
"Sebab aku yakin, mama tiri aku tu salah pilih racun."
"Maksud kau?"
Soal Suzy.
"Ya. Sebab semalam, aku dengar apa tu doktor cakap sama kamu. Dia bilang, aku cuma termakan racun yang cuma bikin badan aku lemah dalam beberapa hari saja. Tu racun tidak dapat menyebab kematian asalkan perawatan yang kena bagi tu cukup."
"Syukurlah kalau betul macam tu. Tapi kau mesti lebih hati-hati lagi mulai sekarang, Liya. Stepmother kau tu sekutu iblis. Dia bulih buat yang lebih teruk lagi kalau dia tau kau masih hidup. Dia tinggal buka tu aplikasi Mirror Mirror On The Wall dia, lepas tu dia search kau punya location sekarang."
Liya menarik nafas panjang.
"Aku tidak takut, kak Suzy. Aku yakin, Tuhan berpihak sama orang yang tertindas macam aku."
"Kau tidak takut. Tapi kami yang takut kalau kau ada apa-apa lagi."
"Kamu santai saja. Aku percaya, lepas ni dia tidak dapat buat apa-apa lagi sama aku atau sama family aku. Terima kasih, sebab kamu sudah jaga aku selama aku di sini."
"Tidak payah terima kasih sama kami, Liya. Kau patut berterima kasih sama lelaki yang sudah bawa kau pindah pigi sini. Dia yang suruh kami jaga kau di sini."
Senyum Liya serta-merta hilang. Dia memang sudah tahu, lelaki itu yang membawanya ke situ walaupun dengan cara menculik di luar pengetahuan ibu dan ayahnya. Tetapi dia tidak tahu siapa lelaki itu.
"Siapa sebetulnya tu lelaki?"
"Jadi kau sudah tau tu lelaki yang bawa kau pigi sini?"
"Ya. Niat dia baik, walaupun dia tidak minta izin bapa sama mama mau bawa aku pigi sini. Dia mau kasi selamat aku dari si Sarah. Tapi aku tidak tau dia siapa! Yang aku tau, dia lelaki."
* * *
Dengan punggung yang masih menampal pada kerusi roda, Avilla merenung jauh pemandangan luar jendela wad hospital itu, tempat dia dirawat. Wajahnya murung tidak menyisa sedikit senyum dan aura ketenangan. Keadaannya masih sama, masih begitu lemah. Sudah berkali-kali dia mencuba untuk berdiri, sukar dan sakit. Apatah lagi untuk bergerak melangkah. Semenjak dia ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebatang anak sungai kering, gadis remaja yang menemukannya itu segera menggapai telefon pintar Avilla di dalam beg tangannya yang berada tidak jauh dari tempat dia tergeletak. Gadis itu mengamati terus telefon pintar yang telah kehabisan daya bateri. Dia mengecas telefon itu dengan power bank yang juga dia temui di dalam beg tangan gadis yang tergeletak itu. Dia menghidupkan telefon itu, dan menghidupkan juga GPS. Tidak sampai sejam, Donius, Amanda dan Lorenzo tiba dengan berkongsi satu kereta. Avilla sedikit tersentak, sepasang tangan menyentuh kedua-dua bahunya dari belakang. Dia belum dapat bergerak untuk menoleh, tetapi dia tahu itu siapa.
"Lorenzo! Lama sudah kau di sini?"
Dia mengelus-elus lembut tangan Lorenzo yang masih menampali bahunya.
"Baru juga."
"Macam mana khabar adik aku, Zo?"
"Syukurlah. Tadi si Rona whatsapp aku, dia sedar sudah."
Avilla langsung mengukir senyum.
"Serius? Si Liya sedar sudah?"
"Iya, sayang. Tapi dia masih belum dapat banyak bergerak. Sama macam kau."
"Jadi bapa sama mama sudah taukah, si Baxter yang bawa si Liya pigi Itali?"
"Sudah. Bapa sama mama kau sudah kasi serah si Liya sama si Baxter. Diorang percaya si Baxter dapat jaga si Liya."
"Tapi kenapa si Baxter buat macam tu? Bukan dia tidak sukakah sama si Liya?"
"Aku pun tidak tau."
"Harap-harap si Liya selamat di sana."
"Sama ada satu aku mau kasi tau kau."
"Apa, Zo?"
"Si Vivian sekarang ada di penjara. Dia kedapatan buat percubaan membunuh. Polis sudah tau dia yang pukul kau, terus buang kau di anak sungai kering."
Avilla menarik nafas panjang.
"Sepatutnya si Sarah pun masuk penjara! Dia cuba-cuba mau membunuh adik aku. Aku yakin, dia yang hipnosis si Vivian sampai jadi macam tu."
* * *
Malam diselimuti cuaca agak sejuk. Sarah duduk santai di perkarangan rumah barunya. Dia mendongak, merenung kerlipan bintang-bintang di langit.
"Kalau ilmu aku sudah bertambah, mungkinkah aku dapat mengatur susunan-susunan tu bintang-bintang di langit?"
Khayalannya menjelma. Dia mendambakan kekuatan ilmu hitamnya makin bertambah dari hari ke hari. Dia mula membuka aplikasi Mirror Mirror On The Wall, dan menekan simbol mikrofon untuk memberikan soalan kepada Mimin Mirror melalui lisan. Seusai menekan dan menyebabkan simbol itu menyala, dia pun mula bercakap.
"Mimin Mirror Mirror On The Wall! Cuba jawab jujur. Siapa perempuan paling cantik, paling awet muda, paling hebat setakat ini?"
Dia menekan tulisan "send". Mimin harus mengambil masa seminit lebih untuk menganalisis audio berupa soalan dari Sarah. Setelah proses menganalisis selesai, muncul teks respon.
"Kamu wanita paling tercantik dan terhebat, Sarah. Tetapi Putih Liya, anak tiri kamu jauh lebih cantik dan lebih hebat dari kamu."
Sarah terkejut dengan hasil itu. Kemarahannya makin menjulang tinggi. Sekali lagi dia menghantar audio soalan.
"Bukan anak tiri aku tu sudah mampuskah? Dia makan jem epal yang sudah aku campur racun?"
Seminit lebih kemudian, teks jawapan pun muncul.
"Dia tidak mati. Sekarang dia semakin sihat dibawa jagaan empat orang gadis kerdil. Kamu sudah salah memilih racun. Racun yang kamu campurkan ke dalam jem epal itu hanyalah racun tahap rendah yang hanya dapat menyebabkan sasaran pengsan dan lemah selama beberapa hari."
Sarah menggeleng-geleng kepala.
"Aku tidak mungkin salah. Ni mesti Mimin Mirror yang salah ni. Si Liya patut mati. Si Amanda patut mati. Malam ni juga aku cari diorang anak-beranak. Aku mau diorang mati di tangan aku malam ni juga."
Dia bermonolog keras, diakhiri dengan teriakan keras. Dia melangkah cepat, tidak tahu hendak ke mana. Langkahnya terhenti setelah jalannya dihalang oleh Tony yang secara tiba-tiba sahaja muncul di situ. Tony menatapnya dengan pandangan bengis.
"Selagi aku hidup, aku tidak kasi biar kau kasi apa-apa kakak aku sama anak buah aku, Sarah!"
Tadinya Tony memang kebetulan lalu di depan rumah Sarah. Jarak rumahnya dengan rumah baru Sarah tidak begitu jauh. Dia melihat Sarah seperti bercakap-cakap dengan seseorang di telefon. Dia tertarik untuk mengintip wanita itu.
"Hahaha..."
Sarah ketawa sinis.
"Tiada siapa dapat halang aku, termasuk kau, pondan!"
"Kau ingat aku takut sama kau, perempuan sekutu iblis? Kau ingat dengan ilmu kau tu, kau dapat suka-suka mau kendali aku?"
"Bagus kau pigi siring! Jangan halang jalan aku."
Dengan beraninya, Tony merebut telefon pintar dari genggaman Sarah. Telefon itu dia lemparkan dengan keras ke tanah, lantas dipijak-pijak sehingga skrinnya retak. Tony senyum senget dengan tindakan yang dia lakukan.
"Sekarang telefon kau rusak! Kau tidak dapat guna sudah aplikasi Mirror Mirror On The Wall kau. Jadi, kau tidak dapat cari sudah di mana keberadaan kakak sama anak buah aku sekarang."
Sarah menatap lelaki lembut itu dengan lama.
"Jangan kasi salah aku kalau aku terpaksa kasi lenyap kau sebelum aku kasi lenyap kakak sama anak buah kau, sotong!"
Dia menyaluk sesuatu dari dalam beg tangannya, keris emas berukuran kecil. Keris itu dia tusukkan ke bahagian dada Tony.
"Mampus kau, sotong!"
Racun berbisa dari keris itu mengalir dengan cepat ke seluruh badan Tony. Tony tidak dapat lagi bertutur sedikit pun. Kesan racun itu betul-betul bertindak dengan pantas. Kulit cerah Tony semakin bertukar menjadi gelap. Dia sudah tidak mampu lagi untuk bertahan. Dia rebah ke tanah. Sarah berpuas hati dengan apa yang dia lakukan. Walaupun belum terdaya melupakan jawapan yang diberi Mimin Mirror tadi, dia masih tetap merasa dirinya paling hebat. Dia mencabut semula keris emas dari jasad yang sudah tidak bernyawa itu. Dia mengatur langkah untuk beredar.
"Hahaha... Sarah, Sarah!"
Sarah berhenti melangkah. Dia merenung sekeliling yang diselaputi kesunyian, mencari sumber suara lelaki yang agak keras dan garau itu. Dia tidak melihat sesiapa di situ, tetapi suara itu cukup jelas kedengaran.
"Siapa tu?"
Soalnya, memberanikan diri. Dia ketakutan.
"Kau sudah langgar sumpah kau sendiri, Sarah. Kau bunuh orang tidak bersalah. Sekarang kau siap-siaplah kehilangan semua yang kau ada."
Dia rebah ke tanah seperti ada yang menolak.
"Arrgggghh..."
Seluruh badannya bergetar. Dia merasa seperti ada sesuatu akan keluar dari dalam badannya. Benda itu keluar menembusi dada, menyerupai asap hitam yang berkepul-kepul naik ke udara dengan cepat. Dia sudah kehilangan segala kehandalan ilmunya. Dia memekik sehabis-habisnya, kecewa dengan apa yang berlaku. Dia mengambil cermin mini dari dalam beg tangannya dan mula memeriksa wajahnya. Dia terkejut mendapati banyak kedutan teruk di wajahnya, serupa wanita yang sudah sangat lanjut usia.
"Tidak!!! Tidak mungkin! Aku ni perempuan paling cantik! Paling hebat! Tidak mungkin aku kehilangan semua milik aku!"
* * *
"Uncle, sampai bila-bila pun kami tidak lupa jasa uncle. Uncle rela gadai nyawa demi melindungi kami. Unclelah wira kami."
Liya tersedu-sedu meratapi kepergian Tony. Dia memeluk salib kayu yang tertera nama bapa saudaranya itu. Orang-orang yang berkunjung sudah semakin berkurang, tinggal menyisakan dirinya, Amanda, Donius, Avilla, Rona, Annylea, Suzy, Suzan, Lorenzo dan Baxter yang masih tetap berada di situ. Amanda berada di samping Liya, merangkul bahunya.
"Dari kecil, kau selalu sama-sama aku, Tony. Kita selalu akrab. Waktu kakak kau ni sedih, kau selalu ada di sebelah aku. Waktu aku ada masalah, kau tidak pernah beralasan untuk jauh-jauh dari aku. Kau berusaha tolong aku. Aku tidak dapat lupa semua yang sudah kau buat untuk aku, Tony. Terutama pertolongan terakhir kau. Jiran kau kasi cerita sama kami, dia nampak kejadian kau kena tikam oleh si Sarah. Dia menyesal sebab dia terlambat bagi pertolongan. Kau rela mati di tangan si Sarah gara-gara kau rebut telefon dia, supaya dia tidak dapat jejak lokasi kami masa tu."
Suara tangis yang memenuhi kawasan perkuburan itu terhenti. Semua mata tertuju kepada beberapa orang yang tengah mengusung sebuah keranda ke tempat paling hujung, menuju ke tanah yang sudah digali dari tadi. Seorang lelaki remaja berkemeja hitam berjalan di depan keranda itu sambil membawa salib kayu bertuliskan nama Deviana. Deviana tewas dibunuh oleh Sarah, beberapa jam setelah Sarah membunuh Tony. Sarah beranggapan bahawa Devianalah yang menyebabkannya kehilangan segala yang dia miliki.
* * *
Hari terus berganti. Liya dan keluarganya tidak perlu lagi hidup dalam kerisauan. Namun, waspada tetap harus diteruskan. Tidak mustahil pengganti tempat Sarah akan muncul pada bila-bila masa di kehidupan mereka. Liya bebas ke mana-mana sahaja tanpa harus diiringi rasa gentar, termasuk mengikuti Baxter berkebun di kampung nenek Baxter. Puas membersihkan kebun luas yang lama tidak teruruskan itu, mereka melepaskan lelah dengan berehat di pondok kayu hujung kebun itu.
"Ni kebun lama sudah ni. Dulu, aku sama si Alvin puas main-main di sini sampai kami mandi lumpur."
Liya senyum kecil mendengar cerita Baxter mengenai pengalaman-pengalaman masa kecil Baxter bersama Alvin di kampung. Masih terasa sedikit kerinduan di hati bila mengingatkan Alvin.
"Aku tidak sangka, Bax. First kita gaduh. Sekarang bulih-bulih pula kita..."
Baxter menggapai tangan Liya, mesra dan romantik.
"Liya. Aku jujur. First aku nampak kau, aku memang sudah ada rasa lain-lain sama kau. Apalagi selepas aku dengar semua pasal kau. Aku rasa, aku berjumpa sama orang yang tepat."
"Jadi si Zita macam mana?"
"Dia sendiri yang minta aku cari pengganti dia. Sedih memang sedih. Tapi apa bulih buat kan, yang sudah jalan mana mungkin lagi balik. Semoga jiwa dia tenang di sana. Dia sudah jadi masa lalu aku. Sekarang ni, cuma kau saja masa depan aku."
"Aku masih berhutang budi sama kau, Bax. Kau sudah keluar banyak duit rawat aku selama aku sakit. Kalau kau tidak bawa aku pigi Itali, mungkin sampai sekarang pun tu racun tidak dapat keluar dari badan aku. Doktor pakar di sana cakap itu racun biasa, sebab mungkin diorang sudah biasa rawat pesakit keracunan macam aku."
"Itu bukan apa-apa bagi aku, Liya. Yang penting, kau selamat dari mama tiri kau. Lagi pun aku ada rumah di Milan. Cousin aku pun banyak yang menetap di sana. Tulah kenapa aku lebih pilih bawa kau pigi sana."
* * *
Dari jendela, Amanda dan Donius menyaksikan gelagat Sarah di dalam bilik itu. Puas Sarah membentak pesakit-pesakit mental lain yang mengusiknya dari tadi.
"Jangan kacau aku! Aku ni bukan gila macam kamu. Kamu barulah gila!"
Dia menggertak mereka. Sekejap-sekejap dia akan ketawa, sekejap lagi menangis. Fikirannya betul-betul sudah terganggu. Rambutnya berserabut tidak terurus, tersisip sudu plastik pakai buang di telinganya. Dia berdiri sambil berdepan dengan cermin bulat di dinding. Dia melambai-lambaikan tangannya di depan permukaan cermin itu.
"Mirror mirror on the wall! Tulung bagi tau aku, siapa paling cantik di dalam ni planet bumi?"
Dia mengkhayalkan cermin itu menjawab pertanyaannya.
"Kamulah wanita paling cantik, Sarah."
Sarah melompat-lompat kegirangan. Dia tidak mampu lagi membezakan khayalan dengan realiti.
"Yeaahhh. Ni cermin cakap aku paling cantik! Yeaahhh!"
"Pakkk..."
Kepalanya ditampar seorang dari pesakit-pesakit mental di situ.
"Kau jangan perasan! Muka kau macam dorom bertagar. Aku yang cantik."
Perkelahian pun terjadi. Sarah dan wanita pesakit mental itu saling bercakar-cakar dan menarik rambut. Amanda dan Donius menggeleng-geleng kepala, sedih.
"Kasian juga si Sarah, bang."
"Itu sudah bahagian dia."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience