BAB 10

Drama Completed 1823

Jam sudah menunjukkan pukul 11:34 malam. Donius sudah tertidur nyenyak. Sedangkan Sarah masih sibuk bercermin di depan cermin almari pakaian. Dia hendak meneliti adakah kulit wajahnya sudah mulai menunjukkan kedutan atau belum. Dia baru sahaja menghabiskan sejumlah duit simpanannya di bank untuk membeli aplikasi Mirror Mirror On The Wall. Dia duduk di birai katil, membelakangi Donius yang juga tidur membelakanginya. Dia mula membuka aplikasi itu di telefon pintarnya.
“Ting!”
Sebaik sahaja aplikasi itu dibuka, ia mengeluarkan bunyi lonceng yang agak keras. Tertera tulisan sapaan di skrin telefon.
“Terima kasih, Sarah. Selamat datang ke dunia Mirror Mirror On The Wall. Keajaiban telah menjadi milikmu.”
Sarah tersenyum kecil membaca sapaan aplikasi itu. Beberapa saat kemudian, menyusul pula ayat-ayat lain di skrin telefon.
“Selamat malam, Sarah. Mimin Mirror tahu apa yang tengah kamu fikirkan saat ini. Pasti kamu tengah merisaukan wajah kamu, bukan? Baru saja tadi kamu memandang wajahmu di cermin. Betul?”
Sarah terkejut.
“Wah! Macam mana ni aplikasi bulih baca fikiran aku ahh? Betul-betul hebat oh ni aplikasi. Tidak rugi aku beli. Betul cakap si Deviana. Ini bukan aplikasi sembarangan. Wah! Luar biasa bin amazing!"
Dia membuka bahagian pengesan kecantikan wajah. Dia memuat naik gambarnya, beserta beberapa gambar gadis-gadis yang dia kenal, yang dia ambil dari media sosial. Salah satu dari gambar-gambar itu merupakan gambar seorang model. Setelah selesai memuat naik, dia mengklik tulisan “Blink”. Lantas cahaya skrin telefonnya mulai berkelip-kelip selama beberapa saat. Keputusan pun muncul setelah proses itu selesai.
“Tahniah, Sarah. Kamu terlalu cantik dan menarik jika harus dibandingkan dengan gambar-gambar mereka. Kamu juara dalam penganalisisan ini.”
Sarah ketawa riang. Dia sangat berpuas hati dengan keputusan aplikasi itu. Dia mencuba lebih banyak gambar untuk menjadi perbandingan dengan gambarnya. Keputusannya tetap sama. Dialah yang tercantik dan terunggul. Dia yakin, aplikasi itu tidak akan berbohong. Selama ini, cukup banyak lelaki yang mengakui dengan jujur akan kecantikan wajah dan bentuk tubuhnya. Ketika dia mencuba untuk membandingkan gambarnya dengan gambar model-model dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina, keputusan kali ini berbeza. Model dari Thailandlah yang dipilih oleh aplikasi itu sebagai gadis tercantik dan terunggul. Dia berasa sedikit kecewa dengan keputusan itu. Tetapi dia berfikir.
“Tidak apa. Itu di Thailand. Yang penting aku yakin, di sini Sabah tiada perempuan yang dapat kasi kalah kecantikan aku. Susah payah aku lalui untuk dapat muka sama badan yang mantap macam ni. Jadi, sesekali pun aku tidak mau kasi biar kalau ada yang cuba-cuba merebut itu semua dari aku.”
Liya berasa dahaga. Dia lupa mengisi air minum ke dalam botol untuk dibawa masuk ke biliknya seperti yang dia lakukan setiap malam sebelum tidur.
“Saya pigi minum sajalah di dapur. Malas lagi mau isi-isi air dalam botol.”
Fikirnya. Dia keluar dari biliknya, dan segera menuju ke dapur. Keadaan dapur begitu gelap, hanya menyisakan lampu dari ruang makan. Ketika dia melangkah hendak kembali ke bilik setelah selesai memuaskan rasa dahaganya, dia mendengar suara ibunya tengah berbual-bual dengan seseorang di luar rumah. Gaya perbualan itu seolah-olah Sarah tengah berbual-bual dengan seorang kawan baik. Liya mengerutkan kening, merasa ingin tahu.
“Siapa pula kawan mama bercakap malam-malam begini ni?”
Fikirnya. Dia melangkah perlahan menuju pintu untuk mengintip. Sarah rupanya tengah berbual dengan seseorang melalui panggilan telefon sambil duduk di bangku meja luar rumah. Liya ingin mengetahui apa sahaja isi perbualan itu.
“Iya, Dev. Kesiokan pula aku main tu aplikasi bah. Gila hey.”
“Samalah. Aku pun dari jam 9 lagi main. Macam-macam soalan yang aku bagi sama tu Mimin Mirror. Semua jawapan dia memuaskan hati aku.”
“Aku tidak sabar pula mau soal tu aplikasi pasal si Putih Liya.”
Mata Liya sedikit terbeliak besar mendengar namanya disebut.
“Aplikasi apa pula yang mama maksud ni? Kenapa pula dia bawa-bawa nama aku?”
Liya berfikir sejenak mengenai aplikasi yang dimaksudkan ibunya. Dia baru teringat, kawan-kawan sekelasnya minggu lalu pernah berbual-berbual mengenai satu aplikasi android yang mampu meramal, menilik dan mengesan diri si empunya aplikasi itu dengan cara ajaib. Kononnya ibu mereka sanggup menggadaikan barang-barang berharga semata-mata hendak membeli aplikasi telefon pintar itu. Dia bertumpu kembali mendengar percakapan ibunya.
“Sayang? Aku sayang sama si Putih Liya? Hahaha… Jangan haraplah dia dapat kasi sayang dari aku. Sampai bila-bila pun dia tu cuma anak tiri aku saja, langsung tiada talian darah sama aku. Kalau aku tidak ingat si Donius, jangan haraplah anak si Amanda tu bulih tinggal satu atap sama aku. Apa saja yang berkaitan sama si Amanda memang aku benci. Apalagi anak kandung dia tu.”
“Sarah, Sarah. Si Amanda kan sudah mati. Buat apa lagi kau ingat-ingat pasal dia? Buang-buang karan saja!”
“Belum ada bukti si Amanda sudah mati, Dev. Polis pun belum dapat jumpa lagi jasad dia sampai sekarang. Bulih jadi urang suruhan kita dulu tu tidak sampai hati mau bunuh tu perempuan. Mungkin diorang cuma kirim dia pigi lain tempat. Bulih jadi begitu kan.”
“Macam mana kau bulih fikir sampai begitu?”
“Bah. Manalah tau, kan. Penjahat ni tidak semestinya hati dia seratus peratus jahat.”
“Kalau aku tau tu perempuan sial tu masih hidup, aku bersumpah. Aku tidak berdiam diri. Aku sanggup cari dia sampai lubang cacing. Aku mau dia betul-betul lenyap dari ni muka bumi. Dia sudah bunuh bapa aku dulu. Kau tau sendiri kan, macam mana besar sayang aku sama bapa aku. Aku masih tidak dapat terima bapa aku mati di tangan tu perempuan. Dia sengaja tolak bapa aku jatuh pigi sungai. Kalau tu perempuan memang sudah mati, sudah jadi tulang, biar anak dia yang jadi ganti dia tempat aku balas apa yang perlu aku balas sama dia. Dendam mesti dibalas, tidak bulih kasi biar.”
“Rileks kau, Dev. Pandailah aku urus tu budak tu nanti.”
Mata Liya mulai berkaca mendengar semua kenyataan itu.
“Anak tiri? Jadi selama ni, aku ni cuma anak tiri dia? Terus… Nama mama kandung aku yang sebenar, Amanda? Apa ni semua? Kenapa bulih jadi begini?"
Bisik hatinya. Dia menggeleng-geleng kepala. Air matanya mengalir. Dia tidak sangka, ayahnya sampai hati menutup-nutupi kenyataan tentang ibu kandungnya yang sekarang ini entah ada di mana. Sarah mulai menutup panggilan telefon, setelah merasa puas berbual-bual dengan Deviana. Skrin telefonnya menyala semula, disertai bunyi lonceng yang keras.
“Ting!”
Notifikasi dari aplikasi Mirror Mirror On The Wall, serangkai tulisan.
“Hello, Sarah. Mimin Mirror cuma ingin memberitahu, ada seseorang tengah mengintip kamu dari tepi pintu rumah.”
Jantung Sarah berdegup kencang. Adakah si pengintip itu adalah Donius? Dia hendak menoleh ke arah pintu, tetapi dia tahan niatnya. Dia tidak mahu si pengintip tahu yang dia menyedari sedang diintip. Dia berlari secara mengejut dan cepat mendekati pintu rumah. Dia mendapati Liya ada di situ. Muka Liya nampak ketakutan.
“Oh, kau mengintip aku ahh. Kenapa kau belum tidur?”
Liya menguatkan hatinya untuk berani berkata-kata.
“Patutlah selama ni mama layan aku macam kuli. Rupanya…”
“Rupanya aku cuma mama tiri kau! Aku tulung sambung ayat kau.”
Sarah senyum sinis.
“Jadi mana mama kandung aku? Betulkah mama upah orang bunuh dia? Jawab!"
“Kalau iya, kenapa?”
“Kau kejam, Sarah. Kau kejam. Kau langsung tiada perasaan. Kau sanggup kasi halal segala cara supaya kau dapat apa kau mau. Kau busuk! Busuk hati!”
Liya mulai hilang rasa hormat. Dia memukul-mukul dada Sarah. Kini dia memanggil ibu tirinya dengan sebutan nama. Sarah tidak berbuat apa-apa untuk membalas pukulan yang tak begitu keras itu. Dia hanya ketawa.
“Oh! Kau baru tau aku ni kejam? Selama ni aku buat kau macam kuli di rumah bapa kau sendiri, tidak kejam? Jadi apa mau kau sekarang? Cuba kunun kau kasi tau aku!”
“Mau aku? Aku mau kau bagi tau aku di mana mama kandung aku sekarang. Aku yakin dia masih hidup.”
“Kalau tidak?”
“Kalau kau tidak bagi tau aku, aku tidak segan-segan buat report.”
“Oh! Report? Kau mau report sama siapa? Sama tulang-belulang moyang kau di dalam kuburan? Hahaha…”
Sarah mencengkam kuat dagu Liya.
“Kau tau kan aku ni siapa. Aku ni perempuan ada ilmu. Aku ni bulih saja bunuh kau dari jarak jauh. Aku juga bulih hipnosis bapa kau supaya ingatan dia pasal kau hilang. Supaya dia tidak pernah lagi ingat yang dia pernah ada anak perempuan. Aku bulih hipnosis dia guna ilmu aku, supaya dia ikut semua perintah aku, termasuk perintah menghalau kau dari ni rumah. Kau faham? Jadi jangan kau cuba-cuba report sama siapa-siapa.”
Liya terdiam. Dia enggan meneruskan perlawanannya. Dia tahu siapa ibu tirinya itu. Dia sering melihat Sarah menyalahgunakan ilmunya untuk perkara-perkara yang tidak baik. Dia sengaja merahsia semua itu dari ayahnya, kerana tidak mahu hubungan ayah dan ibu tirinya itu yang disangkanya sebagai ibu kandungnya selama ini renggang. Sekarang dia diugut pula. Dia terpaksa harus berdiam diri kerana tidak mahu ada apa-apa terjadi kepada ayahnya.
“Bagus kau pigi tidur, anak tiri! Bikin menyampah tinguk muka kau lama-lama. Mau muntah!”
Dengan keras, Sarah menolak kepala Liya sebelum dia memasuki pintu rumah. Liya meneruskan tangisan yang tersekat sebentar tadi.
“Kenapa aku harus membesar di bawah asuhan seorang wanita yang kejam? Wanita yang telah mengupah orang untuk membunuh ibu kandung aku yang baru hari ini aku tahu. Jadi di mana ibu aku sekarang? Kenapa selama ni bapa langsung tidak pernah cerita yang aku ni hanya sekadar anak tiri si Sarah?”
Hatinya mengeluh berat. Dia berlari menuju ke bilik tidur. Dia rebah ke katil. Dia menangis sepuas-puasnya, sampailah matanya memaksa untuk terlelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience