BAB 2

Drama Completed 1821

Dengan langkah kaki yang cepat, Deviana maju mendekati Sarah. Muka Deviana yang tadinya kelihatan kesal, kini berubah menjadi muka merasa bersalah. Muka Sarah pula kelihatan tengah geram, dengan tatapan tajamnya kepada Deviana.
“Dev! Kenapa kau kasi rahsia pasal perkahwinan si Donius sama aku, Dev?”
Deviana tertunduk. Pandangannya ke sana ke mari, merenung lantai bilik.
“Dev, aku tanya sama kau ni!”
Sarah makin melantangkan lagi suara.
“Minta maaf, Sarah. Aku sengaja. Aku tidak mau kau terpukul sama ni kenyataan.”
“Kau takut aku pigi serang si Amanda? Sebab dia tu cousin kau kan? Begitukah?”
Deviana mengangguk perlahan.
“Dia memang cousin aku. Tapi aku tidak suka sama dia. Aku benci.”
“Pasal apa?”
“Gara-gara dialah bapa aku meninggal. Dia bunuh bapa aku.”
Deviana mulai menceritakan kisah di mana dahulu Amandalah yang dituduh sebagai penyebab kematian ayahnya. Amanda terlalu akrab dengan Juan, ayah saudaranya. Hubungan Amanda dengan Juan sudah seperti anak dan ayah kandung. Ke mana-mana Juan pergi, pasti Amanda akan ikut. Sehingga tibalah suatu hari di mana mereka pergi memancing di sebatang sungai yang besar dan agak deras, juga diyakini sangat dalam. Ketika duduk di tepi sungai itu sambil menunggu hasil pancingan, Amanda mengusik Juan dengan menggelitik bahagian pinggang ayah saudaranya itu. Amanda memang suka mengusik Juan. Perkara itu tentu sahaja mengganggu tumpuan Juan yang tengah berusaha memasukkan cacing tanah ke mata kail pancing yang lain. Juan hanya mampu tersenyum dengan gelagat anak abangnya itu, walau dia berasa tidak selesa kerana terus-menerus diusik. Kerana hilang fokus, secara tidak sengaja mata kail yang tajam itu tertusuk pada ibu jarinya. Dia menjerit kesakitan. Tindakannya yang mulai tidak menentu itu akibat menahan kesakitan membuatkannya tergelincir, lantas jatuh ke dalam sungai. Amanda berteriak sekeras-kerasnya. Dia berteriak meminta pertolongan dari sesiapa yang ada di tempat berhampiran. Juan semakin jauh dibawa arus yang deras. Usaha Juan untuk melawan arus dan berenang, semakin membuat dia tenggelam lebih dalam di tengah-tengah sungai. Pada petangnya, beberapa penduduk dari kampung lain yang juga turut memancing di sungai yang sama, namun di lokasi lain, menemukan tubuh seorang lelaki hanyut, yang terhalang oleh sebatang pokok yang tumbang di tepi sungai itu. Mereka bergegas mendapatkan orang hanyut itu, dan mendapati orang itu sudah tidak bernyawa. Semenjak peristiwa Juan hanyut di sungai, beberapa orang kampung mulai memasang sikap sinis terhadap Amanda. Amanda terus-menerus menyesali perbuatannya yang telah membuat orang lain celaka, apatah lagi orang itu adalah ayah saudaranya sendiri yang amat dia sayangi. Ayah Amanda meninggal dunia lebih kurang dua tahun setelah pemergian Juan. Takdir seolah-olah bekerjasama dengan karma. Kini Amanda hanya memiliki ibu dan Tony, satu-satunya adik lelakinya, insan-insan yang amat dicintai dengan sepenuh hati. Hanya mereka sahaja yang masih lagi setia menunjukkan kasih sayang yang tulus kepadanya. Amanda juga pernah menyebabkan anak perempuan dari ibu saudara sebelah ibunya mengalami kemalangan jalan raya. Kini perempuan itu harus menghabiskan masanya dengan duduk di kerusi roda. Lily, anak ibu saudaranya itu telah merebut surat cinta dari tangan Amanda yang baru sahaja Amanda terima dari seorang pelajar lelaki tanpa sempat dibaca habis oleh Amanda akan isi surat itu. Untuk merebut kembali surat itu dari tangan Lily, Amanda harus mengejar Lily. Ketika menyeberangi jalan raya, Lily dilanggar oleh sebuah lori besar. Amanda yang panik segera mengangkat Lily, lantas membawanya ke rumah gadis itu. Amanda menceritakan dengan sejujur-jujurnya kepada keluarga Lily akan apa yang sudah terjadi tadi, namun dia malah dicaci dan dipersalahkan. Tidak hairan orang-orang terdekatnya telah memulaukannya. Tidak sedikit yang berkata bahawa Amanda lahir hanya menjadi pembawa sial bagi orang-orang yang terdekatnya. Perkara itu hampir sahaja membuat Amanda berhasrat untuk mengakhiri hidupnya. Tetapi, sebelum bertindak melakukan perkara bodoh itu, dia berfikir dua kali. Dia tidak mahu mengalah dengan keadaan. Walau apa pun tanggapan orang terhadap Amanda, tidak mampu membuat Amanda patah semangat. Dia tetap mempertahankan hakikat diri sebagai seorang gadis yang bukan hanya cantik, tetapi juga baik hati.
* * *
Empat minggu berlalu. Donius dan Amanda sah menjadi pasangan suami isteri. Jam telefon pintar Amanda sudah menunjukkan pukul 11:36 pagi, diliriknya sejenak. Dia bersandar pada bangku kereta, berasa sedikit letih sehabis berbelanja di mall tadi bersama Donius. Donius tetap bertumpu pada pemanduan kereta, sedikit pun tidak menunjukkan dia letih. Perjalanan masih agak jauh untuk sampai ke rumah. Donius melirik sejenak ke arah isterinya yang tengah merenung pemandangan luar kereta. Pemandangan sekumpulan kanak-kanak tengah bermain bola sepak.
“Sayang. Sayang ada mau singgah lagikah?”
Soal Donius. Lantas pandangan mereka berdua bertembung.
“Kita singgah di rumah anak-anak yatim. Bulih?”
Donius mengangguk, menuruti mahu sang isteri. Dia sudah maklum dengan hobi Amanda yang suka melawat rumah anak-anak yatim piatu. Tidak sekali Amanda membelikan makanan dan minuman untuk anak-anak yatim itu. Dia begitu menyayangi mereka seperti adik atau anaknya sendiri. Rumah anak-anak yatim yang mereka tuju menampung sebilangan besar anak-anak yatim perempuan. Hanya beberapa orang sahaja anak yatim lelaki di situ. Ketika memasuki taman permainan rumah anak-anak yatim itu, Donius dan Amanda terpaku memandang tiga orang wanita pengasuh yang tengah sibuk bermain bersama empat orang kanak-kanak yang ada di dalam sebuah kurungan kayu, di taman itu. Hampir sahaja mereka tidak menghiraukan kanak-kanak lain yang tengah bermain di situ. Donius menyuruh seorang tukang kebun di situ untuk mengeluarkan semua makanan dan minuman dari dalam keretanya untuk diagih-agihkan kepada anak-anak yatim di situ. Semua itu dibeli oleh Amanda dan menggunakan duit Amanda sendiri.
“Bah. Pounsikou, Amanda. Rajin gia kau melawat sambil bawa-bawa makanan.”
Kata Maria, seorang dari pengasuh-pengasuh itu dengan senyuman mesra.
“Sama-sama, aunty Maria. Apalah juga gia. Bukan banyak sangat juga yang saya bawa ni. Saya sudah anggap diorang ni macam adik-adik saya sendiri.”
“Aunty berdoa, semoga perkahwinan kamu berdua kekal sampai akhir.”
Kata Maria lagi, seraya menepuk-nepuk bahu Amanda.
“Terima kasih, aunty. Amin…”
Amanda lantas memandang empat kanak-kanak di dalam kurungan itu. Keempat-empatnya sudah mampu berjalan dengan dua kaki, hanya seorang yang masih belum begitu lancar berjalan.
“Siapa diorang ni, aunty?”
“Diorang berempat ni adik beradik. Mama sama bapa diorang baru-baru ni meninggal sebab kemalangan. Tiada yang ada masa mau merawat diorang ni, sebab sepupu-sepupu diorang semua pun sibuk. Jadi terpaksalah diorang kena hantar pigi di sini.”
“Kasian. Semua perempuankah ni?”
Maria mengangguk.
“Diorang berempat ni sebenarnya ada penyakit yang sama.”
“Penyakit apa?”
Amanda agak tersentak.
“Aunty pun lupa sudah apa nama tu penyakit. Apa yang aunty tau, badan diorang berempat ni tetap kecil macam budak-budak kalau diorang sudah besar nanti. Betul-betul serupa macam orang kerdil.”
“Ala, kasian. Harap-harap diorang ni tetap tumbuh sihatlah.”
Amanda dan Donius mengelus rambut kepala mereka satu-persatu. Tiba-tiba, Amanda merasa agak pening, dan mengeluarkan suara seperti hendak muntah. Donius dan tiga pengasuh itu mulai panik melihat kelakuan Amanda. Amanda memegang kepalanya yang terasa pening.
“Sayang. Sayang okeykah ni? Kenapa macam mau muntah ni?”
Soal Donius, seraya merangkul bahu Amanda.
“Aku rasa pening, bang.”
“Bagus kau hantar dia pigi hospital, Donius. Takut ada apa-apa pula.”
Kata Delila, seorang dari pengasuh-pengasuh itu. Donius mengangguk dengan cepat. Setelah meminta diri untuk pergi, Donius bergegas merangkul pinggang Amanda menuju ke kereta.
* * *
Ketika tiba di hospital dan selesai melakukan pemeriksaan, Amanda disahkan hamil. Senyum lebar menghiasi wajah Donius setelah mengetahui dirinya telah menjadi calon ayah. Amanda bahagia tak terkata. Akhirnya, Tuhan mendengar doanya. Dua tahun yang lalu, Amanda pernah memeriksa kesihatannya di sebuah hospital swasta. Hasil pemeriksaan itu menyatakan bahawa kemungkinan kecil rahim Amanda bermasalah dan tidak mungkin bagi Amanda untuk mengandungkan cahaya mata. Waktu itu, Amanda merasa masa depannya hancur setelah mengetahui hasil pemeriksaan itu.
* * *
Satu-persatu sarung sofa di ruang tamu dilepaskan dari bantalnya. Tony memasukkan semua sarung itu ke dalam keranjang plastik untuk direndam dalam baldi bilik mandi, di bawah. Aktivitinya terhenti sejenak. Dia mulai berfikir tentang mimpinya semalam. Dia, kakaknya, Sarah, Deviana dan Donius berada di puncak sebuah bukit yang tinggi. Sarah membentak Donius, kerana Donius tetap berdiam diri. Donius enggan menuruti permintaan Sarah untuk menjatuh Amanda dari puncak itu ke bawah.
“Donius, cepat! Buat! Kau bilang kau sayang sama aku, kan.”
“Aku tidak mau, Sarah. Dia isteri aku.”
Amanda menangis tersedu-sedu. Kedua-dua kaki dan tangannya terikat tali. Dia duduk meronta-ronta di atas tanah.
“Don. Jangan, Don. Aku isteri kau. Aku percaya, kau tidak sampai hati mau tolak aku jatuh pigi bawah. Ingat janji kahwin kau sama aku, Don.”
“Jangan peduli rayuan dia, Donius! Cepat kasi jatuh dia.”
“Aku minta maaf, Amanda.”
Pertimbangan sudah lenyap dari hati. Donius memejam kedua-dua mata. Dengan sekali tolakan, Amanda jatuh ke bawah diiringi teriakan keras. Si pemimpi turut memadukan jeritannya dengan jeritan Amanda. Donius menangis. Dia tidak menyangka dia tergamak lakukan itu. Tony menangis lebih kencang dari Donius. Itu kakak kandungnya. Susah senang, dia selalu bersama-sama dengan Amanda. Sarah dan Deviana sudah tentu berpuas hati dengan semua itu. Mereka saling tersenyum, senang hati. Sarah maju untuk mendekati Donius. Dia merangkul pinggang Donius dengan penuh kemesraan. Donius masih belum menyudahkan tangisan. Bahang tusukan sembilu yang menyakitkan semakin terasa di hati. Sarah meletakkan kepala ke bahu Donius.
“Donius sayang. Mulai sekarang, kau mesti kasi lupa dia. Biar aku ganti tempat dia. Aku lebih berhak.”
Tony tidak memahami mengapa mimpi ngeri itu menemani tidurnya semalam. Belum pernah dia bermimpi seperti itu. Mimpi itu begitu jelas. Kejadian dalam mimpi itu sangat masuk di akal, seperti sedang berlaku dalam dunia realiti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience