BAB 24

Drama Completed 1821

Vivian duduk di meja makan dapur, menikmati secawan kapucino panas. Hujan baru sahaja berhenti. Cuaca mula terasa sejuk. Dari pagi, matahari malu-malu menampakkan diri. Dia masih belum terdaya melupakan kejadian pagi tadi, mendapat tuduhan dari kakak angkat Liya. Bukan si penuduh yang membuatnya masih berasa kesal hingga kini, tetapi si pemitnah itu. Dia mulai memikirkan ibunya yang ada di bilik. Dia ingin tanyakan sesuatu kepada ibu. Dia bangkit berdiri, bingkas menuju ke bilik ibu di tingkat atas. Pintu tidak tertutup habis. Ibu tengah berbaring santai di katil, bermanja-manja dengan telefon. Dia mengetuk pintu supaya ibu tidak terkejut dengan kehadirannya yang mengejut. Elana terperanjat dengan kemunculan anaknya di pintu, sebaik mendengar ketukan itu. Dengan cepat, dia menyembunyikan telefon yang dia pegang ke bawah selimut yang terlipat kemas di sebelahnya. Vivian mengerut kening, hairan dengan kelakukan ibu.
“Kenapa, Vian?”
Vivian sudah tidak peduli dengan tujuannya datang ke situ. Dia tertarik ingin tahu, apa penyebab ibu menyembunyikan telefon di bawah selimut?
“Kenapa mama tapuk telefon mama?”
Elana tersenyum-senyum, menyembunyikan rasa bimbangnya.
“Oh, tidak. Anu. Mama fikir tadi bapa kau yang ketuk pintu, tulah mama cepat-cepat tapuk telefon di bawah selimut. Kau taulah bapa kau tu. Asal nampak mama main telefon, terus dia tuduh-tuduh mama chat sama lelaki lain. Maklumlah, mama kau ni kan masih lawa lagi.”
Vivian membisu seketika sambil berfikir. Tidak mungkin pasal itu. Pasti ada sesuatu dengan telefon yang ibu sorokkan itu. Dia melangkah cepat ke katil, dan mengambil telefon itu dari bawah selimut. Wajah Elana mula kelihatan takut. Vivian terkejut. Itu telefonnya yang hilang.
“Oh! Jadi mama yang whatsapp-whatsapp si Liya guna telefon aku ni? Mama sengaja curi telefon aku untuk tujuan ini?”
Elana tiada alasan lagi untuk mengelak. Perbuatannya sudah terbongkar.
“Mama minta maaf, Vivian.”
Dengan wajah yang merasa bersalah.
“Mak! Mama taukah. Gara-gara mama buat begini, puas aku kena maki-maki sama si Avilla, kakak angkat dia. Kalau bapa dia report polis, macam mana, mak? Mama maukah anak mama masuk penjara? Apa bah tujuan mama buat begini?”
Elana duduk bersila atas katil.
“Kau mau tau sebab apa? Sebab, mama tidak mau tu budak rebut si Lorenzo dari kau. Mama mau kau tetap sama-sama si Lorenzo, sampai kamu dua bertunang, lepas tu kahwin. Cuma itu saja cara terbaik untuk kasi up balik syarikat bapa kau yang sekarang ni makin down sudah. Bapa si Lorenzo sudah janji. Kalau anak dia si Lorenzo sudah kasi tamat zaman bujang, dia mau bagi hadiah besar sama family bini si Lorenzo nanti. Dia sanggup bagi apa saja yang diorang minta. Kau fikirlah baik-baik, Vivian. Mama buat semua ni untuk kebaikan kau sendiri juga.”
“Aku faham, mak. Aku faham sudah tujuan mama buat ni semua. Tapi cara begini kurang sesuai oh, mak. Masih banyak lagi cara lain yang kita bulih buat supaya si Lorenzo mau bertunang sama aku.”
“Mama sudah puas berfikir, Vivian. Mama yakin. Inilah satu-satu cara terbaik untuk kasi jauh si Liya dari si Lorenzo, supaya kau ada lebih banyak kesempatan untuk dekat-dekat balik sama si Lorenzo.”
“Tidak semudah itu, mak. Cinta si Lorenzo sama si Liya tu kuat.”
“Tiada yang tidak mungkin kalau kita cuba usaha, sayang. Percaya cakap mama.”
Vivian mempertimbangkan kata-kata ibu.
* * *
Suatu pagi yang cerah. Amanda berangkat menuju ke pekan untuk berbelanja. Dia berangkat bersama Liya dan Avilla. Donius sudah berangkat ke tempat kerja awal pagi tadi. Masih ada urusan yang harus dia selesaikan di pejabatnya, urusan yang berhubungan dengan Sarah. Selama menjawat menggantikan Donius, Sarah membuat banyak kecuaian dalam kerja-kerja yang dia laksanakan dalam syarikat itu. Donius harus memulihkan kembali sistem syarikat itu. Berbalik kepada Amanda. Itu adalah hari pertama dia memandu kereta barunya itu. Kereta itu baru sahaja Donius belikan untuknya, sebagai hadiah kasih sayang untuk Amanda di hari ulang tahun perkahwinan mereka. Mereka sampai di depan sebuah supermarket. Mereka pergi ke bahagian barang-barang masakan. Amanda menolak troli barang yang masih belum terisi apa-apa barang. Amanda dan Avilla fokus memilih-milih barang yang hendak dibeli.
“Mak, beli ni serbuk kari.”
Avilla menunjukkan sebungkus serbuk kari yang baru dia ambil. Amanda menggeleng-geleng kepala, tidak mahu.
“Itu tidak berapa sedap. Nanti biar mama saja pilih.”
Liya kembali memandang ke hujung, di tempat jualan barang-barang kosmetik. Dari jauh, dia melihat bedak muka keluaran baru. Marak hasratnya untuk membeli.
“Mak, Vill. Saya pigi situ dulu ahh…”
Seraya menudingkan jari ke tempat itu. Amanda mengangguk, memberi izin. Avilla tidak bertindak balas apa-apa, sibuk memilih-milih serbuk masakan. Liya mengambil satu dari sekian banyak bedak keluaran baru itu dari tempatnya. Iklan bedak itu sudah banyak kali muncul pada skrin telefon. Banyak testimoni-testimoni yang mengakui kelebihan bedak itu setelah mereka mencubanya. Tahan lama dan tidak mudah luntur, pendapat mereka. Perempuan pekerja di situ maju mendekati, memberi senyum mesra.
“Dik. Bagus tu bedak keluaran baru tu, dik. Dato Siti Nurhaliza pun guna.”
“Okey, kak. Aku cuba beli dululah.”
“Belilah, dik. Ada bonus minyak wangi.”
Perempuan itu memberikan sekotak minyak wangi berkualiti kepada Liya. Sewaktu dia ternampak gadis itu merenung-renung bedak itu tadi, dia sedia mengambil minyak wangi itu dari laci kaunter. Dia akan memberikan kepada gadis itu sekiranya gadis itu ingin membeli bedak itu. Liya tersenyum lebar, menggapai minyak wangi itu dari tangan si pekerja.
“Wah, ada bonus.”
“Ya, dik. Ni bedak baru kemarin sampai. Jadi, costumer-costumer yang membeli ni bedak mulai hari ni sampai esok, dapat bonus minyak wangi.”
Bukan hanya bedak yang dibeli Liya di situ, tetapi juga krim pencuci muka dan satu set berus makeup. Ketika melihat berus makeup itu tadi, dia teringatkan Rona. Dia ingin berguru dengan Rona dalam bab solek-menyolek wajah. Rona memang berkemahiran tentang perkara itu. Sekarang ini, Rona dan 3 saudaranya yang lain sudah kembali ke rumah mereka di kampung. Mereka tinggal di situ. Awalnya, Liya dan Amanda meminta mereka untuk tinggal bersama di rumah Donius. Tetapi mereka menolak. Dengan alasan, mereka tidak mahu mengganggu ketenteraman keluarga yang baru berkumpul itu. Walaupun tinggal di kampung, mereka cukup dalam segala hal. 4 perempuan kerdil yang saling bersaudara itu sememangnya cukup dikenali giat bekerja keras, oleh jiran-jiran. Liya melangkah dengan cepat, mencari jejak ibu dan Avilla yang sudah tidak kelihatan lagi di tempat tadi. Dia berhenti seketika, setelah menyedari seseorang menepuk bahunya.
* * *
“Hey, Liya. Tidak sangka pula kita berjumpa di sini ahh.”
Sapa Vivian, dengan senyuman senget yang sinis.
“Sis Vivian pun di sini?”
Liya memberi soal. Senyumnya menyembunyikan rasa takut di hati.
“Kenapa?”
Tatapan mata Vivian semakin tajam. Liya mula mempamerkan perasaan takut di hati pada wajah. Dia berfikir sekilas, apa yang akan diperkatakan perempuan itu kepadanya. Adakah dia akan mencaci lagi seperti di dalam whatsapp?
“Kenapa, takut?”
Soal Vivian. Dia ketawa kecil.
“Rileks kau, Putih Liya. Aku tidak mau cakap apa-apa sama kau. Apalagi berniat mau buat jahat sama kau.”
Dia menepuk-nepuk perlahan bahu Liya.
“Sebenarnya, yang whatsapp-whatsapp sama kau tu, bukan aku.”
Mulut Liya sedikit terngangah.
“Jadi, siapa?”
“Mama aku.”
“Apa?”
“Iya. Mama aku. Dia tidak mau kau sama si Lorenzo. Dia mau aku yang sama si Lorenzo. Aku sama sekali tidak pernah save number kau. Jadi tidak mungkin aku whatsapp-whatsapp kau macam tu.”
“Jadi, apa pendapat sis Vivian pasal mama sis buat semua tu?”
“Aku tidak setuju sama tindakan dia. Aku bilang sama dia, aku memang cemburu dengan hubungan kau sama si Lorenzo. Aku cemburu sebab si Lorenzo lebih pilih kau dari aku. Tapi, aku sama sekali tiada niat mau serang kau dengan kata-kata kasar macam tu. Tapi, ingat Liya! Aku tetap berusaha dengan cara halus untuk dapat balik milik aku, si Lorenzo. Aku tidak mau guna cara kotor. Jadi, lebih baik sekarang kau bersiap-siaplah jadi saingan aku. Kita bersaing dengan cara baik. Macam mana?”
Liya tunduk membisu. Dia tidak tahu harus berkata apa. Dia tidak suka bersaing seperti itu, tetapi dia juga tidak mahu Lorenzo jatuh ke pelukan perempuan lain.
“Aku bangga sama kau, Liya. Sekaligus aku cemburu sama kau. Kau cuma gadis lepasan SPM. Aku pula, seusia sama si Lorenzo. Tapi si Lorenzo lebih tertarik sama kau daripada aku. Mungkin, sikap kau sama gerak-geri kau yang buat dia jatuh hati sama kau. Aku jujur, aku kurang semua tu. Aku sudah tau macam mana perjalanan hidup kau sebelum ni. Aku tau, kau mudah simpati sama orang-orang yang kurang mampu. Semenjak kau masih di bangku sekolah lagi, kau selalu lawat rumah anak-anak yatim piatu. Bawa makanan sama minuman untuk diorang. Kau suka tolong orang-orang kampung di kampung mama kau. Walaupun kau pernah ada mama tiri jahat, tapi kau tetap juga bertahan. Mama tiri kau mengupah orang untuk bunuh kau, tapi tu orang tidak sampai hati mau kasi apa-apa kau. Tu orang kasi serah kau sama satu jejaka kacak bernama Alvin. Selama tinggal di rumah tu lelaki, ada 4 orang kerdil yang jaga kau di situ. Iya kan? Kisah hidup yang betul-betul mirip macam cerita dongeng Puteri Salji. Bezanya, cuma ada satu prince yang cinta sama tu princess. Sedangkan kau? Ada dua lelaki yang cinta sama kau. Si Lorenzo sama si Alvin. Tapi kau lebih pilih si Lorenzo. Jalan hidup kau betul-betul serupa macam kisah Snow White dalam buku cerita budak-budak. Cuma, belum lengkap lagi.”
Liya mengerut kening hairan. Hatinya tertanya-tanya, apa yang dimaksudkan Vivian “belum lengkap”.
“Belum lengkap?”
“Iya, belum lengkap. Tu princess makan buah epal beracun. Lepas tu, dia mati.”
Kata-kata Vivian seolah-olah terselit ancaman.
“Aku tidak taulah, apa yang terjadi sama kau selepas ni, Liya. Aku cuma berharap, tiada apa-apa yang buruk terjadi sama diri kau. Mungkin bukan epal beracun yang kau dapat. Tapi, sesuatu yang lebih menyakitkan dari sekadar buah epal beracun. Mama tiri kau memang sudah meninggal, Liya. Tapi itu bukan bererti, tiada orang yang dapat ganti tempat mama tiri kau.”
Vivian mengakhiri kata-kata dengan senyuman. Sekali lagi dia menepuk-nepuk perlahan bahu Liya, lantas beredar pergi. Liya masih tercergat di situ. Dia menyelami habis makna kata-kata Vivian tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience