BAB 25

Drama Completed 1821

Cuaca hari itu tidak begitu cerah. Dari pagi, mendung terus menyelimuti langit. Vivian masih berada di klinik, tempat dia bekerja. Dia meminta izin untuk pulang sebentar ke rumah. Baru saja tadi, ibu menghantar mesej whatsapp kepadanya, meminta untuk dihantar ke rumah kawan. Malang menimpa Vivian di tengah perjalanannya. Kereta tiba-tiba rosak, mungkin enjin bermasalah. Stereng kereta dipukul keras. Kesal.
"Baru first time kau buat hal, kereta! Aku harap ini pertama dan terakhir."
Dia menggumam perlahan. Pintu kereta dibuka dengan cepat dan kasar. Dia keluar. Matanya melirik ke sekeliling, siapa tahu ada sesiapa yang dapat memberi pertolongan di situ. Dia menyaluk saku, mengambil telefon pintar. Kesal makin bertambah. Bateri telefon hanya tinggal 1%. Dia masuk ke bahagian kenalan, hendak mencari nombor seseorang yang dia yakin dapat membantu. Alfon. Alfon memang berkemahiran membetulkan enjin kereta yang bermasalah. Apatah lagi, bujang berusia 39 tahun itu sekarang ini masih bermanja-manja dengan dunia pengangguran. Dia belum menemukan pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kebolehannya. Sekali lagi dia kesal. Belum sempat dia menekan simbol hijau untuk mulakan panggilan, telefon mati. Sisa bateri yang hanya 1% itu betul-betul tidak mencukupi untuk dia menghubungi Alfon. Dia tersentak. Bahunya ditepuk dari belakang.
"Ada masalah apa, mandak?"
Dia menoleh. Seorang wanita berbaju hitam lengan panjang, berseluar legging hitam dan memakai kaca mata hitam, berdiri di situ. Wanita itu memberi senyum kepadanya. Kelihatannya, wanita itu sebaya dengan ibunya, walaupun nampak masih begitu muda.
"Tidak taulah ni, aunty. Mungkin ni enjin kereta kali rusak."
"Biar aunty cek."
Si wanita langsung membuka bonet kereta. Dia tidak melakukan apa-apa pada enjin itu, melainkan hanya menyentuh-nyentuh di bahagian-bahagian tertentu.
"Okey, siap sudah."
Vivian terngangah, hairan.
"Sekarang, cuba ko kasi start kereta kau."
Walau masih kebingungan, Vivian tetap menurut. Dia masuk semula ke dalam. Dia mencuba hidupkan semula enjin kereta. Dia senyum gembira. Enjin kereta sudah elok. Dia memundurkan sedikit kereta itu ke belakang. Dia keluar semula mendapatkan wanita berkaca mata hitam itu, yang masih tercergat di tempat tadi.
"Magic oh, aunty. Apa aunty buat sama kereta saya tadi? Cuma dengan sentuhan tangan saja, enjin kereta saya terus okey."
Vivian masih tersenyum kagum. Perasaan kagum yang beraduk rasa hairan.
"Kalau kau tau aunty ni siapa, mesti kau tidak hairan macam mana aunty bulih kasi bagus kereta kau cuma dengan sentuhan tangan aunty saja."
Vivian berhenti tersenyum. Dia bertumpu pada kata-kata si wanita. Siapa dia? Apa maksud dia berkata begitu? Wanita itu perlahan-lahan melepaskan kaca mata hitam.
"Apa khabar, Vivian Kenzo?"
Mulut Vivian terngangah luas. Perasaan takut mula menguasai diri. Dia mundur beberapa langkah ke belakang.
"Aunty Sarah? Aunty buk... Buk... Bukan... Bukan sudah..."
Lidahnya berat, menyebabkan lisannya tersekat-sekat.
"Aku belum mati, Vivian. Itu bererti, aku bukan hantu. Jadi kau tidak perlu takut."
Vivian menggeleng-geleng kepala, tidak percaya. Bagaimana orang itu masih hidup, sedangkan namanya sudah tertulis pada salib kuburan? Itu yang Vivian fikirkan. Dia masih ketakutan.
"Stop, aunty!"
Tengkingnya, ketika Sarah mencuba maju mendekatinya. Sarah terpaksa menghentikan langkah di situ. Dia takut gadis itu melarikan diri ketakutan.
"Percaya sama aunty, Vivian. Aunty masih hidup."
"Jadi, mayat siapa yang di dalam tu kuburan yang bertulis nama aunty tu?"
"Biar aunty kasi jelas kau cerita yang sebenarnya."
Sarah memulakan cerita. Ketika badannya mulai terhempas pada tanah, dia memuntahkan darah dari mulut. Tetapi dia tidak mati. Dia hanya pengsan. Orang-orang menyangka dia sudah mati. Mereka mendapati nafas dan nadinya sudah terhenti. Tetapi perkara itu sudah biasa setiap kali Sarah mengalami pengsan. Mungkin ada hubungan dengan ilmu hitam yang menjadi pegangannya. Ketika mulai sedar, dia mendapati dirinya berada di dalam keranda, tepat di ruang tamu rumah Donius. Dia tahu, dia disangka sudah mati. Dia berjaya menghalang tindakannya yang hampir saja membukakan mata yang sudah tertutup rapat. Dia hanya membuka sedikit, yang hanya memungkinkan dia melirik ke sekeliling dengan pandangan yang tidak begitu jelas. Dia harus tetap berpura-pura mati. Ibu dan ayahnya ada di dekat keranda itu, menangisi kepergian yang tidak nyata. Donius, Amanda, Liya dan Avilla juga ada di situ. Mereka bertindak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Hanya membisu dari tadi. Setitik pun tidak kelihatan air mata mereka mengalir. Pipi mereka tetap kering. Hanya wajah dibuat sedikit murung, seperti berduka dengan apa yang sedang terjadi. Donius masih menyimpan sedikit rasa simpati di hati terhadap Sarah. Dia menutup wajah sarah dengan kain biru tua, sewaktu tubuh Sarah baru sahaja dimasukkan ke dalam keranda itu. Hanya bahagian mata yang kelihatan. Dia tidak mahu orang-orang menatap wajah Sarah secara langsung. Dia ingin menyelindungkan aib isteri keduanya itu, walau hanya dengan sehelai kain yang menutup wajah. Mulut Sarah mula berkumat-kamit. Dia membaca beberapa baris mantera yang masih terdaya dia ingat. Mantera yang dipelajarinya dari seorang bomoh. Dia ingin melarikan diri sementara rumah itu belum didatangi lebih ramai orang. Secara serentak, orang-orang di dalam rumah itu rebah ke lantai dengan tiba-tiba. Mereka terbaring, tertidur nyenyak. Dia tersengih senang hati. Manteranya berkesan. Dia keluar dari keranda, lantas maju mendekati pintu rumah yang terbuka luas. Dia menutup dan mengunci pintu itu. Dia tidak mahu ada yang melihat apa yang akan dia lakukan selepas ini. Dia teringat dengan patung lilin berbentuk seorang perempuan, yang tersimpan elok di gudang rumah. Dia berniat memasuki gudang itu. Tetapi sebelum itu, dia masuk ke dalam bilik untuk mengganti pakaian. Pakaian sebelumnya, dia kenakan pada tubuh patung lilin itu. Patung itu dia baringkan di dalam keranda sebagai penggantinya. Wajah patung ditutup dengan kain biru tua tadi, sehingga betul-betul menyerupai dirinya ketika dia masih terbaring di dalam keranda itu. Dia ketawa kecil. Dia tidak menyangka dia masih hidup. Ilmu pegangannya betul-betul telah menangkal tubuhnya, sehingga dia hanya mengalami pengsan walaupun jatuh dari ketinggian yang mencabar. Dia tidak mahu membuang-buang masa. Dia segera beredar dari tempat itu. Sejak dari itu, dia lebih kerap memakai kaca mata hitam dan mengubah gaya rambutnya menjadi lebih pendek, supaya tiada yang mengenalinya. Dia ingin ramai yang tahu, dia telah meninggal. Supaya rancangannya untuk menyingkirkan Amanda, Liya dan Avilla berjalan dengan baik. Ceritanya berhenti sampai di situ. Bibir Vivian mengukir senyum. Kini dia betul-betul telah yakin, wanita yang berdiri di depannya bukan hantu. Sarah masih hidup. Dia maju perlahan, mendekati Sarah.
“Jangan kau kasi cerita siapa-siapa yang aku ni masih hidup lagi, Vivian.”
“Iya, aunty. Aku janji. Aunty memang betul-betul pintar.”
“Aunty mau minta tulung satu hal sama kau.”
“Apa tu, aunty?”
“Aunty mau kau kasi lenyap si Putih Liya. Mama dia sama si Avilla, biar aunty yang urus.”
Vivian terperanjat dengan permintaan Sarah.
“Maksud aunty, bunuh?”
Sarah mengangguk perlahan, tersenyum sinis.
“Tapi, aunty. Aku tidak berani membunuh orang.”
“Kau mau si Lorenzo jadi milik kau, kan?”
Vivian membisu seketika.
“Kalau kau berhasil kasi singkir si Liya, kau ada kesempatan besar untuk dapat balik si Lorenzo.”
Hati Vivian masih begitu berat untuk menuruti kemahuan itu. Dia tidak mungkin melakukan perkara kejam itu. Bahkan untuk melukai pun, tidak pernah terlintas di hati.
“Tatap mata aunty, Vivian sayang.”
Sarah memegang kedua-dua bahu Vivian. Dia meminta gadis itu menumpukan pandangan mata pada tatapannya. Vivian mula masuk ke dalam hipnosis Sarah. Dia mengangguk perlahan, menyetujui perintah Sarah. Badannya mula kelihatan begitu lemas dan tidak bermaya. Pukau itu sudah berkuasa secara menyeluruh ke dalam dirinya.
* * *
Hari mulai malam. Amanda dan Donius sudah berangkat sejak tadi pagi, pergi berbulan madu ke Thailand. Hanya tinggal Liya dan Avilla di rumah. Mereka sudah bersepakat untuk tidak mengganggu kemesraan bulan madu ibu dan ayah mereka, walaupun berkali-kali diajak. Dua orang gadis itu tengah memasak di dapur, untuk makan malam. Liya memasak, sementara Avilla hanya membantu menyiapkan bahan-bahan masakan. Tombol bell ditekan berkali-kali di luar rumah.
“Kau ganti aku masak, Vill. Biar aku yang pigi tinguk siapa yang datang.”
Avilla menghalang niat Liya untuk pergi ke depan membuka pintu.
“Jangan, Liya. Mana tau urang jahat.”
“Rileks kau. Di dekat pintu kan ada mini screen. Tinggal tekan on saja, kita bulih nampak siapa di depan pintu.”
“Bah. Tapi kasi tau aku ahh kalau kau nampak ciri-ciri tu urang bikin curiga. Kita ketuk kepala dia pakai periuk yang masih panas ni.”
Liya ketawa. Avilla bergurau seraya mengangkat periuk yang masih terletak pada dapur gas.
“Okey.”
Liya lantas melangkah ke depan. Dia menekan tombol on pada bahagian bawah skrin mini. Skrin hidup, memperlihatkan seorang lelaki tengah berdiri di depan pintu.
“Buat apa si Alvin datang sini malam-malam?”
Fikirnya. Tanpa berfikir panjang, dia langsung membuka pintu.
“Selamat malam, Putih Liya.”
Sapa Alvin, dengan senyum manisnya.
“Selamat malam juga, Alvin. Masuklah.”
Alvin melangkah masuk. Liya memperhatikan serangkai mawar merah di tangan Alvin, yang disorokkan di belakang.
“Tujuan aku datang sini sebenarnya mau jumpa kau.”
Ucap Alvin. Dia mengunjukkan bunga itu kepada Liya, lantas digapai Liya.
“Untuk aku?”
Alvin mengangguk. Senyum manisnya masih belum lekang.
“Terima kasih, Alvin.”
Alvin memegang erat kedua-dua tangan Liya dengan penuh makna.
“Liya. Kau taukah, perasaan aku sama kau tidak pernah berubah. Tapi makin bertambah. Tapi kenapa kau masih berharap sama si Lorenzo, sedangkan kau sendiri tau, ada yang tidak rela sama hubungan kamu?”
“Itu semua dugaan untuk menguji hubungan kami, Vin. Setiap percintaan, mustahil tiada ujian. Bila aku sudah betul-betul sayang sama seseorang tu, susah sudah aku mau kasi lepas dia dari hati aku. Aku harap kau faham, Vin.”
“Kau tidak boleh macam tu, Liya. Hati kau bukan barang jualan yang dapat orang beli. Kau ada hak untuk cinta sama siapa saja, tapi bukan bererti kau tidak dapat ambil balik hati kau dari tu orang.”
Avilla mengintip mereka arah pintu dapur. Wajahnya murung, bercampur rasa kesal di hati. Percakapan mereka begitu terdengar jelas di telinganya.
“Rupanya selama ni kau betul-betul ada hati pula sama si Liya, kan Vin. Padahal aku harap-harap betul, hati kau cuma untuk aku.”
Dia bermonolog perlahan. Sedikir air matanya mengalir.
“Tapi tidak apalah. Mungkin si Liya lebih ngam sama kau, Vin. Walau macam mana pun, sekarang ni si Liya sudah jadi adik aku. Aku mesti happy kalau nampak adik aku happy, walaupun dia sudah ambil kau dari aku.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience