BAB 21

Drama Completed 1821

Sudah larut malam. Jam menunjukkan 11:49 malam. Donius tidur lebih awal tidur. Sarah merenung seluruh kulit wajahnya, duduk berdepan dengan cermin meja soleknya.
“Bagus, tiada tanda-tanda aku mulai nakalanut. Masih awet muda.”
Dia mengambil telefon pintarnya di katil. Dia membuka aplikasi Mirror Mirror On The Wall. Dia membuka bahagian pengesan kecantikan wajah. Dia memuat naik gambarnya beserta gambar Liya untuk dilakukan perbandingan.
“Mohon maaf, Sarah. Kamu memang wanita paling cantik dari sekian banyak gambar-gambar yang telah Mimin Mirror kesan setakat ini. Tetapi… Kecantikan kamu masih belum mampu menyaingi kecantikan gadis di dalam gambar yang kamu muat naik bersama gambar kamu sendiri beberapa saat yang lalu. Mimin Mirror hanya memberikan keputusan penganalisisan secara jujur.”
Mimin Mirror mengulang-ulang jawapan yang sama, setiap kali Sarah memuat naik gambarnya bersama gambar Liya. Sarah kecewa. Gigi-gigi rahang atas dan bawahnya ditekan dengan kuat dan digerak-gerakkan, sehingga menghasilkan bunyi geram. Dia geram dengan keputusan Mimin Mirror. Dia membuka bahagian soalan, dan menulis pertanyaan di ruang kosong yang disediakan.
“Bukankah Putih Liya sudah tewas, dan jantungnya telah dipisahkan dari jasadnya oleh Garry?”
Dia menekan tulisan “blink”. Cahaya skrin telefon sekejap terang, sekejap redup, berkelip-kelip. Mengambil masa seminit lebih untuk menganalisis soalannya.
“Putih Liya masih hidup. Garry tidak membunuhnya, melainkan menyerahkannya kepada seorang jejaka kacak. Garry menggunakan jantung seekor babi hutan sebagai pengganti jantung Putih Liya. Sekarang, Putih Liya tinggal di suatu tempat VIP bersama 4 orang kerdil.”
“Oh, jadi si Garry sudah buyuk aku? Okey. Kalau gitu, biar aku sendiri kasi lenyap si Liya guna tangan aku sendiri.”
Monolognya. Sekali lagi dia menulis soalan kepada Mimin Mirror, di mana tempat VIP yang dimaksud. Mimin Mirror pun memberi alamat kompleks VIP itu.
“Oh, jadi di situ dia tinggal. Tunggu aku datang, Liya.”
Dia senyum sinis. Hatinya begitu senang mengetahui keberadaan anak tirinya.
* * *
Amanda tengah menyediakan bahan-bahan masakan untuk sarapan pagi di dapur. Sementara merendam sotong di dalam besen kecil, dia mencuci beberapa pinggan mangkuk yang masih kotor di sinki. Liya membantunya menghiris-hiris bawang merah di meja makan. Mata Liya berair. Bunyi sedutan hingusan kedengaran dari hidungnya seolah-olah dia sedang menangis. Amanda menoleh ke belakang memandangi anaknya. Tidak kelihatan wajah Liya. Dia menghiris-hiris bawang sambil membelakang ibunya.
“Liya, kenapa menangis?”
“Ni bawang kasi nangis saya, mak.”
Amanda tertawa.
“Mama ingat, kau menangis sebab rindu sama bapa kau.”
"Memang saya rindu sama bapa, mak. Tapi tidak taulah, sekarang ni dia rindu sayakah tidak. Saya yakin, pengaruh hipnosis mama tiri saya tu masih ada lagi sama bapa.”
“Sabar sajalah, Liya. Ada masa nanti, berakhir juga riwayat jahat tu perempuan busuk tu. Tidak selama-lama dia bulih menari atas tuaian dia sendiri.”
Selesai mencuci pinggan mangkuk, Amanda langsung menghiris-iris halia yang baru sahaja selesai dikupas kulit itu. Dia duduk di sebelah Liya.
“Liya.”
“Kenapa, mak?”
“Kau maukah tinggal di rumah mama nanti?”
“Di mana, mak?”
“Di rumah mama sama si Avilla tu.”
“Mau juga. Tapi kenapa kalau kita tinggal di sini? Mama tidak suka tinggal sini?”
“Bukan begitu. Tapi mama segan bah sama si Alvin. Lain mama rasa kalau kita ni anak-beranak tinggal di sini. Mulai sekarang, kau kan sudah sama-sama mama. Jadi semua keperluan kau, biar mama yang tanggung.”
“Okey, mak. Tapi, please ahh mak. Tulung bawa diorang si Rona, si Annylea, si Suzan sama si Suzy. Sebab saya sudah anggap diorang macam family saya sendiri. Bulih ahh, mak.”
Amanda mengangguk, tanda setuju.
“Terima kasih, mak.”
Liya memeluk ibunya. Dia menutup mata, tersenyum dengan gembira. Walaupun hidup tanpa belaian kasih suami, Amanda tetap tidak kehilangan keupayaan diri untuk mengembangkan sayap dalam usaha kerja kerasnya selama ini. Dia memiliki sebuah butik besar yang diberi nama Butik Snow White Of Reality. Selama dia berada di Texas, dia mempercayakan butik itu kepada Avilla untuk dijaga. Dia mempunyai kerja lain di sana. Dia sengaja memilih nama salah satu puteri dongeng dalam Disney itu untuk nama butiknya, demi mengingat Putih Liya, anak kandungnya yang diimpi-impikannya akan menjadi serupa dengan puteri tersebut dari segi kecantikan wajah dan hati. Impian bukan sekadar impian. Putih Liya kini telah tumbuh menjadi gadis remaja yang cantik dan baik hati, serta lemah lembut perbuatan dan pertuturannya. Walaupun terkadang dia harus tegas oleh keadaan. Jalan hidupnya diwarnai oleh kisah dongeng puteri itu, dengan warna-warna terang dan gelap. Dia memiliki seorang ibu tiri kejam yang berasa dengki dengan kecantikannya, bahkan menganggapnya sebagai pengelam masa depan sang ibu tiri. Dia hampir dicelakakan oleh ibu tirinya melalui seorang orang suruhan, namun diselamatkan oleh seorang jejaka yang baik hati. Dia dipertemukan bukan dengan 7 orang kerdil, melainkan 4 gadis kerdil yang periang dan suka bersahabat.
“Hai, anak-beranak sweet.”
Pelukan mereka terlerai setelah mendengar sapaan lembut Tony yang tengah berdiri di pintu dapur.
“Wah, berpelukan terus oh. Mentang-mentang baru berjumpa.”
“Uncle Tony.”
“Ya. Uncle Tony lah ni.”
“Uncle bawa apa tu?”
Tony memegang bakul plastik hitam.
“Ini tuntul, mama kau suruh uncle bawa. Dia mau masak kunyit nanti tengah hari.”
Senangnya hati Liya. Bapa saudaranya membawakan siput sedut. Itu salah satu makanan kesukaannya.
“Mak. Nanti tengah hari bikin sambal tuhau ahh. Jangan lupa putung tu bambangan di lemari yang mama beli tadi.”
Rayu Liya.
“Iya, Liya. Nanti mama buat.”
* * *
Hari seterusnya, di pagi yang cerah. Sarah datang ke kompleks VIP. Awalnya, dia tidak diizinkan masuk oleh dua orang pengawal yang menjaga kompleks itu. Tetapi setelah dia menghipnosis mereka, dia akhirnya berjaya masuk juga. Dia mengetuk-ngetuk pintu rumah Alvin berkali-kali. Tiada yang membuka. Tiada tanda-tanda ada sesiapa di dalam.
“Mana pula urang dia ni?”
Soalnya, bermonolog perlahan. Dia kembali kepada dua pengawal di pondok mereka.
“Bang, mana urang di rumah numbur 3 tu? Aku ketuk-ketuk tiada yang membuka pintu.”
“Oh, si Putih Liya, si Amanda sama 4 bersaudara. Diorang semua sudah pindah tadi pagi.”
“Oh. Jadi si Amanda masih hidup? Terus sekarang dia sudah berjumpa sama anak kandung dia?”
Bisik di hati Sarah.
“Pindah pigi mana? Kenapa abang tidak kasi tau dari tadi? Sakit saja jari-jari aku balik-balik mengetuk.”
“Kan ada bell. Tekan saja tu bell. Buat apa susah-susah mengetuk?”
“Diamlah!”
Sarah membentak.
* * *
“Liya. Sekarang kau pilih saja. Kau mau bilik sendiri atau mau sebilik sama aku? Tapi kan, aku lebih suka kalau kau sebilik sama aku, nda juga aku kesunyian saturang-saturang di bilik.”
Soal Avilla dengan senyuman mesra. Sikap kasarnya kepada Liya sudah berlalu. Dia, Liya dan ibu mereka berdiri di depan pintu biliknya, di rumah ibu mereka itu. Liya memegang beg pakaian di tangan. Barang-barang lain masih ada di dalam kereta, termasuk barang-barang pemberian Alvin. Tadi, Alvin agak merasa berat hati melepaskan Liya pergi dari rumahnya. Tetapi bila dia fikir-fikir, dia dapat berkunjung ke rumah baru Liya itu untuk bertemu dengan Liya, bila pun dia mahu. Beberapa jam tidak berjumpa, terasa seperti berhari-hari. Dia benar-benar menyayangi Liya. Bell berbunyi. Ada seseorang menekan tombol bell di luar rumah.
“Siapa tu?”
Soal Amanda, memandangi mereka berdua secara bergantian.
“Biar saya pigi tinguk. Mungkin si Alvin atau uncle Tony kali.”
Kata Liya. Dia melangkah ke arah pintu rumah. Dia membuka pintu, dan mendapati seorang wanita berpakaian purda hitam. Hanya bahagian matanya sahaja yang kelihatan.
“Salam sejahtera, sis. Maaf, saya tidak berani ucap salam sebab saya tidak tau apa agama pemilik ni rumah. Tulah kenapa saya cuma tekan bell saja.”
Liya memaklumi kata-kata wanita itu, seraya memberi senyum sopan.
“Oh… Yalah. Saya faham.”
“Saya ni tersesat bah ni cari alamat rumah saudara saya. Dia bilang, rumah dia ada di kawasan sini. Cari punya cari, nda juga jumpa-jumpa.”
“Oh... Kalau iya pun masuklah dulu sis.”
“Kamu ni agama apa? Kalau kamu bukan Muslim, mungkin kamu tidak sudi terima tamu berpakaian macam saya ni.”
Liya tertawa.
“Tidaklah, sis. Mana ada begitu. Kami memang orang Kristian, tapi pintu rumah kami sentiasa terbuka luas untuk siapa saja yang mau masuk. Tidak kira dia orang Islamkah, Kristiankah, Yahudikah, Buddhakah, Hindukah, atau macam mana pun penampilan dia. Semua manusia berhak untuk menerima dan diterima. Kita semua sama saja bah.”
“Wah, saya suka sama pendapat sis. Dunia tiada peperangan kalau semua manusia lebih utamakan kasih sayang daripada perbezaan. Dalam Islam, bukan ada kewajipan berpakaian macam saya ni. Asalkan berpakaian sopan sama tidak dedah aurat. Tapi… Husband saya yang suruh saya pakai macam ni kalau keluar rumah. Saya terpaksa ikut saja apa husband suruh.”
“Okey tu kak, terbaik. Bah, masuklah.”
Liya mengajak wanita itu duduk di sofa ruang tamu. Avilla dan Amanda juga duduk di situ, berbual-bual dengan wanita itu. Avilla berasa sedikit janggal. Dia merasakan ada sesuatu pada diri wanita itu, walaupun dia tidak mengenali suaranya. Suaranya kedengaran lembut dan berbicara perlahan. Amanda pergi ke dapur untuk mengambil sesuatu. Dia kembali dengan membawa sebotol minuman beserta penyedutnya sekali untuk dihidangkan kepada wanita itu. Dia juga turut membawa biskut coklat yang dibelinya dari sebuah market kelmarin. Amanda tidak mahu menghidangkan makanan dan minuman menggunakan piring dan cawan di rumah itu, kerana sudah berkali-kali terkena makanan yang mengandung daging dan minyak haiwan yang diharamkan dalam agama Islam. Mata wanita itu berkali-kali melirik ke arah Amanda, walaupun dia tengah bercakap-cakap dengan Liya. Avilla mulai perasan, tetapi ibunya tidak. Liya juga perasan akan perkara itu, tetapi dia tidak berfikiran yang bukan-bukan. Mungkin saja dia tertarik melihat aksesori-aksesori yang dipakai ibu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience