BAB 11

Drama Completed 1821

Pagi sabtu. Liya lewat sedikit bangun, memandangkan dia cuti sekolah. Matanya terbuka, tepat jam digital di atas meja belajar sudah menunjukkan pukul 8:44 pagi.
“Alamak, nasib belum jam 10.”
Dia menggumam sendirian. Dia bangun, duduk di birai katil. Dia menggosok-gosok mata. Objek pertama yang dia sentuh setelah bangun, telefon pintar di atas meja belajar. Dia tidak usah berdiri untuk mengambil telefonnya, cukup menggerakkan tangan memandangkan meja itu tidak jauh dari katil. Dia menghidupkan cahaya skrin telefon, ada satu mesej whatsapp belum dibaca. Mesej dari Sarah.
“Apa ni monster whatsapp-whatsapp aku ni?”
Keluhnya.
“Mau mengugut aku lagi?”
Dia membuka mesej itu.
“Jangan lupa warning aku semalam! Kau sayang bapa kau kan? Kalau kau sayang, jangan cuba-cuba bertindak bodoh. Sebelum jam 10, aku mau kau sudah sampai sini butik. Banyak kerja menunggu kau. Faham?”
Liya mula berkeluh lebih berat di dalam hati. Baru bangun dari tidur, sudah mendapat penindasan dari Sarah.
“Okey, stepmother! Untuk sementara ni, aku ikut apa saja yang kau mau. Tapi aku yakin, suatu masa kau akan tuai balik benih kejahatan yang kau tabur di dalam hidup aku. Walaupun aku ni masih budak sekolah menengah lagi, tapi tidak mustahil aku bulih jadi dewasa macam kau dalam melawan kejahatan kau yang terselindung di balik topeng kemunafikan kau.”
Bisik hatinya. Liya keluar dari bilik, hendak ke dapur untuk meneguk segelas air putih. Itu sudah menjadi kebiasaannya setiap kali bangun dari tidur. Dia menghentikan langkah tepat di depan pintu gudang. Dia merenung lama pintu gudang yang tertutup itu. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya, menyuruh untuk masuk ke situ. Dia harus masuk ke situ. Dia tidak dapat melawan hasratnya. Lagipula, dia cuma ingin melihat barang-barang yang ada di dalam, mungkin ada yang berguna untuknya. Perlahan-lahan dia memulas tombol pintu gudang, dan masuk. Dia menyingkirkan debu-debu yang menampal pada sofa usang yang sudah tidak berbantal. Debu-debu berterbangan, dan sedikit berjaya memasuki rongga hidungnya.
“Acuaaahhhh…”
Dia membersin tiga kali sehingga matanya berair. Dia tidak mahu membuang masa. Dia terus memeriksa seluruh isi gudang. Tiada satu barang pun yang dia rasa berguna untuk dirinya. Entah mengapa dia tiba-tiba berkeinginan untuk masuk ke situ, padahal dia harus bersiap-siap hendak ke butik Sarah. Dia hendak keluar, tetapi niatnya terbantut setelah sebuah almari kayu yang berukuran kecil, memancing pula perhatiannya. Itu cuma almari biasa, yang mungkin berisi pakaian-pakaian buruk dan barang-barang perhiasan yang sudah rosak atau sudah tidak sesuai untuk dikeluarkan lagi. Dia berasa seperti ada sesuatu yang penting di situ. Dia lantas bergerak mendekati almari itu, dan membuka salah satu lacinya, iaitu laci yang paling bawah. Agak keras untuk dibuka, tetapi dia tetap berusaha untuk menarik. Laci itu mengejut terbuka, bahkan terlepas dari tempatnya. Dia terbaring di lantai bersama laci yang dipegangnya itu. Dia bangkit semula, duduk secara bersila di lantai. Isi laci itu hanya fail-fail kertas, buku-buku dan kertas-kertas kosong. Dia menghuraikan semuanya satu-persatu. Dia terkejut. Ada dua keping gambar yang ditemuinya terselit di dalam sebuah buku tebal. Gambar perkahwinan ayahnya dengan seorang wanita cantik jelita? Sudah sangat jelas wajah wanita di dalam gambar itu bukan Sarah. Sangat ketara perbezaannya.
“Akhirnya… Aku jumpa juga gambar kahwin bapa sama mama kandung aku. Tidak salah lagi.”
Katanya. Dia tersenyum gembira. Tetapi, dia tidak menyedari, seseorang tengah mengintipnya di tepi pintu gudang itu.
“Liya, Liya. Tidak sangka pula kau ni buduh rupanya. Lawa tapi palui.”
Bisik hati si pengintip, Sarah. Dia tersenyum-senyum senget melihat Liya tengah melipat dua keping gambar itu untuk dimasukkan ke dalam saku seluar. Liya, berhasrat hendak menggunakan gambar itu untuk memudahkan urusannya mencari ibu kandungnya.
“Kau tidak taukah Liya, itu sebenarnya bukan gambar mama kandung kau. Itu cuma hasil editan aku. Aku tau kau mesti masuk ni stor semata-mata mau cari sesuatu yang berkaitan sama mama kandung kau. Sampai bila-bila pun, aku tidak akan kasi biar kau berjumpa sama mama kandung kau.”
Sarah baru sahaja sampai di rumah, selepas mendapat notifikasi dari Mimin Mirror bahawa anak tirinya tengah memasuki gudang rumah. Dia sengaja tidak menggunakan keretanya, hanya menggunakan kereta grab untuk sampai ke rumah dengan kadar segera. Dia cepat-cepat beredar dari situ, takut Liya melihatnya.
* * *
“Liya, dari hari tu lagi aku mau tanya kau.”
Ucap Lioney, rakan kerja Liya di butik itu. Liya tengah mengutip beberapa penyangkut baju yang sudah kosong di antara baju-baju jualan. Lioney baru sahaja selesai menolong Shirley mengangkut kotak-kotak berisi pakaian-pakaian dan aksesori-aksesori berjenama dari sebuah lori kontena, untuk dipindahkan ke dalam bilik gudang, di tingkat atas butik itu.
“Tanya apa?”
Soal Liya, dengan wajah ingin tahu.
“Kenapa kau kerja di sini?”
“Kenapa? Tidak bulih?”
“Bukan. Ini kan butik mama kau sendiri. Sepatutnya kau tidak ikut kerja macam kami ni.”
“Aku sengaja, Lion. Aku mau tambah pengalaman kerja. Mana taulah suatu masa nanti keadaan tiba-tiba berubah, mengharuskan aku kerja keras. Sekurang-kurangnya aku sudah ada pengalaman.”
“Terbaiklah fikiran kau, Liya. Walaupun bapa kau urang kaya, kau rela buat kerja-kerja orang biasa. Banyak yang kasi cerita sama aku, kau suka tulung urang-urang susah. Kau sanggup guna duit belanja sekolah kau untuk kasi belanja kawan-kawan sekolah kau yang kurang mampu.”
Liya tersengih.
“Itu semua biasa-biasa saja bah tu. Siapa-siapa pun bulih buat.”
“Betul. Siapa-siapa pun bulih buat. Tapi bukan semua ada keinginan mau buat begitu. Kalau ada pun cuma semata-mata mau cari muka saja. Itu bukan ikhlas, tapi iklan. Tapi kau, aku bulih rasa yang kau buat semua tu dari kejujuran hati kau sendiri. Belum lagi kau selalu minta hantar sama bapa kau pigi rumah anak yatim, kasi beli makanan sama minuman untuk diorang.”
“Aku sudah anggap diorang macam family aku sendiri, Lion.”
Sarah yang duduk di bangku meja kaunter, mendengar perbualan dua orang gadis itu.
“Oh, jadi hobi si Liya selama ni suka kasi beli-beli makanan untuk anak-anak yatim? Baru pula aku tau. Bulih tahan oh. Betul-betul serupa macam mama kandung dia dulu. Ni mesti kes cari perhatian urang. Makin bikin menyampah pula anak si Amanda ni bah.”
Dia mengomel perlahan.
“Beruntung oh uncle Donius dapat anak sumandak macam kau, Liya. Sudahlah lawa, baik hati lagi. Kau mau taukah, Liya. Abang sepupu aku si Lorenzo, peminat kau dalam diam-diam.”
Liya ketawa.
“Abang sepupu kau peminat aku? Mau minat apa? Aku bukan model. Bukan juga artis.”
“Dia ada beli satu aplikasi bah. Nama tu aplikasi, Mirror Mirror On The Wall. Konon tu aplikasi kana buat sama bomoh-bomoh muda di Thailand.”
“Buat apalah beli aplikasi-aplikasi macam tu! Karut! Bertentangan sama agama kita. Hidup kita, masa depan kita, sudah ada yang atur.”
“Itu bukan aplikasi sembarangan, Liya. Semua result tu aplikasi tiada yang tidak betul. Betul-betul terjadi di depan mata aku sendiri.”
“Jadi? Apalah abang sepupu kau dapat dari tu aplikasi?”
“Dia pernah upload gambar kau, terus dia buat perbandingan gambar kau sama gambar sumandak-sumandak lain di dalam tu aplikasi.”
“Terus?”
“Mau tau apa tu aplikasi tulis dalam result? Dia bilang, gambar kau jadi juara dari sekian banyak gambar-gambar sumandak yang si Lorenzo upload.”
Liya ketawa.
“Ah, aku nda percaya aplikasi begitu tu.”
“Astaga kau ni, Liya.”
Sarah mematikan skrin telefon sebaik sahaja dia mendengar pernyataan Lioney tadi.
“Ini tidak bulih jadi ni!”
Dia membuka aplikasi itu, dan mulai membandingkan gambarnya dengan gambar Liya. Dia mengklik tulisan “blink”. Lantas skrin telefonnya berkelip-kelip beberapa saat. Kemudian keputusan dari penganalisisan itu pun muncul setelah proses itu selesai.
“Mohon maaf, Sarah. Kamu memang wanita paling cantik dari sekian banyak gambar-gambar yang telah Mimin Mirror kesan setakat ini. Tetapi… Kecantikan kamu masih belum mampu menyaingi kecantikan gadis di dalam gambar yang kamu muat naik bersama gambar kamu sendiri beberapa saat yang lalu. Mimin Mirror hanya memberikan keputusan penganalisisan secara jujur.”
Sarah tidak menyangka aplikasi itu memberikan keputusan yang mengejutkan itu.
“Apa? Aku kalah sama anak tiri aku sendiri? Kitai!”
Dia bermonolog perlahan.
“Apa saja keistimewaan ni budak, selain muka dia konon lebih cantik dari muka aku?”
Dia membuka bahagian lain dari aplikasi yang sama. Sekali lagi dia memuatnaik gambar Liya. Dia ingin tahu semua tentang diri Liya, yang dapat ditilik oleh Mimin Mirror. Dia mengklik tulisan “blink”, dan seperti biasa, skrin telefon berkelip-kelip. Dan akhirnya Mimin Mirror memberikan keputusan tepat mengenai diri Liya.
“Putih Liya Binti Donius. Dia tinggal bersama ayah kandungnya dan ibu tirinya, iaitu Sarah, salah seorang pengguna aplikasi ini. Ada satu bola api yang Mimin Mirror lihat sedang berkobar-kobar di dalam dirinya. Bola api itu menggambarkan niatnya yang berkobar-kobar untuk menemukan ibu kandungnya yang sekarang ini masih hidup. Tetapi sayangnya, Mimin Mirror tidak dapat mengesan di mana keberadaan ibu kandung Liya masa ini.”
Sarah mengklik tulisan “next”, untuk membaca halaman berikutnya.
“Sarah, kamu harus berhati-hati dengan Putih Liya. Walaupun dia hanya seorang gadis remaja, tidak mustahil dia akan membuat hidup kamu menderita suatu masa nanti. Mimin Mirror dapat meramalkan, bahawa kelak anak tiri kamu ini akan menguasai seluruh harta kekayaan ayah kandungnya seperti yang sudah tertulis di dalam sehelai surat wasiat yang dipegang oleh Donius. Kamu juga berisiko dimasukkan ke dalam penjara, apabila dia berjaya membuka mulutnya untuk melaporkan tindakan kamu yang mencuba untuk melakukan pembunuhan terhadap ibu kandungnya. Bertindaklah sekarang ini juga, Sarah. Kuasa untuk menoktah semua itu, ada pada tangan kamu sendiri.”
Sarah mengerut kening. Dia menekan-nekan dahi dengan jari telunjuk. Dia mulai berfikir.
“Satu-satunya jalan terbaik, menyingkirkan si Liya dari kehidupan aku sama si Donius, sama macam aku singkir si Amanda dulu. Tapi kali ni, aku harus pastikan tu budak mati. Aku mau jantung dia ada di depan mata aku sendiri, sebagai bukti yang dia betul-betul sudah mati.”
Bisik hatinya, setelah satu idea jahat muncul dalam fikiran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience