BAB 5

Drama Completed 1821

Jam dinding dapur sudah menunjukkan pukul 5:12. Donius duduk di bangku meja dapur, tengah berbalas sms dengan rakan sekerjanya. Dia meminta Johny, rakannya itu untuk menyelesaikan dokumen yang tidak sempat diselesaikannya tadi di pejabat. Amanda sibuk menyiapkan kopi dalam teko. Dia tidak terlalu risau meninggalkan seketika Liya di bilik, kerana Liya tengah dijaga oleh Teresia, orang gaji yang baru bekerja di rumah itu. Teresia gadis berusia 27 tahun memang berpengalaman menjaga bayi. Sedangkan Amanda masih perlu banyak berguru dengannya. Ketukan pintu berbunyi.
“Sayang, cuba pigi tinguk dulu tu siapa yang mengetuk pintu.”
“Bah.”
Teko berisi kopi panas yang sudah siap itu diletakkan di atas meja makan dapur. Dia bergerak dengan cepat menuju pintu rumah di depan. Ketika pintu dibuka, seorang lelaki tua berambut putih dan agak bongkok, berdiri di situ. Baju t-shirtnya yang berwarna putih juga kelihatan agak compang-camping, seperti tidak pernah dicuci. Dia mendukung beg hitam usang seperti beg sekolah, yang digantung pada kedua-dua bahu. Wajahnya penuh rasa minta simpati.
“Uncle. Uncle cari siapa?”
Soal Amanda dengan penuh sopan santun, selayaknya seseorang berusia muda berbicara dengan seseorang yang lebih tua.
“Nak, uncle sesat bah ni cari rumah anak uncle.”
Jawab si lelaki tua itu dengan suara perlahan. Dia terbatuk-batuk.
“Masuk dulu, uncle. Kasian uncle berdiri saja di situ.”
“Tidak, nak. Uncle ni kutur. Uncle tidak layak masuk di rumah kamu ni.”
“Tidak apa, uncle. Ni rumah terbuka lebar untuk siapa saja. Bah, masuk saja uncle.”
“Iyalah kalau gitu. Uncle masuk.”
Amanda mempersilakan lelaki tua itu duduk di sofa ruang tamu. Dia tahu lelaki tua itu disinari teriknya matahari di luar sana selama berjalan kaki mencari rumah anaknya. Dia menghidangkan minuman sirap yang agak sejuk di dalam teko plastik untuk lelaki tua itu, yang diletakkannya di atas meja ruang tamu itu. Dia juga menghidangkan sepinggan kek lapis. Donius dan Teresia turut menyertai perbualan Amanda dengan lelaki tua itu di situ. Setelah menceritakan sekali lagi tujuannya datang ke bandar dan mengenai asal-usulnya, dia tidak mampu menahan sebak di hati. Dia menangis. Donius, Amanda dan orang gaji mereka itu turut memadu rasa sedih, mendengar cerita pilu si lelaki tua.
“Dia betul-betul lupa sama tempat asal dia. Bila dia sudah jadi kaya sekarang, kahwin sama lelaki kaya, dia lupa sudah sama uncle. Hampir 8 tahun sudah dia tidak balik-balik pigi tinguk urang tua dia sendiri yang sudah sakit-sakit ni. Mama dia meninggal pun langsung dia tidak pulang pigi tinguk. Itulah kenapa uncle separuh mati jalan kaki dari pagi mau mencari rumah dia. Uncle tidak mau minta dia duit, atau minta apa-apa sama dia. Uncle cuma mau kasi ingat dia saja, kalau bapa dia ni belum lagi mati. Mungkin selama ni dia sangka bapa dia ni sudah mati.”
Berkali-kali dia mengesat air matanya dengan tangan. Donius duduk makin rapat dengan lelaki tua itu. Dia menepuk-nepuk bahunya.
“Sabar, uncle. Sabar. Malam ni, uncle bermalam saja di sini. Nanti esok baru kita sama-sama cari rumah anak uncle tu.”
Donius cuba menenangkannya.
“Iya, uncle. Uncle bermalam saja di sini.”
Sampuk Amanda pula. Dari tadi, Teresia asyik memandangi si lelaki tua itu. Dia merasa seperti dia pernah mengenalinya. Tapi di mana?
“Aku macam pernah jumpa ni urang tua. Kalau nda silap aku, aku pernah nampak satu lelaki muda ni, serupa betul muka dia macam ni urang tua. Tapi, itulah masalah dia. Tu lelaki muda pun aku lupa-lupa sudah. Susah laini, belum tua sudah jadi pelupa!”
Bisik hatinya.
* * *
Sarah duduk di bangku luar rumah. Dia mencuba menghubungi seseorang, namun panggilannya tidak diangkat-angkat. Dia kesal, menghentak-hentak telefon bimbitnya pada telapak tangan.
“Mana bah ni samseng buduh ni, tidak pandai angkat-angkat telefon aku!”
Deviana keluar dari pintu rumah, sambil menikmati jus epal dalam gelas kaca yang dipegangnya. Dia duduk di sebelah Sarah yang masih kesal.
“Kenapa muka kau bida ni? Siapa kau marah? Kau marah akukah habis ambil epal kau bikin jus?”
Soal Deviana, memerli.
“Ish, diam bah kau. Aku marah bah ni ketua samseng tidak pandai angkat-angkat telefon aku. Bikin panas!”
“Mungkin dia birak kali bah. Cuba kau cium telefon kau ada bau taik kah. Kalau ada, ahh dia sedang birak laitu kalau begitu.”
“Issh, aku serius ni sekarang, Dev! Teda masa aku mau bergurau-gurau ni.”
Sekali lagi Sarah cuba menghubungi. Panggilannya diterima.
“Hello, Sarah. Selamat malam.”
“Tidak payah selamat selamat malam sana. Dari tadi aku telefon kau kenapa kau tidak angkat-angkat? Sikit lagi aku lempar bola api pigi tempat kau oh!”
“Rileks, bos. Jangan marah. Tadi tu aku mandi bah tu.”
“Macam mana?”
“Rileks kau, bos. Urang suruhan aku sudah pigi rumah dia, menyamar jadi urang tua yang mencari rumah anak perempuan dia. Kawan aku dua urang tu sekarang ada di belakang tu rumah.”
Sarah terbahak-bahak ketawa. Jawapan itu benar-benar membuat dia berpuas hati.
“Bagus, bagus. Kerja kamu memang bagus.”
Sarah memberitahu Deviana tentang rancangan mereka yang sedang berjalan dengan baik itu. Deviana menepuk tangan gembira.
“Bagus. Jadi itu erti dia, sekejap lagi si Amanda tidak dapat lagi nampak muka husband dia sama family dia buat selama-lamanya. Hahaha. Rasa kau, Amanda bodoh! Sebagai perempuan pembunuh bapa aku, kau memang layak terima itu.”
* * *
Pukul 8:25 malam. Donius masih sibuk memasangkan speaker pada keretanya, menggantikan speaker kereta yang telah rosak. Amanda baru sahaja menyuruh Teresia membeli gula dan kopi di sebuah mini market yang berhampiran dengan kawasan di situ. Amanda mencalitkan sedikit kuah sayap ayam masak kicap pada telapak tangannya, lantas dirasainya. Dia menikmati masakannya, seraya mengangkat sebelah keningnya.
“Bulihlah. Cukup rasa.”
Monolognya perlahan. Di sebalik dinding tepi pintu dapur, si lelaki tua yang telah memperkenalkan diri sebagai Benard itu mengintip Amanda dari situ. Dari tadi dia memperhati secara diam-diam apa yang sedang dan akan dikerjakan Amanda di dapur itu. Amanda bergerak ke arah pintu dapur. Benard bergegas beredar ke sofa ruang tamu supaya Amanda tidak melihat keberadaannya di situ. Niat Amanda hendak melihat keadaan Liya di bilik, tetapi dia singgah ke ruang tamu sebentar.
“Uncle, kalau uncle boring, uncle baca saja tu buku-buku sama surat khabar tunah di bawah meja kio.”
Kata Amanda seraya menuding ke arah beberapa buah buku dan surat khabar yang terletak di bawah meja ruang tamu.
“Iyalah.”
Tanpa membuang masa, Amanda lantas pergi ke bilik tidur. Liya masih tertidur nyenyak, tetapi tangannya sedikit bergerak. Mungkin dia sedang menikmati mimpi indahnya bersama malaikat, fikir Amanda sambil tersenyum kecil. Amanda sempat mengecilkan api kompor di dapur sebelum dia ke situ. Dia memungut beberapa helai baju t-shirt milik Donius di lantai bilik.
“Donius, Donius. Suka betul kasi ampai-ampai baju di sini. Apalah salah ni baju-baju simpan bagus-bagus. Begitulah lelaki.”
Keluh yang bersahaja. Benard mengambil kesempatan untuk pergi ke dapur. Dia mengeluarkan sebungkus plastik kecil berisi ubat tidur dari saku seluar jeans birunya. Serbuk itu dia taburkan habis ke dalam masakan Amanda. Dia mengacau-ngacaukan sebentar masakan itu, supaya serbuk ubat itu cepat larut di dalam masakan itu.
“Sekejap lagi tidurlah kamu semua, supaya rancangan aku berjalan lancar. Hahaha… Nda sangka pula aku ni ahh pandai berlakon.”
Monolognya perlahan, seraya senyum kecil.
* * *
Waktu untuk makan malam. Teresia juga dipelawa Amanda untuk makan semeja bersama, walaupun berkali-kali ditolak oleh Teresia yang berasa segan makan semeja bersama tuan rumah.
“Tidak apa, sis Teresia. Tuan rumahkah, pembantukah, kita semua sama saja bah. Tidak payahlah ikut-ikut cerita dalam drama atau sinetron di tv. Bah mari, makan sama-sama.”
Jelas Amanda.
“Betul.”
Donius menyokong kata-kata Amanda. Satu-persatu dari mereka mulai menyantap sayap ayam masak kicap itu sehingga hanya tinggal setengah mangkuk besar. Hanya Benard yang tidak. Dia tidak mahu jatuh ke dalam lobang yang digalihnya sendiri.
“Kenapa uncle tidak ambil ayam?”
Soal Donius.
“Tidaklah. Sekarang ni uncle berpantang dulu makan ayam sama daging.”
“Oh, gitu. Susah lagi nanti kalau langgar pantang kan.”
Makan malam sudah selesai. Perbualan yang asyik itu dihentikan sejenak, dan diteruskan kembali di ruang tamu rumah. Teresia mulai memungut pinggan, mangkuk serta cawan di atas meja. Dia pindahkan ke sinki, lantas segera dicuci. Baru mencuci dua tiga biji pinggan dan mangkuk, dia menguap. Secara drastik, tiba-tiba sahaja dia rasa mengantuk. Masih terlalu awal untuk tidur. Tetapi matanya sudah betul-betul terasa begitu berat. Dia tidak tahan.
“Aduilah ni mata. Bisuk pagi sajalah aku sambung cuci. Sumpah! Nda tahan oh! Mengantuk betul!"
Dia meninggalkan begitu sahaja pinggan mangkuk di sinki. Dia langsung menuju ke biliknya untuk segera rebah ke tilam demi menunaikan hajat si mata yang minta dipejamkan. Rupanya Donius dan Amanda juga mengalami perkara yang sama seperti dialami Teresia. Berkali-kali pasangan suami isteri itu menguap.
“Uncle, uncle kalau ngantuk pigi saja tidur di bilik yang saya tunjuk tadi tu, kio. Adui! Ngantuk betul sudah oh.”
Pesan Amanda. Dia menguap sekali lagi, sambil menepuk-nepuk mulut dengan perlahan.
“Okey, nak. Uncle mau diam-diam dulu sekejap di sini tinguk tv. Tv di rumah uncle rusak sudah. Lama sudah tidak tinguk tv.”
Tiada alasan lagi untuk tetap bertahan di situ. Mereka berdua bergegas memasuki pintu bilik. Benard senyum lebar. Dia sudah berjaya menjalankan semuanya dengan baik.
“Sekejap lagi, duit masuk poket. Tidak sia-sia juga aku campin menyamar, hahaha.”
Bisik hatinya. Kini, dia hanya perlu bersedia menjalankan rancangan seterusnya. Dia melangkah ke dapur, menikmati makanan-makanan yang ada di sana sebelum meneruskan rancangan selanjutnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience