BAB 14

Drama Completed 1821

Dalam kegelapan malam itu, Liya terus menyusuri tepi jalan raya yang sedikit gelap. Kakinya terus membawa dia melangkah, menuju di sebuah perhentian bas. Sudah tidak seberapa jauh dari situ, sudah dapat dilihat di depan mata. Perhentian bas itu disinari oleh lampu jingga tepi jalan. Dia melangkah perlahan, seperti orang lemas. Air matanya telah mengering. Hanya membazir tenaga menyia-nyiakan air mata berterusan. Dia tiba di perhentian bas yang sunyi itu. Kereta yang lalu-lalang tidak dipedulikan. Dia tidak tahu harus menunggu siapa di situ. Dia tidak tahu harus ke mana. Yang jelas, dia tidak akan mengubah tekadnya. Dia tidak akan kembali ke rumah ayah. Cukup melelahkan setiap hari harus bersemuka dengan monster betina yang tidak sedar diri. Itu pendapatnya.
“Aku tau, pak. Aku tau, bapa sebenarnya tidak sampai hati mau kasar-kasar sama aku. Bapa tidak sampai hati mau halau aku dari rumah. Tapi, itu semua disebabkan hipnosis tu monster betina. Kalaulah kejadian bapa kawin sama tu perempuan terjadi di masa sekarang, aku tidak mau kasi biar bapa pilih tu perempuan jadi bini bapa.”
Dia berkeluh di hati. Dia menyesal semua yang telah terjadi. Tetapi apa kan daya, dia tidak mampu mengembalikan masa. Dia mampu menterbalikkan jam pasir, tetapi dia tidak dapat membalikkan waktu yang telah berlalu. Sebuah kereta berhenti tepat di situ. Dia kesat-kesat matanya, memastikan matanya betul-betul telah bersih dari sisa-sisa air mata.
“Mandak, mau pigi mana malam-malam begini?”
Soal lelaki itu, berbadan tegap, berambut keriting panjang yang diikat ke belakang, sebaik sahaja membuka jendela keretanya.
“Aku pun tidak tau bang aku mau pigi mana…”
Sudah tentu lelaki itu Garry. Dia sedang menjalankan tugas yang disuruh oleh Sarah. Lama dia perhatikan Liya. Entah mengapa dia tidak sampai hati untuk meneruskan rancangan jahat Sarah, setelah dia amati raut wajah gadis malang itu. Ada secebis aura misteri memancar dari wajah gadis itu, yang membuat siapa sahaja yang menatapnya, hatinya menjadi lembut.
“Bukan saja lawa, tapi lemah lembut saja aku tinguk muka dia. Adui, aku betul-betul tidak sampai hati oh mau kasi celaka ni sumandak.”
Garry berkata di dalam hati. Belas kasihan mulai menguasai kekerasan hatinya.
“Bah, naiklah mandak. Abang hantar kau pigi tempat selamat.”
Liya terdiam. Dia berasa was-was hendak ikut orang yang tidak dia kenal. Apatah lagi penampilan orang itu nampak menakutkan, mengalahkan samseng-samseng yang pernah dia nampak setakat ini.
“Tidak apalah, bang.”
“Tidak payah takut, mandak. Abang langsung tiada niat jahat sama kau. Abang ikhlas mau tulung kau ni.”
Liya masih tetap duduk di situ, enggan berdiri.
“Marilah, mandak. Jangan takut.”
“Bagus aku ikut sajalah. Harap-harap ni urang betul-betul tiada niat jahat sama aku. Aku yakin, Tuhan ada sama-sama aku.”
Dia berkata perlahan. Sebelum merelakan sendi-sendi kaki untuk berdiri, dia sempatkan diri sejenak untuk memanjatkan doa di hati, memohon perlindungan dari yang Maha Kuasa.
Dia beranikan diri terima ajakan si lelaki untuk masuk ke dalam kereta. Kereta mulai bergerak.
“Putih Liya, abang tau apa yang kau rasa sekarang. Abang tau, kau kena halau dari rumah, kan?”
Liya terkejut. Mata yang tadinya redup, kini terbuka luas. Dia cepat-cepat memalingkan pandangan ke arah lelaki itu.
“Abang sebenarnya kenal siapa kau, walaupun baru pertama kali abang berjumpa sama kau. Si Sarah, mama tiri kau, dia yang banyak cerita pasal kau.”
“Abang ada hubungan apa sama mama tiri aku tu?”
“Rileks dulu kau, mandak. Sebenarnya… Dialah yang sudah menghipnosis polis-polis, sampai abang bebas dari lokap. Abang ni dulu penjenayah. Dia buat semua tu, sebab ada mau. Dia mau abang kasi celaka kau.”
“Apa?”
Rasa takut kembali bersarang di hati. Liya memukul-mukul pintu kereta. Dia meronta-ronta hendak diturunkan dari kereta.
“Kasi turun aku di sini bang, aku tidak mau ikut abang. Rupanya betul sangkaan aku tadi, abang ni memang ada niat jahat sama aku. Kasi stop kereta abang! Aku mau turun! Cepat!”
Tingkah laku Liya semakin mengganas. Garry terpaksa menghentikan keretanya di tepi jalan. Garry menahan tangan Liya yang hampir saja membuka pintu kereta.
“Please, Liya. Dengar dulu penjelasan abang.”
“Lepas…”
Liya mengalihkan tangan Garry.
“Abang memang kena suruh kasi celaka kau. Tapi abang tidak mau. Abang tidak sampai hati mau buat begitu sama orang yang langsung tiada buat salah apa-apa. Abang ni masih ada hati nurani, Liya.”
“Jadi, apa motif abang bawa saya? Konon mau bawa saya pigi tempat yang lebih selamat!”
“Abang memang betul-betul mau bawa kau pigi tempat yang lebih selamat, supaya kau selamat dari mama tiri kau. Tulung percaya sama abang, Liya.”
Liya membisu. Dia mulai nampak tenang, tidak lagi memberontak. Garry menghidupkan semula enjin kereta.
“Abang sebenarnya mau bawa aku pigi mana ni?”
“Abang mau bawa kau jauh dari ni bandar. Abang mau hantar kau pigi satu tempat. Abang yakin, mama tiri kau belum pernah pigi lagi tu tempat. Di sana ada satu rumah sewa. Kau tinggal saja di sana.”
Garry memberitahu nama rumah sewa itu, beserta ciri-ciri dan bentuknya.
“Aku manada duit untuk bayar rumah sewa, bang. Duit aku di dompet cuma tinggal 30 ringgit saja.”
“Jangan risau pasal tu. Biar abang yang atur.”
Garry menyaluk saku seluar, mengambil telefon pintar. Dia menghubungi seseorang, tetapi tetap fokus dengan pemanduan kereta. Dia tidak mahu kereta itu mengalami kerosakan, disamping ingin menjaga keselamatan diri sendiri dan gadis di sebelahnya. Itu hanyalah kereta pinjaman.
“Hello, Alvin.”
Garry memberitahu sepupunya yang dia hubungi itu tentang rumah sewa yang hendak dia tujui.
“Kau tulung dulu pigi tu rumah, kau tunggu aku di situ sampai aku datang. Ada aku mau minta tulung sama kau. Kau kan banyak duit. Nanti kalau aku sudah dapat kerja, aku ganti balik duit kau.”
Setelah puas bercakap-cakap, dan sepupunya itu bersetuju untuk menolong seorang gadis melunaskan bayaran pertama rumah sewa itu, Garry pun segera mematikan semula panggilan telefon. GPS telefon Garry sentiasa hidup. Itu memudahkan Alvin untuk mengetahui keberadaannya sekarang. Tidak berapa lama kemudian, ada sebuah kereta terhenti secara melintang di tengah-tengah jalan raya. Kelihatannya pemilik kereta itu sengaja hendak menghentikan kereta-kereta yang lalu di jalan itu. Garry terpaksa menghentikan keretanya di situ. Jalannya telah terhalang oleh kereta itu. Pemandu kereta-kereta yang ada di belakang mulai membunyikan hon kereta.
“Hoi, apahal ni?”
Kedengaran suara tengkingan dari pemandu kereta yang ada di belakang.
“Apa motif ni urang kasi berhenti kereta dia di situ?”
Soal Liya.
“Tidak tau.”
Pemilik kereta yang berhenti di depan itu, keluar dari pintu kereta. Seorang lelaki yang memakai topeng. Hanya bahagian mata yang kelihatan. Dia maju mendekati kereta Garry.
“Apa masalah kau ni, bro?”
Soal Garry dengan nada marah.
“Aku mau kau ikut aku. Kita kasi selesai masalah kita.”
“Masalah? Masalah apa? Mau cari pasalkah?”
“Jangan banyak cakap. Ikut saja.”
Orang itu kembali ke kereta. Dia menghidupkan semula enjin kereta, lantas berangkat.
“Siapa tu urang, bang?”
“Tidak tau. Kita ikut sajalah.”
Tanpa membuang masa, Garry mempercepat kelajuan keretanya untuk mengejar kereta orang itu. Kejar dan terus mengejar. Mengambil masa lebih kurang lima belas minit, sehingga kereta itu berhenti di satu tempat sunyi. Garry ikut memberhentikan keretanya. Pemilik kereta itu dan Garry serentak keluar dari pintu kereta masing-masing. Liya tetap menunggu di dalam, atas permintaan Garry. Dia tidak mahu sekiranya terjadi apa-apa terhadap Liya jika Liya ikut keluar. Mereka saling mendekati.
“Apa maksud kau bawa aku pigi sini ni, bro?”
Lelaki itu tetap membisu. Perlahan-lahan, dia membuka topengnya.
“Alamak, kau pula Alvin.”
Garry tergelak. Dia menumbuk bahu lelaki yang sebenarnya adalah sepupunya sendiri, Alvin.
“Hahaha… Aku sengaja kasi main-main kau. Sekurang-kurangnya hilang juga stress kau selepas kau keluar dari lokap, hahaha…”
Liya yang berada di dalam kereta, menjadi hairan dengan kemesraan mereka berdua di luar.
“Aik? Berkenal pula diorang ni. Jangan-jangan itu kali si Alvin.”
Dia bermonolog. Dia tetap menunggu di situ, menunggu mereka selesai bersidang. Telefon pintar Garry yang tertinggal di dalam kereta berbunyi, ada panggilan masuk. Telefon itu diletak berdekatan dengan gear, jadi Liya dapat melihat dengan jelas nama si pemanggil, Sis Sarah.
“Si Sarah telefon?”
Tidak berapa lama kemudian, panggilan itu terhenti. Tetapi beberapa saat setelah itu, mesej whatsapp pula masuk. Tentunya dari Sarah juga.
“Garry! Di mana sudah kau sekarang ni?”
Liya mencuba membalas mesej Sarah.
“Dalam perjalanan ni. Sekarang anak tiri kau ni sudah aku ikat. Mulut dia aku tutup ketat-ketat.”
“Bagus. Kau mesti kasi selesai dia ni malam juga. Jangan lupa, bisuk aku mau kau kasi tinguk aku jantung dia, sebagai bukti dia sudah mampus semampus-mampusnya!”
“Rupanya kau betul-betul suruh si Garry bunuh aku oh, kan Sarah.”
Gumamnya. Dia tertawa, walaupun dia rasa gentar dengan tindakan busuk ibu tirinya. Dia meneruskan membalas mesej Sarah.
“Okey. Tapi kau buat apa juga tu jantung si Liya? Kau mau makan? Sedap kali kan, jantung manusia kalau kana masak kicap. Adidi, lapar pula aku.”
“Kau diam! Aku tiada masa mau main-main ni sekarang. Aku cuma mau kau jalankan tugas kau dengan baik.”
Liya semakin merasa terhibur mengerjakan ibu tirinya sendiri. Tak henti-hentinya dia gelak seorang diri di dalam kereta. Garry dan Alvin yang masih berbual-bual di luar, kehairanan melihat gelagat Liya. Mereka dapat melihat dengan jelas Liya di dalam, kerana lampu bercahaya putih di dalam kereta itu menyala terang.
“Kenapa tu sumandak ketawa-ketawa?”
Soal Alvin. Garry mengangkat bahu, tidak tahu. Alvin menatap, dan terus menatap. Pandangannya tidak lagi bertumpu pada gelagat Liya. Kini tumpuannya beralih pula ke wajah manis gadis itu.
“Lawanya. Sumandak siapalah ni.”
Hatinya berbisik, terpegun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience