BAB 19

Drama Completed 1821

Semenjak dibelenggu kekuatan hipnosis Sarah, hidup Donius menjadi tidak tenteram. Kekuatan pukau itu begitu erat membelenggu. Dia mudah sekali merasa resah. Setiap malam, dia hanya mampu tidur selama 3 sampai 4 jam. Hipnosis itu benar-benar berdampak buruk bagi kesihatan mentalnya. Dia juga seringkali mudah marah kepada orang-orang di sekelilingnya, kecuali Sarah. Dia tunduk kepada semua arahan Sarah, seperti kerbau yang dicucuk hidung.
* * *
Pagi isnin. Donius masih tidur di bilik. Sarah sudah bangun lebih awal, melayani tamu di ruang tamu yang datang pada pagi-pagi buta, Deviana.
“Aku rasa, sekaranglah masa untuk kau kasi tunjuk final kehebatan kau, Sarah.”
“Tapi…”
Sarah sedikit berat hati untuk melakukan apa yang Deviana cadangkan sebentar tadi.
“Kau fikir masak-masak, Sarah. Sampai bila kau mau jadi ibu rumah tangga saja sepanjang hidup kau? Sekaranglah masanya kau kasi tumbuh tanduk kau. Sekaranglah masanya kau ambil alih jawatan sama pangkat laki kau, ambil kendali syarikat sama kakitangan-kakitangan dia.”
“Ya, aku mau begitu. Tapi aku tidak sampai hati kalau aku perlu korbankan husband aku sendiri untuk kepentingan diri aku sendiri. Aku mengaku, aku ni memang licik. Aku berani buat apa yang aku mau. Tapi kau tau sendiri kan, macam mana cinta aku sama si Donius sejak dari dulu lagi.”
“Tulunglah, Sarah. Kau cuma ambil alih saja semua milik dia, harta dia. Bukan aku suruh kau halau atau bunuh laki kau tu. Kau selalu ulang-ulang cakap pasal, ‘Dendam Kepada Kaum Lelaki Tanpa Harus Membenci Kekasih Dan Suami’, jadi bila lagi kau mau kasi naik martabat kaum hawa kalau bukan sekarang? Kau mesti kasi bukti, yang kaum hawa pun bulih lebih baik lagi dari kaum adam. Yang kau pun bulih jadi orang atasan laki kau sendiri. Itu saja. Kau masih ada ruang untuk bagi kasih sayang kau sama si Donius walaupun segala-galanya sudah jatuh pigi tangan kau.”
Sarah berfikir panjang. Dorongan Deviana ada baiknya juga untuk dicuba. Dia dapat menguasai seluruh harta kekayaan dan syarikat Donius tanpa harus menyingkirkan Donius.
“Tapi, macam mana?”
“Sarah, Sarah. Licik-licik pun pandai down juga idea kau ahh… Sekarang laki kau tu kan masih lagi terikat sama hipnosis kau. Jadi, sekarang inilah kesempatan emas untuk kau suruh dia buat surat peralihan kuasa dari nama dia pigi nama kau. Lepas tu, kau suruh dia tanda tangan tu surat. Done. Semua sudah beralih pigi tangan kau. Senang, kan. Belum lagi kalau kena tambah sama harta pusaka yang mendiang datuk kau kasi waris sama kau. Kaya raya kau, Sarah.”
* * *
Semua kakitangan-kakitangan dalam satu bangunan, diminta berkumpul di ruang mesyuarat pada awal pagi jam 6:40 pagi oleh seorang pegawai atasan. Semua itu atas arahan Sarah. Di meja mesyuarat, Sarah duduk di tempat paling depan, di tempat Donius biasanya duduk ketika mesyuarat sedang berlangsung. Sarah menjelaskan dengan panjang lebar mengenai dirinya yang telah sah menjadi pengganti suaminya untuk mengendalikan syarikat besar itu. Semua kakitangan-kakitangan yang berkumpul, berpandangan satu sama lain. Mereka bertanya-tanya satu sama lain, ada angin apa encik Donius mengalihkan kendali syarikat itu kepada Sarah. Hampir setiap dari mereka semua sudah tahu bagaimana perwatakan perempuan itu. Boleh saja syarikat itu hancur jika diambil alih oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan suka pentingkan diri sendiri seperti Sarah. Bahkan lebih teruk jikalau wanita itu sama sekali tidak memiliki pengalaman yang cukup untuk menjadi seorang atasan yang dikagumi.
“Mungkin kamu tertanya-tanya, kenapa tiba-tiba saja saya ganti tempat si Donius, kan? Semua ni atas permintaan dia sendiri. Untuk sementara ni, dia mau merehatkan diri dari urusan-urusan pekerjaan. Dia sendiri yang minta saya untuk ganti tempat dia. Jadi, ini semua bukan kemahuan saya sendiri. Dan yang pasti, ini semua untuk kebaikan syarikat kita juga. Harap kamu semua fahamlah.”
Sarah berucap dengan sombongnya, dengan nada ketegasan. Semua membisu. Tiada seorang pun berani membangkang. Sarah senyum sinis, seraya menunjukkan sehelai surat yang sudah ditandatangani oleh Donius. Surat peralihan kendali syarikat itu. Bukan hanya syarikat itu. Seluruh harta kekayaan Donius, telah sah menjadi miliknya. Dia berjaya menyuruh Donius membatalkan isi surat warisan harta pusaka yang tertera nama Putih Liya, beralih menjadi namanya. Ilmu hipnosis itu benar-benar mengubah hidupnya.
* * *
Beberapa minggu telah berlalu. Keadaan masih belum berubah menjadi lebih baik. Liya belum berjumpa dengan ibu kandungnya. Donius masih belum terlepas dari hipnosis Sarah. Donius masih belum pulih dari sifat panas barannya itu. Pagi itu, dia menghempas barang-barang di dalam bilik tidur, hanya gara-gara dia berang orang gajinya memasak makanan yang tidak sesuai dengan selera lidahnya. Sarah masuk ke bilik. Dia mencuba untuk menenangkan amukan Donius.
“Bang. Jangan begini bah, bang. Abang kasi tau saja abang mau makan apa, nanti saya tinggal suruh si Girud pigi tapau di restoran.”
Girud, nama orang gaji baru di rumah itu. Donius membisu. Dia beralih tempat duduk, dari birai katil ke bangku kecil yang berdekatan dengan katil. Dia tidak lagi berani menunjukkan berang dan amukan kalau di depan Sarah.
“Bah. Aku mau yang kurang minyak sama kurang garam. Kasi pedas-pedas sama ada kuah.”
Sarah memanggil orang gaji baru di rumah itu masuk ke situ.
“Girud!”
“Ada apa, kak?”
“Kau tulung beli ayam masak kunyit di restoran. Yang pedas, kurang minyak sama kurang garam. Kuah dia kasi banyak sikit. Pastikan semua macam yang aku suruh kau. Nanti hujung bulan aku kasi double gaji kau dari yang aku janji hari tu.”
“Okey, kak.”
Tersenyum lebar Girud mendengar gajinya akan digandakan. Kini, Sarah tidak lagi bimbang harus mengeluar seberapa banyak pun duit untuk membayar orang gaji. Semua kekayaan dan kemewahan Donius sudah ada di tangannya.
* * *
“Bukan begitulah, Alvin. Macam ni.”
Liya memanfaatkan cuti sekolah selama seminggu itu untuk mengajar Alvin memasak di dapur. Selama ini, Alvin seperti katak dalam tempurung kalau dalam perkara-perkara yang berkaitan dapur. Dia tidak tahu bagaimana hendak menumbuk udang kering itu menggunakan lesung batu. Dia hanya tahu menggosok-gosok udang kering itu dengan hujung batu penumbuk secara perlahan-lahan.
“Lebih terasa sedap kalau guna lesung daripada guna blender. Kalau bagi akulah. Bukan perempuan saja mesti pandai masak. Lelaki pun mesti pandai masak, tahukah?”
Kata Liya dengan nada garang yang dibuat-buat. Alvin ketawa perlahan. Dia geli hati dengan tingkah serta bebelan gadis belasan tahun itu. 4 gadis beradik itu tertarik dengan pemandangan indah itu dari kejauhan. Mereka mengintip dua orang itu dari meja ruang makan.
“Diorang dua ni betul-betul serasi oh, kan.”
Kata Rona.
“Iya bah. Bagus lagi si Alvin sama si Liya daripada sama si Avilla.”
Suzan memberi pendapat.
“Nanti kalau kau kahwin, bini kau sibuk, kau bulih tulung dia masak di dapur.”
Kata Liya. Tangannya menumbuk-numbuk udang kering di dalam lesung batu, di atas meja makan. Alvin menongkat dagu di meja. Dia memperhatikan terus tunjuk ajar Liya. Bahan-bahan masakan semuanya sudah tersedia di atas meja itu.
“Buat apa susah-susah. Kau kan pandai masak.”
“Aik, aik. Kenapa pula aku?”
“Kau kan jadi bini aku nanti…”
“Hahaha…”
Liya menekan pinggang Alvin dengan jari.
“Perasan. Bila pula aku cakap aku sudi jadi bini kau, ah?”
“Dalam mimpi aku semalam…”
“Ala, setakat mimpi.”
“Jadi kau tidak mau jadi bini akulah?”
“Tidak mau.”
“Sebab?”
“Sebab… Mmm… Sebab apa ahh?”
Liya main-main berfikir. Senyumnya senget, matanya merenung siling dapur.
“Oh iya, sebab kau… Ahh… Sebab kau… Sebab kau, sepet. Hahaha…”
“Nda juga terlampau sepet bah.”
“Yalah tu.”
“Yang penting aku lebih hensem dari si Lorenzo.”
Liya memuncungkan bibir. Wajahnya bertindak seperti tidak suka Alvin menyebut nama itu lagi di depannya.
“Pleaselah, Vin. Jangan lagi mention-mention tu nama. Dia tu sudah jadi tunang urang sekarang.”
“Okey, okey. Sorry.”
“Awas ahh, kalau kau mention lagi satu kali. Aku cubit kau kuat-kuat.”
“Sebelum kau cubit aku, biar aku kasi makeup dulu kau. Supaya muka kau tetap lawa walaupun kau ganas.”
“Kau pandai makeupkah?”
“Pandai bah. Sekejap ahh…”
Di atas meja makan itu, ada sepotong kek atas piring kaca. Kek itu dibeli oleh Alvin, khusus untuk Liya. Separuh sudah dimakan Liya. Alvin mencalitkan krim tebal dari kek itu ke dua-dua bahagian pipi Liya.
“Ini dia makeup dari aku, hahaha…”
“Ish! Kurang asam!”
Liya mengelap-lap pipi, menyingkirkan noda krim kek itu.
“Kurang asam betul ni lelaki! Baru saja aku cuci muka aku tadi guna krim pencuci muka, kau kasi krim kek lagi ahh. Sekejap kau!”
Liya menggapai kek itu beserta piringnya sekali. Dia berniat hendak membalas mencalitkan krim kek itu ke wajah Alvin dengan lebih banyak lagi. Tetapi Alvin melarikan diri. Dia berlari menuju ke pintu rumah.
“Bubutlah aku…”
“Hoi! Jangan lari!”
“Hahaha. Bubutlah, bubutlah.”
Liya mengejar Alvin sampai ke halaman rumah. Dua orang pengawal keselamatan kompleks VIP itu kebetulan lalu di jalan raya depan rumah. Langkah mereka terhenti, tidak sengaja melihat gelagat 2 orang itu. 4 gadis kerdil itu pun tidak mahu melewati pemandangan berlari dan mengejar itu. Liya terus mengejar Alvin sampai ke halaman belakang. Alvin berlari tidak fokus memandang ke depan, akhirnya dia…
“Hahaha…”
Liya gelak terbahak-bahak.
“Apa kau rasa, jatuh dalam kolam renang?”
“Liya, tulung aku Liya…”
Alvin berhenti ketawa. Tawanya bertukar menjadi panik. Wajahnya seperti ketakutan. Dia berteriak-teriak, meminta Liya menolongnya. Dia seperti orang yang kehabisan nafas di dalam kolam renang itu.
“Liya, tulung tarik tangan aku.”
Liya ikut panik.
“Alvin. Kau okey?”
“Tulung tarik tangan aku Liya. Aku tidak tau berenang.”
Liya berlari menggapai sebelah tangan Alvin yang terhulur ke atas. Liya hampir menyentuh tangan Alvin, tetapi Alvin malah menariknya jatuh ke dalam kolam renang itu.
“Hahaha… Sekarang kita sama-sama jatuh.”
“Ish, kau ni Vin!”
Liya memukul-mukul dada Alvin. Rupanya dia hanya diperdaya.
“Jahat oh kau ni. Menyesal saja aku tulung.”
“Ala, janganlah bah marah. Tadi kau ajar aku masak, sekarang giliran aku lagi ajar kau berenang.”
“Aku pandai berenanglah!”
“Serius?”
“Betul bah!”
Mereka saling bergurau senda sepuas-puasnya di situ. Saling kejar-mengejar dan saling menyiramkan air kolam ke wajah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience