BAB 28

Drama Completed 1821

Amanda meletakkan kereta di tempat agak sunyi. Jauh di depan, mereka dapat melihat beberapa tetamu sedang berbual-bual penuh keasyikan di luar rumah banglo itu, duduk di bangku-bangku plastik yang disediakan. Mereka mula mengatur langkah menuju rumah itu sebaik pintu kereta ditutup. Amanda berjalan di depan, sementara Liya dan Avilla di belakang. Agnes, kawan yang dimaksud Amanda iaitu ibu kepada gadis yang menyambut hari jadi itu, keluar dari pintu rumah. Matanya mengarah kepada mereka yang sudah hampir dekat.
"Hai, Amanda. Kau datang juga ahh, aku fikir kau tidak datang."
Dia menyambut kedatangan Amanda dengan menyentuhkan pipinya ke pipi Amanda, sebelah-menyebelah. Sementara Liya dan Avilla hanya dijabat tangan dengan penuh kemesraan. Walaupun sudah memiliki dua orang anak perempuan, Agnes masih berjinak-jinak dengan sifat gediknya semenjak di bangku sekolah lagi. Amanda suka berkawan dengannya, sejak tingkatan lima lagi walaupun mereka berlainan sekolah. Walaupun bermulut agak murai, Agnes seorang yang jujur dan tidak suka pentingkan diri sendiri. Selama Amanda tinggal satu daerah dengannya kerana ingin menyembunyikan diri dari niat jahat Sarah dan Deviana, Agneslah yang telah banyak menolongnya. Agnes salah seorang penyumbang idea kepadanya sehingga dia dapat membuka sebuah butik besar, Snow White Of Reality. Zita keluar dari pintu rumah, lantas menyapa Amanda dengan mesra.
"Wah. Aunty Amanda pula. Saya fikir tadi siapa. Terima kasih ahh, aunty. Datang pigi birthday saya malam ni."
Dia menyalami tangan Amanda, lantas dicium dengan penuh sopan. Dia mengalihkan pandang kepada dua orang gadis yang berdiri di sebelah Amanda. Amanda menyedari arah pandang gadis itu.
"Ini dua sumandak ni, anak-anak aunty."
Ujar Amanda.
"Oh. Yang mana satu si Putih Liya?"
Zita memang sudah sering mendengar nama gadis itu disebut di mana-mana. Liya memang sudah cukup terkenal. Amanda menepuk bahu kiri Liya.
"Ini dia si Putih Liya."
"Oh, ini. Lawa."
Zita langsung berjabat tangan dengan Liya, dan saling memberi senyuman.
"Zita Marius."
"Putih Liya Donius."
"Sama-sama ada 'ius' pula hujung nama kita ni kan, hehe."
Akhir sekali, dia menyalami Avilla.
"Avilla."
"Nice. Lawa macam artis hollywood."
"Biasa ja. Hehe. Aku ni cuma anak angkat aunty Amanda. Bapa aku orang Amerika."
"Oh, patutlah."
Beberapa belia berkemeja putih lengan panjang keluar dari pintu. Mereka mengambil tempat di beberapa bangku kosong di luar. Yang lelaki berseluar hitam, yang perempuan memakai skirt hitam paras lutut. Mereka ahli-ahli koir belia dari gereja, yang diundang untuk mempersembahkan beberapa buah lagu pujian rohani Kristiani yang bertemakan hari jadi dan hidup baru dalam roh, diiringi dengan doa-doa khusus untuk Zita. Belia-belia lain masih berada di dalam. Agnes meniatkan agar majlis itu lebih diberkati dengan adanya persembahan lagu-lagu pujian dan penyembahan. Zita terdiam seketika. Dia sedikit menunduk, mengenang kembali detik sebelum dia meniup lilin kek tadi. Kek coklat bersalut krim vanila dengan bermacam-macam hiasan. Patung gula-gula berbentuk seorang gadis bergaun putih, diletak di atas. Sebelum memeras sedikit tenaga untuk meniup lilin berbentuk angka 18 itu, dia berdiri menutup mata di depan kek. Dia seusia Liya. Dia melafaz beberapa hajat di hati, di malam hari jadinya yang ke-lapan belas itu. Kedua-dua tangan dikatup rapat, jari-jari kiri dilipat ke celah jari-jari kanan.
"Tuhan, terima kasih atas nafas hidup yang Engkau berikan kepadaku sampai ke hari ini, sehingga aku dapat meraih hari ulang tahunku yang ke-18 malam ini. Terima kasih atas penyertaan-Mu dalam hidupku semenjak aku dikandung mama. Permintaan aku hanya tiga, ya Tuhan. Pertama, Engkau berikanlah aku kesembuhan yang utuh, supaya aku dapat menjalani hidupku dengan lebih lama lagi. Yang kedua, berikanlah kekuatan hati kepada mama, bapa dan kakak, sekiranya Engkau menentukan aku untuk pergi dengan cepat meninggalkan mereka. Saat ini, hanya bapa yang tahu tentang penyakit yang aku deritai sekarang. Mama dan kakak belum tahu. Kata doktor, hidup aku sudah tidak lama lagi. Yang ketiga, jika memang aku harus pergi buat selama-lamanya, berikanlah insan terbaik sebagai pengganti aku di hati Baxter."
Air mata sedikit mengalir seiring dia menyudahkan ucapan di hati.
"Zita!"
Zita tersedar dari lamunan setelah ibu memanggil.
"Pigi bah gia, bawa ni dua sumandak masuk dalam. Bawa diorang pigi makan. Mama mau bercerita-cerita dulu sama aunty Amanda."
"Okey, mak."
Seraya memegang tangan Liya dan Avilla, mengajak masuk bersama. Liya dan Avilla sedang mengaut mi goreng pada piring pakai buang di tangan. Begitu banyaknya makanan lazat terhidang atas meja.
"Jaga sikit tu badan, nanti si Lorenzo cari lain oh."
"Ish. Pandai-pandailah kau sana. Kau ingat aku ni kuat makankah?"
Avilla memijak kaki Liya dengan perlahan, berpura-pura marah dengan ejekan Liya. Zita nampak mula rimas. Pandangan matanya berulang-alik mengarah ke skrin telefon dan pintu rumah secara bergantian. Dia sedang menunggu seseorang yang istimewa, yang belum kunjung menampakkan diri di majlis itu.
"Liya, bulih kau tulung aku?"
Soal Avilla, teringat sesuatu yang dia lupa. Liya mengangkat kepala, bertanya Avilla meminta tolong apa.
"Tulung ambil telefon aku di kereta mama. Aku lupa bawa oh tadi."
"Bah, sekejap. Aku pun mau ambil telefon aku, tertinggal di kereta mama."
Liya mula mengatur langkah. Di pintu, dia berlanggar badan dengan seseorang. Pandangan mata saling bertembung, lama.
"Oh, kau pun di sini?"
"Iya. Aku datang sama mama, si Avilla."
Orang itu meminta Liya kembali ke luar setelah memberikan telefon Avilla yang ketinggalan. Liya menuruti. Mereka mengambil dua dari bangku-bangku kosong yang ditinggalkan belia-belia ahli koir gereja itu sebentar tadi. Mereka memilih tempat paling hujung untuk duduk bersama.
"Lorenzo. Nanti kalau si Avilla nampak, macam mana? Kita bukan ada apa-apa hubungan lagi, kan. Nanti lain-lain lagi dia fikir."
Amanda dan Agnes masih dibuai keasyikan berbual-bual tentang masa lalu, duduk di dekat pintu. Sekali-kali mata Amanda melirik ke arah Liya dan Lorenzo. Lorenzo juga mendapat undangan dari Zita ke majlis itu. Dia dan Zita sudah berkawan lama. Zita sudah menganggapnya sebagai abang angkatnya.
"Tapi tidak salah kan, kalau kita masih bulih jadi kawan?"
"Iya, tapi..."
"Liya."
Lorenzo perlahan-lahan menyentuh, lantas memegang tangan Liya. Matanya sulit dilepas dari tatapan mata gadis di sebelahnya itu.
"Aku jujur, Liya. Aku belum dapat sepenuhnya lupa sama kau."
"Kau mesti, Lorenzo. Aku yakin kau mampu."
"Kau tidak tau hati aku Liya."
"Kau belum sepenuhnya mencuba, Zo. Kalau kau lebih giat mencuba, tidak mustahil kau dapat kasi muncul rasa sayang kau sama si Avilla, sama macam rasa sayang kau sama aku. Aku, si Avilla... Kami sama-sama perempuan, perempuan yang layak untuk dicintai dan mencintai. Tidak salah kau cuba mencintai si Avilla, dengan cinta yang sama. Cinta yang sama dengan cinta kau sama aku."
Mesej whatsapp masuk. Liya menghidupkan cahaya skrin telefon.
"Liya. Sini bah, kasi kawan aku sama si Zita. Nda siok kalau kami-kami saja yang bercerita. Bawa tu lelaki di sebelah kau."
Liya terperanjat. Avilla tahu dia sedang bersama Lorenzo? Liya menarik nafas perlahan sebelum membalas chat dari Avilla.
"Sorry, Vil."
"Kenapa pula sorry? Kau takut aku cemburu?"
Diselitkan emoji ketawa.
"Buat apa juga aku mau marah? Walaupun kamu sudah tiada hubungan apa-apa, tapi tidak salah bah kalau kamu tetap jadi kawan. Aku maklum juga bah, kau sama si Lorenzo sudah kenal lebih lama sebelum aku kenal dia."
"Zo, si Avilla suruh kita masuk."
Selepas berkata begitu, Liya langsung beredar masuk ke dalam, mendahului Lorenzo yang masih duduk di situ.
"Happy birthday, Zita. Harap-harap result SPM kau nanti okey ahh..."
Ucap Lorenzo seiring tangannya memberikan hadiah kecil kepada Zita.
"Wah, thank you abang angkatku. Ni, sumandak kau si Avilla. Dari tadi dia duduk-duduk tunggu kau masuk."
"Sorry, Vill tadi..."
"Tidak apa. Aku tidak kisah pun kau berdua-duaan di luar sama adik aku. Walau macam mana pun, si Liya ni masih berhak jadi kawan kau, Zo. Walaupun kamu tiada apa-apa lagi."
Zita mengerti apa yang dikatakan Avilla. Dia sedikit maju mendekati Liya. Dia mengelus bahu gadis itu.
"Sabar, mandak. Nanti kau dapat juga kau punya."
Liya ketawa.
"Dapat apa pula ni? Nda faham."
"Maybe lelaki yang serupa macam si Alvin? Aku yakin, banyak lagi lelaki yang berebut-rebut mau dapat kau."
Liya memukul perlahan lengan Zita.
"Ada-ada saja kau ni."
"Kalau betul?"
"Harap-haraplah."
"Happy birthday, sayang. Sorry, lambat. Ada hal tadi."
Satu tangan muncul di antara Zita dan Liya, dengan sebuah hadiah yang terbungkus kemas dan indah.
"Wah, ini yang aku tunggu-tunggu. Bukan hadiah dari kau yang aku harap betul, tapi kedatangan kau."
Zita menggapai hadiah itu dari tangan si lelaki. Liya terpaku, tidak bergerak. Sepertinya dia kenal dengan suara lelaki yang berdiri di belakang. Dengan perlahan-lahan, dia mengangkat lebih tinggi telefon pintar yang dia pegang. Dengan skrin telefon yang gelap tidak menyala itu, dia dapat melihat dengan jelas siapakah gerangan lelaki itu. Itu Baxter!
"Alamak tuan."
Gumamnya perlahan, hampir tidak kedengaran. Avilla yang masih duduk di sebelah Lorenzo mula perasan dengan perubahan pada wajah Liya. Liya nampak ketakutan. Avilla tidak mampu mengawal bibirnya yang memaksa untuk senyum, dengan menghadapkan wajah ke tepi. Dia geli hati dengan pertemuan dua orang yang seperti anjing dan kucing itu.
"Ini siapa, sayang?"
Soal Baxter dengan jari telunjuk mengarah kepada Liya. Liya berusaha menghindarkan wajahnya dari dilihat Baxter.
"Oh, itu si..."
"Aduh!"
Avilla mengeluh kesakitan seraya memegang betis. Zita tidak jadi meneruskan kata-kata.
"Kenapa kau, Vill?"
Soal Zita.
"Entah ni. Macam ada yang gigit aku punya betis."
"Nyamuk kali bah. Jangan tinguk rumah kami macam ni. Banyak nyamuk juga ni di sini."
Avilla hanya memainkan lakonan. Dia tidak mahu Zita sampai memberitahu nama gadis yang berdiri di sebelah Zita itu. Liya mengenyit sebelah mata kepada Avilla, mungkin dia ingin berterima kasih kerana Avilla sudah menolongnya. Avilla hanya membalas dengan senyuman. Lorenzo kebingungan dengan gelagat Liya dan Avilla yang saling berbalas kenyitan mata. Dia menggaruk-garuk kening, hairan.
"Zita, aku pigi luar dulu ahh."
Liya mengubah nada suaranya sehingga kedengaran pelik. Avilla tidak mampu menahan lagi untuk ketawa. Gelaknya terlepas. Liya mula mengatur langkah, tetapi Baxter mencengkam kuat lengannya. Menahannya untuk pergi.
"Kau mau pigi mana, ahh? Kau fikir aku tidak taukah kau siapa?"
Liya tetap teguh mempertahankan permainannya. Dia masih tetap menghindarkan wajah dari Baxter.
"Kau kenal aku? Aku tidak kenal kau pun. Jumpa pun baru sekarang."
Dia tetap dengan nada pelik itu. Baxter ketawa.
"Lucu kau ni, mandak. Kau ingat senang-senangkah aku mau lupa sama perempuan yang tiada adab? Masuk rumah orang tidak minta izin, lepas tu kasi pecah pasu bunga di rumah mendiang abang aku."
"Kalau sudah macam ni, terpaksalah aku guna cara ini."
Fikir Liya. Dia memijak keras kaki Baxter.
"Auuccc. Sakitlah buduh!"
Dia tidak membuang masa. Dia langsung melarikan diri dengan kecepatan yang tidak biasa, keluar dari pintu rumah.
"Liya, kau mau pigi mana tu lari-lari?"
Soal Amanda tidak dipedulikan.
"Awas kau, sumandak basug. Aku bubut kau!"
Baxter cuba mengejar Liya yang sudah semakin jauh. Beberapa tetamu kehairanan dengan apa yang sedang terjadi. Baxter melangkah ke sana ke mari di tempat agak gelap itu. Liya bersorok di belakang tangki hitam kepunyaan jiran Agnes.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience