BAB 9

Drama Completed 1821

Hari-hari Liya dipenuhi kekelaman. Hanya ada sedikit ruang ketenangan yang dia rasai semenjak sikap Sarah berubah menjadi kejam terhadapnya. Donius memuji anaknya yang sudah mampu membuat kerja-kerja rumah tanpa mengeluh. Donius tidak tahu, betapa sedaya upaya anaknya itu memendam rasa luka di hati, yang diselindung dengan senyum paksa. Donius tidak sedar, anaknya telah dijadikan khadam di rumah sendiri oleh isteri keduanya itu. Untunglah Liya sempat belajar cara-cara memasak dan menyediakan bahan-bahan masakan dari Benarda, bekas orang gaji di rumah itu. Jadi dia tidak perlu dibentak Sarah hanya gara-gara rasa masakan yang tidak sesuai dengan selera. Jam dinding hello kitty di bilik tidur Liya sudah menunjukkan pukul 10:16 malam. Dia memejamkan lampu bilik yang terang, lantas menghidupkan lampu tidur bercahaya jingga yang tidak terlalu terang. Dia membaringkan diri. Mukanya nampak sungguh letih. Wajah itu sudah biasa menonjol setiap kali dia berasa lelah setelah seharian menyelesaikan kerja-kerja rumah, termasuk bekerja di kedai butik Sarah di pekan. Sarah tidak pernah memberi upah sedikitpun kepada Liya selama Liya bekerja di butik pakaiannya. Sisa-sisa waktu yang terluang dimanfaatkan Liya untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja-kerja rumah yang dibekalkan oleh guru-guru sekolahnya. Dengan badan yang masih terbaring lemas di katil, dia melirik ke arah meja belajar di tepi katil. Dia bangkit, maju mendekati meja itu. Dia menarik bangku meja itu untuk duduk. Dia mengeluarkan buku diari berwarna ungu dari laci meja, beserta pena bertemakan hello kitty. Dia mula menuliskan isi hatinya pada buku seukuran buku latihan sekolah itu, tetapi agak tebal. Buku itu hanya menyisakan halaman yang cuma tinggal sedikit. Setiap malam dia pasti akan mencoretkan dakwat luahan isi hati pada buku itu, tidak pernah tertinggal sehari pun. Dia tetap akan menulis diari hariannya semenjak dia membeli buku itu.
“Hari ini, sudah masuk bulan yang kelima sikap mama berubah. Dulu aku anggap dia macam fairy godmother. Sekarang, mama sudah berubah jadi macam ratu jahat dalam buku cerita, ratu yang sanggup bagi epal beracun sama anak tiri dia. Tapi, aku tidak mau cop mama sebagai ratu jahat. Aku pun tidak tahu apa sebab sikap mama berubah. Dia macam tidak sayang lagi sama aku. Dia buat aku tidak ubah macam anak tiri yang selalu kena suruh buat itu ini. Sekarang ni aku tiada siapa-siapa lagi yang sayang sama aku, kecuali bapa sama aunty Benarda. Aunty Benarda tidak kerja lagi di sini, walaupun dia selalu telefon-telefon bapa untuk tanya khabar aku. Bapa pula jarang-jarang ada di rumah, sibuk sama kerja dia di office. Aku kesunyian. Kan bagus kalau aku ada mama lain. Mama yang sayang sama aku dengan sepenuh hati. Aku teringin mau ada kawan. Ada pun cuma kawan-kawan di sekolah saja, itu pun tidak terlalu rapat. Aku mau ada kawan-kawan baik macam tujuh orang kerdil baik hati di dalam buku cerita.”
* * *
Hari masih terlalu pagi. Sebuah kereta memasuki perkarangan rumah. Sarah melirik dari jendela bilik, ingin tahu siapakah gerangan yang datang berkunjung ke rumah pagi-pagi buta. Selang beberapa saat, dua orang keluar dari pintu kereta. Seorang lelaki seorang lagi perempuan.
“Apa kau tinguk tu, Sarah?”
Soal Donius yang sudah siap berpakaian pejabat dengan segaknya. Dia tengah memasangkan tali leher, menghadap cermin almari.
“Ada urang datang, Don.”
“Siapa?”
Sarah menaikkan bahu, tidak tahu.
“Jom tinguk siapa.”
Ajak Donius. Ketukan pintu berbunyi beberapa kali.
“Hello, Donius, Sarah. Kamu masih tidurkah? Buka pintu.”
Kedengaran suara perempuan itu memanggil. Mungkin dia dan lelaki itu adalah sepasang suami isteri. Sarah lantas membukakan pintu rumah.
“Alamak, Deviana, Johny. Masuk kamu.”
Deviana melepaskan rasa rindu, Dia memeluk Sarah seerat-eratnya. Donius dan Johny saling berjabat tangan. Donius menumbuk dada Johny. Johny pula menyiku bahu Donius diiringi canda tawa. Gurau senda itu sudah biasa bagi mereka. Deviana memuncungkan bibir seolah-olah merajuk.
“Sampai hati kamu tidak datang pigi ulang tahun perkahwinan aku sama si Johny kemarin, kan.”
Deviana mengeluh.
“Ala. Kemarin aku sama si Donius balik kampung.”
Donius dan Johny berbual-bual di luar rumah. Sarah dan Deviana pula berada di ruang tamu rumah. Kelihatan Liya yang sudah siap berpakaian sekolah menengah, menuruni tangga dari tingkat atas. Gerakan langkah kakinya lamban. Dia merenung penuh perhatian ke arah ibu dan sahabat ibunya itu.
“Tunah, anak si Amanda turun sudah.”
Kata Deviana. Dipandang seketika gadis itu dengan tatapan tajam. Liya sudah maklum, sahabat ibunya itu tidak menyukainya dari dahulu. Dia pun tidak tahu mengapa perempuan itu membencinya. Sarah menegakkan jari telunjuk ke bibir, tidak mahu Deviana mengucapkan nama Amanda dengan keras.
“Sorry, Sar. Terlajak.”
Sarah berdiri. Dia maju mendekati Liya yang sudah berdiri di anak tangga yang terakhir. Deviana mengekori Sarah. Dia ingin menyaksikan bagaimana perlakuan seorang ibu tiri kepada anak tirinya.
“Liya!”
Sarah membentak. Dia berusaha agar suaranya tidak didengar oleh Donius di luar.
“Mulai sekarang, kau pigi sekolah jalan kaki saja. Tidak payah lagi kau ikut kereta bapa kau.”
Sudah lama Sarah hendak berkata begitu. Memandangkan hari itu ada Deviana, jadi dia meneruskan apa yang terbuku di hati. Sekaligus dia ingin memperlihatkan kepada Deviana sikap tegasnya terhadap Liya.
“Tapi mak, sekolah kan jauh. Mana saya tahan jalan kaki.”
“Ala, manja. Bukan jauh sangat pun. Awas ahh!”
Sarah menegakkan jari telunjuk sebagai tanda amaran.
“Jangan kau kasi tau bapa kau aku suruh kau jalan kaki. Kalau kau kasi tau juga, aku tumbuk muka kau sampai gigi kau bertaburan.”
Liya hanya mampu tertunduk. Matanya mulai berkaca. Dia sedih, sekaligus berasa malu dimarahi di depan orang lain. Deviana tersenyum lebar. Dia rasa terhibur dengan tontonan itu.
“Hebat kau, Sarah. Sekarang dia tunduk sudah sama kau.”
“Mestilah. Budak macam begini jangan biasa dikasi manja, nanti makin besar kepala.”
“Betul.”
Selepas menyalami Johny dan ayahnya di luar, Liya meminta diri untuk berangkat ke sekolah.
“Liya. Kau ikut siapa? Kau tidak mau ikut bapakah?”
“Saya mau jalan kaki, pak.”
Donius terkejut.
“Apa? Jalan kaki?”
“Bukan jauh sangat, pak. Saya mau kasi biasa jalan kaki, senaman.”
“Tapi, takkan kau saturang? Nanti ada apa-apa macam mana?”
“Tidak apa pak, ada kawan saya tunggu sana hujung.”
Tanpa membuang-buang masa, Liya segera berangkat. Berkali-kali Donius menghalangnya, tetapi dia tetap berkeras hati hendak berangkat ke sekolah dengan berjalan kaki. Dia terpaksa berbohong kepada ayahnya dengan mengatakan dia jalan bersama kawannya. Dia tidak mahu membuat ayahnya bimbang.
“Bagus oh sumandak kau, Don. Rajin jalan kaki pagi-pagi.”
“Itu baru pertama kali tu dia begitu, Johny. Aku pun hairan. Selalunya aku yang hantar sampai sekolah. Ambil dia dari sekolah pun aku.”
“Serupa macam mama kandung dia, si Amanda. Tidak suka kasi susah urang lain. Lawa dia pun menurun lawa si Amanda, hehe…”
“Jangan cakap kuat-kuat, Johny. Nanti habis aku kalau si Sarah dengar.”
“Aku yang cakap, kenapa kau pula yang habis?”
“Bah, kau faham-fahamlah macam mana perangai bini aku tu.”
Donius merenung jauh pemandangan pokok-pokok yang tumbuh sebaris di tepi jalan raya, di depan rumah. Dia mulai memikirkan sesuatu. Jauh di lubuk hatinya, dia masih menyimpan rasa kasih sayang kepada Amanda yang sampai sekarang belum diketahui keberadaannya di mana.
* * *
Buat pertama kalinya, Liya harus menempuh jalan menuju ke sekolah dengan berjalan kaki seorang diri. Jarak dari rumahnya menuju ke sekolah, tidaklah begitu jauh. Tetapi lumayan melelahkan bagi seorang pejalan kaki.
“Makin hari, mama makin kejam sama aku. Sampai betul hati dia kasi biar anak perempuan dia jalan kaki saturang. Betulkah dia tu mama kandung aku ahh? Kalau mama kandung, kenapa langsung tiada perasaan sama anak sendiri?”
Dia mengeluh perlahan.
* * *
Deviana dan Sarah belum menyudahkan perbualan mereka. Topik perbualan bertukar kepada kecantikan.
“Aku susah hati bah ni, Dev.”
“Susah hati kenapa kunun kau?”
“Aku rasa-rasa, muka aku macam makin tua sudah.”
Deviana ketawa.
“Perasaan kau saja bah tu. Kau mesti yakin yang kau ni sentiasa lawa, sentiasa menggoda. Aku jujur. Belum pernah aku nampak mana-mana perempuan dapat lawan kecantikan kau semenjak kau ubah penampilan kau dulu. Aku cakap betul ni.”
“Tapi… Tetap juga aku kurang yakin oh, Dev.”
“Kalau kau tetap kurang yakin sama diri kau, biar aku kasi tau kau pasal satu aplikasi yang bulih detect kecantikan.”
Deviana mengambil telefon pintar dari dalam beg tangannya yang dia letak di pangkuan.
“Aplikasi apa tu?”
“Ini.”
Deviana memperlihatkan aplikasi yang dimaksud.
“Ini bukan aplikasi biasa. Ini bukan juga aplikasi edit muka, makeup, faceapp atau yang sewaktu dengannya. Ini aplikasi magic, betul-betul magic. Tapi mau dapat ni aplikasi mesti bayarlah. Harga dia, RM670 setiap bulan. Kalau kau mau sekali bayar saja nda payah bayar bulan-bulan, harga dia empat ribu lima ratus ringgit.”
“Lucu juga nama ni aplikasi ahh, Mirror Mirror On The Wall nama dia.”
“Iya. Macam? Mau beli?”
“Mau, mau. Lepas ni aku beli.”
“Okey. Mari aku ajar dulu kau guna ni aplikasi.”
Deviana mula memberi tunjuk ajar kepada Sarah, bagaimana cara untuk menggunakan aplikasi Mirror Mirror On The Wall.
“Kalau kau mau taulah, kan. Ni aplikasi kena buat oleh persatuan bomoh-bomoh muda di Thailand. Bukan senang mau beli ni aplikasi, sebab tiada di playstore. Sebelum kau buat pembelian, dia bagi lagi kau beberapa soalan yang susah-susah. Setiap pembeli lain-lain soalan kena bagi. Tapi kadang-kadang ada juga yang sama. Terus dia suruh kau selfie lagi satu badan, terus tu gambar selfie kau mesti hantar pigi community diorang. Diorang mau detect sama ada kau layak beli ni aplikasi atau tidak. Satu lagi kelebihan ni aplikasi. Dia bulih ramal masa depan kau sama dia bulih jawab soalan-soalan tentang kehidupan kau. Semua hasil dia 100% betul. Kalau kau mau buat ramalan pasal masa depan, hubungan, kewangan atau lain-lain, kau cuma tinggal scan tapak tangan kanan kau guna kamera. Lepas tu dia auto detect garis-garis di tapak tangan kau. Ini bukan setakat aplikasi hiburan ahh. Kalau kau mau detect kecantikan muka kau, kau cuma tinggal upload gambar kau, lepas tu kau upload satu, dua atau sampai tujuh gambar-gambar perempuan lain sebagai perbandingan. Nanti tidak lama selepas tu ada tu result dia. Perempuan lelaki bulih guna ni aplikasi.”
Sarah sangat tertarik dengan info Deviana mengenai aplikasi ajaib itu. Dia tidak sabar hendak mengesan sejauh mana kecantikannya, beserta misteri kehidupannya. Dia tidak sabar hendak membeli aplikasi itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience