BAB 18

Drama Completed 1821

Lonceng sekolah berbunyi, tanda berakhirnya sesi belajar untuk hari itu. Liya keluar dari pintu kelasnya. Senyum kecil terus menghias bibir merah darah. Dia selesa bersekolah di situ, walaupun itu baru hari pertamanya. Rakan-rakan sekelasnya tiada yang nakal atau suka mengejek. Mereka kelihatan senang hati menerima seorang rakan baru di kelas mereka. Dia duduk di bangku simen panjang, di depan kantin sekolah. Dari situ, dia dapat melihat kereta-kereta masuk di pintu gerbang sekolah yang terbuka lebar. Kereta Alvin belum muncul. Beberapa rakan sekelasnya masing-masing telah masuk ke dalam kereta yang datang menjemput mereka, lantas berangkat. Pelajar-pelajar lain keluar dari kawasan sekolah dengan menunggangi motorsikal mereka masing-masing, yang mereka letak di tempat yang sudah disediakan khas untuk motorsikal para pelajar dan guru. Undang-undang di sekolah swasta itu tidak memperbolehkan para pelajar membawa masuk kereta ke dalam kawasan sekolah. Mungkin sebab itulah para pelajar sekolah itu yang sudah memiliki kereta sendiri, terpaksa harus berjalan kaki menuju ke pekan untuk mengambil kereta mereka. Jarak sekolah itu ke pekan, tidaklah begitu jauh. Tetapi jarak sekolah itu ke kompleks VIP tempat Liya tinggal, cukup jauh dan melelahkan jika harus berjalan kaki. Seorang lelaki yang bekerja di kantin sekolah, menarik perhatian Liya. Lelaki itu kelihatan masih muda, dan sedikit berpenampilan seperti wanita. Wajahnya yang halus, cara dia bertutur dan gerakannya yang lemah gemulai itu pun, sungguh menonjolkan sifat kewanitaan. Dia memberikan minuman dalam cawan pakai buang kepada beberapa pelajar lelaki yang membeli di situ. Para pelajar lelaki itu mengambil kesempatan mengusik si lelaki lembut itu.
“Kak. Hey maksud saya, abang. Abang makin hari makin cantik oh…”
Kata salah seorang dari mereka, diikuti suara gelak mereka yang lain. Dua orang wanita bertudung yang juga pekerja di kantin itu, nampak tidak begitu suka dengan tindakan pelajar-pelajar itu mengusik si lelaki lembut.
“Kamu jangan gitu bah. Kamu ni langsung tidak pernahkah kena ajar beradab sikit sama orang yang lebih tua dari kamu, ahh?”
“Ala kak, kami main-main pun tidak bulihkah? Nda siok bah kalau terlampau serius.”
Kata si pelajar lelaki tadi. Si lelaki lembut pula tidak menghiraukan apa-apa. Dia hanya dapat membalas usikan mereka dengan memberi senyuman, tanpa berkata sepatah pun. Dia sudah terbiasa diusik-usik seperti itu. Bermacam-macam lagi kata-kata yang mereka lontarkan kepada si lelaki lembut itu, kata-kata yang terdengar seperti menggoda dan menyinggung penampilannya.
“Kak Tony. Hey, salah. Abang Tony. Kalau abang kesunyian, saya boleh jadi boyfriend gelap abang. Hahaha… Ni number saya…”
Kata pelajar yang lain pula, sambil dia memberitahukan nombor telefonnya.
“Panas-panas begini, bagus aku beli minuman sejuk-sejuk sementara tunggu si Alvin. Guna duit yang si Alvin bagi sikit-sikit ni.”
Monolognya. Dia mengeluarkan dompet dari dalam beg sekolahnya. Dia maju, melangkah menuju ke kantin. Sejurus itu, pelajar-pelajar lelaki itu beredar dari kantin.
“Bang, kasi saya air jagung satu.”
“Sekejap ahh, dik.”
“Okey bang…”
Tony menuangkan air sirap jagung ke dalam cawan plastik pakai buang. Dia menaruhkan sedikit susu cair, kerana air sirap jagung itu memang sudah sedia manis. Dia menaruhkan juga sedikit buah jagung segar yang dia kaut dari satu bekas plastik besar.
“Mau taruh aiskah, dik?”
“Iya, bang.”
Tony tidak dapat mengalihkan pandangannya. Wajah gadis pembeli air sirap jagung itu terus direnungnya.
“Adik pelajar barukah di sini?”
“Iya, bang…”
Mata Tony beralih ke bahagian tag nama Liya yang menampal di baju. Tony terkejut.
“Putih Liya?”
Dia tidak salah lagi. Sebelum ini, dia bertemu dengan beberapa orang gadis remaja yang dijangka-jangkanya sebagai anak kakaknya. Tapi, mereka bukanlah seperti yang dia jangkakan. Anak Amanda sudah ada di depan matanya sekarang.
“Oh iya, kenal kan. Nama saya, Tony. Adik lebih ngam panggil saya uncle, bukan abang.”
Tony menghulurkan tangan untuk bersalaman. Dia memberi senyuman mesra kepada anak saudaranya itu. Liya langsung menyambut huluran tangan Tony. Dia membalas senyuman itu, dengan senyum manis yang begitu ketara lahir dari hati yang ikhlas.
“Kenapa saya mesti panggil uncle? Abang kan masih muda…”
“Sebab saya ni…”
Kata Tony tersekat. Dia tidak boleh memberitahu sekarang. Keadaan masih belum mengizinkan.
“Tidak. Bukan sekarang. Sekarang bukan waktu yang tepat untuk aku kasi tau dia yang aku ni uncle dia, sama kasi tau dia di mana keberadaan mama kandung dia sekarang. Aku yakin, sekarang ni dia sudah tau siapa mama kandung dia yang sebenar. Sekarang ni mesti dia sedang cari mama kandung dia. Kasian kau, Liya. Uncle tidak sangka, besar sudah kau sekarang. Lawa macam si Amanda juga. Mesti kau menderita ni kan selama tinggal sama mama tiri kau, si perebut laki orang tu.”
Tony berkata di dalam hati. Liya hairan, mengapa Tony menghentikan kata-katanya. Hanya menjadi ungkapan yang tidak jelas. Tony menjadi seperti orang kebingungan.
“Uncle Tony. Uncle kenapa? Apa yang uncle mau cakap tadi?”
“Oh, tidak. Hehehe. Uncle cuma mau cakap bah tu tadi, yang umur uncle ni bukan lagi muda walaupun muka uncle ni awet muda. Tulah kenapa uncle lebih suka kalau adik panggil saya ni uncle.”
Liya tertawa dengan gaya lembut Tony ketika berbicara.
“Kenapa adik ketawa?”
“Nda. Kalau saya tinguk uncle Tony, saya teringat pula sama cerita kak Rona pasal bapa saudara saya yang lembut.”
“Iyakah? Siapa nama dia?”
Liya memuncungkan bibir. Sedih. Tony sudah dapat menjangkakan apa yang menjadi kesedihan gadis itu. Dia mengajak Liya duduk berbual-bual lebih panjang lebar di bangku meja kantin, jauh dari 2 orang wanita pekerja kantin itu. Dia tidak mahu ada sesiapa pun mendengar perbualannya dengan Liya. Inti perbualan itu berkaitan dengan keluarga yang tidak sepatutnya orang lain dengar. Dan juga tahu.
“Saya pun tidak tau, uncle. Sebab diorang tidak kasi tau siapa nama bapa saudara saya tu. Berjumpa pun tidak pernah. Kakak Rona kasi tau saya, semenjak mama kandung saya hilang, nenek sama bapa saudara saya tu pun ikut menghilang entah pigi mana. Waktu tu saya masih baby lagi. Sampai sekarang saya tetap ada tekad mau cari mama, mama Amanda. Saya mau cari dia sampai jumpa.”
Liya melanjuti cerita tentang kisah-kisah pahit yang dialami selama tinggal bersama Sarah, terutama sewaktu Sarah sudah mulai bersikap kasar dan menindasnya seperti abdi.
“Saya tidak taulah, kenapa time tu bapa tiba-tiba saja berubah jadi kasar sama saya sampai dia halau saya dari rumah. Nasib baiklah orang suruhan mama tiri saya tu tidak sampai hati mau kasi apa-apa saya. Dia kasi serah saya sama cousin dia. Cousin dialah yang sudah tulung saya sampai saya dapat sekolah di sini. Dia bawa saya tinggal di rumah VIP dia. Sekarang, saya cuma ada 4 perempuan kerdil saja yang saya anggap macam kakak-kakak kandung saya sendiri. Tempat dioranglah saya kasi luah apa yang terbuku di hati saya. Saya gembira dapat sahabat-sahabat macam diorang berempat.”
Air mata Liya mulai mengalir. Dia yakin, dia menceritakan semua itu kepada orang yang tepat. Walaupun dia belum kenal betul siapa Tony.
“Adik kasi cerita saja semua sama uncle Tony ni. Semua yang terbuku di hati adik. Uncle siap mendengar, siap bagi solusi untuk adik. Adik tidak payah risau sama uncle, sebab uncle ni paling hebat dalam menjaga rahsia orang, hehehe… Uncle ni memang lelaki lembut, tapi uncle bukan pembawang tegar macam lelaki-lelaki lembut lain. Tapi uncle ni tidak jugalah baik sangat.”
“Saya percaya sama uncle…”
“Tunggu masa yang sesuai, Liya. Nanti uncle kasi jumpa juga kau sama mama kandung kau.”
Bisik hati Tony.
“Liya, mari pulang! Dari tadi aku round-round sekolah cari kau. Rupanya kau di sini.”
Avilla muncul tiba-tiba. Mengapa bukan Alvin? Adakah Avilla disuruh Alvin untuk menjemput Liya? Wajah Avilla kelihatan tidak begitu ikhlas mengajak Liya pulang, seolah-olah dia terpaksa lakukan semua itu.
“Mana si Alvin, sis? Kenapa sis Avilla yang ambil aku?”
“Dia ada hal. Dia suruh aku ambil kau guna kereta dia. Lagi pula apa beza aku atau si Alvin yang ambil kau di sini?”
Soal Avilla, cepat dan sinis. Lama dia merenung anak mata Liya. Wajahnya seolah-olah akan marah.
“Jangan cakap kau mau ambil kesempatan dekat-dekat sama si Alvin ahh. Awas kau. Dia bawa kau tinggal di sana sebab dia kasian sama kau, tidak lebih. Jadi jangan cuba-cuba kau rayu dia macam-macam.”
Avilla memberi amaran. Jari telunjuknya mengarah ke wajah Liya, menambahkan ketegasan dalam kata. Liya berwajah seperti ketakutan, mendengar ancaman Avilla.
“Tidaklah, sis. Aku tiada niat apa-apa pun sama dia. Dia bawa aku tinggal di rumah dia, dia kasi sekolah aku di sini, itu pun sudah lebih dari cukup bagi aku.”
Kini, pandangan Avilla beralih kepada Tony. Berbeza dengan Liya, Avilla memberi senyum manis dan sopan kepada lelaki lembut itu.
“Hai, Tony.”
Tony membalas senyuman itu.
“Apa khabar mama kau, Villa?”
“Dia sihat-sihat saja.”
Tony memandang Avilla dan Liya bergantian. Dia tidak sangka, kini anak saudaranya harus selalu berhadapan dengan sikap kasar Avilla. Dia kenal betul siapa Avilla, dan latar belakang keluarganya.
* * *
Avilla dan Liya dalam perjalanan pulang ke rumah. Terbit niat di hati Avilla ingin meminta sesuatu kepada Liya. Berkali-kali dia melirik Liya di sebelahnya. Liya tidak perasan diperhatikan Avilla. Dia terus sibuk menatap skrin telefon.
“Liya. Aku bulih minta tulungkah sama kau?”
Dia memberanikan diri bertanya. Kini barulah kedengaran suara lemah lembutnya. Selama ini kasar dan tidak beradab. Liya menoleh memandanginya, tersenyum. Liya berasa sedikit hairan, mengapa tiba-tiba sahaja orang itu berbicara lembut seperti itu.
“Minta tulung apa, sis?”
Liya kembali menyoal, dengan penuh nada sopan.
“Jalan mau pigi rumah si Alvin kan jauh lagi. Jadi kira-kira aku mau minta kawan kau pigi beli barang-barang dapur bah ni di kedai. Lepas tu kita singgah pigi rumah aku, hantar tu barang-barang dapur. Sebab rumah aku bukan jauh dari pekan. Bulih ahh…”
Lama Liya berfikir. Adakah dia harus menemani Avilla atau terus pulang ke rumah dengan menaiki sebuah grab, melalui aplikasi grab yang baru semalam dia muat turun ke telefon pintarnya. Jika dia menemani Avilla, pasti 4 gadis kerdil itu merasa risau mengapa dia belum kunjung pulang ke rumah. Jika tidak, pasti Avilla kecil hati. Dia tetap merasa was-was dengan Avilla. Takut-takut jika gadis itu ada niat jahat kepadanya. Apatah lagi dia belum kenal betul dengan Avilla.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience