BAB 26

Drama Completed 1821

Jam sudah menunjukkan pukul 10:35 malam. Avilla masih berada di dalam butik ibu. Bahagian atas pintu butik tertera tulisan yang besar dan jelas, "Snow White Of Reality". Para pekerja butik sudah pulang dari tadi. Hanya tinggal Avilla seorang diri di situ. Dia duduk di bangku meja kaunter. Dari tadi dia asyik berfikir idea lebih bernas untuk mengembangkan sayap butik Amanda. Butik itu sudah menakluki butik "Scarf Of Paradise", butik kepunyaan Sarah. Sarah sudah lama menutup butik itu semenjak mengalami kemuflisan dalam perniagaannya. Semenjak dari itu, kebencian dan rasa iri hatinya kepada Amanda semakin bertambah, meluap-luap. Avilla merasa, sudah cukup masa untuk dia berfikir. Dia menoktahkan fikirannya dengan berdiri, lantas melangkah ke arah beberapa suis di dinding. Dia mematikan semua suis lampu butik yang ada di dalam dan luar, termasuk suis lampu kelap-kelip penghias nama butik itu. Dia mengunci pintu butik, lantas melangkah pergi. Dari kejauhan, dia ternampak ada sebuah kereta berhenti di tepi jalan. Dia kenal kereta itu. Kereta itu milik Lorenzo. Dia mengerut kening hairan, buat apa lelaki itu menghentikan keretanya di situ. Tanpa berfikir lebih panjang lagi, dia langsung melangkah. Dia mengintip ke dalam, Lorenzo tengah tertidur nyenyak, berbantalkan lengan yang disandarkan pada stereng kereta. Dia mengetuk cermin jendela, tetapi Lorenzo tidak terganggu dengan ketukan itu. Dia mengetuk dengan lebih keras lagi. Lorenzo terbangun. Lorenzo membuka pintu kereta, seolah-olah mempersilakan Avilla masuk ke dalam.
"Bulih aku masuk, Zo?"
"Masuklah."
Avilla masuk, lantas menutup pintu kereta.
"Macam mana kau bulih tau aku di sini?"
Soal Lorenzo. Avilla menghidu bau yang agak kurang enak, keluar dari mulut Lorenzo sewaktu lelaki itu mulai membuka bicara tadi.
"Kau minumkah, Zo?"
Avilla sama sekali tidak perasan lelaki itu sedang mabuk arak. Dia hanya menyangka, tingkah laku pelik lelaki itu kesan dari mengejut bangun mendengar ketukan jendela kereta.
"Iya, Avilla. Aku mabuk."
"Kenapa kau tidur di sini? Kenapa tidak terus balik rumah?"
"Aku lebih suka tidur di kereta kalau time stress."
"Baru first time ni aku nampak kau mabuk, Zo. Kau ada masalahkah ni?"
Lorenzo mengangguk cepat, seraya menguap dengan lama. Dia meletakkan kembali kepala pada lengan yang masih bersandar pada stereng kereta. Pandangannya terus mengarah kepada Avilla.
"Tadi kau cakap kau stress. Stress pasal apa?"
"Si Liya mau minta putus."
"Apa?"
Avilla sedikit terperanjat dengan pernyataan itu. Dia menepuk-nepuk perlahan bahu Lorenzo.
"Sabar, Zo. Mungkin dia masih takut sama ancaman si Vivian."
"Tapi, kenapa sampai mau minta putus? Apa salah aku?"
"Kau tiada salah apa-apa. Cuma dia saja yang berfikiran terlampau cetek. Kalau memang dia betul-betul sayang sama kau, sepatutnya dia mampu bah hadapi orang macam si Vivian tu."
"Kau pulanglah, Avilla. Kasian si Liya tiada kawan di rumah."
"Si Alvin kawan dia sekarang di rumah."
"Si Alvin?"
Lorenzo menegakkan badan untuk duduk.
"Jadi tu lelaki masih muncul-muncul di depan si Liya?"
"Kasi lupa dia, Zo. Masih banyak sumandak yang tidak kurang baik dari adik angkat aku tu."
"Tapi, aku tidak mungkin kasi lupa dia. Apalagi cuma untuk si Vivian saja. Sikitpun aku langsung tiada perasaan sama si Vivian."
"Bukan si Vivian, Zo. Tapi seseorang yang mulai menaruh rasa cinta sama kau."
Ucap Avilla. Dia merenung anak mata Lorenzo dengan tatapan yang penuh makna. Tatapan itu tersimpul rapi dengan perasaannya, perasaan cinta yang baru bertunas di dasar kalbu. Dia tidak mampu menafikan kata hatinya. Dia mula ada rasa cinta kepada Lorenzo. Perasaan itu sudah lama dipendam, kerana dia sedar, lelaki itu milik adiknya. Tidak mungkin dia merampas milik orang yang begitu dia sayang. Rasa sayangnya kepada Liya, melebihi kasih seorang kakak kandung kepada adiknya. Dia semakin dapat menghilangkan perasaannya kepada Alvin, apatah lagi setelah dia mengetahui Alvin hanya mencintai Liya. Peristiwa malam sewaktu Alvin datang membawakan serangkai mawar merah kepada Liya, masih belum terdaya dihapus dari ingatan. Semenjak dari itu, dia memutuskan untuk melupakan Alvin buat selama-lamanya. Alvin lebih sepadan dengan Liya, fikirnya. Secara tiba-tiba, Lorenzo memegang tangannya. Dia agak terkejut, tetapi hatinya gembira.
"Terima kasih, Avilla."
"Terima kasih untuk apa, Zo?"
"Semenjak si Liya mulai jaga jarak dari aku, kau selalu ada di sebelah aku. Selalu bagi kata-kata semangat untuk aku."
"Sebab aku simpati sama kau, Zo. Tulah kenapa aku buat semua tu untuk kau. Aku happy dapat kawan macam kau. Si Alvin sendiri pun tidak pernah tunjuk kemesraan dia sama aku selama aku couple sama dia. Kau cuma kawan aku. Tapi kau layan aku lebih baik dari si Alvin layan aku. Dari kecil, aku tidak pernah dapat perhatian dari lelaki bernama bapa. Time aku baby lagi, bapa sama mama aku meninggal eksidin di Texas. Aku membesar di bawah asuhan mama angkat aku. Barulah sekarang aku dapat perhatian dari kawan lelaki yang ada di sebelah aku sekarang ni."
"Aku faham perasaan kau, Villa. Aku pun pernah kehilangan perempuan yang paling aku sayang dalam hidup aku. Dia insan yang betul-betul aku sayang, selain mama sama bapa aku. Dia kakak kandung aku. Dia meninggal sebab lemas di sungai."
* * *
Beberapa minggu telah berlalu. Awalnya, Liya agak berat menerima kenyataan bahawa Lorenzo telah menjalin hubungan dengan kakak angkatnya sendiri. Lama-kelamaan, yang berat itu menjadi semakin ringan. Dia makin mampu melupakan Lorenzo. Tetapi dia sempat berasa bimbang, kerana sekarang ini pasti Vivian telah mengalihkan persaingannya kepada Avilla. Dia takut, Vivian akan bertindak di luar jangkaan terhadap Avilla. Pagi itu, Liya membuka pintu bilik untuk keluar. Avilla berdiri di depan pintu, membuatnya terperanjat. Dia mengelus-elus dada.
"Kau ni, Vill. Terkejut aku."
"Aku fikir kau belum bangun lagi. Tulah aku mau masuk, kira-kira mau kasi bangun kau. Dari hari tu lagi ada aku mau tanya sama kau."
"Tanya apa?"
Soal Avilla dengan rasa hairan.
"Kau okeykah aku sama si Lorenzo?"
Liya ketawa.
"Kenapa kau ketawa?"
"Kenapa pula kau tanya aku macam tu? Aku sama si Lorenzo mana ada hubungan apa-apa lagi. Lagi pula, bapa si Lorenzo tidak kasi restu hubungan aku sama anak dia. Mau macam mana lagi."
Ayah Lorenzo sememangnya tidak pernah menyetujui hubungan anaknya dengan Liya. Alex masih menaruh rasa tidak puas hati terhadap ayah Liya. Dahulu, Alex pernah menyelamatkan syarikat Donius yang hampir sahaja mengalami kerugian besar. Dengan begitu, Donius berhutang banyak kepada Alex. Beberapa bulan setelah itu, syarikat besar Alex pula yang hampir mengalami kemuflisan. Ada pihak yang sengaja membuat fitnah, dengan menuduh bahawa Doniuslah penyebab syarikat itu hampir muflis. Sejak dari itu, Alex mula memendam rasa benci kepada Donius.
"Tapi, takkan cepat betul kau kasi lupa si Lorenzo?"
"Bagi aku, lelaki yang belum jadi tunang aku apalagi jadi husband aku, tidak susah sangat pun untuk aku lupa. First memang berat bagi aku. Tapi aku ni jenis yang tidak terikat sangat sama perasaan, walaupun air mata aku tetap juga mengalir. Aku sedar, ada lelaki yang jauh lebih sayang sama aku. Lelaki yang penuh tanggungjawab. Yang selalu ada time aku perlu perhatian."
"Kau memang sepadan sama si Alvin, Liya."
* * *
Semenjak kebelakangan ini, makin tersiar di kaca-kaca tv dan di skrin-skrin telefon, berita mengenai seorang wanita yang selama ini disangka sudah meninggal tetapi sebenarnya masih hidup. Wanita itu tidak lain tidak bukan, Sarah. Sarah berjaya menanggapi berita-berita itu dengan alasan-alasan yang diada-adakan dan terkesan sangat masuk akal. Dari kejauhan, Sarah memperhatikan beberapa orang yang tengah menggali sebuah kuburan. Kuburan itu bertuliskan namanya. Mereka ingin mengeluarkan semula keranda berisi patung lilin itu dari liang kubur. Dia tersenyum sinis. Vivian berdiri di sebelahnya, ikut memperhatikan para penggali kubur.
"Aunty. Sekarang si Donius sama family dia sudah tau pasal penipuan aunty. Aku yakin, aunty. Sekarang ni diorang lebih berhati-hati lagi sama aunty, sebab tau aunty masih hidup."
"Tidak apa, Vivian. Biar semua tu aunty yang urus. Diorang taukah, tidakkah, aunty ni masih hidup, diorang tetap tidak bulih lari dari aunty. Aunty cuma mau si Donius balik sama aunty, supaya aunty dapat balik jadi pengendali semua milik dia. Cuma sekarang ni, kau mesti berusaha kasi singkir si Putih Liya. Si Amanda sama si Avilla, biar jadi urusan aunty."
Vivian menggeleng-geleng kepala, melenyapkan senyum di wajah Sarah.
"Kenapa? Kau tidak mau buat apa yang aunty suruh ni?"
"Bukan begitu, aunty. Cuma sekarang ni, aku sudah tidak perlu lagi si Liya."
"Habis tu?"
"Sekarang si Avilla yang jadi ancaman untuk aku. Selepas si Liya, giliran dia pula yang mau merebut si Lorenzo dari aku."
"Okey, tidak apa kalau gitu. Biar aunty sendiri yang kasi lenyap si Putih Liya guna tangan Aunty sendiri."
* * *
Alvin tengah duduk santai di bangku meja halaman rumah kompleks VIP. Tadi Liya ada di situ, tetapi Liya telah pulang sejam lebih yang lalu setelah dihubungi oleh ibu. Amanda ingin ditemani Liya pulang sebentar ke kampung, ada sepupu Amanda yang meninggal dunia. Alvin tidak henti-hentinya merenung gambar-gambar mesranya dengan Liya di dalam telefon. Dia terus memancarkan senyum ceria dari bibir merah jambunya yang menggoda.
"Sampai tua pun, aku tetap tidak mau jauh-jauh dari kau, Liya. Di mana saja aku pigi, kau mesti ada sama-sama aku. Kecuali kalau ajal sendiri yang terpaksa membuat kita terpisah."
Dia menggumam sendirian, perlahan. Berkali-kali dia mengucup skrin telefonnya, tepat pada bahagian wajah manis Liya. Tetapi, dia tidak menyedari, ada seseorang tengah memperhatinya dari jauh. Sarah mengintip lelaki itu dari balik sebatang pokok, di kawasan kompleks itu. Dia sudah berjaya menghipnosis dua pengawal keselamatan kompleks, sehingga dia berjaya masuk ke situ.
"Sebelum aku kasi lenyap si Amanda, aku perlu kasi lenyap dulu si Liya. Tapi sebelum aku bertindak, aku mau buat si Liya merana batin dulu sebelum dia mati."
Bisik hati Sarah. Dia melangkah dengan perlahan, menuju ke tempat Alvin tengah duduk. Dia mencuit bahu Alvin. Alvin langsung menoleh.
"Aunty, Sarah?"
Alvin terkejut dengan kemunculan wanita itu yang secara tiba-tiba. Dia bangkit berdiri.
"Tatap mata aunty, Alvin."
Tatapan mereka berlangsung selama beberapa saat. Alvin berjaya dihipnosis.
"Sekarang, kau ikut di mana saja aunty bawa kau."
Alvin mengangguk perlahan, dengan keadaan diri yang sudah mulai lemas dan tidak bermaya. Tidak berapa lama kemudian, dia seakan-akan terjaga dari tidur. Dia teramat ketakutan, mendapati dirinya berada di atas atap rumah yang tinggi. Dia merenung jauh ke bawah, semuanya simen.
"Kenapa aku bulih ada di sini?"
Soalnya bermonolog. Dia kebingungan. Dia menoleh ke belakang, tiada sesiapa yang dia lihat. Dia mula merasakan angin bertiup dengan kencang dari arah belakang. Dia memekik ketakutan. Dia berusaha mengendalikan kekuatan tubuhnya untuk tetap berdiri tegak di situ. Angin itu semakin bertiup dengan kencang, membuatnya hilang kendali. Akhirnya, tiada apa-apa lagi yang dapat dia harapkan untuk tetap bertahan. Dia jatuh ke bawah. Kepalanya terhempas dengan begitu dahsyat pada bangku simen berukuran kecil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience