BAB 23

Drama Completed 1821

Sebulan lebih telah berlalu. Semenjak kematian Sarah, keluarga itu kembali merasakan bahang kebahagiaan. Tiada lagi yang menghantui, tiada lagi yang menjadi ancaman. Donius membuka pintu gudang bawah tanah, di bawah rumah. Tiada sesiapa yang tahu tentang gudang bawah tanah itu, kecuali dirinya sendiri. Pintu gudang itu ada di balik sebuah almari kayu, di dalam gudang rumah. Dia mengeluarkan semua barang-barang dan gambar-gambar yang berkaitan dengan Amanda dari dalam gudang itu, termasuklah gambar-gambar perkahwinan mereka. Liya sudah boleh goyang-goyangkan kaki dengan tenang, dia telah berjaya mengharungi peperiksaan SPM. Kini, dia hanya tinggal menunggu keputusan SPM keluar. Di bulan pertama pada tahun baru itu, Amanda dan Donius mengadakan majlis besar-besaran di dewan besar pekan. Majlis itu diadakan pada malam hari, untuk merayakan ulang tahun perkahwinan mereka buat kali yang pertama. Majlis itu diwarnai dengan beraneka aktiviti-aktiviti orang dewasa, remaja dan kanak-kanak. Liya dan Avilla juga tidak ketinggalan menyertai aktiviti-aktiviti itu. Donius yang duduk di bangku paling belakang memandang jauh ke depan, di pentas dewan. Dia tidak henti-hentinya mengukir senyuman kecil di wajah, melihat tawa gembira Liya. Sedaya upaya Liya berusaha menggigit sebiji dari sekian banyak buah epal yang digantung dengan tali. Avilla di sebelah Liya, juga berusaha menggigit buah epalnya. Mata kesepuluh peserta itu ditutup dengan kain hitam. Mereka dilarang menyentuh buah epal dengan tangan. Peserta yang paling banyak menggigit buah epal, dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan itu. Masih banyak lagi pertandingan-pertandingan dan aktiviti-aktiviti yang menanti selepas ini. Donius mengezum lebih dekat rakaman video telefon pintarnya. Rakaman video itu dia fokuskan ke arah Liya seorang. Senyuman ceria Liya seakan-akan memenjarakan hatinya atas sikap keterlampauannya selama ini. Selama ini dia telah menyia-nyiakan Liya. Dia tidak mahu lagi melukakan hati anak gadisnya itu. Kemunculan kembali Amanda dan Liya di depan matanya bukan hanya mengalirkan kembali sungai sukacita di hatinya yang sudah lama mengering, tetapi juga membawa sebuah hadiah dan amanat dari Tuhan. Dia mendapat seorang anak gadis yang setahun lebih tua dari Liya, iaitu Avilla. Walaupun tidak memiliki talian darah, dalam beberapa hari sahaja gadis itu sudah menawan hatinya. Gadis itu sudah menjadi anaknya. Kini, Avilla memanggil Donius dengan sebutan “ayah”.
* * *
Majlis itu selesai. Liya pulang ke rumah, lantas segera membaringkan diri ke katil. Dia teramat letih menyertai pertandingan-pertandingan dan aktiviti-aktiviti majlis ibu dan ayahnya itu tadi. Tetapi dia berasa puas dan senang hati melihat kemesraan dan keromantikan ayah dan ibu, walaupun dia sama sekali tidak memenangi apa-apa dalam pertandingan-pertandingan itu tadi. Dia masih tidak menyangka, dia menerima mesej whatsapp pedas dari seseorang sewaktu dia dalam perjalanan pulang ke rumah tadi. Orang itu sudah berkali-kali menghantar whatsapp kepadanya dengan kata-kata kasar. Tetapi kali ini lebih kasar dan lebih pedas dari yang sebelumnya. Avilla tengah mandi di bilik mandi dalam bilik itu. Dia dan Liya berkongsi satu bilik. Amanda telah menjual rumahnya. Separuh dari hasil jualan itu dia dermakan kepada sebuah rumah anak yatim piatu, atas cadangan Putih Liya dan Avilla. Kini, mereka menjadi satu keluarga di rumah mewah Donius. Rumah Donius itu lebih mewah daripada rumah Amanda yang sebelum ini. Tetapi bukan kemewahan dan kemudahan yang membuat mereka merasa bahagia, melainkan kebersamaan dan keharmonian dalam keluarga. Apatah lagi mempunyai dua orang anak gadis yang dikurniai kecantikan-kecantikan tersendiri. Yang satu berwajah barat, yang satu lagi berwajah Asia Tenggara. Telefon Liya yang diletakkan di atas meja kecil tepi katil, berkali-kali berdering. Liya yang sempat tertidur, terbangun. Dia melihat ke arah sebelahnya, Avilla sudah nyenyak terlena, berbaju tidur. Hanya dia seorang masih berpakaian pesta, dress biru tua paras betis. Dia menggapai telefon yang sudah berhenti berdering, 5 panggilan terlepas dari Lorenzo. Beberapa saat setelah itu, satu mesej whatsapp dari Lorenzo masuk.
“Liya, kenapa semenjak last-last ni kau selalu menghindar dari aku? Apa salah aku?”
Hanya dibluetick, tidak berdaya dibalas.
“Liya! Jawab, Liya. Jangan buat aku bingung.”
Tidak juga dibalas-balas. Dia harus kuat. Dia tidak boleh menangis walau mata sudah mulai berkaca. Dia tidak membenci Lorenzo. Dia tidak kesal terhadap Lorenzo. Lorenzo tidak melakukan apa-apa kesalahan kepadanya sehingga membuatnya selalu menghindar dari lelaki itu semenjak akhir-akhir ini. Dia hanya gentar dengan ancaman orang itu, yang sudah banyak kali menghantar whatsapp menggunakan kata-kata kasar kepadanya. Dia teringat kali terakhir orang itu menghantar whatsapp kepadanya tadi, sewaktu dia menumpangi kereta ayahnya untuk pulang ke rumah. Dia menyalakan semula cahaya skrin telefon dengan menekan tombol tunggal di bahagian tepi. Dia membaca sekali lagi teks mesej whatsapp itu. Dia juga mendengar voice yang dihantar orang itu. Voice itu belum sempat dia dengar tadi.
“Sekali lagi aku bagi peringatan sama kau, Liya. Sekali lagi aku nampak kau dekat-dekat sama si Lorenzo, jangan kasi salah aku kalau aku bertindak lebih kasar sama kau. Dasar perempuan gatal. Belum lama habis sekolah sudah pandai menggatal sama calon tunang orang. Masuk U pun belum, sudah berlagak mau bercouple sama orang yang lebih dewasa dari kau. Duit belanja pun masih bapa sama mama yang tanggung. Sedarlah diri tu sikit, mandak hingusan. Lelaki yang kau dekat-dekat tu sudah ada yang punya! Kau faham? Mungkin kau tertanya-tanya kan, siapa yang whatsapp-whatsapp kau ni? Aku si Vivian! V.I.V.I.A.N. Aku yang hari tu hampir saja bertunang sama si Lorenzo, tapi gagal. Sebab apa gagal? Sebab kau! Hadam baik-baik peringatan dari aku ni! Jangan cuba-cuba dekat sama api kalau badan kau baru saja tertumpah minyak petrol. Nanti terbakar, kau sendiri yang nahas. Ini Vivian bukan sembarangan Vivian, aku kasi tau kau. Satu lagi. Aku bulih jadi lebih jahat dari mendiang mama tiri kau kalau kau masih lagi tidak pandai faham-faham bahasa. Ingat tu ahh!”
Setiap kali diwhatsapp seperti itu, Liya sama sekali tidak membalas. Hatinya sakit. Dia yakin Lorenzo hanya mencintainya seorang. Tetapi, dia takut dengan ancaman Vivian.
“Bagi aku tu telefon!”
Avilla tiba-tiba bangun, duduk di sebelah Liya di birai katil. Lantas dia merebut telefon Liya. Dia membaca mesej itu, dan mendengar juga voice itu. Dia naik geram.
“Kenapa kau tidak reply, Liya?”
Liya menggeleng-geleng kepala, tidak menjawab.
“Kalau kau tidak mau reply, biar aku reply.”
“Tidak payah, Vill.”
“Kau diam-diam saja kena cakap begitu? Dia sudah tau si Lorenzo tiada hati sama dia. Buat apa dia mau marah-marah kau pula? Perasaan tu bukan dapat dipaksa. Kurang ajar punya Vivian.”
Liya mengambil balik telefonnya dari tangan Avilla. Dia tidak mahu memperkeruh keadaan.
“Tidak apa, Vill. Biar aku yang undur diri.”
“Tidak, Liya. Kau tidak bulih kasi lepas si Lorenzo macam tu saja. Kau lebih berhak sama dia walaupun umur kamu tidak sama. Pasal umur, tu tidak penting. Yang penting, dia setia menunggu kau sampai kau betul-betul habis belajar. Itu kan janji dia.”
Sejam lebih berlalu. Liya sudah tertidur. Kini ganti Avilla pula yang belum terdaya tidur semula. Setelah terbangun tadi, ngantuknya hilang. Dia membuka aplikasi fac. Dia menaip sesuatu pada ruang cari di bahagian atas.
“Vivian Kenzo.”
Jumpa. Banyak akaun menggunakan nama yang sama. Dia mengklik yang paling atas. Gambar profil akaun memperlihatkan seorang gadis tengah berselfie dengan seorang lelaki berkemeja lengan panjang berwarna merah gelap. Latar belakang gambar itu, tepi pantai. Sayangnya, wajah lelaki itu tidak kelihatan kerana gambar itu tidak cukup ruang. Semua gambar dan post sengaja ditetapkan ke “public”. Itu memudahkan lagi untuk Avilla melakukan penyelidikan ke atas akaun itu. Jika bukan orang itu, dia akan mencuba memeriksa akaun-akaun lain yang menggunakan nama “Vivian Kenzo”. Scroll, dan terus scroll ke bawah. Tepat. Dialah orangnya. Satu dari sekian banyak gambar memperlihatkan dia tengah berselfie dengan Lorenzo. Gambar itu belum terlalu lama, dalam bulan november tahun lalu. Tadi, dia tidak terlalu fokus dengan post-post Vivian. Dia kembali untuk mulai membaca satu-persatu post-post itu. Dia mulai membaca post pertama, iaitu post terakhir yang dikemaskini si pemilik akaun.
“Perempuan lepasan SPM gatal. Pengganggu hubungan orang. Awas kau, mata aku ada di mana-mana saja. Kalau sampai kau langgar amaran yang aku bagi, kau terimalah nasib malang kau. Kau tunggu aku bertindak!”
Post itu dikirim 6 jam yang lalu.
“Bulih tahan tembirang ni perempuan oh. Tidak apa. Biar aku jadi wakil si Liya.”
Monolognya perlahan.
* * *
Jam dinding digital di bilik sudah menunjukkan pukul 8:07 pagi, dilirik sejenak oleh Avilla. Dia bangun lebih awal. Liya masih tidur, dengan dengkuran yang tidak terlalu kuat. Avilla harus berjumpa dengan Vivian. Setelah puas membaca post-post fac Vivian semalam beserta di tempat-tempat yang pernah Vivian lakukan check-in, dia tahu di mana tempat perempuan itu bekerja. Vivian merupakan seorang pembantu perubatan di sebuah klinik swasta. Avilla juga sudah tahu di mana alamat rumah Vivian, dan jam berapa biasanya Vivian akan berangkat ke tempat kerja.
* * *
Dari kejauhan, Avilla mengintip di balik pokok. Dia mampu melihat gelagat perempuan itu menendang tayar keretanya di halaman rumah, kesal tayar kereta kempis. Lantas perempuan itu mengeluarkan telefon pintar dari dalam beg tangannya, menghubungi seseorang. Mungkin dia minta dijemput, berhubung tayar keretanya kempis. Perempuan itu melangkah keluar dari pintu gerbang, berdiri di depan seperti mulai menunggu seseorang. Avilla tidak mahu membuang masa. Dia memberanikan diri mendatangi perempuan itu.
“Hey, kau si Vivian kan?”
Kasar dan sinis. Perempuan itu mengerut kening hairan, memandangi Avilla dari atas sampai ke bawah.
“Ya, saya Vivian Kenzo. Ada apa ahh? Kamu ni siapa?”
“Saya Avilla Binti Armstrong. Saya kakak angkat si Putih Liya.”
Mereka saling memperkenalkan diri tanpa berjabat tangan.
“Aku cuma mau kasi tau kau, kalau mau tunjuk berani ancam-ancam orang segala, jangan di whatsapp sama di fb saja. Kalau betul-betul berani, jumpa depan-depan sama orang dia. Itu kuno punya style bah tu begitu, cuma berani cakap dari jarak jauh saja. Penampilan macam orang berpendidikan tinggi, tapi percakapan lisan sama tulisan macam tu orang yang tidak kenal Tuhan saja. time kau sekolah kau tiada kena ajar pendidikan moralkah? Atau maybe sekolah kau time tu kekurangan guru atau sistem pendidikan di sana lemah? Kalau betul, patutlah bekas pelajar dia ni pun lemah adab. Kasian.”
Vivian nampak kebingungan.
“Saya ancam orang? Saya tiada adab?”
Soal Vivian, mengarahkan jari telunjuk ke diri sendiri.
“Yalah. Kaulah, jadi siapa? Takkan pokok, takkan pagar. Yang ada di sini cuma aku sama kau saja. Macam-macam kau cakap sama si Putih Liya, kan?”
“Aku tidak faham apa maksud kau.”
“Tidak payah berlakon jadi buduh! Sekejap.”
Avilla mengeluarkan telefon pintar dari beg tangan. Dia memperlihatkan kepada Vivian screenshot mesej whatsapp perempuan itu kepada Liya semalam. Dia juga memperdengarkan voice itu. Lantas dia memperlihatkan juga screenshot post fac Vivian yang terakhir. Vivian nampak ketakutan. Dia tidak mampu berkata apa-apa lagi.
“Kenapa diam? Oh, kalau sama aku kau jadi pengecut pula ahh.”
Kata Avilla, meninggikan suara.
“Sekali lagi kau berani ancam-ancam si Liya, kau berdepan sama aku. Bukan cuma tayar kereta kau yang aku kasi pancut, kepala kau sekali aku kasi pecah. Si Liya mungkin memang lembik, tidak pandai melawan. Tapi kalau kau sudah berdepan sama orang macam aku, bagus kau pigi minta bikin sedialah keranda kau.”
Puas membentak, Avilla beredar dari situ. Vivian terus memperhatikan Avilla yang melangkah kian menjauh. Dia masih kebingungan dengan kata-kata Avilla tadi.
“Macam mana pula aku buat semua tu, sedangkan telefon aku tiga hari sudah hilang? Telefon sama sim card yang sekarang ni pun aku baru beli semalam. Number si Putih Liya pun langsung aku tidak tau. Macam mana pula aku bulih pigi whatsapp-whatsapp dia begitu?”
Dia bermonolog sendirian, hampir tidak kedengaran jika ada orang di dekatnya.
“Ini fitnah sudah ni. Aku memang ada rasa cemburu si Lorenzo sama si Liya. Tapi tidaklah aku sampai hati mau cakap begitu sama si Liya. Ni mesti ada yang curi telefon aku ni, terus buat-buat begitu sampai aku yang kena.”
Bisik hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience