BAHAGIAN SATU : BAB ENAM

Others Completed 4183

Lamunan Rieux terhenti apabila diberitahu tentang kunjungan Joseph Grand. Tugas Grand sebagai seorang kerani majlis perbandaran sangat banyak. Kadang-kadang dia ditugaskan di bahagian pendaftaran kelahiran, perkahwinan, dan juga kematian. Oleh sebab itu banyaklah kes kematian yang harus didaftarkannya sejak akhir-akhir ini. Dan itulah yang membawanya ke pejabat Rieux, untuk menyerahkan sendiri salinan fail angka terbaru kes kematian.

Rieux melihat Grand masuk sambil ditemani jirannya Cottard. Kerani itu melambai-lambai sehelai kertas.

“Angka semakin meningkat, doktor,” katanya. Sebelas kematian dalam masa dua puluh empat jam.”

Rieux berjabat tangan dengan Cottard dan bertanyakan bagaimana keadaannya. Grand menerangkan yang Cottard ingin mengucapkan terima kasih kepada Rieux dan ingin meminta maaf terhadap semua masalah yang disebabkannya. Tetapi Rieux terus melihat kertas itu dengan wajah berkerut.

“Barangkali kita sudah boleh memberi nama kepada penyakit ini. Sehingga sekarang kita masih teragak-agak. Saya nak ke makmal sekarang. Mahu ikut?”

“Boleh juga,” kata Grand sambil menuruti Rieux. “Saya pun fikir kita patut berikan nama. Tapi apa nama yang sesuai?”

“Saya tak akan beritahu kamu hal itu. Lagi pun apa gunanya kamu tahu.”

“Okay saya faham. Tidaklah semudah yang disangka!” kata Grand sambil tersenyum.

Mereka bergerak menuju Place d’Armes. Cottard masih mendiamkan diri. Jalan mulai sesak. Hari sudah pun mulai ditelan kegelapan malam. Dan bintang mulai kelihatan di kaki langit. Beberapa ketika kemudian lampu jalan pun terpasang, menenggelamkan kepekatan gelap malam. Dan jalan-jalan mulai hingar-bingar.

“Maaf,” kata Grand ketika mereka di simpang Place d’Armes, “saya harus naik trem sekarang. Waktu malam saya amat penting. Seperti kata orang di tempat saya: ‘Jangan ditangguh hingga esok hari.”

Rieux sudah mengerti tipu helah Grand dengan mengatakan “seperti kata orang di tempat saya” (dia berasal dari Montelimar). “Ya, betul. Dia ingin berada di rumahnya saja selepas makan malam.” celah Cottard.

Rieux bertanya kepada Grand sama ada dia ada lebihan kerja yang dibawa pulang. Grand menafikan. Hanya urusan peribadi, katanya.

“Oh, begitu,” kata Rieux meneruskan perbualan. “Dan ada apa-apa kemajuan tak?”

“Disebabkan saya dah berusaha bertahun-tahun, haruslah ada kemajuannya. Walaupun tidak banyak.

“Boleh saya tahu,” Rieux berhenti sejenak, “apa yang kamu usahakan sebenarnya?”

Grand kemudiannya menekankan topinya hingga menutupi telinganya yang besar itu seraya menggumam butir-butir perkataan yang tidak jelas. Rieux dapat mengagak yang urusan Grand itu ada kaitan “ujian personaliti.” Kemudian dengan cepat-cepat dia melangkah keluar, berjalan dengan laju di bawah pokok ara di sepanjang laluan de la Marne.

Ketika mereka sudah berada di pagar makmal, Cottard berkata dia memang teringin sangat hendak berjumpa Rieux dan ingin meminta nasihat tentang sesuatu. Sambil meraba-raba helaian kertas statistik kematian di dalam sakunya, dia berkata yang lebih baik Cottard datang ke pejabatnya ketika hari bekerja. Tetapi dia segera teringat, keesokan harinya dia akan singgah ke kawasan tempat tinggal Cottard dan akan singgah sebentar.

Semasa meninggalkan Cottard, Rieux teringatkan Grand. Rieux cuba membayangkan Grand di tengah-tengah ledakan wabak yang menyerang. Bukan wabak yang sekarang ini, tapi salah satu wabak besar dalam sejarah lampau. Orang semacam Grand selalunya terhindar dari kejadian semacam itu, bisik Grand sendirian. Dia teringat pernah membaca yang wabak tidak menyerang tubuhtubuh yang lemah, sebaliknya memilih mereka yang kuat. Masih memikirkan Grand, Rieux merasakan yang lelaki itu agak misteri sebenarnya.

Pada pandangan pertama, memang Joseph Grand mempunyai ciriciri seorang kakitangan majlis perbandaran yang agak rendah diri. Berbadan tinggi dan kurus, dia seakan-akan tenggelam di dalam pakaian besarnya yang sengaja dibeli begitu, dengan harapan untuk kekal lama. Meskipun gigi bawah masih ada, bahagian atasnya sudah tiada. Oleh sebab itu, senyumannya menyebabkan mulutnya seperti sebuah lubang hitam di mukanya. Cara berjalannya juga lagak seorang paderi, menyusuri dinding dan tiba-tiba menghilang di pintu masuk. Bau badannya seperti bau asap dan bilik bawah tanah. Pendek kata, dia seorang yang langsung tidak menarik.

Agak sukar untuk membayangkan dia berada di tempat lain selain daripada di mejanya. Dengan sepenuh perhatiannya menyemak tarif air atau mengumpul laporan terbaru tentang cukai pengumpulan sampah. Mereka yang tidak mengenalinya sebelum ini pun akan beranggapan, yang dia memang dilahirkan untuk menjadi seorang kerani sementara di majlis perbandaran dengan gaji sebanyak 62.30 francs sehari.

Sebenarnya, itulah kerja yang dimohonnya di ruangan permohonan pekerjaan. Dua puluh tahun yang lalu, selepas lulus untuk masuk ke pusat pengajian, dia tidak dapat meneruskan pengajiannya kerana masalah kewangan. Lantas dia diberikan kerja sementara ini, dengan dijanjikan jawatan tetap secepat mungkin. Untuk itu dia harus membuktikan keupayaannya berdepan dengan pelbagai kerenah dan masalah yang sampai kepada majlis perbandaran setiap hari. Setelah lulus, dia dijanjikan akan diberi jawatan yang lebih lumayan baginya.

Tentu saja itu bukan cita-cita Joseph Grand, akurnya sambil tersenyum. Impiannya hanyalah inginkan pekerjaan yang baik yang dapat menampung kehidupannya. Dalam masa yang sama dia bebas melakukan aktiviti kegemarannya. Jika dia menerima pekerjaan yang ditawarkan kepadanya, itupun hanya kerana didorong motifnya yang jujur, atau dalam kata lain, kesetiaannya kepada prinsip hidupnya.

Tetapi “kerja sementara” itu bagaikan tidak akan berakhir. Kos sara hidup makin meningkat. Sedangkan gaji Grand, walaupun ada sedikit kenaikan, tapi masih dikira rendah. Dia pernah mengeluh akan hal ini kepada Rieux, tapi seakan-akan tiada siapa yang memahami keadaannya. Di sinilah terserlahnya keunikan Grand. Boleh saja dia menuntut janji yang telah diberikan kepadanya dulu. Tetapi, ketua jabatan yang memberi janji itu sudah lama meninggal dunia. Juga, dia sudah lupa apakah syarat yang sebetulnya. Dan yang terakhir - ini memang betul suatu masalah - Joseph Grand adalah seorang yang tidak mudah bercakap.

Setakat pemerhatian Rieux, keanehan inilah yang menggambarkan sikap Joseph Grand. Dan itulah yang menghalangnya daripada menulis surat protes yang dia inginkan, atau bertindak sesuai dengan keadaan. Menurutnya, dia cuba mengelakkan bercakap mengenai “hak” kerana dia tidak pasti. Juga perkataan “janji” seperti menunjukkan dia menuntut haknya. Ini kerana itu akan menyebabkan dia nampak “lantang”, dan itu tidak sesuai dengan personalitinya. Pada sisi yang lain, dia juga cuba mengelakkan ungkapan seperti “sudilah kiranya,” “berterima kasih,” atau “meminta,” kerana itu seakan-akan merendahkan maruah dirinya.

Oleh kerana halangan-halangan itu, Grand meneruskan pekerjaan bergaji rendah itu sehingga lanjut umurnya. Lagi pula, seperti yang diberitahu oleh Grand kepada Rieux sendiri, lambat-laun dia menyedari yang gajinya masih cukup untuk kehidupannya. Dengan cara menyesuaikan keperluan dengan pendapatannya. Oleh sebab itu, dia membenarkan sebuah ayat yang selalu diungkapkan oleh datuk bandar, seorang ahli perniagaan terkemuka di bandar kami. Katanya, tiada alasan untuk dipercayai akan adanya orang di bandar yang akan mati disebabkan kelaparan. Disebabkan cara hidupnya yang berjimat-cermat, Joseph Grand bebas dari segala kebimbangan itu. Dan dia masih mencari ungkapannya yang sesuai.

Dari sudut pandang yang lain, cara hidupnya mungkin boleh dicontohi. Jarang ada orang yang baik hati sepertinya di bandar kami, ataupun di tempat lain. Walaupun sedikit saja yang diketahui tentang kisah hidupnya, tetapi cukup untuk membuktikan kebaikan dan sifat kasih yang dimilikinya; yang jarang juga dimiliki oleh penduduk bandar kami. Dia tidak malu untuk mengaku yang dia sangat menyayangi kakaknya, satu-satunya ahli keluarga yang dimilikinya, yang dia akan lawati setiap dua tahun sekali di Perancis. Dia juga mengakui sangat terasa dengan kehilangan orang tuanya sewaktu dia masih muda. Dia juga tidak menyembunyikan perasaan gembiranya apabila mendengar bunyi loceng gereja di daerahnya pada setiap petang. Walau bagaimanapun, teramatlah sukar baginya untuk mengungkapkan perasaannya itu. Dan kesukaran ini selalu menyebabkan dia susah hati.

“Saya ingin sekali belajar cara untuk mengungkapkan perasaan saya, doktor!” katanya kepada Rieux setiap kali mereka bertemu.

Petang itu, ketika dia melihat Grand beransur pergi, terlintas di kepalanya apa sebenarnya yang ingin disampaikan Grand; pastilah dia menulis sebuah buku atau seumpamanya. Dia berasa tenang saja apabila sampai di laboratorium. Dia tidak dapat percaya yang wabak sebesar itu boleh sampai ke bandar di mana orang seperti Grand masih boleh melakukan aktiviti kegemaran masing-masing. Sungguh dia tidak dapat membayangkan aktiviti-aktiviti sebegitu di tengah keributan wabak yang melanda.

Jadi dia dengan yakin menyimpulkan, wabak tersebut tidak akan bertahan lama di bandar kami.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience