Mulai dari sekarang, boleh dikatakan kebimbangan terhadap wabak itu sudah menyerang kami semua. Sebelum itu, biarpun berlaku kejutan dan kebimbangan dengan kejadian-kejadian yang aneh itu, setiap penduduk masih menjalankan kegiatan harian seperti biasa. Dan akan tetap berterusan begitu. Tetapi sekarang bandar telah ditutup. Setiap daripada kami, termasuklah penulis, sedar yang kami semua senasib. Juga terpaksa menyesuaikan diri dengan cara hidup yang baru. Contohnya, seperti seorang yang kesakitan kerana berpisah dengan sang kekasih, begitulah perasaan yang dikongsi oleh semua penduduk dan ditambah dengan rasa takut. Kesengsaraan yang maha hebat untuk tempoh yang lama lagi sunyi, menanti pada masa mendatang.
Salah satu kesan yang agak nyata daripada penutupan bandar adalah perpisahan mengejut yang menimpa mereka yang langsung tidak bersedia pun. Contohnya, antara ibu-ibu dan anak-anak, sang kekasih, suami dan isteri, yang beberapa hari sebelumnya menyangka perpisahan mereka itu hanya sementara cuma. Mereka bercumbu antara satu sama lain di platform dan bercakap-cakap kosong, yakin mereka akan bertemu kembali dalam tempoh beberapa hari atau minggu. Tertipu dengan kepercayaan membabi buta manusia terhadap masa depan. Lambaian perpisahan itu nampak seperti rutin biasa saja. Kini dengan penutupan laluan masuk ke bandar, mereka terpisah secara mengejut antara satu sama lain. Tidak dapat berjumpa hatta berkomunikasi sekalipun.
Sebenarnya, laluan masuk ke bandar sudah pun ditutup beberapa jam sebelum pengisytiharan darurat dilakukan. Dan sudah tentu adalah mustahil untuk mempertimbangkan permintaan setiap individu yang datang. Boleh dikatakan antara kesan pertama akibat serangan wabak ini adalah para penduduk terpaksa membuang sikap mementingkan diri sendiri. Pada jam-jam pertama selepas arahan larangan keluar dari bandar diumumkan, pejabat Prefek diserbu oleh sekumpulan penduduk yang membuat permohonan yang meyakinkan, tapi semuanya tidak dipertimbangkan. Sebenarnya ia memerlukan beberapa hari juga untuk kami sedar yang kami sememangnya sudah terperangkap. Kata-kata seperti “layanan istimewa,” “bantuan khas,” dan “keutamaan” sudah tidak bermakna lagi.
Hatta sebarang bentuk surat pun sudah tidak sampai kepada kami. Ini kerana, bukan saja Oran sudah terputus hubungan dengan dunia luar, malah sebarang bentuk perhubungan juga dilarang sama sekali. Ini untuk mengelakkan surat-surat membawa jangkitan ke luar Oran. Pada hari-hari awal, beberapa orang penduduk dapat memujuk pengawal di pintu masuk bandar untuk mengirim berita ke luar Oran. Tapi itu hanya berlaku di hari-hari awal saja, itupun kerana para pengawal itu memiliki rasa kasihan. Beberapa waktu kemudian, ketika para pengawal sudah merasakan keadaan semakin genting, mereka menolak untuk melakukannya kerana bimbang dengan akibat yang mungkin berlaku. Pada mulanya, panggilan telefon ke luar Oran dibenarkan, tapi ini menyebabkan pondok telefon selalu penuh dan talian selalu tergendala. Selepas itu sebarang panggilan telefon adalah dilarang sama sekali dan hanya terhad kepada “kes-kes kecemasan” saja seperti kematian, perkahwinan dan kelahiran bayi. Tinggallah telegram sahaja sebagai talian hayat untuk berhubung dengan dunia luar.
Hubungan antara kawan-kawan, pasangan kekasih kini dipisahkan dengan telegram yang terhad kepada sepuluh patah perkataan saja. Oleh kerana keterhadan perkataan itu, segala rasa perhubungan sepanjang hayat hanya dapat dirumus pendek seperti: “Saya baikbaik saja. Selalu terkenangkan kamu. Yang merindui.”
Walaupun begitu, masih ada juga di antara kami yang menulis surat dan cuba mengirimkannya ke luar Oran. Tetapi perbuatan ini ternyata sia-sia. Mungkin ada juga segelintir yang berjaya mengirimkannya. Kami tidak tahu sebab kami tidak menerima apaapa kiriman balas. Minggu-minggu selepas itu kami terus-menerus menulis surat yang sama, membuat panggilan yang sama, rayuan yang sama. Sehinggakan kata-kata yang awalnya keluar dari hati yang sedih, kini semakin pudar tidak bererti.
Akhirnya, kami mula menaip dengan telegram, menyampaikan berita kedukaan kami dalam frasa yang “tidak berperasaan.” Lambat-laun, ini lebih baik daripada bermonolog keseorangan dan percakapan yang sia-sia di depan dinding.
Selepas beberapa hari, ketika memang jelas tidak ada seorang pun yang boleh keluar daripada bandar, mula timbul pertanyaan sama ada mereka yang berada di luar Oran sebelum tercetusnya wabak itu masih boleh dibenarkan kembali. Selepas beberapa hari dipertimbangkan oleh pihak berkuasa, mereka membenarkannya. Tetapi mereka tidak akan dapat keluar kembali, walau apa pun yang berlaku.
Sesetengah keluarga yang tidak ambil kisah sangat dengan arahan itu mengirimkan telegram kepada ahli keluarga menyuruh mereka mengambil kesempatan ini untuk pulang. Tetapi mereka menyedari betapa bahaya yang akan menimpa ahli keluarga mereka akibat terdedah kepada diri mereka sendiri, dan memutuskan untuk terus meratap dalam kesedihan.
Di tengah-tengah tempoh kekalutan itu, hanya ada satu peristiwa yang menyaksikan betapa kuasa kasih sayang mengatasi rasa takut mati. Ini bukanlah kisah cinta dua orang anak muda. Ini adalah kisah hidup Dr. Castel dan isterinya, yang telah bersama-sama menanggung segala penderitaan dalam hidup. Mereka berkahwin sudah berpuluh-puluh tahun lamanya. Beberapa hari sebelum tercetusnya wabak, Puan Castel telah berkunjung ke bandar jiran. Mereka bukanlah satu contoh pasangan yang romantik, tetapi adalah sebaliknya.
Penulis mempunyai alasan kuat untuk mengatakan sedemikian. Dapat dilihat yang kedua-duanya tidak mendapat apa yang diharapkan dalam perkahwinan mereka. Tetapi perpisahan ini telah menyebabkan mereka sedar mereka tidak boleh hidup tanpa satu sama lain. Cahaya kerinduan yang tiba-tiba datang menerangi hati mereka telah menyirnakan bahaya wabak itu daripada pandangan mereka berdua.
Itu kes terpencil saja. Bagi penduduk yang lain, jelaslah bahawa derita perpisahan ini akan berakhir dengan berakhirnya wabak itu.
Seperti yang telah disebutkan bahawa penduduk Oran memiliki keinginan-keinginan yang sederhana. Bagi kami, semua perasaan cinta yang kami yakin telah mengenalnya dengan baik kini mula mengambil bentuk yang baru. Para suami dan teman lelaki yang dulunya setia kepada pasangan masing-masing terkejut mendapati mereka dituduh berlaku curang. Lelaki yang dulunya berperangai hidung belang berubah menjadi teman hidup yang setia. Anakanak yang sebelum ini tidak mempedulikan ibu mereka, kini dalam penyesalan yang teramat sangat kerana mengenangkan wajah tua berkedut itu yang menghantui kenangan masing-masing.
Perpisahan yang kejam lagi tidak berpenghujung ini menyebabkan kami kebingungan. Kami tidak berdaya menghadapi kenangan yang seakan-akan dekat tapi tidak dapat digapai. Ibaratnya dua kali ganda penderitaan. Menderita kerana penderitaan itu sendiri, juga menderita kerana terbayangkan anak, isteri, atau kekasih yang tiada di sisi.
Jika dalam keadaan lain, sudah tentu bandar kami akan lebih meriah, dengan hidup yang lebih sosial. Tetapi dek kerana wabak itu, pergerakan mereka sangat terhad, berpusing-pusing kemurungan di bandar itu. Hari demi hari yang berlalu menyebabkan mereka ditimpa kenangan-kenangan yang menipu. Mereka terus saja berjalan tanpa tujuan di lorong-lorong yang sama di bandar yang kecil itu. Mengimbas kembali hari-hari gembira dulu, itulah jalan yang dilalui mereka bersama dengan yang terpisah sekarang.
Begitulah! Perkara pertama yang dibawa wabak ke tempat kami adalah perasaan hidup dalam buangan. Dan penulis yakin dia boleh menulisnya di sini, sebagai mewakili semua penduduk bandar, kerana dia juga mengalami perasaan yang sama seperti mereka. Ya, memang betul. Itulah yang dirasakan kami. Seperti hidup dalam buangan, rasa kosong menyelubungi jiwa. Emosi yang tidak stabil mula terperangkap di antara kenangan masa lalu dan hajat supaya masa cepat berlalu pergi, juga imbauan memori yang datang memanah ingatan.
Kadang-kadang kami berkhayal, membayangkan terdengar bunyi loceng menandakan kepulangan seseorang, atau menunggu derap langkah yang kami cam di tangga apartmen. Walaupun kami sengaja menunggu di rumah pada jam si pengembara pulang dengan kereta api, ataupun kami cuba melupakan yang sudah tidak ada kereta api yang masuk ke bandar, kami tahu perasaan berharap ini tidak akan dapat bertahan lama. Tiba masanya kami harus sedar yang tidak ada kereta api lagi yang akan masuk. Juga, perpisahan itu telah ditakdirkan berpanjangan. Kami tiada pilihan selain berdamai dengan waktu.
Dipendekkan cerita, kami pulang ke “penjara” kami. Hanya masa lalu sajalah yang kami ada. Jika ada mereka yang berangan tentang masa depan, mereka akan cepat-cepat pula melupakannya. Mengingati kembali hari-hari lalu yang indah ibarat menikamnikam hati mereka. Kerana hakikatnya mereka terpaksa hidup dengan realiti yang ada di depan mata.
Penting juga untuk diperhatikan yang penduduk kami mula menghentikan tabiat menghitung-hitung hari mereka di “dalam buangan” itu. Ini semua bersebab. Apabila mereka yang pesimis mengandaikan tempoh duka itu hanya akan berterusan selama enam bulan. Mereka telah lebih dahulu meneguk habis air kepahitan untuk tempoh enam bulan itu. Menghabiskan sisa kekuatan yang tertinggal untuk menempuh tempoh penderitaan selama berharihari dan berminggu-minggu itu. Dan secara tiba-tiba, si pesimis itu berjumpa dengan teman-temannya yang bercerita tentang tentang keratan akhbar, yang meramalkan bahawa tidak ada alasan untuk wabak itu tidak berhenti walaupun selepas enam bulan, atau setahun, atau lebih lagi.
Pada waktu itu, segala semangat, tekad dan daya tahan mereka turun menjunam. Seolah-olah mereka tidak dapat lagi keluar daripada lembah keputus-asaan yang mana mereka berada di dalamnya. Oleh sebab itu, mereka tidak lagi berfikir tentang harihari kebebasan yang palsu. Tidak lagi berharap dengan masa depan. Dan hanya berfikir tentang hari-hari yang sedang mereka jalani.
Tapi sudah tentu saja cara berpura-pura sedih dan menolak untuk terus melawan ini langsung tidak berguna. Ini kerana, dalam masa mereka sedang mengelakkan bencana yang mereka tidak tertahan menanggungnya itu, mereka sedang kehilangan saat-saat yang mereka boleh berkhayal tentang pertemuan semula dengan yang terpisah. Dengan itu, boleh membuatkan mereka terlupa tentang wabak itu.
Demikianlah mereka seakan-akan terperangkap di antara langit dan bumi, tidak hidup. Seperti mangsa yang menerawang tanpa arah tujuan dan tidak tetap tegak di atas kaki sendiri. Bersendirian menghadapi hari-hari tanpa matlamat ditemani kenangan yang kosong. Bagaikan bayangan yang berkelana, hanya mendapat kekuatan dengan terus bersedih.
Demikianlah juga, mereka sedar apa yang membuatkan mereka merasa penderitaan yang maha hebat itu, iaitu terus teringatingatkan segala kenangan masa lampau yang tidak berguna. Hatta kenangan masa lampau itu pun, hanya membuatkan diri terasa sungguh sesal. Membayangkan apa yang tidak sempat mereka lakukan bersama dengan yang terpisah. Itulah sesalan mereka. Penyesalan ini juga turut menyerang hatta kepada mereka yang dulunya bahagia. Penduduk mula memusuhi masa lampau, juga tidak sabar dengan masa sekarang, dan terasa ditipu oleh harapan masa depan. Kami seperti orang yang jujur, dalam masa yang sama juga penuh dengan kebencian, dipaksa untuk hidup di sebalik jeriji penjara. Akhirnya, satu-satunya cara untuk melepaskan diri daripada semua ini adalah dengan terus membayangkan kereta api masuk ke bandar dan mendengar loceng berbunyi di pintu. Walaupun itu semua tidak lebih daripada asap khayalan semata.
Pun begitu, bagi kebanyakan daripada kami, ia masih terasa seperti berada di dalam buangan. Buangan di rumah sendiri. Namun, apa yang dialami oleh penulis ini masih biasa. Dia tidak melupakan bagaimana orang seperti Rambert, si wartawan itu dan lain-lain yang senasib dengannya yang terpaksa menanggung penderitaan yang berganda hebatnya. Manakan tidak, mereka hanyalah mengembara tetapi oleh kerana wabak itu, mereka dipaksa kekal di Oran. Bukan sahaja mereka terputus hubungan dengan orang tersayang, malahan dengan negeri mereka juga. Mereka inilah yang terasa paling terbuang. Selain daripada faktor masa yang menjadi ketakutan kepada kami semua, mereka juga terikat dengan faktor ruang dan tempat. Mereka sangat terseksa kerananya dan selalu dilihat menghantuk kepala mereka ke dinding besar yang memisahkan Oran dengan dunia luar.
Mereka inilah yang selalu kami lihat berjalan tanpa arah tujuan di bandar yang berdebu ini saban waktu. Sambil teringatkan suasana senja dan fajar di tempat mereka. Lalu mereka melempiaskan kerinduan mereka itu dengan perbuatan yang memelikkan. Umpamanya, melihat burung layang-layang berterbangan, embun di waktu senja, atau sinar matahari yang aneh di jalanan yang lengang. Mereka menutup mata, terbayang-bayangkan suasana dunia luar. Membuat imaginasi palsu yang seakan-akan nyata dengan membayangkan sebuah dunia yang disimbahi cahaya yang indah, berlatarkan dua tiga bukit, sebatang pokok, dan senyuman seorang wanita. Bagi mereka, itu semua tiada tolok bandingnya.
Akhir sekali, cerita tentang pasangan kekasih yang terpisah. Bagaimana fikiran mereka berkecamuk dilanda sejuta emosi, yang paling ketara adalah perasaan kesal. Situasi sekarang ini telah mengukuhkan lagi ikatan hubungan mereka. Ini juga membuatkan mereka bermuhasabah kembali terhadap kelemahan sendiri. Antara masalah yang dihadapi oleh mereka adalah betapa sukarnya membayangkan apa yang sedang dilakukan oleh pasangan mereka. Mereka bersedih kerana tidak mengetahui bagaimana pasangan mereka menghabiskan masa sehari-hari. Dan menyalahkan diri sendiri kerana tidak pula berbuat demikian ketika pasangan mereka masih berada di sisi. Bagi mereka, untuk bertanyakan urusan masing-masing bukanlah sesuatu yang penting pun.
Setelah semua ini terjadi, mulalah mereka mengingat semula cebisan kisah percintaan mereka dan di mana silapnya. Di waktu dulu, kami semua tahu sama ada sedar atau tidak, yang percintaan masing-masing adalah tidak terkalahkan. Namun harus diterima hakikat bahawa tahap kecintaan pasangan ini adalah biasa-biasa saja. Namun kenangan sudah mula mengharapkan ianya lebih daripada itu.
Apa yang pasti, bencana yang datang dari luar dan menimpa bandar kami tidak hanya menyebabkan kami menderita, malah juga menimbulkan kemarahan. Memaksa kami untuk pasrah dengan apa yang telah terjadi. Begitulah bagaimana wabak ini memesongkan kewarasan akal kami.
Begitulah kami terpaksa mengharungi hidup sehari-hari. Keseorangan menghadapi takdir. Rasa keseorangan itu mungkin saja membuat diri rasa lebih tabah. Apa pun, itu juga mungkin sudah tiada gunanya. Contohnya, beberapa penduduk bandar mula berubah menjadi “hamba” matahari dan hujan. Seakan-akan buat pertama kalinya mereka mengetahui bagaimana keadaan cuaca pada hari itu. Cahaya matahari yang muncul memberikan sinar kegembiraan pada wajah mereka. Sebaliknya, titisan air hujan menyuramkan wajah mereka. Beberapa minggu sebelumnya, mereka tidak peduli pun akan semua ini. Ini kerana mereka tidak keseorangan dan ditemani pasangan masing-masing dalam menjalani kehidupan. Tetapi itu dulu, sekarang mereka mula berharap dengan tingkah laku cuaca, menderita dalam pengharapan yang tidak munasabah.
Tambahan pula, di puncak masa kesunyian itu, tiada lagi yang dapat meminta pertolongan daripada jiran tetangga. Setiap orang ada masalah tersendiri. Jika ada pun seseorang yang cuba menenangkan dirinya dengan bercerita kepada kawannya tentang apa yang dirasakannya, jawapan yang diterima sering kali mengecewakan. Dan dia sedar mereka tidak bercakap tentang benda yang sama. Dia bercerita tentang penderitaannya sehari-hari, dan bayangan yang dia cuba sampaikan setelah lama menunggu dengan penuh sabar dan kesal. Sebaliknya, kawannya itu hanya membayangkan perkara yang biasa saja, perkara yang saja dibesar-besarkan. Jawapan balas yang diterima selalu tidak kena pada tempatnya dan perbualan itu berhenti setakat itu saja.
Bagi mereka yang tidak tahan berdiam diri, mereka terpaksa menggunakan bahasa yang biasa disebabkan orang lain tidak mengerti bahasa hati mereka. Mereka menggunakan medium umum untuk bercerita; cerita pendek di ruangan surat khabar tempatan. Hatta, sepilu mana pun cerita, perlu ditulis dalam bentuk perbualan yang biasa. Melalui dengan cara ini saja para “tawanan wabak” ini boleh mendapatkan simpati daripada para pendengar mereka.
Walau bagaimanapun, dan ini adalah paling penting, betapa sedih dan kosong sekalipun hati mereka, mereka yang menjadi buangan di awal kemunculan wabak ini boleh dianggap sebagai yang paling beruntung. Ada betulnya, apabila penduduk bandar mula ketakutan, fikiran mereka hanya tertumpu pada orang yang ditunggu-tunggu. Kuasa cinta mereka itu membuatkan mereka kebal terhadap segala penderitaan itu. Dan memikirkan mengenai wabak itu hanya akan akan mengundang rasa takut akan perpisahan yang abadi. Justeru di tengah-tengah kekalutan itu, mereka mengabaikan semuanya, sebagai satu cara untuk mencari ketenangan.
Kesedihan menyelamatkan mereka daripada kepanikan. Bermaksud nasib malang mereka itu ada sisi baiknya. Contohnya, wabak boleh menimpa seseorang tanpa dia ada masa untuk menyedarinya pun. Tersentak dari lamunannya yang panjang dan sepi, dia terus dibawa ke tempat yang paling sepi; kubur. Dia tiada masa untuk berbuat apa pun.
Share this novel