BAHAGIAN DUA : BAB ENAM

Others Completed 4183

Dalam tempoh yang singkat selepas khutbah Paderi Paneloux, cuaca mula bertukar panas. Waktu itu di akhir bulan Jun. Keesokan harinya, selepas hujan lebat yang mengiringi khutbah Minggu Sembahyang, musim panas mula menghangatkan bumbungbumbung rumah. Mulanya angin yang keras dan membakar bertiup sepanjang hari, mengeringkan dinding-dinding rumah. Kemudian matahari mengambil alih tugasnya. Sepanjang hari, gelombang panas dan sinar terik matahari terus-menerus membakar udara bandar. Selain daripada jalan-jalan yang beratap dan rumah-rumah, seolah-olah tidak ada suatu pun yang boleh terlepas daripada pantulan cahaya yang sangat menyilaukan. Matahari mengintai penduduk di setiap ceruk jalan, berhenti sejenak saja, dan mereka akan diserang.

Oleh kerana permulaan hari-hari yang panas itu seiringan dengan bertambahnya jumlah korban, hampir 700 kematian seminggu, keputus-asaan mula dirasai penduduk bandar. Di kawasan pinggir bandar, di antara jalan-jalan yang mendatar dan rumah-rumah teres, sudah tidak ramai yang tinggal. Biasanya penduduk di situ suka menghabiskan masa mereka dengan melepak di muka pintu. Tapi sekarang pintu-pintu sudah tertutup dan tirai diturunkan. Tidak diketahui sama ada mereka melindungi diri daripada wabak atau kepanasan matahari. Suara rintihan boleh didengari di beberapa buah rumah. Dulu, apabila keadaan itu terjadi, mereka akan berkumpul di luar rumah dan mendengar, dengan penuh perasaan ingin tahu. Setelah sekian lama waktu berlalu, hati mereka sudah menjadi keras. Mereka yang berjalan melalui rintihan-rintihan itu sudah lali mendengarnya.

Perkelahian di pintu masuk bandar sering kali menimbulkan rusuhan kecil, dek kerana pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan. Sudah ada beberapa orang tercedera. Dek kerana suasana yang panas dan ganas yang tidak menentu, cerita lain pula yang tersebar di bandar. Dikhabarkan pula ada orang yang meninggal dalam perkelahian tersebut. Walau bagaimanapun, satu perkara yang pasti, kekecohan tak henti-henti berlangsung. Bimbang situasi akan bertambah buruk, pihak berkuasa bercadang mengambil tindakan yang tegas kepada para penduduk sekiranya berlakunya pemberontakan. Surat khabar menerbitkan peraturan baru yang memuatkan arahan larangan meninggalkan bandar, serta amaran ke atas mereka yang melanggar arahan ini dengan hukuman penjara yang lama.

Sistem rondaan diperkenalkan. Seringkali di jalanan yang lengang dan panas terik, di antara deretan jendela-jendela yang tertutup, kedengaran bunyi tapak kaki kuda di atas jalan berbatu, menandakan pihak polis sedang melakukan rondaan. Kadang-kadang kedengaran juga bunyi das tembakan. Arahan terbaru mengarahkan supaya dimusnahkan semua kucing dan anjing kerana disyaki boleh menyebarkan jangkitan. Bunyi letusan tembakan itu menambahkan lagi ketegangan yang sudah sedia ada di bandar kami.

Bagi penduduk yang sudah sedia takut, keadaan yang panas dan sepi, segalanya menjadi sangat genting. Untuk pertama kalinya, mereka mula peka dengan perubahan warna langit dan bau tanah yang menjadi faktor perubahan musim. Dengan penuh cemas, mereka sedar cuaca panas akan membantu penularan wabak. Dan amat jelas sekali musim panas sudah pun bermula.

Jeritan burung layang-layang di waktu petang cukup nyaring berbanding biasa. Dan langit sudah tidak lagi diwarnai biasan senja bulan Jun, membuatkan kaki langit kelihatan kosong. Di pasar, bunga tidak lagi tiba dalam keadaan menguntum, sebaliknya sudah mekar. Dan selepas pasar pagi berakhir, kelopaknya akan tersebar di jalan yang berdebu. Nampak sangat yang musim bunga sudah hilang serinya, membahagikan dirinya kepada ribuan bunga yang tersebar di mana-mana. Sekarang dia akan menghilangkan diri, kerana dihalau oleh wabak dan udara panas.

Bagi semua penduduk bandar, langit musim panas, jalan yang diselaputi debu tebal yang kelam seperti kelamnya kehidupan mereka; mengandungi seribu ancaman yang sama sepertimana ratusan orang yang mati setiap hari di bandar. Matahari yang bersinar terik tanpa henti yang dulunya dimanfaatkan dengan bersantai dan bercuti, kini tidak lagi mengundang mereka ke pantai untuk bermain dan bercumbuan. Semua itu tidak bermakna lagi buat bandar yang tertutup dan sepi itu. Matahari musim panas yang keemasan itu tidak lagi memancarkan warna kegembiraan. Wabak itu telah mengusir semua itu pergi.

Itulah antara kesan yang terjadi akibat bencana yang terjadi. Dulu, semua penduduk menyambut ketibaan musim panas dengan gembira sekali. Dulu, isi bandar membuka dirinya ke laut dan menarik semua muda-mudi ke pantai. Tetapi kali ini, untuk ke laut tidak lagi dibenarkan, walaupun boleh dicapai dengan tangan. Anak muda tiada lagi sebab untuk melompat keseronokan. Lalu apa lagi yang dapat dilakukan dalam suasana sedemikian.

Sekali lagi, Tarrou-lah yang memberikan gambaran yang paling tepat tentang kehidupan kami pada waktu itu. Sudah tentulah dia mencatat setiap perkembangan wabak itu. Mengikutnya, fasa baru wabak itu bermula apabila radio tidak lagi mengumumkan jumlah kematian secara mingguan, bahkan 92, 107 dan 130 kematian sehari. Tarrou mencatat,

“Pihak media dan pihak berkuasa mengambil sikap acuh tidak acuh dengan wabak itu. Mereka menganggap sudah dapat mengawal wabak itu, angka 130 kan lebih kecil jika dibandingkan dengan 910.”

Dia juga menceritakan kejadian-kejadian yang mengejutkan dan menyayat hati. Contohnya, di sebuah kawasan yang lengang, di mana semua tirai jendela diturunkan, seorang perempuan tibatiba membuka jendela di jalan yang dilalui Tarrou. Perempuan itu berteriak nyaring dua kali lalu menutup kembali tirai jendela. Selain itu, Tarrou juga mencatat yang ubatan pudina telah hilang dari farmasi kerana ramai orang percaya dengan menghisapnya akan mengelakkan diri daripada terkena jangkitan.

Dia terus memerhatikan “drama” si lelaki tua dan kucing di balkoni berhadapan rumahnya. Nampaknya “permainan memburu” itu sudah tiba ke penamatnya. Pada suatu pagi, kedengaran beberapa das tembakan di jalan. “Semburan peluru” telah membunuh sebahagian besar kucing di situ dan menakutkan yang lainnya lantas mereka lari meninggalkan jalanan, begitulah yang ditulis Tarrou. Pada jam yang biasa, lelaki tua itu keluar ke balkoni. Dia menjenguk ke bawah dan terasa hairan, lalu bersandar ke dinding dan memerhatikan hujung jalan. Dia memutuskan untuk menunggu, tangannya memukul jeriji besi balkoni perlahan-lahan. Setelah beberapa lama, dia mencarik-carikkan kertas, kembali ke dalam bilik, dan keluar semula. Setelah lama menunggu, dia masuk sambil menutup pintu dalam keadaan marah. Begitulah kejadian tersebut berulang setiap hari. Hari-hari yang berlalu menyaksikan wajahnya kelihatan sedih dan bingung. Pada hari kelapan, Tarrou menunggu lelaki tua itu muncul, namun penantiannya sia-sia. Pintu balkoni tertutup rapat dek kerana kesedihan yang dapat difahami.

Dia mengakhiri catatannya dengan menyimpulkan, “Dilarang meludah ke atas kucing ketika wabak menyerang!”

Cerita yang lain, ketika Tarrou pulang pada waktu petang, dia pasti melihat wajah muram peronda malam yang berjalan mundarmandir di depan hotel. Lelaki itu tidak henti-henti mengingatkan semua orang yang dia telah meramalkan apa yang telah terjadi sekarang. Tarrou mengakui yang dia pernah terdengar lelaki itu pernah meramal akan sesuatu bencana, tapi dia teringat yang diramalkan lelaki itu adalah gempa bumi. Seorang lelaki tua pernah menyahut,

“Ah, kalau bencana itu gempa bumi kan bagus! Satu goncangan saja dan habis! Lepas itu boleh dikira berapa ramai yang hidup dan mati. Tapi penyakit tak guna ni? Orang yang belum terkena pun boleh fikir yang bukan-bukan.”

Pengurus hotel juga tidak kurang tertekan. Pada hari-hari awal wabak, ramai pengembara yang melanjutkan tempoh penginapan mereka kerana bandar telah ditutup. Melihatkan wabak itu yang berlarutan, seorang demi seorang memilih untuk tinggal di rumah kawan-kawan mereka. Sebab-sebab yang sama yang menyebabkan hotel penuh, kini telah membuatkannya kosong, dek kerana tiada lagi pengunjung yang bertandang ke bandar kami. Tarrou termasuk antara sedikit yang masih tinggal. Pengurus hotel itu selalu saja berkata kepada Tarrou, kalaulah bukan kerana dia ingin menyenangkan hati para pelanggannya itu, sudah lama dia menutup hotel itu. Dia selalu meminta pendapat Tarrou tentang berapa lama wabak itu akan berterusan.

“Orang cakap udara yang sejuk boleh melawan penyakit semacam ini,” kata Tarrou.

Pengurus hotel kelihatan bingung.

“Tapi tuan, di kawasan ini tak pernah betul-betul sejuk. Lagi pula, udara panas ini akan berterusan lebih lama lagi.”

Tambahan lagi, dia yakin untuk tempoh beberapa lama akan datang pelancong tidak akan berani untuk datang ke bandar kami. Sebetulnya, wabak ini telah menghancurkan industri pelancongan.

Setelah beberapa hari tidak kelihatan, Othon, yang dikatakan Tarrou mirip burung hantu, muncul lagi di restoran, tetapi hanya ditemani oleh dua “anjing sarkasnya”. Selepas itu baru diketahui yang Puan Othon sedang berada di tempat kuarantin kerana merawat ibunya yang sedang dijangkiti wabak.

“Saya rasa curiga,” kata pengurus hotel kepada Tarrou. “Kuarantin atau tidak, Puan Othon patut disyaki terkena. Ini bermakna, mereka pun sama!”

Kalaulah dipandang dari sudut itu, kata Tarrou, semua orang pun patut disyaki. Tetapi pengurus hotel tetap dengan pendiriannya.

“Tidak, tuan. Kamu dan saya, kita tidak patut disyaki. Yang pasti adalah mereka.”

Walaupun dengan apa yang terjadi, Othon masih dengan gayanya yang biasa. Dia masuk ke restoran dengan cara yang sama, duduk berhadapan dengan anak-anaknya, serta mengucapkan kata-kata yang baik tapi tegas. Hanya anak lelakinya kelihatan berbeza. Dia berpakaian hitam seperti kakaknya dan nampak agak membongkok, menyerupai ayahnya. Peronda malam yang tidak menyukai Othon, berkata kepada Tarrou,

“Pasti orang itu akan mati dengan pakaian macam itu. Semuanya sudah lengkap. Siap untuk ditanam.”

Tarrou juga mencatat apa yang disyarahkan oleh Paderi Paneloux, dengan disertai sedikit komentar,

“Saya mengerti khutbah yang bersemangat itu dan mendapati ianya agak menarik. Di permulaan dan pengakhiran setiap sesuatu malapetaka, pasti ada retoriknya. Ini kerana pada permulaannya, orang bukanlah akan segera melupakan tabiat lamanya. Dan bila malapetaka berakhir, mereka kembali ke tabiat lama. Di tengahtengah malapetaka saja mereka akan bertaubat. Tunggu sajalah nanti.”

Tarrou juga menulis tentang perbualan panjangnya dengan Rieux, dan mendapat manfaat hasil dari perbualan tersebut. Dia menulis, ibu Rieux mempunyai mata yang berwarna coklat. Pada pemerhatiannya, pandangan mata sebegitu yang mencerminkan ketulusan hati pastilah akan mengatasi sebarang jangkitan wabak.

Dia juga bercerita tentang seorang pesakit Rieux yang menghidap asma. Dia pergi bersama Rieux setelah perbualan panjang mereka itu. Lelaki tua itu menyambut mereka dengan hilai tawa dan menggosokkan kedua-dua tangannya kegembiraan. Lelaki tua itu bersandar pada bantal di katilnya dengan dua balang kacang hijau terletak di depannya.

“Ah, seorang lagi!” laungnya ketika melihat Tarrou, “dunia sudah terbalik. Lebih ramai doktor daripada pesakit. Tongkat itu sudah mula memukul, kan? Betullah kata paderi. Memang patutlah kita terkena malapetaka ini!”

Keesokan harinya, Tarrou datang lagi tanpa memaklumkan terlebih dahulu. Menurut apa yang ditulisnya, lelaki tua itu dulunya seorang peniaga kain fabrik dan apabila umurnya mencecah setengah abad, dia memutuskan untuk berhenti bekerja. Lalu dia naik ke tempat tidurnya dan tidak pernah turun lagi selepas itu. Bukanlah kerana penyakit asma yang menghalang dia daripada bangkit. Tabungannya telah menyara hidupnya sampai sekarang. Pada umurnya 75 tahun, dia masih kelihatan ceria. Dia tidak suka melihat jam, dan memang tidak ada sebuah jam pun di rumahnya.

“Jam,” katanya, “benda yang bodoh dan mahal.”

Waktu yang paling penting baginya adalah waktu makan. Dia menghitung waktu dengan dua balangnya itu. Salah satunya akan penuh dengan kacang hijau ketika dia bangun pada waktu pagi. Kemudian dia mengisi ke dalam balang yang satu lagi, kacang demi kacang, teliti dan pada tempo kelajuan yang sama. Dengan itulah dia menghitung masanya sehari-hari.

“Setiap lima belas kali isian, saya mesti makan. Mudah kan?”

Menurut isterinya, sejak usia muda lagi dia sudah menunjukkan tanda-tanda sebegitu. Dia tidak tertarik kepada apa-apa pun. Baik pekerjaannya, kawan-kawannya, kafe, muzik, perempuan, ataupun bersiar-siar mencari udara segar. Dia tidak pernah keluar daripada bandar. Kecuali sekali saja ketika dia dipanggil balik ke Algiers atas urusan keluarga. Itu pun dia berhenti di stesen pertama selepas Oran kerana tidak mampu meneruskan perjalanan lagi, lantas mengambil kereta api yang lain untuk pulang kembali ke rumahnya.

Tarrou menunjukkan rasa hairan melihat dia mengurung diri sebegitu. Lelaki tua itu memberikan sedikit penjelasan, seperti berikut. Menurut agama, separuh masa pertama kehidupan seseorang ibarat menaiki bukit. Dan separuh masa kedua, menuruninya. Pada masa turunnya, hidupnya bukan miliknya lagi dan boleh hilang bila-bila masa saja. Tiada apa lagi yang dia boleh buat dengan hidup tersebut. Sebetulnya, lebih baik begitu. Dia juga tidak kesal dengan apa yang menimpa dirinya. Selang beberapa minit kemudian, dia tidak percaya yang Tuhan itu wujud. Jikalau Tuhan wujud, sudah tentulah tidak akan ada semua paderi-paderi tak berguna itu.

Tarrou menyedari yang falsafah lelaki tua itu pasti ada kaitan dengan rasa tidak puas hatinya dengan derma atas nama kebajikan dari rumah ke rumah yang berlaku di kawasan itu. Dia juga berkali-kali menyatakan hajatnya untuk mati ketika dirinya sudah sangat tua.

“Adakah dia seorang wali keramat?” Tarrou bertanyakan dirinya sendiri, dan menjawab, “Ya, syarat untuk menjadi seorang wali keramat itu adalah dia mesti mempunyai sejenis tabiat.”

Tarrou mula menulis secara terperinci tentang keadaan bandar yang dilanda wabak itu. Ia bertujuan untuk menggambarkan secara tepat bagaimana kehidupan penduduk di bandar kami semasa musim panas itu.

“Tiada langsung hilai tawa,” tulis Tarrou, “kecuali mereka yang mabuk saja. Tetapi mereka terlalu banyak ketawa.”

Kemudian Tarrou meneruskan perinciannya,

“Menjelang dinihari, angin lembut bertiup menghembus ke arah jalan yang masih lengang. Pada waktu ini, antara raungan korban semalam dan sakratul maut yang menanti di kemudian hari, wabak itu seolah-olah berhenti rehat seketika dan mencari nafasnya kembali. Kedai-kedai sudah ditutup. Kelihatan papan tanda bertulis: Tutup kerana serangan wabak, menandakan kedai tidak akan dibuka seperti yang lainnya. Para penjual surat khabar masih mamai, jalan masih lengang dengan suara mereka, hanya terperuk saja di kaki jalan dengan gerakan seperti orang mengigau, dengan surat khabar disandarkan di bawah lampu jalan. Bunyi trem pagi akan mengejutkan mereka dan selepas itu mereka akan terbang merata ke setiap pelosok bandar sambil menghulurkan tangan menawarkan surat khabar. Tulisan WABAK terpampang besar di halaman pertama. Tajuk yang lain pula ‘Adakah akan ada wabak di musim luruh? Profesor B menjawab: Tidak’. Dan ‘Hari ke-94: 124 kematian’.

“Meskipun krisis kekurangan kertas memaksa penerbit surat khabar untuk mengurangkan halaman mereka, dilancarkan pula surat khabar terbaru bernama Warta Wabak. Kandungannya berupa informasi kepada penduduk bandar tentang perkembangan wabak setepat yang mungkin; menyediakan pendapat yang paling sahih tentang masa depan wabak; membuka ruangan bagi sesiapa saja yang ingin berjuang melawan wabak; meningkatkan moral penduduk bandar; menerbitkan arahan terkini daripada pihak pentadbiran. Ringkasnya, ianya satu pusat kepada semua usaha untuk melawan wabak itu. Selepas itu, surat khabar tersebut dengan cepat menjadi medium mempromosikan produk-produk yang ‘sempurna’ untuk melawan wabak.

“Sekitar pukul enam pagi, surat khabar tersebut mula dijual kepada orang yang sudah pun beratur di luar kedai sejam sebelum dibuka. Juga kepada penumpang trem yang penuh sesak yang datang dari pinggir bandar. Cuma trem saja bentuk pengangkutan yang tinggal, dan pergerakannya lambat sekali kerana penuh sesak. Anehnya, mereka saling membelakangi satu sama lain, untuk menghindari penularan wabak. Di setiap perhentian, trem memuntahkan penumpangnya, tergesa-gesa menjarakkan diri dengan setiap yang lainnya.

“Setelah trem pertama berlalu, bandar mula terjaga perlahan-lahan, kafe-kafe mula membuka pintu. Di meja bar kelihatan tulisan ‘Kehabisan Kopi’, ‘Sila Bawa Gula Anda Sendiri’ dan sebagainya. Kemudian, kedai-kedai pun dibuka dan orang mula memenuhi jalan. Di saat itu, matahari mula merangkak naik, udara panas perlahanlahan membakar langit bulan Julai. Bagi yang tidak bekerja, itulah masanya mereka berani keluar ke bandar. Kebanyakan daripada mereka nampak bersemangat ingin mengatasi wabak dengan memaparkan segala bentuk kemewahan. Setiap hari kira-kira pukul sebelas pagi, jalan-jalan utama dipenuhi muda-mudi yang berpakaian serba cantik. Ini rupanya nafsu kehidupan yang selama ini terbendung di tengah malapetaka yang dahsyat Kalau wabak tersebar, moral juga akan turut terancam, dan kita akan melihat sekali lagi peristiwa seperti saturnalia (pesta liar merayakan planet Zuhal pada zaman Romawi kuno) di Milan, lelaki dan perempuan menari-nari di kuburan.

“Menjelang tengah hari, restoran-restoran penuh dalam sekelip mata saja. Dengan cepat kelihatan sekumpulan kecil manusia di depan pintu kerana kehabisan tempat duduk. Udara yang panas membahang menyebabkan langit kehilangan sinarnya. Di tepi jalan yang kering dibakar matahari, di bawah teduhan tirai, pelanggan menunggu giliran mereka untuk membeli makanan. Sebab utama mengapa restoran selalu penuh adalah kerana penyediaan makanan yang tidak menjadi masalah. Tetapi ketakutan penduduk terhadap penularan masih ada. Ramai pelanggan menghabiskan masa dengan menggosok pinggan mereka terlebih dahulu. Tidak berapa lama dulu beberapa restoran meletakkan notis: Di sini peralatan makanan dididihkan. Lama-kelamaan mereka mengurangkan promosi sebegitu kerana pelanggan tetap juga datang. Tambahan pula, mereka berbelanja dengan senang hati. Minuman keras yang terpilih, atau dengan tambahan yang mahal, itu merupakan permulaan kepada keborosan mereka berbelanja. Kononnya pernah terjadi kekecohan di sebuah restoran, seorang pelanggan tiba-tiba merasa tidak sedap badan dan mukanya berubah pucat, dan berjalan terhuyung-hayang ke arah pintu.

“Menjelang pukul dua petang, bandar beransur lengang. Pada waktu itulah kesepian, cahaya matahari, debu, dan wabak bertemu di jalanan. Di sepanjang deretan rumah yang berwarna kelabu, udara panas membahang tiada hentinya. Begitulah keadaan pada waktu tengah hari, perlahan-lahan bersatu dengan cahaya langit yang membias kemerahan di atas bandar yang kacau-bilau itu. Sejak udara yang maha panas mula menyerang, entah mengapa, suasana pada waktu malam kelihatan lengang sekali. Tetapi sekarang, udara yang mulai dingin mula menyenangkan hati penduduk, walaupun tidak memberi mereka banyak harapan. Semua orang mula keluar ke jalanan, berbual-bual dan berbantahan di antara satu sama lain, bersenggama di antara lelaki dan perempuan. Dan di bawah langit merah bulan Julai, bandar dilatari dengan kebingitan suara pasangan kekasih yang nyaring, melencong laksana kapal tanpa kemudi ke dalam kegelapan laut. Sia-sialah perbuatan seorang mubaligh yang berteriak di jalanan setiap petang dengan melaungkan: ‘Tuhan Maha Besar. Kembalilah kepada-Nya!’ Sebaliknya, mereka tergesagesa menuju ke arah kenikmatan jangka masa pendek berbanding Tuhan.

“Di permulaan wabak, ketika mereka menganggap penyakit itu sama seperti yang pernah menimpa sebelumnya, agama memang ada peranannya. Tetapi setelah mereka menyedari bahawa bahaya itu singkat saja, mereka mula bersenang-lenang. Dan segala ketakutan mereka di siang hari dihapuskan oleh debu langit senja. Pesta liar yang kotor pula membakar seluruh kota.

“Dan saya, saya juga seperti mereka. Tapi apa yang nak dikisahkan sangat? Kematian tidak bererti apa-apa bagi orang seperti saya. Ia adalah satu kejadian yang membuktikan kebenaran mereka.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience