Sebelum wabak itu mencapai kemuncaknya, ada sesuatu yang harus diceritakan. Cerita tentang usaha-usaha yang lama, menyedihkan, lagi membosankan oleh orang-orang seumpama Rambert dalam tempoh wabak sedang mengumpulkan segala kekuatan untuk menghamburkan seluruh bisanya ke setiap pelosok bandar. Mereka cuba untuk mendapatkan semula kebahagiaan mereka yang hilang serta bertahan sehabis mungkin menghalang diri mereka daripada terkena jangkitan. Itulah cara mereka berjuang. Walaupun ianya tidak berhasil sangat seperti usaha-usaha yang lain, cara mereka itu (pada pandangan penulis) ada maknanya. Selain membuktikan harga diri yang ada pada diri masing-masing.
Rambert berjuang untuk menghalang wabak dari memenjarakan dirinya. Setelah dia pasti yang dia tidak dapat meninggalkan bandar dengan cara yang sah, dia memutuskan untuk menggunakan cara yang lain. Itulah yang dikatakannya kepada Rieux. Lalu dia mula bergaul dengan pelayan-pelayan kafe. Mereka ini biasanya tahu akan banyak hal. Tetapi orang pertama yang ditemubual Rambert hanya mengetahui tentang hukuman berat yang dijatuhkan ke atas sebarang percubaan meninggalkan bandar. Dalam kes tertentu dianggap menimbulkan kekecohan. Usahanya itu sudah agak terkehadapan ketika dia bertemu Cottard di tempat Rieux. Hari itu, Rieux dan Rambert berbual tentang kegagalannya untuk menarik minat pihak berkuasa terhadap rayuannya, dan Cottard mendengar hujung-hujung perbualan mereka.
Beberapa hari kemudian, Cottard terserempak dengan Rambert di jalanan dan menegurnya dengan gaya ramahnya yang kini digunakannya kepada semua orang.
“Hai Rambert! Ada perkembangan?”
“Masih tidak ada.”
“Tak guna berharap kepada jabatan-jabatan itu. Mereka tak akan faham masalah kita.”
“Saya tahu itu, dan saya tengah mencari jalan lain. Tapi susah betul.” “Ya, memang susah.” Cottard membalas.
Dengan penuh rasa hairan, Rambert mendengar cerita Cottard tentang satu komplot. Cottard bercerita lagi, dia mengenal semua kafe di Oran. Dia juga ada ramai kenalan, dan diberitahu adanya satu “organisasi” yang menguruskan orang keluar dari Oran. Sebenarnya, punca Cottard nampak agak mewah adalah kerana dia terlibat dalam perdagangan penyeludupan barangan asasi. Dengan cara sebegitu Cottard menjual kembali rokok-rokok dan minuman keras yang bermutu rendah dengan harga yang mahal lalu memberinya keuntungan yang besar.
“Kamu yakin ke ni?” tanya Rambert.
“Ya, kerana saya pernah ditawarkan untuk keluar dari bandar.”
“Tapi kamu tidak menerimanya?”
“Ah, tak perlulah curiga,” kata Cottard ramah, “saya tak menerimanya kerana saya tak nak keluar. Saya ada alasan tersendiri.” Setelah diam sebentar, Cottard melanjutkan,
“Saya perasan yang kamu tak tanya pun apa alasan saya.” “Saya rasa itu bukan urusan saya,” kata Rambert.
“Dari satu sisi, betullah. Tapi dari sisi yang lain… Ah, macam ini lah. Sebenarnya, saya rasa selesa di sini sejak wabak itu menyerang.”
Rambert mendengar saja. Lalu bertanya,
“Organisasi yang kamu cakap ni, macam mana nak bertemu mereka?”
“Ah, tak senang juga,” kata Cottard, “mari ikut saya.”
Waktu itu pukul empat petang. Bandar itu sedang mendidih kepanasan di bawah langit yang cantik. Tirai semua kedai tertutup. Jalan kelihatan lengang. Cottard dan Rambert berjalan ke jalan yang teduh, melangkah tanpa bicara. Pada jam sebegitu adalah waktu wabak menyembunyikan diri. Kebisuan, dan kepupusan segala warna dan pergerakan, mungkin disebabkan kepanasan matahari dan juga jangkitan wabak. Tidak dapat diketahui apakah udara yang panas itu disebabkan oleh ancaman wabak atau kerana debu dan suhu. Harus dicermati sebetulnya untuk menyedari wabak sedang melanda. Kerana wabak hanya akan muncul dalam keadaan yang “negatif”. Cottard yang mempunyai “hubungan rapat” dengan wabak contohnya, mengingatkan Rambert kenapa tidak ada seekor anjing pun yang kelihatan. Padahal biasanya mereka berbaring sambil termengah-mengah di bawah bayangan pintu rumah, mencari-cari kesejukan yang tidak kunjung tiba.
Mereka masuk ke kawasan des Palmiers, menyeberangi Place d’Armes dan turun ke kawasan penempatan tentera laut. Di sebelah kiri, terdapat sebuah kafe berwarna hijau manakala tirainya dibuat daripada kanvas kuning terletak di tepi jalan. Cottard dan Rambert mengesat dahi mereka ketika melangkah masuk. Di dalamnya terdapat beberapa meja besi kecil yang juga berwarna hijau, dan kerusi lipat. Tiada orang pun di sana. Udaranya penuh dengan lalat berterbangan. Di dalam sebuah sangkar yang terletak di meja bar, seekor burung kakak tua sedang duduk bertenggek, semua bulu pelepahnya sudah gugur. Lukisan-lukisan lusuh tergantung di dinding, diselaputi debu dan comotan. Di atas mejameja, termasuk meja yang diambil mereka, tahi burung tampak mengering. Rambert hairan kenapa kotoran itu boleh berada di sana. Sehinggalah seekor ayam jantan yang cantik melompat keluar dari penjuru yang gelap.
Waktu itu, udara terasa bertambah panas. Cottard menanggalkan kotnya dan mengetuk mejanya memanggil pelayan. Seorang lelaki pendek beruniform biru yang labuh, keluar dari bahagian belakang. Melihat saja Cottard, dia terus melambai dari jauh. Sambil mendekat, kakinya menendang ayam jantan itu yang menghalang laluannya. Di tengah kebingitan suara ayam jantan itu, dia bertanya apa yang mahu dipesan oleh mereka berdua. Cottard memesan wain putih dan bertanya: “Mana Garcia?” Lelaki pendek itu menjawab sudah beberapa hari dia tidak muncul di kafe.
“Kamu rasa dia datang petang ni?”
“Saya tak tahu la jadualnya macam mana, tapi tuan tahu kan bila dia biasanya akan datang?” tanya kembali pelayan itu.
“Ya. Tapi tidak ada yang penting sangat. Saya nak kenalkan dia dengan kawan saya saja.”
Pelayan itu mengusap tangannya pada bahagian depan uniform yang dipakainya.
“Ah, kawan tuan ni pun terlibat dengan ‘bisnes’ juga?” “Ya,” jawab Cottard ringkas.
Pelayan itu berkata dengan suara sengau,
“Kalau macam itu, datang balik malam ini. Saya akan suruh seorang
budak sampaikan pesanan kepadanya.”
Ketika keluar, Rambert bertanya apa yang dimaksudkan dengan “bisnes” itu.
“Sudah tentu la penyeludupan. Mereka membawanya masuk ke bandar dan menjualnya dengan mahal.”
“Oh, begitu.” Rambert berhenti sejenak. “Dan mereka ada kawan di mana-mana?
“Ya lah!”
Pada malam itu, tirai diangkat. Burung kakak tua itu bercakap sendirian dan meja-meja dikerumuni oleh lelaki-lelaki yang tidak berkot. Ketika Cottard melangkah masuk, salah seorang di antaranya bangkit. Lelaki itu memakai topi tikar yang ditarik ke belakang, berkemeja putih yang terdedah menunjukkan dadanya yang berwarna keperangan. Wajahnya terbakar dek kepanasan matahari, bentuk mukanya biasa, bermata hitam, giginya putih, dan mempunyai dua atau tiga cincin di jarinya. Umurnya dalam lingkungan 30-an.
“Hai!” dia menegur Cottard, mengabaikan Rambert. “Jom minum
di bar.”
Mereka minum tiga gelas tanpa sepatah bicara.
“Bagaimana kalau kita keluar?” Garcia mencadangkan.
Mereka berjalan menuju ke pelabuhan. Lalu Garcia bertanya apa yang mereka inginkan. Cottard menjawab, sebenarnya dia ingin memperkenalkan Rambert kepadanya. Bukan kerana urusan perdagangan, melainkan hanya untuk mendapatkan apa yang disebut mereka sebagai “jalan keluar”. Garcia berjalan terus ke depan sambil merokok. Dia mengajukan beberapa soalan. Selalu merujuk Rambert dengan menggunakan “dia”, seolah-olah tidak menyedari wartawan itu ada di sana.
“Kenapa dia nak keluar?”
“Isterinya di Perancis.”
“Ah!” Beberapa saat kemudian dia menyambung, “Apa
pekerjaannya?”
“Wartawan.”
“Sekarang pun? Wartawan ni jenis banyak cakap.” “Saya dah cakap ini kawan saya,” balas Cottard.
Mereka berjalan saja tanpa bercakap hinggalah menghampiri dermaga, yang sudah pun dihalang masuk. Kemudian mereka beralih arah menuju ke sebuah warung sardin goreng. Baunya menerawang ke udara.
“Bagaimanapun, itu kerja Raoul. Bukan saya,” Garcia memecah kesunyian. “Saya akan berjumpa dia. Walaupun agak susah.”
“Ah, dia bersembunyi ke?” Cottard kelihatan tertarik.
Garcia tidak menjawab. Di pintu warung dia berhenti, dan untuk pertama kalinya menoleh ke arah Rambert.
“Lusa, pukul sebelas, di penjuru berek kastam di bahagian utara bandar.” Dia nampak seakan sudah mahu beredar, kemudian berpatah kembali, “ada upahnya tau.”
Dia membuat pernyataan dengan nada yang biasa.
Rambert mengangguk. “Okay saja.”
Dalam perjalanan pulang wartawan itu berterima kasih kepada Cottard.
“Tidak ada apa sangat lah. Saya gembira menolong kamu. Lagi pula, kamu kan wartawan. Saya jamin, satu hari nanti kamu pula akan tolong saya.”
Dua hari kemudian, Rambert dan Cottard melalui jalan utama yang tidak berteduh menuju ke kawasan utara bandar. Sebahagian berek kastam telah diubah suai menjadi hospital. Sejumlah orang berkumpul di pintu masuk, berharap mereka diberi kebenaran untuk melawat ahli keluarga mereka, walaupun itu sebenarnya dilarang. Dan yang lain pula menunggu khabar berita daripada pesakit yang selalu berubah setiap jam. Oleh sebab itu, Garcia dan Rambert memilihnya sebagai lokasi pertemuan mereka.
“Saya rasa pelik kamu berkeras mahu keluar,” kata Cottard, “apa yang berlaku di sini benar-benar menarik.”
“Tidak pada saya,” balas Rambert.
“Tentu saja ada risikonya. Tapi sebelum wabak menyerang, kita juga mempunyai risiko yang sama hebatnya di saat ingin melintas jalan yang sibuk.”
Pada waktu itu, kereta Rieux berhenti di depan mereka. Tarrou yang memandu. Rieux nampak separuh tertidur. Kemudian dia terjaga dan ingin memperkenalkan antara satu sama lain.
“Kami sudah saling kenal,” kata Tarrou, “kami tinggal di hotel yang sama.” Kemudian dia menawarkan ingin membawa Rambert balik ke bandar.
“Tidak mengapa. Saya ada temu janji di sini.” Rieux memandang dingin ke arah Rambert.
“Ya,” jawab Rambert memahami.
“Apa ni?” Cottard perasan sesuatu. “Doktor pun tahu?”
“Itu tuan hakim.” Cottard menyuruh Rambert berhati-hati.
Wajah Cottard berubah. Othon memang sedang berjalan menuju ke arah mereka. Langkahnya nampak gagah dan teratur. Ketika dia mendekat ke arah kelompok kecil itu dia mengangkat topi.
“Selamat pagi, Tuan Othon,” kata Tarrou.
Hakim itu membalas sapaan mereka yang berada di dalam kereta, lalu mengangguk perlahan ke arah Cottard dan Rambert yang berada di belakang. Tarrou memperkenalkan Cottard dan wartawan itu. Tuan hakim memandang ke arah langit sejenak, menghela nafas sambil berkata itu adalah tempoh yang sangat menyedihkan.
“Saya diberitahu yang kamu sedang menolong langkah pencegahan ni, Tuan Tarrou. Saya sangat setuju dengan tindakan kamu.” Dia beralih ke arah Rieux, “Doktor, kamu fikir wabak ini akan bertambah buruk ke?”
Rieux menjawab harapnya tidaklah. Tuan hakim membalas, memang kita harus selalu berharap kerana takdir Tuhan tidak dapat dijangka. Tarrou bertanya sama ada wabak ini memberi kesan kepada pekerjaannya.
“Sebaliknya pula. Kes-kes jenayah semakin berkurang. Saya hanya menghakimi pencerobohan-pencerobohan yang serius kalau mengikut peraturan terbaru. Undang-undang kita tidak pernah dihormati.”
“Itu sebabnya, kalau nak dibandingkan, adanya undang-undang baru itu,” kata Tarrou.
Pandangan mata tuan hakim masih tetap ke arah langit, kemudian dia menghela nafas seraya menoleh ke arah Tarrou.
“Apa bezanya? Hukuman itu yang penting, bukannya undangundang. Kita kena faham semua itu.”
“Lelaki itu,” kata Tarrou apabila si hakim sudah berlalu pergi, “adalah Musuh Nombor Satu!” Dia menghidupkan enjin.
Beberapa minit kemudian, Rambert dan Cottard melihat Garcia menghampiri. Tanpa memberi sebarang isyarat dia terus menuju ke arah mereka. Sebagai ganti kata sapaan dia terus berkata, “Kamu kena tunggu sekejap.”
Di sekeliling mereka, kebisuan menyelubungi khalayak yang kebanyakannya adalah wanita. Hampir semua daripada mereka membawa bungkusan, berharap untuk mengirim kepada ahli keluarga mereka yang sakit, namun sia-sia. Lagi tidak masuk akal, mereka berharap agar pesakit dapat merasa makanan yang dibawa mereka. Pintu masuk diawasi oleh pengawal bersenjata. Kadangkala terdengar teriakan aneh melewati halaman yang terletak di antara berek dan pintu masuk. Apabila ini berlaku, semua mata akan tertumpu ke arah wad sakit.
Tiga orang itu melihat pemandangan itu ketika sapaan “selamat pagi” membuat mereka berpaling ke belakang. Walaupun dengan hari yang panas, Raoul berpakaian sangat rapi. Berbadan besar dan tinggi, dia mengenakan kot gelap dengan topi koboi yang berlipat. Dengan bibir yang hampir tidak bergerak, dia bersuara dengan cepat dan jelas,
“Mari kita jalan-jalan ke arah bandar. Garcia, kamu tak perlu ikut.”
Garcia menyalakan puntung rokoknya, membiarkan mereka menjauh. Rambert dan Cottard berjalan laju-laju, menyaingi kecepatan langkah Raoul yang berada di antara mereka berdua.
“Garcia dah ceritakan semuanya,” kata Raoul, “Itu boleh diatur. Tapi saya kena beritahu juga, kosnya hampir sepuluh ribu francs.” Rambert menjawab dia bersetuju.
“Datang makan tengah hari bersama saya esok di restoran Sepanyol de la Marine.”
Rambert berkata: “Baiklah,” dan mereka pun berjabat tangan. Raoul tersenyum buat pertama kalinya. Setelah dia berlalu pergi, Cottard minta maaf dia tidak dapat turut serta kerana ada urusan lain. Lagi pun, Rambert tidak memerlukan pertolongannya lagi.
Keesokan harinya, ketika Rambert memasuki restoran Sepanyol itu, semua mata menoleh ke arahnya. Restoran itu adalah ruang bawah tanah yang suram, terletak lebih rendah dari sebuah jalan kecil berwarna kuning kekeringan dibakar matahari. Ruangan makan itu hanya dikunjungi oleh lelaki, kebanyakannya warga Sepanyol. Sebaik saja Raoul yang sedang duduk di meja belakang restoran memanggilnya, serta-merta Rambert menuju ke arahnya. Riak muka ingin tahu terus hilang daripada pelanggan yang lain, lalu mereka kembali makan. Di meja Raoul juga ada seorang lelaki yang tinggi dan kurus, jambangnya tidak kemas, dadanya bidang, wajahnya mirip seekor kuda dan rambutnya sangat jarang. Lengan kemeja digulung, memperlihatkan lengannya yang berbulu hitam. Ketika Raoul memperkenalkannya kepada Rambert, dia mengangguk tiga kali. Namanya tidak disebut. Apabila merujuk kepadanya, Raoul hanya membahasakan “kawan kita”.
“Kawan kita ni mungkin boleh tolong kamu. Dia akan…”
Raoul berhenti bercakap kerana pelayan mendekat membawakan pesanan Rambert.
“Dia akan menghubungkan kamu dengan dua orang kawan kami yang lain yang akan memperkenalkan kamu pula dengan para pengawal yang kami sudah uruskan. Tapi itu baru permulaan. Pengawal itu akan memilih waktu yang paling tepat. Paling mudah kamu menginap beberapa malam dengan salah seorang dari mereka yang tinggal berdekatan dengan pintu bandar. Perkara pertama adalah kawan kita ni akan menghubungkan kamu dengan orang yang diperlukan. Apabila semuanya berjalan lancar, kamu akan bayar kepadanya.”
‘Kawan’ itu menganggukkan kepalanya yang mirip seekor kuda tanpa berhenti mengunyah tomato dan salad dengan lahapnya. Barulah dia berkata-kata, bicaranya berbunyi aksen Sepanyol. Dia menyuruh Rambert berjumpanya pada hari lusa, pukul lapan pagi di serambi gereja.
“Dua hari lagi menunggu,” Rambert mengeluh.
“Semuanya bukan mudah, kamu tengoklah nanti,” sahut Raoul, “Kami harus menemui orang-orang yang berkenaan.”
‘Kawan’ itu kembali menganggukkan kepalanya. Rambert menyetujui lemah. Selanjutnya mereka menghabiskan waktu makan itu dengan bercakap perkara yang lain. Tahulah Rambert bahawa “si kuda” itu adalah seorang pemain bola sepak. Rambert sendiri pun selalu bermain sukan itu. Lalu mereka berbual tentang Kejohanan Perancis, mutu pasukan bola sepak England, dan teknik hantaran bola. Pada akhir waktu makan, “si kuda” kelihatan bersemangat sekali sehingga dia ber-kau saja kepada Rambert, meyakinkan Rambert tidak ada posisi yang paling baik dalam permainan bola sepak selain posisi tengah.
“Kau tengok pemain tengah yang banyak membuat hantaran bola.
Dan hantaranlah yang menjadikan ianya permainan bola sepak kan?”
Rambert menyetujui pendapatnya, walaupun dia selalu bermain sebagai penyerang. Perbincangan hanya terhenti oleh radio yang sebelum itu menyiarkan lagu-lagu sentimental, kini menyiarkan berita bahawa hari sebelumnya wabak telah meragut 137 nyawa. Tak seorang pun di restoran terkejut dengan berita tersebut. “Si kuda” itu mengangkat bahu lalu bangkit, diikuti oleh Raoul dan Rambert.
Ketika mereka melangkah keluar, “pemain tengah” itu menjabat tangan Rambert dengan kemas.
“Nama aku Gonzales,” katanya.
Bagi Rambert, dua hari seterusnya itu terasa tidak berpenghujung. Dia mengunjungi Rieux dan menceritakan segala-galanya tentang rancangannya itu. Kemudian dia menemani doktor itu pada salah satu rondaan rawatannya. Di depan pintu rumah seorang pesakit yang disyaki terkena jangkitan wabak, dia mengucapkan selamat berpisah. Di balik pintu terdengar bunyi tapak kaki dan suara-suara di ruang tamu menandakan mereka sudah mengetahui ketibaan doktor.
“Saya harap Tarrou akan segera datang,” bisik Rieux. Dia kelihatan lesu.
“Wabak makin tidak terkawal ke doktor?” tanya Rambert.
Rieux menjawab bukan sebab itu. Katanya, peningkatan kadar kematian sudah semakin perlahan. Cuma langkah-langkah pencegahan masih saja belum mencukupi.
“Kami kurang peralatan,” katanya, “Kalau dalam bidang ketenteraan di seluruh dunia, masalah ini akan diganti dengan tenaga manusia. Dalam kes ni, kami juga kurang tenaga manusia.”
“Bukan ke sudah ada ramai doktor dan sukarelawan yang datang daripada bandar lain?”
“Betul, lebih kurang seratus sukarelawan dan sepuluh doktor. Dengar memang banyak. Tapi dalam keadaan wabak macam ni, jumlah sekarang tak mencukupi.”
Rieux berpaling dan melangkah masuk ke arah keributan di balik pintu, lalu tersenyum ke arah Rambert. “Ya,” katanya, “semoga perjuangan kamu berjaya!” Wajah Rambert menjadi muram.
“Kamu tahu tak, bukan sebab ‘itu’ sebenarnya saya nak pergi,” katanya dengan suara yang rendah.
Rieux membalas yang dia mengerti. Tapi Rambert tetap meneruskan,
“Saya tak fikir saya pengecut. Itu bukan sifat saya. Dan saya pernah membuktikannya. Cuma, ada beberapa perkara yang buat saya tak boleh bertahan lagi.”
“Kamu akan bertemu dengannya lagi,” kata Rieux, melihat tepat ke anak mata Rambert.
“Barangkali saya tidak menahan yang perpisahan ini akan berterusan lebih lama. Semakin hari dia semakin tua. Mulai tiga puluh tahun kita akan mula tua. Sebab itu setiap masa harus dimanfaatkan. Tapi saya tak tahu kamu faham atau tidak.”
Rieux membalas yang dia mungkin memahami. Ketika itulah
Tarrou tiba, dengan raut wajah sangat gembira,
“Saya baru saja mengundang Paneloux untuk bersama kita.”
“Ah, jadi?”
“Selepas berfikir, dia berkata ya!”
“Baguslah,” kata Rieux. “Saya gembira mengetahui yang dia lebih baik dari khutbahnya.”
“Semua orang begitu,” kata Tarrou, “hanya menunggu diberi peluang saja.”
Dia mengenyitkan mata kepada Rieux, lalu berkata sambil tersenyum,
“Itulah tugas saya dalam hidup, memberikan orang peluang.”
“Maafkan saya,” celah Rambert, “saya harus pergi.”
Pada hari Khamis, hari yang dijanjikan, Rambert melangkah masuk ke serambi gereja lima minit sebelum pukul lapan. Udara masih segar. Gumpalan-gumpalan awan kecil berarakan di langit; sebentar lagi akan ditelan dengan sekali hirup oleh udara panas. Meskipun rumput sudah mengering, bau-bau kelembapan itu masih ada.
Matahari yang berada di belakang rumah sebelah timur bandar, mula meliputi cahayanya ke atas topi patung Joan d’Arc yang berwarna kuning yang menghiasi halaman Place d’Armes. Jam berbunyi menandakan sudah pukul lapan. Rambert berjalan-jalan di serambi gereja yang lengang. Dari dalam gereja, kedengaran bunyi sayup suara nyanyian, bersatu bersama kelembapan udara dan bau kemenyan. Tiba-tiba nyanyian berhenti. Kira-kira sepuluh orang wanita berpakaian hitam keluar daripada gereja, dan berjalan dengan langkah kecil menuju ke arah bandar. Rambert mula hilang sabar. Lembaga hitam yang lainnya mula menaiki tanga besar dan menuju ke arah serambi. Rambert menyalakan puntung rokok, tapi segera teringat yang merokok adalah dilarang di gereja.
Pukul lapan lima belas pagi, mula kedengaran suara koir. Rambert melangkah masuk. Setelah beberapa saat, dia ternampak lembaga hitam yang lalu di hadapannya tadi sedang duduk di ruang sayap gereja. Mereka berkumpul di suatu sudut, menghadap sejenis altar berdirinya patung St. Roch, yang diukir oleh seorang seniman tempatan. Dalam keadaan berlutut, wanita-wanita berpakaian hitam itu kelihatan terbongkok lagi, menghilang dalam suasana yang kelabu, seperti asap tebal yang terapung di udara. Di atas mereka, koir masih menyanyikan lagu tanpa henti.
Ketika Rambert keluar, Gonzales sudah menuruni tangga serambi sambil menghala ke arah bandar.
“Aku ingat kau sudah pergi,” katanya kepada wartawan itu. “Sebab aku pun lambat sampai.”
Dia menjelaskan yang dia berjanji untuk berjumpa kawannya di tempat lain pada pukul 7.50 pagi. Tapi sia-sia saja menunggu kawannya selama dua puluh minit.
“Pasti ada masalah. Dalam pekerjaan kami ni, segalanya tak mudah.”
Dia mengusulkan perjumpaan lain pada keesokan harinya pada waktu yang sama di depan memorial perang. Rambert mengeluh dan menarik topinya ke belakang.
“Jangan risau sangat,” pujuk Gonzales sambil ketawa, “Cuba fikirkan segala larian dan hantaran sebelum menjaringkan gol.”
“Betullah,” setuju Rambert, “Tapi perlawanan hanya berlangsung 90 minit saja.”
Memorial perang Oran terletak di satu tempat yang dilihat seseorang terus dari laut. Ianya seakan tempat festival yang jaraknya tidaklah begitu jauh, berada di atas tebing yang boleh melihat pelabuhan di bawahnya.
Keesokan harinya, Rambert datang paling awal ke tempat pertemuan. Dengan penuh perhatian dia membaca informasi orang-orang yang telah terkorban di medan perang. Beberapa minit kemudian dua orang datang mendekat, melihat kepadanya sekilas, lalu bertongkat dengan siku pada pagar. Mereka kelihatan asyik menikmati pemandangan pelabuhan yang lengang terbiar. Dua orang itu berketinggian yang sama; dengan baju lengan pendek dan seluar biru. Rambert berada agak jauh, duduk di sebuah bangku agar dapat melihat mereka dengan lebih jelas. Barulah dia perasan yang dua orang itu pasti berumur kurang daripada 20 tahun. Ketika itulah dia melihat Gonzales menuju ke arahnya, terus meminta maaf kerana terlambat. Lalu mengajak Rambert ke tempat dua orang pemuda itu. Dia menyebut nama mereka: Marcel dan Louis.
“Inilah kawan-kawan kita!”
Dipandang dari depan, wajah mereka agak mirip, membuat Rambert menganggap mereka itu adik-beradik.
“Baik,” kata Gonzales. “Sekarang semua sudah kenal satu sama lain. Kita terus kepada rancangan.”
Kemudian Marcel, atau Louis, berkata yang giliran mereka berjaga dalam masa dua hari lagi, dan akan mengambil masa dua minggu. Jadi harus mencari hari yang paling sesuai. Empat orang akan menjaga pintu sebelah barat; dua selain mereka adalah tentera. Tidak mungkin melibatkan mereka sekali. Selain tidak dapat dipercayai, juga akan membuatkan upah lebih mahal.
Tapi kadang-kadang pada waktu malam, dua orang rakan sekerja mereka itu akan menghabiskan sebahagian masa mereka di ruang belakang sebuah bar. Oleh itu, Marcel dan Louis mencadangkan agar Rambert tinggal bersama dengan mereka, yang tidak jauh daripada pintu bandar dan menunggu sehinggalah dipanggil. Tetapi semuanya harus pantas. Kerana ada khabar angin mengatakan akan ditambahkan lagi pos pengawalan di luar pintu masuk Oran. Rambert bersetuju, lalu menawarkan beberapa puntung rokoknya yang masih berbaki. Salah seorang daripada dua beradik yang masih tidak bercakap itu bertanya kepada Gonzales sama ada soal upah sudah diselesaikan atau belum. Dan apakah mereka boleh mendapatkan wang pendahuluan.
“Tidak,” kata Gonzales, “tak perlu bimbang. Ini kawan saya. Dia akan bayar sewaktu hendak berangkat.”
Mereka mengatur pertemuan yang seterusnya. Gonzales mencadangkan pada hari lusa di restoran Sepanyol itu. Dari sana mereka akan pergi ke tempat tinggal Marcel dan Louis.
“Saya akan temankan kamu pada malam yang pertama,” kata Gonzales kepada Rambert.
Keesokan harinya, ketika hendak naik ke biliknya, Rambert bertembung dengan Tarrou di tangga hotel.
“Saya nak pergi jumpa Rieux. Kamu nak ikut sekali?” tanya Tarrou.
Rambert teragak-agak sebentar. Rambert menjawab,
“Saya takut mengganggunya nanti.”
“Tak lah. Dia banyak bercerita pasal kamu.” Wartawan itu kelihatan berfikir.
“Beginilah,” katanya, “kalau ada masa, selepas makan malam nanti, walaupun dah lambat, kamu berdua datanglah ke bar hotel untuk minum dengan saya.”
“Itu bergantung kepada doktor,” kata Tarrou tidak yakin, “juga kepada wabak.”
Pukul sebelas malam, Rieux dan Tarrou masuk ke bar hotel yang kecil dan sempit. Sekitar tiga puluh orang sedang berdiri sambil minum-minum, bercakap dengan suara yang keras. Muncul dari kesepian kota yang dilanda wabak, Rieux dan Tarrou terhenti di pintu, kelihatan terkejut. Kemudian mereka perasan akan keributan itu ketika melihat minuman keras masih diusung ke sanasini. Rambert duduk di bangku tinggi di hujung bar, memanggil mereka. Rieux dan Tarrou datang mendekat. Dengan tenang Tarrou menyiku seorang pelayan yang menghalang laluannya.
“Kamu tak menolak minuman keras kan?”
“Tak!” sahut Tarrou, “Sama sekali tak.”
Rieux menghidu bau pahit di gelasnya. Sukar untuk berbual dalam keriuhan itu, tapi Rambert tetap saja minum. Rieux tidak tahu sama ada Rambert sudah mabuk atau belum. Di salah satu meja di ruang yang sempit, seorang pegawai tentera laut yang didampingi dua orang wanita di kiri dan kanannya, bercerita tentang wabak typhus di Cairo kepada kawannya yang berwajah merah.
“Mereka ada perkampungan tau!” katanya, “untuk penduduk asal. Khemah-khemah didirikan untuk orang-orang yang sakit sambil dikelilingi oleh pengawal. Mereka menembak ahli keluarga pesakit yang cuba menyeludup masuk ubatan tradisional. Agak kejam, tapi itu saja pilihan yang ada.”
Meja-meja lain dihuni oleh anak-anak muda yang berpakaian kemas. Perbualan mereka tidak dapat difahami, ditelan irama St. James Infirmary dari sebuah pembesar suara yang diletakkan di tempat yang tinggi.
“Ada perkembangan?” Rieux terpaksa meninggikan suaranya.
“Tidak lama lagi,” sahut Rambert, mengerti apa yang dimaksudkan Rieux, “Mungkin dalam minggu ini juga.” “Sayang!” jerit Tarrou.
“Kenapa?”
Tarrou memandang Rieux.
“Tarrou kata macam itu sebab dia rasa kamu mungkin berguna untuk kami di sini. Tapi saya faham keinginan kamu untuk pergi.”
Tarrou memesan minuman tambahan. Rambert turun dari bangku tingginya, dan untuk pertama kalinya menatap Tarrou.
“Dalam hal apa saya boleh jadi berguna?”
“Sudah tentu,” kata Tarrou sambil perlahan-lahan menghulurkan tangan untuk mengambil minumannya, “menjadi sebahagian daripada anggota kumpulan sukarelawan kami.”
Rambert kembali bersungut seperti kebiasaannya, lalu duduk kembali di bangkunya.
“Kamu fikir, pekerjaan skuad kami ini langsung tak berguna ke?” tanya Tarrou yang baru selesai minum, sambil memandang Rambert dengan penuh perhatian.
“Sangat berguna,” jawab wartawan itu, lalu minum.
Rieux melihat tangan Rambert menggeletar. Dia yakin, Rambert sudah mabuk.
Keesokan harinya, buat kali keduanya dia masuk lagi ke restoran Sepanyol itu. Dia melepasi sejumlah lelaki yang mengeluarkan kerusi di depan pintu untuk menikmati langit petang yang berwarna hijau keemasan. Udara sudah semakin kurang panasnya. Mereka menghisap rokok yang berbau pahit. Restoran itu sudah hampir lengang dengan pelanggan. Rambert duduk di bahagian belakang, tempat yang sama ketika dia pertama kali bertemu dengan Gonzales. Katanya kepada pelayan, dia akan menunggu.
Waktu itu pukul tujuh setengah malam. Seorang demi seorang lelaki daripada luar masuk semula ke dalam ruang makan dan memilih tempat. Pelayan mula mengambil pesanan, kemudian ruang bersaiz loteng itu dipenuhi dengan bunyi dentingan peralatan makanan bersatu dengan bunyi percakapan yang mendengung. Pukul lapan malam, Rambert masih menunggu. Lampu-lampu pun dinyalakan. Pelanggan yang baru pula datang mengambil kerusi di mejanya. Dia memesan makanan. Pukul lapan setengah malam, Rambert telah selesai makanan tanpa melihat kelibat Gonzales ataupun dua anak muda yang dia baru kenal itu. Rambert membakar puntung rokoknya. Ruangan restoran semakin menyepi.
Di luar, malam sudah menjengah. Angin yang hangat dari laut perlahan-lahan menyingkap tirai jendela. Pukul sembilan malam, Rambert menyedari ruang restoran telah pun kosong dan pelayan kehairanan melihatnya. Rambert membayar, lalu keluar. Di depan restoran ada sebuah kafe yang masih dibuka. Rambert mengambil tempat di meja bar sambil matanya tetap merenung ke arah pintu restoran. Pukul sembilan setengah malam, dia balik ke hotelnya sambil berfikir, bagaimana caranya untuk menemui Gonzales. Dia tidak mengetahui alamat lelaki itu. Hatinya sangat kecewa, kerana harus bermula semula dari kosong.
Pada saat itulah, di waktu malam yang dipenuhi ambulans yang meluncur laju, sesuatu terlintas di kepalanya, sesuatu yang diberitahunya kepada Rieux. Selama itulah dia terlupa kepada wanita yang dicintainya itu, kerana usahanya untuk “memecahkan dinding” yang memisahkannya dengan isterinya itu. Tetapi di saat itu jugalah, di tengah kebuntuan itu, dia kembali menemukan kembali wanita itu, dengan penuh keghairahan, dalam ledakan penuh rasa pilu yang menyelubungi hati. Lalu dia terus berlari ke hotel, melarikan diri dari rasa sakit yang membakar dirinya, yang bergelojak di dalam salur darahnya.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi dia datang berjumpa Rieux dan bertanya bagaimana caranya untuk menemui Cottard.
“Satu-satunya perkara yang harus dilakukan sekarang ialah mencari punca masalah,” katanya.
“Datanglah malam esok,” kata Rieux. “Tarrou menyuruh saya mengundang Cottard sekali. Saya pun tak tahu kenapa. Dia akan datang pukul sepuluh malam. Kamu datanglah setengah jam lepas
itu.”
Ketika Cottard tiba di tempat tinggal Rieux pada keesokan malamnya, Tarrou dan Rieux sedang berbincang tentang satu kes pesakit Rieux yang tidak disangka-sangka sembuh.
“Kes ini adalah satu dalam sepuluh. Dia memang bernasib baik!” kata Tarrou.
“Ah! Kalau macam itu, itu bukannya wabak,” Cottard mencelah.
Rieux meyakinkan yang itu betul-betul wabak.
“Mustahillah untuk dia sembuh. Kamu pun tahu yang wabak tidak pernah gagal.”
“Umumnya memang begitu,” kata Rieux, “tapi dengan sedikit usaha keras, adanya kejutan yang baik.”
“Sedikit yang terpilih. Kamu dah tengok kadar kematian setakat malam ini?”
Dengan ramah Tarrou memandang kepada Cottard. Katanya dia tahu angka terbaru itu, dan keadaan memang sangat gawat. Tapi apa yang hendak dibuktikan? Melainkan tindakan pencegahan yang lebih ketat harus dilaksanakan.
“Macam mana? Takkanlah nak buat yang lebih ketat berbanding sekarang.”
“Tak. Setiap orang harus bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri.”
Cottard tidak faham, lantas memandang kepada Tarrou. Tarrou menjelaskan bahawa ramai orang bersikap pasif. Lagipun wabak itu adalah tanggungjawab bersama dan setiap orang harus melakukan tugasnya. Contohnya, gabungan kumpulan sukarelawan terbuka kepada semua orang.
“Itu idea yang bagus,” kata Cottard, “tapi tak ada gunanya. Wabak ini sudah terlalu kuat.”
“Kita akan mengetahuinya setelah kita mencuba sedaya upaya yang mungkin,” dengan sabar Tarrou menjawab.
Sementara itu, Rieux sedang duduk di meja kerjanya, menyalin laporan. Tarrou masih merenung Cottard yang kelihatan agak gelisah.
“Kenapa kamu tak mahu sertai kami, Tuan Cottard?” tanya Tarrou.
Tampak tersinggung, Cottard bangkit sambil mengambil topi bulatnya lalu berkata,
“Itu bukan kerja saya!”
Dengan suara yang lantang dia meneruskan,
“Lagi pun, wabak ini menyenangkan hidup saya. Saya tak nampak kenapa saya perlu ambil kisah untuk menghentikannya.”
“Oh, ya. Betul. Saya terlupa. Kalau bukan kerana wabak, sudah tentu kamu sudah ditahan.”
Cottard bagaikan terlompat, tetapi tetap berpegang pada kerusinya supaya tidak jatuh. Rieux berhenti menulis. Dengan penuh perhatian dia merenung ke arah Cottard.
“Siapa yang cakap?” Cottard separuh menjerit.
Tarrou kehairanan, lalu menyahut,
“Kamu sendirilah! Sekurang-kurangnya, itulah yang saya dan doktor faham dari gaya kamu bercakap.”
Cottard tidak dapat menahan marahnya. Dia menghamburkan perkataan yang tidak jelas. Tarrou menambah,
“Bertenang. Doktor dan saya tak akan melaporkan kepada pihak polis. Itu urusan kamu. Lagi pun, kami tidak pernah menyukai polis. Mari! Duduk balik!”
Cottard melihat kerusinya. Dia ragu-ragu seketika, dan kembali duduk. Sebentar kemudian, dia menghela nafas sedalamnya.
“Itu cerita lama,” akui Cottard, “Saya ingat semuanya dah berakhir. Tapi ada orang yang mengadu. Tak guna betul! Polis menghubungi saya dan menyuruh saya tidak ke mana-mana sehinggalah siasatan selesai. Dan saya yakin akhirnya mereka akan menangkap saya.
“Serius sangat ke?” tanya Tarrou.
“Bergantung apa maksud ‘serius’ kamu. Yang pasti, bukanlah pembunuhan.”
“Penjara atau dibuang berserta kerja buruh paksa?” Cottard kelihatan lesu.
“Penjara, kalau saya bertuah…”
Tetapi seketika kemudian, dia bersemangat kembali. “Itu semua memang satu kesilapan. Semua orang berbuat salah. Saya tak dapat menerima saya ditahan kerana kesalahan tersebut. Dipisahkan daripada rumah, pekerjaan, dan semua orang yang saya kenal.” “Sebab itulah kamu nak membunuh diri?” tanya Tarrou lagi.
“Ya. Tentu saja itu perbuatan yang bodoh.”
Untuk pertama kalinya pada malam itu, Rieux bersuara. Katanya kepada Cottard, dia memahami kebimbangan Cottard. Tapi mungkin keadaan akan baik di hujungnya nanti.
“Untuk masa sekarang, saya tak takut apa-apa.”
“Saya nampak yang kamu memang tak akan sertai kami,” kata Tarrou.
Cottard memutar-mutar topi di antara kedua-dua tangannya, dengan ragu-ragu memandang Tarrou sambil berkata,
“Saya harap kamu tak marah dengan saya.”
“Sudah tentu tidak. Tapi cubalah sedaya upaya untuk tidak menyebarkan jangkitan kuman dengan sengaja,” kata Tarrou sambil tersenyum.
Cottard memprotes yang dia tidak pernah menginginkan wabak melanda. Dan wabak itu tercetus dengan sendirinya. Dan bukan salahnya jika wabak telah menyenangkan dirinya di waktu itu. Ketika Rambert tiba di pintu apartmen Rieux, dengan penuh keyakinan Cottard menambah,
“Lagi pun, saya yakin usaha kamu ini tidak akan berjaya.”
Cottard tidak mengetahui alamat Gonzales, tetapi mereka masih boleh kembali ke kafe yang dulu. Mereka berjanji untuk bertemu keesokan harinya. Oleh kerana Rieux juga mahu dimaklumi akan perkara itu, Rambert mengundangnya bersama Tarrou untuk ke tempat tinggalnya pada hujung minggu, tidak kisah pukul berapa pun.
Keesokan paginya, Cottard dan Rambert pergi ke kafe. Di sana, ditinggalkan pesanan untuk Garcia, yang mereka akan kembali semula pada petang itu. Atau kalau ada aral, keesokan harinya. Petang itu, mereka menunggu dengan sia-sia. Keesokan harinya, Garcia ada di sana. Dia mendengar saja cerita Rambert tanpa sepatah bicara. Dia tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi dia tahu beberapa kawasan di bandar sudah ditutup kerana adanya pemeriksaan dari rumah ke rumah. Kemungkinan besar Gonzales dan dua pemuda itu tidak dapat melepasi pemeriksaan itu. Tetapi Garcia boleh menghubungkan kembali Rambert dan Cottard kepada Raoul. Paling cepat pun lusa.
“Saya faham. Jadi harus bermula dari kosong semula,” kata Rambert.
Lusa, Raoul mengesahkan anggapan Garcia, kawasan di bahagian tanah rendah baru saja ditutup. Perkara seterusnya pula adalah untuk mencari Gonzales. Dua hari selepas itu, Rambert makan tengah hari bersama “pemain bola sepak” itu.
“Bodoh betul,” kata Gonzales. “Sudah tentu kamu harus berfikir macam mana cara nak berjumpa.”
Rambert juga berpendapat begitu.
“Pagi esok kita ke rumah dua pemuda itu. Kita akan mengatur betul-betul.”
Keesokan harinya, dua pemuda itu tidak ada di rumah. Mereka meninggalkan nota menetapkan untuk bertemu di padang sekolah. Lalu Rambert pulang. Tarrou bertemu dengannya pada waktu petang dan terkejut melihat ekspresi mukanya.
“Tak sihat ke?” tanya Tarrou.
“Kena mula dari kosong balik, macam itu lah,” kata Rambert.
Kemudian dia mengulangi undangannya,
“Kamu datang malam nanti kan?”
Malam itu, ketika dua orang itu masuk ke dalam bilik, Rambert sedang berbaring. Dia bangkit, mengisi gelas-gelas yang telah disediakan. Sambil mengambil gelas, Rieux bertanya apakah sudah ada jalan penyelesaian. Wartawan itu menjawab yang dia harus bermula dari petak permulaan semula dan telah sampai di titik yang sama seperti sebelum ini; janji-janji untuk bertemu. Dia minum, lalu meneruskan,
“Mereka tak akan datanglah!”
“Jangan cakap begitu. Takkanlah benda sama akan terjadi lagi,” kata Tarrou.
“Nampaknya kamu masih tak faham,” kata Rambert sambil mengangkat bahu.
“Faham apa?
“Wabak.”
“Ah!” kata Rieux.
“Tak, kamu tak faham benar-benar maksudnya. Wabak itu akan terus berulang tanpa henti.”
Rambert berjalan ke arah sudut bilik dan memasang peti nyanyi.
“Lagu apa tu?” tanya Tarrou, “Saya pernah dengar sebelum ini.”
“St. James Infirmary.”
Ketika peti nyanyi itu sedang memainkan lagu, kedengaran dua das tembak dari jauh.
“Sama ada anjing atau orang nak lari,” Tarrou menduga-duga.
Seketika kemudian, lagu sudah berhenti, dan bunyi siren ambulans semakin jelas kedengaran, lalu di bawah jendela hotel, kemudian menjauh, lalu menghilang.
“Lagu ini membosankan la,” kata Rambert seperti bercakap dengan dirinya sendiri, “Lagi-lagi sudah sepuluh kali saya mendengarnya.”
“Kamu minat ke?”
“Tak. Tapi itu sajalah yang ada.”
Selepas seketika, Rambert menambah,
“Macam tu la juga wabak, berulang dan terus berulang.”
Dia bertanyakan Rieux bagaimana kumpulan sukarelawan itu berfungsi. Ada lima kumpulan, jawab doktor. Dan masih berharap untuk menambah lagi. Rambert duduk di katilnya, nampak sibuk dengan kuku di jari tangannya. Rieux mengamati sosok tubuh yang pendek dan sasa itu, terbongkok di birai katil. Tiba-tiba dia juga perasan yang Tarrou juga sedang memandang wartawan itu.
“Kamu tahu tak, doktor,” kata Rambert, “saya ada terfikir juga pasal usaha kamu tu. Saya ada alasan kenapa saya tak sertai kamu. Saya tak fikir saya sanggup menanggung risiko lagi. Dulu saya menyertai Perang Saudara Sepanyol.”
“Di pihak yang mana?”
“Pihak yang kalah. Sejak itu, saya banyak termenung, berfikir.”
“Tentang apa?”
“Tentang keberanian. Sekarang saya tahu yang manusia mampu melakukan pekerjaan-pekerjaan besar. Tapi kalau tidak disertai dengan hati yang besar, saya tak tertarik.”
“Kita tahu manusia mampu buat macam-macam,” kata Tarrou.
“Itu tak betul. Dia tidak mampu menderita, atau bahagia untuk tempoh yang lama. Bermakna dia tidak mampu buat sesuatu yang bernilai pun,” kata Rambert sambil memandang Tarrou dan Rieux silih berganti.
“Beritahu saya, Tarrou, adakah kamu sanggup mati demi cinta?”
“Saya tak tahu. Tapi diikutkan sekarang, tak sanggup.”
“Nah, itulah. Tapi kamu sanggup pula mati kerana idea atau citacita. Jelas sekali. Ah, sebenarnya saya dah berjumpa ramai orang yang sanggup mati kerana idea mereka. Saya tak percaya kepada sifat kepahlawanan. Saya tahu ianya mudah dan boleh membunuh. Yang menarik minat saya adalah hidup dan mati bersama yang tercinta.”
Dengan penuh perhatian Rieux mendengar celoteh wartawan itu. Dengan mata masih terpaku kepadanya, dia berkata lembut,
“Manusia ini bukanlah satu idea, atau satu gagasan, Rambert.”
Rambert melompat dari katil, wajahnya merah ditelan perasaan penuh semangat,
“Manusia adalah sebuah idea. Sebuah idea yang kecil saat dia berpaling daripada cinta. Dan sebab itulah, kemanusiaan telah hilang rasa cinta. Kita harus terima kenyataan, doktor. Tunggulah sampai nanti kita mampu bercinta semula, atau kalau tidak pun, tunggu pembebasan yang akan sampai kepada kita nanti, tanpa manusia yang berlagak pahlawan. Itu sudah cukup bagi saya.” Rieux bangkit. Tiba-tiba kelihatan sangat lesu.
“Kamu betul, Rambert. Sangat betul. Walau berapa banyak wang yang saya bagi pun, kamu tetap tak akan berganjak dengan keputusan kamu, yang pada saya tindakan yang tepat dan betul. Tapi saya kena juga beritahu satu perkara, soal kepahlawanan tiada kaitan dengan semua ini. Ini adalah kejujuran. Ini memang satu idea. Idea yang membuatkan orang mungkin tersenyum. Tetapi itulah satu-satunya cara untuk melawan wabak, kejujuran bersama.”
“Apa yang kamu maksudkan dengan ‘kejujuran bersama’,” Rambert kedengaran serius.
“Saya tak tahu la macam mana orang lain faham. Tapi pada saya, itulah yang menggerakkan pekerjaan saya.”
“Ah,” kata Rambert marah, “saya pun tak tahu apa pekerjaan saya.
Mungkin saya salah dengan meletakkan cinta di atas semuanya.”
Rieux menatap wajahnya,
“Tak, kamu tak salah. Lagi mudah kalau berada di pihak yang baik.” Rieux menghabiskan minumannya.
“Jom! Kita masih ada banyak kerja,” katanya.
Rieux keluar. Tarrou mengekori, tapi kelihatan seperti teringat sesuatu, lalu dia berpaling ke arah wartawan itu sambil berkata,
“Saya rasa kamu tak tahu yang isteri Rieux berada di sebuah rumah rawatan di pedalaman, beratus kilometer dari sini.”
Rambert agak terkejut dan hendak berkata sesuatu. Tetapi Tarrou sudah berlalu pergi.
Keesokan harinya, pagi-pagi buta, Rambert menghubungi Rieux,
“Boleh tak saya bekerja dengan kamu sampailah saya berjumpa cara untuk keluar daripada bandar?”
Di hujung talian masih tidak ada suara. Kemudian,
“Ya, Rambert. Terima kasih.”
Share this novel