Hari Toussaint (hari perayaan wali keramat Katolik tanggal 1 November; biasanya diadakan ziarah ke perkuburan) tahun itu sangat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Betul, cuaca masih mengikut musim seperti setiap tahun. Udara yang panas sebelum sampai waktu itu mula menyerahkan gilirannya kepada angin sepoisepoi bahasa di musim gugur. Seperti tahun yang sudah, angin sejuk bertiup sepanjang hari. Awan tebal berarak dari satu kawasan ke kawasan yang lain, memayungi rumah dengan bayang-bayangnya. Setelah awan berlalu, bumbung-bumbung rumah akan dilimpahi cahaya kelam keemasan langit bulan November.
Kot-kot hujan mula kelihatan. Di samping itu, sejumlah besar pakaian bergetah dan berkilat juga kelihatan di seluruh bandar Oran. Surat khabar memuatkan berita, bahawa 200 tahun yang lalu, ketika wabak besar melanda selatan Eropah, doktor-doktor menggunakan kain kalis air untuk keselamatan mereka. Para peniaga memanfaatkan berita tersebut dengan membuka kembali stok baju hujan yang sudah lama, yang mana pembeli mereka berharap dapat menjamin kekebalan daripada kuman.
Tetapi, semua tanda peralihan musim ini tidak dapat membuat kami lupa bahawa perkuburan tidak langsung dikunjungi. Pada tahuntahun sebelumnya, trem-trem penuh dengan bau bunga kekwa yang mengembang. Para wanita berbondong-bondong mengunjungi tapak perkuburan ahli keluarga mereka dan menghiasinya dengan bunga. Itulah hari di mana penduduk menebus kelalaian mereka yang telah meninggal dunia, kerana selama berbulan-bulan diasingkan dan dilupakan.
Pada tahun itu, tak seorang pun mahu berfikir kepada mereka yang mati. Kerana sudah terlalu banyak memikirkan mereka. Tiada lagi persoalan mengunjungi kubur mereka dengan sedikit penyesalan atau kesedihan. Mereka bukannya lagi orang meninggal yang harus dikunjungi setiap tahun buat menjustifikasikan diri kami saja. Sejak wabak mencengkam bandar, mereka seakan-akan dianggap sebagai orang asing. Penduduk ingin melupakan mereka. Itulah sebabnya hari memperingati kematian (La Toussaint) tahun itu boleh dikatakan tidak dirayakan pun. Menurut Tarrou di dalam catatannya, Cottard mengatakan setiap hari adalah hari perayaan bagi orang mati. Orang ini memang semakin hari semakin suka mengejek dan menyindir.
Api kemenangan wabak semakin berkobar-kobar menyala di tempat pembakaran mayat. Walaupun jumlah kematian sudah tidak bertambah setiap hari, kelihatan wabak benar-benar berada di puncak keganasannya. Dan melaksanakan pembunuhan setiap hari dengan teratur ibarat seorang pegawai negeri yang patuh. Di atas kertas, pada pandangan pihak pemerintah, itu merupakan tanda yang baik. Graf perkembangan wabak yang asyik meningkat sudah terlalu lama kini mendatar, ini nyata menenangkan banyak pihak. Salah seorangnya, Dr. Richard.
“Graf kelihatan bagus hari ini!” katanya.
Pada pendapatnya, penyakit itu telah mencapai tahap maksimum. Oleh itu, jangkitan penyakit itu akan mula berkurang. Richard percaya, ini berpunca daripada serum Castel yang baru.
Memang serum itu tidak memberikan hasil yang dia harapkan. Castel sendiri tidak membantahnya. Tetapi dia berpendapat, dalam persoalan penyakit, tiada yang pasti. Sejarah wabak membuktikan adanya pasang surut yang tidak dapat diramal. Sudah sekian lama pihak pemerintah ingin menenangkan orang ramai, namun tiada kesempatan yang baik sehinggalah waktu itu. Dengan adanya graf yang menunjukkan kestabilan, mereka ingin mengumpulkan para doktor untuk memberikan laporan. Malangnya, sebelum mesyuarat itu diadakan, Dr. Richard pula disambar wabak. Tepat pada masa yang dia katakan sebagai “tahap maksimum”.
Akibat daripada kejadian yang dikesalkan ini, walaupun ianya tidak membuktikan apa-apa pun, pihak pemerintah kembali pesimis secara tiba-tiba. Sepertimana sebelumnya apabila mereka tiba-tiba menjadi optimis. Bagi Castel, dia menahan diri daripada memberi sebarang komen dan terus membuat serumnya seteliti mungkin. Sehingga pada waktu itu, tidak ada satu bangunan kosong pun yang tidak diubahsuai menjadi hospital atau tempat kuarantin. Melainkan pejabat-pejabat pihak pemerintah, kerana masih digunakan untuk urusan pentadbiran dan mesyuarat. Walau bagaimanapun, “terhutang budi” dengan keadaan yang agak stabil pada waktu itu, perkumpulan sukarelawan di bawah Rieux masih dapat mengawal situasi. Para doktor dan pembantu mereka yang bekerja keras tidak perlu lagi memikirkan cara baru untuk menambah usaha mereka. Hanya perlu meneruskan tugas seperti biasa yang sudah pun melebihi batas kemampuan manusia biasa.
Jangkitan wabak paru-paru, kes yang sudah pun dikesan sebelum ini, kini merebak berlipat kali ganda ke seluruh bandar. Hampir dipercayai bahawa ianya berpunca daripada angin kencang yang menyebarkan kuman itu masuk ke dalam paru-paru penduduk. Mangsa wabak paru-paru ini meninggal lebih cepat setelah memuntahkan darah di tengah-tengah batuk yang kuat. Dengan wabak jenis yang baru itu, ada kemungkinan penyebaran jangkitan akan berlaku lebih cepat. Tapi ahli pakar berbelah bahagi dalam hal ini. Untuk lebih berjaga-jaga, semua petugas kesihatan akan terus mengenakan penutup muka dari kain yang telah disteril. Pada awalnya, sepatutnya penyakit itu dijangka akan terus merebak. Tapi dek kerana kes wabak bengkak telah pun berkurang, kadar kematian menjadi seimbang.
Sementara itu, pihak itu masih ada sebab lain untuk berasa bimbang berkaitan kesukaran untuk mengekalkan bekalan makanan asasi. Keadaan semakin gawat. Maka muncullah spekulasi. Bahan-bahan keperluan dengan harga setinggi langit. Oleh sebab itu, keluargakeluarga miskin sangat terseksa, sedangkan keluarga-keluarga yang kaya hampir tidak kurang satu benda pun. Dan wabak, yang sepatutnya menyebabkan kesaksamaan di kalangan penduduk, kini memberi kesan yang sebaliknya. “Terima kasih” kepada sifat ketamakan manusia yang lumrah, wabak telah memburukkan lagi sifat ketidakadilan yang ada di hati penduduk. Sudah tentu masih ada kesaksamaan dalam hal kematian, walaupun tidak seorang pun mengkehendakinya. Dalam keadaan seperti itu, si miskin yang kelaparan semakin teringat kepada bandar dan desa luar bandar yang berdekatan, di mana mereka boleh hidup bebas dan mendapat makanan yang murah. Disebabkan Prefek tidak dapat menyediakan bekalan makanan secukupnya, mereka merasakan sepatutnya mereka dibenarkan meninggalkan bandar Oran. Manifestasi mereka itu dilaungkan di jalanan atau ditulis di dinding bandar: “Roti atau udara segar!” Sorakan berupa sindiran ini menunjukkan tandatanda protes, yang walaupun senang ditangani, mula menyedarkan penduduk tentang kegawatan yang sedang berlaku.
Tidak perlu diperkatakan lagi, yang surat khabar harus memberikan optimisme setinggi mungkin kepada penduduk sebagaimana diarahkan pihak atasan. Bagi seseorang yang ingin percaya, mereka akan membaca tentang penduduk menunjukkan “sifat keberanian dan ketenangan” yang dimuatkan di dada akhbar. Tetapi di sebuah bandar yang terkurung, di mana tiada satu pun kejadian menjadi rahsia, semua orang mengetahui apa sebenarnya yang disebutkan “contoh” yang ditunjukkan penduduk itu. Dan untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang keberanian dan ketenangan itu, cukup saja dilihat keadaan salah satu tempat kuarantin atau kem pengasingan yang disediakan pihak pemerintah. Oleh kerana kebetulan bertugas di tempat lain, penulis tidak dapat menceritakan keadaan keduaduanya. Itulah sebabnya harus kembali semula kepada catatan Tarrou untuk menceritakan tentang keadaan ini.
Di dalam buku catatannya, Tarrou menceritakan tentang kunjungannya bersama Rambert ke salah satu kem pengasingan, iaitu di stadium majlis perbandaran. Lokasinya terletak di pinggir bandar, berada di antara jalan yang dilalui trem dan sebuah tanah terbiar yang bersambung dengan tepi daratan tempat bandar dibangunkan. Stadium itu dikelilingi oleh dinding konkrit yang tinggi, pengawal ditempatkan di keempat-empat pintu masuk untuk menghalang daripada tahanan keluar. Dinding itu juga menghalang orang luar yang ingin tahu, supaya mereka tidak mengganggu tahanan yang malang di dalam kem itu. Sebaliknya, penghuni kem dapat mendengar trem-trem melalui sepanjang hari walaupun tanpa melihatnya. Mendengar bunyinya yang kuat saja mereka sudah dapat meneka apa yang ditarik. Juga dapat didengar bunyi kenderaan memenuhi jalan sama ada penduduk sedang bergerak ke tempat kerja atau pulang daripadanya. Dengan cara itulah mereka mengetahui kehidupan yang mereka tinggalkan terus berlangsung beberapa meter dari tempat mereka. Dipisahkan oleh dinding konkrit yang memisahkan dua dunia yang berbeza, seolaholah mereka berada di planet yang berlainan.
Tarrou dan Rambert memilih hari Ahad untuk mengunjungi stadium itu. Mereka ditemani Gonzales, pemain bola sepak yang dijumpai kembali oleh Rambert setelah lama berpisah, yang sanggup mengawasi kem secara bergilir. Dia akan diperkenalkan kepada pengurus kem. Ketika bertemu pada hari itu, Gonzales berkata sebelum wabak melanda, pada jam itulah dia akan menyalin pakaian untuk memulakan perlawanan bola sepak. Sekarang setelah stadium diambil alih, perlawanan pun diberhentikan, membuatkan dia menganggur. Dia memang kelihatan seperti orang kehilangan pekerjaan. Itu jugalah yang mendorongnya menerima tugas pengawasan, tapi dengan syarat dia hanya akan bekerja pada hujung minggu sahaja.
Langit kelihatan mendung. Dengan nada penuh kesal dia berkata hari yang tidak hujan dan tidak juga panas itu sangat sesuai untuk sebuah perlawanan. Dengan sedaya upaya, dia membayangkan bau minyak urut di bilik persalinan pakaian, tempat duduk yang penuh sesak dengan penonton, jersi para pemain yang berwarna terang di atas padang yang berwarna kuning tua, buah lemon yang diberikan ketika rehat separuh masa pertama, atau minuman botol yang menyegarkan tekak dengan ribuan jarum yang seakan mencucuk. Selain itu, Tarrou juga perasan, sepanjang mereka melalui jalanan yang rosak di pinggir bandar, pemain bola sepak itu asyik menendang batu-batu yang ditemukan. Dia mencuba mengarahkannya tepat ke lubang di selekoh jalan. Apabila batu itu masuk ke dalam lubang, dia akan menjerit seorang diri: “Gol!” Ketika selesai menghisap rokok, dia meludahkan puntung rokok ke depan dan cuba menyambutnya dengan sepakan kaki. Ketika sudah menghampiri stadium, sekumpulan kanak-kanak yang bermain tanpa sengaja menyepak bola ke arah mereka. Gonzales keluar daripada jalan dan mengembalikan semula bola itu dengan tendangan yang tepat.
Akhirnya mereka memasuki stadium. Tempat duduk stadium kelihatan penuh. Seluruh padang dilitupi dengan ratusan khemah merah. Dari jauh, di dalam satu khemah kelihatan katil-katil dan timbunan kain. Tempat duduk penonton dibuka untuk tahanan berlindung dari udara panas atau di waktu hujan. Di saat matahari terbenam, mereka harus kembali ke khemah masing-masing. Di bawah tempat duduk disediakan sejumlah bilik mandi. Bilik-bilik persalinan pakaian yang telah ditukar menjadi bilik rawatan juga ada di sana.
Kebanyakan tahanan pada waktu itu berada di tempat duduk, sebahagian yang lain berjalan mundar-mandir di tepi padang. Beberapa orang terbongkok di pintu khemah sambil membuang pandangan yang kosong ke serata penjuru. Di tempat duduk ramai yang tersandar kemalasan, kelihatan seperti sedang menunggu sesuatu.
“Apa yang mereka buat sepanjang hari?” tanya Tarrou kepada Rambert.
“Tak buat apa-apa.”
Memang hampir semua orang tiada apa-apa di tangan, lengan terjuntai malas. Anehnya, di tengah kumpulan manusia yang ramai itu, tiada suara pun yang timbul.
“Waktu hari pertama mereka di sini, nak kata bising sampai kamu pun tak boleh dengar suara kamu,” kata Rambert, “tapi selepas banyak hari, mereka pun dah makin senyap.”
Dalam catatannya, Tarrou mengatakan dia memahami kenapa. Pada awalnya mereka bersesak-sesak di dalam khemah, mendengar suara lalat yang berdengung atau menggaru diri mereka, menjerit kemarahan atau ketakutan jika ada yang sudi mendengar. Tetapi apabila semakin ramai yang memenuhi kem, orang yang ingin mendengar semakin kurang. Mereka hanya berdiam diri, membisu dan mencurigai satu sama lain. Memang betul. Langit kelabu yang berkilauan itu semacam melimpahkan kecurigaan ke atas kem itu.
Ya, mereka semua nampak curiga. Terus terang, pasti ada sebabnya mereka diasingkan daripada yang lain. Dan muka mereka adalah muka orang yang mencari sebab itu, muka yang ketakutan. Tarrou melihat semua orang memiliki pandangan mata yang penuh kehampaan. Mereka nampak menderita kerana dipisahkan daripada kegiatan yang sebelum ini memberi mereka makna hidup. Oleh kerana mereka tidak boleh berfikir tentang kematian sepanjang masa, mereka tidak berfikir tentang sesuatu pun. Mereka sedang bercuti. Tarrou menulis,
“Paling menyedihkan, mereka adalah orang yang dilupakan. Mereka tahu itu. Kawan-kawan telah melupakan mereka kerana disibukkan dengan hal dan masalah lain, dan ini memang biasa. Demikian juga orang yang mencintai mereka juga telah lupa, kerana harus bersusah payah merancang untuk mengeluarkan mereka. Disebabkan terlalu sibuk memikirkan mengenai pembebasan itu, orang yang sibuk merancang itu tidak berfikir lagi kepada orang yang hendak dibebaskannya. Itu juga, memang biasa. Akhir dari semuanya, kita sedar yang tak seorang pun mampu berfikir kepada yang lainnya. Walau dalam bencana yang paling menyedihkan sekalipun. Untuk berfikir kepada seseorang, bererti teringat kepadanya setiap minit dalam sehari tanpa terganggu oleh apa pun; baik tugasan harian, lalat yang berterbangan, waktu makan ataupun rasa gatal. Tetapi lalat dan rasa gatal itulah yang selalu mendatangi. Itulah sebabnya kehidupan sangat sukar dijalani. Dan tahanan-tahanan ini faham benar akan keadaan itu.”
Pengurus kem memberitahu bahawa ada orang bernama Othon ingin bertemu. Setelah meninggalkan Gonzales di pejabatnya, pengurus itu membawa yang lainnya ke satu sudut di tempat duduk. Othon yang duduk bersendirian, bangun menyambut. Caranya berpakaian masih sama, masih mengenakan kolar yang keras itu. Tarrou memerhatikan, hanya rambut di bahagian atas dahinya yang tidak disikat ke belakang dan salah satu ikatan tali kasutnya terbuka. Hakim itu kelihatan letih dan tidak sekali pun memandang ke wajah pelawatnya. Katanya dia gembira sekali bertemu mereka, lalu meminta mereka menyampaikan ucapan terima kasih kepada Rieux atas semua yang telah dilakukan untuk keluarganya.
Tak seorang pun menyahut. Kemudian dia menyambung lagi.
“Saya harap Philippe tak terlalu menderita.”
Untuk pertama kalinya Tarrou mendengar hakim itu menyebut nama anak lelakinya, dan dia menyedari sesuatu telah berubah.
Matahari sudah turun dari kaki langit. Di antara dua gumpalan awan, cahayanya mencelah masuk menyinari tempat duduk, membiaskan warna keemasan di wajah ketiga-tiga orang di sana.
“Tak,” kata Tarrou, “dia betul-betul tak menderita.”
Ketika mereka sudah hendak beredar, tuan hakim masih merenung ke arah datangnya cahaya. Mereka mengucapkan selamat tinggal kepada Gonzales yang sedang mengamati papan di mana tertera giliran pengawasan. Dia tertawa sambil berjabat tangan dengan mereka.
“Setidak-tidaknya saya dah kembali ke bilik persalinan pakaian,” katanya, “ini permulaan yang baik.”
Seketika kemudian, Tarrou dan Rambert diiringi pengurus kem menuju pintu keluar dan terdengar bunyi pecah yang datang dari tempat duduk penonton. Kedengaran suara dari pembesar suara yang dulunya digunakan untuk mengumumkan keputusan perlawanan atau nama pemain. Ketika itu, satu suara sengau memanggil para tahanan agar kembali ke khemah masing-masing. Makan malam akan segera dibahagikan. Perlahan-lahan, dengan langkah terseret-seret, mereka meninggalkan tempat duduk dan kembali ke tapak kem. Apabila semua sudah berada di sana, dua buah trak kecil datang melalui ruang antara khemah. Tahanan menghulurkan lengan. Dua senduk besar dimasukkan ke dasar periuk, dan keluar lagi untuk mengisi dua piring yang dipegang lengan-lengan tersebut. Trak meneruskan perjalanan, berhenti lagi di depan khemah dan begitulah seterusnya.
“Sangat cekap!” kata Tarrou kepada pengurus kem.
“Ya,” katanya sambil menjabat tangan mereka, “kami percaya kepada kecekapan dalam kem ini.”
Senja pun menjengah. Langit telah tersingkap. Kem bermandikan cahaya lembut dan sejuk. Dalam ketenangan senja, bunyi senduk dan piring terdengar dari segenap penjuru. Kawanan kelawar berterbangan di atas khemah-khemah, lalu menghilang ditelan kegelapan. Sebuah trem kedengaran di luar dinding.
Ketika melangkah di pintu keluar, Tarrou berbisik,
“Kesian Othon. Kita patut buat sesuatu untuk dia. Tapi macam mana nak tolong seorang hakim?”
Share this novel