BAHAGIAN TIGA : BAB SATU

Others Completed 4183

Begitulah, minggu demi minggu, para tawanan wabak berusaha meneruskan kehidupan seperti biasa. Sesetengah daripada mereka, seperti Rambert umpamanya, berperangai seolah-olah masih lagi manusia yang bebas dan punya banyak pilihan. Tetapi kenyataannya, pada pertengahan bulan Ogos, wabak telah menyerang mereka habis-habisan. Tiada lagi nasib individu, melainkan nasib bersama yang bernama wabak dan penderitaan yang dikongsi oleh semua penduduk.

Penderitaan yang paling hebat adalah perpisahan dan rasa terasing, termasuk juga perasaan ketakutan serta pemberontakan yang terhasil daripada dua perasaan tersebut. Itulah sebabnya penulis berpendapat, suasana umum di saat memuncaknya jangkitan wabak dan udara panas, patut diceritakan. Sebagai contoh, kemewahan hidup penduduk bandar yang masih hidup, penguburan mereka yang sudah mati, dan penderitaan pasangan kekasih yang terpisah.

Pada waktu itulah angin menjadi lebih kencang, bertiup selama beberapa hari di bandar wabak itu. Angin sangat ditakuti oleh penduduk Oran, kerana tidak ada benteng semula jadi di tanah dataran tinggi tempat di mana bandar dibangunkan. Oleh sebab itu, angin terus masuk menyapa ke jalanan dengan kencang sekali. Setelah berbulan-bulan lamanya, tidak ada setitik hujan pun yang membasahi bandar. Keseluruhan permukaan diliputi kerak berwarna kelabu yang menggelupas ditiup angin.

Angin juga menerbangkan debu-debu dan sampah-sarap dan memukul betis-betis pejalan kaki, membuatkan jalan semakin lengang. Mereka nampak terburu-buru berjalan, terbongkokbongkok sambil menutup mulut dengan sehelai kain atau dengan tangan sendiri. Pada waktu senja, di tempat-tempat awam, tempat yang mereka biasa melepak seakan-akan menikmati hari-hari terakhir, kelihatan sekumpulan kecil manusia tergesa-gesa pulang atau memasuki kafe. Selama beberapa hari, jalanan kelihatan lebih lengang menjelang waktu senja yang sudah tiba lebih cepat. Hanya angin yang tidak berhenti berhembus di sana. Bau air garam dan rumpai laut naik dari dari laut yang bergelombang dan tidak kelihatan dari bandar. Dan bandar yang lengang itu, yang diliputi putih debu, yang dipenuhi oleh bau laut serta kebisingan deruan angin, merintih bagaikan sebuah pulau yang kesedihan.

Sehingga saat itu, wabak lebih banyak mengambil korban di kawasan luar bandar, di mana penduduknya lebih padat dan kurang berkemampuan berbanding di bandar. Walau bagaimanapun, secara tiba-tiba, wabak melancarkan serangan baru ke pusat bandar. Penduduk menganggap angin yang membawa jangkitan itu. “Menyebarkan benih”, seperti yang dikatakan pengurus hotel. Apa pun alasan, penduduk yang tinggal di pusat bandar mengetahui bahawa giliran mereka sudah tiba ketika mereka mendengar siren ambulans di kawasan itu pada waktu malam. Siren yang mendengungkan panggilan sayu dan tidak bermaya, yang semakin kerap kedengaran di bawah jendela rumah mereka.

Di dalam pusat bandar sendiri, pihak berkuasa sudah merancang untuk mengasingkan kawasan-kawasan tertentu yang sangat parah. Hanya orang yang mempunyai tugas yang penting saja yang dibolehkan untuk keluar dari sana. Penduduk di sana menganggap tindakan itu sebagai gangguan khusus yang ditujukan kepada mereka. Dek kerana itu, mereka menganggap penduduk di kawasan yang lain adalah bebas. Sebaliknya, penduduk yang tinggal di luar bandar, cuba menghiburkan hati mereka pada waktu duka itu dengan berkata, “Sekurang-kurangnya ada yang nasibnya lebih teruk daripada saya.” Satu-satunya frasa penuh pengharapan yang tinggal.

Pada waktu itu jugalah berlakunya banyak kebakaran, terutamanya di kawasan penduduk berhampiran pintu sebelah barat bandar. Mengikut maklumat, puncanya adalah kerana orang-orang yang sudah hilang akal kerana kesedihan dan insiden yang berlaku, pulang daripada tempat kuarantin lalu membakar rumah mereka dengan tujuan memusnahkan kuman-kuman wabak. Sukar sekali membanteras kejadian itu. Padahal, dengan angin yang bertiup kencang akan membahayakan lagi seluruh bandar. Setelah usaha untuk meyakinkan bahawa pihak terlibat telah memastikan rumah-rumah telah bebas daripada jangkitan kuman tidak dilayan penduduk, keluarlah peraturan baru yang memutuskan hukuman berat kepada pelaku-pelaku ini. Dan bukanlah kerana hukuman itu yang membuatkan penduduk patuh kepada arahan baru itu tetapi semua orang tahu bahawa hukuman penjara sama bahayanya dengan hukuman mati kerana terlalu banyak kematian yang berlaku di dalam penjara.

Perkara ini ada asasnya. Kelihatannya, dengan sebab yang jelas, wabak lebih menyerang mereka yang berada di dalam kumpulan, contohnya tentera, paderi, atau banduan. Meskipun banduanbanduan dipisahkan dengan sel masing-masing, penjara masih lagi sebuah tempat kehidupan berkumpul. Perkara ini terbukti di penjara di bandar kami, para pengawal dan banduan sama-sama menjadi korban penyakit. Dengan wabak yang bermaharajalela, menyerang dari pengarah hinggalah ke banduan terakhir, tiada orang yang terkecuali. Kemungkinan untuk pertama kalinya, keadilan yang saksama telah terpraktik di penjara.

Pihak pemerintah cuba untuk menyelaraskan kesaksamaan demi mencipta kasta di antara pengawal dan banduan, dengan cara memberi penghargaan kepada para pengawal yang terkorban, namun usaha ini ternyata sia-sia. Oleh kerana keadaan darurat telah diisytiharkan, jika dipandang dari satu sisi, pengawal itu dianggap menjalankan tugas menyamai tugas tentera. Mereka dianugerahi Pingat Jasa Tentera. Para banduan tidak memprotes pun. Tetapi mereka di bahagian ketenteraan pula sebaliknya. Secara logiknya, ini akan menimbulkan kekeliruan di minda orang awam. Pihak berkuasa menerima alasan itu, lalu menganugerahi Pingat Wabak kepada pengawal yang terkorban. Bagi mereka yang telah dianugerahi dengan Pingat Jasa Tentera, ianya tidak dapat ditarik balik. Pun begitu, bahagian ketenteraan masih tidak berpuas hati. Tambahan lagi, Pingat Wabak tidak memberi kesan moral yang besar pun sebagaimana Anugerah Ketenteraan, kerana pada masa wabak, sesiapa pun dapat mendapatkan pingat itu. Justeru, tiada yang berpuas hati.

Kesusahan lain lagi adalah pihak pentadbiran penjara tidak dapat mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak gereja, lebihlebih lagi angkatan tentera. Rahib di dua buah gereja Oran telah ditempatkan di dua buah rumah keluarga yang kuat beribadat. Begitu juga, apabila mungkin, beberapa kumpulan manusia akan dikeluarkan dari berek dan diletakkan di sekolah-sekolah atau bangunan-bangunan awam. Dengan demikian, seakannya wabak telah memaksa penduduk untuk bersolidariti, sekaligus telah memecahkan kesatuan masyarakat dan membuatkan penduduk kembali mengasingkan diri, hidup bersendirian. Ini juga menyebabkan kebingungan.

Ditambah dengan kerasnya angin, suasana itu juga telah menimbulkan kepanasan di dalam hati penduduk. Pintu-pintu bandar telah diserang beberapa kali pada waktu malam. Kali ini, penyerangnya terdiri daripada beberapa kelompok kecil bersenjata. Berlakunya tembak-menembak, ada yang luka, ada juga yang dapat melepaskan diri. Pos-pos kawalan diperkasakan sehingga rusuhanrusuhan berhenti. Namun peristiwa itu telah membangkitkan suasana revolusi yang menyebabkan terjadinya beberapa rusuhan lain. Rumah-rumah yang telah terbakar atau ditinggalkan atas alasan jangkitan, telah dirompak. Sukar diperkatakan, sama ada kejadian itu telah dirancang sebelumnya atau tidak. Seringkali kesempatan yang ada menyebabkan orang melakukan perbuatan yang tidak baik; lalu ditiru juga oleh orang lain.

Justeru dapat dilihat seorang lelaki yang memecah masuk ke sebuah rumah yang sedang terbakar, sedangkan tuan rumah berada di depan matanya sahaja, dengan sedih melihat rumahnya yang terbakar. Melihat kelakuan lelaki itu, perbuatan itu pun ditiru pula oleh mereka yang menyaksikannya. Di jalan yang gelap yang disinari api kebakaran yang menyala, kelihatan bayangan yang tak menentu bentuknya, oleh kerana api yang mulai mengecil dan peralatan atau perabot yang diusung di atas bahu. Kebakarankebakaran itulah yang memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan darurat dan mengenakan hukuman yang setimpal.

Dua pencuri mati ditembak. Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ianya memberi kesan kepada pencuri atau perompak yang lain. Kerana dua hukuman mati di tengah-tengah wabak yang menyerang, ibarat setitik air di lautan. Hakikatnya, kebakaran dan kecurian semakin menjadi-jadi. Tetapi pihak berkuasa tidak menunjukkan tanda-tanda untuk campur tangan. Satu-satunya tindakan yang memberi kesan kepada semua penduduk adalah perintah berkurung pada waktu malam. Mulai dari pukul sebelas malam, Oran seakan sebuah perkuburan yang besar, sunyi ditelan kegelapan.

Di bawah sinar cahaya bulan, dinding rumah dan jalanan yang bercahaya putih tidak dibayangi sebatang pokok pun. Keamanan mereka tidak diganggu oleh satu tapak kaki atau salakan anjing pun. Pada waktu itu bandar seperti sebuah kotak padat yang tidak bergerak. Di celah-celahnya kelihatan patung-patung orang kenamaan yang telah dilupakan, selama-lamanya terperangkap dalam ukiran gangsa. Hanya dengan melihat patung batu dan logam itulah mereka mengenang naluri kebaikan manusia yang mula menghilang. Patung-patung itu tersergam di bawah langit tebal dan perkarangan yang sepi. “Raksasa-raksasa” yang tidak berperasaan sepertinya membayangkan kelumpuhan yang akan menimpa bandar kami. Atau sekurang-kurangnya hukum alam itu akan menjadikan bandar kami sebagai sebuah kuburan yang luas, di mana wabak, batu, dan kegelapan, membungkam semua suara.

Kegelapan juga sudah menular ke dalam hati para penduduk. Kisah yang benar atau yang dibuat-buat tentang pengebumian, membuatkan penduduk bandar kami semakin ketakutan. Penulis meminta maaf, kerana tidak dapat tidak harus bercerita juga tentang pengebumian ini. Dia sedar, mungkin dia akan dipersalahkan dalam hal ini. Tapi satu-satunya penjelasan yang dapat diberikan ialah: sepanjang tempoh wabak itu memang pengebumian dilakukan. Dan seperti semua penduduk, penulis juga diwajibkan untuk melibatkan diri. Ini bukanlah kerana dia menyukai acara pengebumian tersebut. Sebenarnya penulis lebih suka untuk berada di kalangan orangorang yang masih hidup. Contohnya, mandi-manda di laut. Tetapi kegiatan itu juga telah dilarang. Sepanjang hari, mereka yang masih hidup bimbang tidak lama lagi akan tunduk kepada kematian. Itulah kenyataannya. Sudah tentu kami boleh menahan diri daripada melihat dengan menutup mata dan menolak kenyataan tersebut. Namun kenyataan tersebut mempunyai kekuatan yang hebat, yang akhirnya akan selalu menang. Seumpama, bagaimana untuk menolak daripada hadir ke pengebumian, sekiranya yang ditanam itu adalah orang yang dicintai?

Sebenarnya yang menjadikan pengebumian di bandar kami istimewa adalah kerana kecepatannya. Semua upacara rasmi telah dikurangkan. Secara umum, semua ritual sudah ditiadakan. Mangsa wabak yang meninggal tanpa seorang pun ahli keluarga bersama dan sebarang bentuk talkin di sisi mayat adalah dilarang sama sekali. Sehinggakan mereka yang meninggal di waktu siang, akan segera dikebumikan tanpa menunggu. Keluarga sememangnya akan diberitahu. Oleh kerana mereka berada berdekatan dengan pesakit, masuk ke tempat kuarantin sudah menjadi rutin hingga tidak dapat berpisah. Kalau ahli keluarga tidak tinggal bersama dengan pesakit, mereka akan datang pada waktu yang telah ditetapkan. Iaitu setelah mayat sudah dimandikan serta disiapkan untuk diangkat ke kawasan perkuburan.

Katakanlah segala acara ini berlaku di hospital bantuan yang dikendalikan oleh Rieux. Pintu keluar berada di belakang bangunan utama. Keranda-keranda disimpan di sebuah gudang besar bersebelahan dengan wad pesakit. Di gudang itu, ahli keluarga mendapati keranda ahli keluarga mereka sudah pun disimpan. Dengan cepat ahli keluarga harus menandatangani helaian kertas. Kertas itulah yang paling penting. Kemudian mayat dimasukkan ke dalam van, yang mungkin juga sebuah kereta khas jenazah, atau van ambulans yang besar yang telah diubahsuai untuk kerjakerja itu. Ahli keluarga yang mengiringi akan menaiki teksi yang masih dibenarkan berfungsi. Kemudian kenderaan-kenderaan itu pun cepat-cepat dikejarkan ke kawasan perkuburan melewati jalan utama di bandar. Tiba di pagar tanah perkuburan, pegawai polis akan menahan rombongan tersebut, mengecop surat keizinan yang harus dimiliki oleh setiap penduduk bandar untuk mendapatkan apa yang disebut sebagai tempat persemadian terakhir. Sesudah itu, pegawai polis itu akan membiarkan kenderaan melewati lubanglubang kubur yang sudah menanti penghuninya. Oleh kerana segala ritual telah ditiadakan, seorang paderi menyambut mayat di tempat pengebumian. Ketika doa sedang dibacakan, keranda dibuka, kemudian diikat dan ditarik, terus masuk ke dasar lubang. Ketika paderi merenjis-renjis air suci, tanah mula dikambus pada keranda si mati. Ambulans sudah pun pergi terlebih dahulu untuk disembur dengan campuran air bebas kuman. Di saat bunyi gumpalan-gumpalan tanah yang jatuh ke atas keranda sudah kurang kedengaran, ahli keluarga telah kembali duduk di dalam teksi. 15 minit kemudian mereka sudah pun tiba di rumah.

Begitulah semuanya berlangsung. Sepantas kilat dengan risiko yang seminima mungkin. Pada mulanya, rasa kemanusiaan mereka agak tersinggung dengan hal tersebut. Tetapi dalam tempoh bencana ini, semuanya tidak diambil berat lagi. Lagi pun, semua pengebumian berjalan dengan memuaskan. Di awalnya penduduk agak terseksa dengan pengebumian yang sepantas kilat itu. Kerana upacaranya harus lebih besar daripada itu. Tapi mujurlah selepas itu, masalah kekurangan makanan pula yang melanda. Membuatkan penduduk mengalihkan perhatian kepada hal yang lebih mendesak. Mereka sibuk dengan beratur, mencari bekalan di kedai, mengisi borang itu-ini untuk mendapatkan makanan. Sehingga mereka tidak punya masa untuk memikirkan orang yang meninggal di sekeliling mereka, walaupun mereka sendiri akan mati di kemudian hari nanti. Ternyata, kesusahan untuk mendapatkan keperluan seharian pada awalnya, kemudiannya menjadi sesuatu yang berguna. Hal yang sedemikian pasti tidak akan berlaku, sekiranya wabak tidak merebak dengan meluas seperti yang diceritakan di awalnya.

Oleh kerana pada waktu itu keranda sudah mula kehabisan, sama juga dengan kain kafan dan tanah perkuburan pun sudah berkurang, maka harus difikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah baru yang timbul itu. Jika mahu dilihat praktikal, cara yang paling sederhana adalah dengan menggabungkan semua upacara pengebumian sekaligus. Jika perlu, jadual ulang-alik dari hospital ke kawasan perkuburan harus ditambah. Pada waktu itu, di hospital Rieux hanya ada lima keranda. Apabila kelimanya itu sudah diisi, ambulans akan mengangkutnya Di kawasan perkuburan, keranda itu akan dikosongkan, mayat-mayat yang berwarna kelabu akan diletakkan di atas pengusung dan dibawa ke sebuah bangsal, menunggu giliran mereka. Keranda-keranda itu akan disembur dengan campuran air bebas kuman, kemudian dibawa kembali ke hospital. Dan proses itu akan berulang sebanyak yang diperlukan. Prosedur itu sangat bagus dan memuaskan hati Prefek. Dia berkata kepada Rieux, cara sebegitu lebih baik daripada kereta angkut yang digunakan orang Negro (seperti dalam catatan sejarah wabak zaman lampau).

“Ya,” sahut Rieux. “meskipun cara penguburannya sama, kami mencatat nama dan jumlah kematian untuk disimpan di dalam arkib. Itu baru satu kemajuan.”

Walaupun pihak pentadbiran melihat cara itu berhasil, ada sesuatu yang tidak menyenangkan. Mulai dari waktu itu, Prefek tidak mengizinkan lagi ahli keluarga hadir dalam upacara pengebumian. Mereka hanya diizinkan sampai di depan pagar kawasan perkuburan. Itu pun tidak diizinkan secara rasmi. Kerana sejak akhir-akhir itu, upacara pengebumian sudah jauh berubah. Jauh di hujung kawasan perkuburan, di tanah lapang yang terlindung oleh pokok-pokok lentiscus, tersedia dua lubang besar. Satu untuk mayat lelaki dan satu lagi untuk mayat perempuan. Dalam hal ini, pihak terlibat masih mempunyai rasa hormat kepada mayat. Hanya di kemudian hari, ketika keadaan sudah benar-benar memaksa, rasa hormat itu sudah hilang kerana mayat lelaki dan perempuan pun sudah dikuburkan bersama dan bertindih satu sama lain tanpa rasa malu. Mujurlah semua kekacauan ini baru terjadi di hujung-hujung wabak.

Pada masa ini, lubang kuburan masih diasingkan mengikut jantina, dan Prefek berkeras mahukan begitu. Pada dasar lubang-lubang itu, kapur keras yang berasap dan mendidih ditabur. Ia kapur yang sama yang diletak di pinggiran lubang, gelembungnya berpecahan di udara. Apabila van ambulans sudah selesai menghantar mayat, pengusung akan diusung beriringan. Jasad-jasad yang sudah telanjang dan membongkok itu akan diaturkan ke dalam lubang dalam keadaan sebelah-menyebelah. Ketika itulah dimasukkan kapur keras, kemudian tanah, tapi hanya dikambus pada ketinggian tertentu untuk memberi ruang pada mayat yang lain pula. Keesokan harinya, ahli keluarga akan diminta untuk menandatangani laporan kematian. Perbezaan yang jelas antara manusia berbanding anjing hanyalah kematian manusia dicatat kemas dan boleh disemak di kemudian hari.

Untuk melaksanakan semua prosedur itu, diperlukan banyak pegawai padahal jumlah tenaga manusia sudah semakin berkurang. Ramai penggali kubur, pengangkat usungan, dan kemudiannya sukarelawan mati dijangkiti wabak. Walaupun mereka sudah sangat berhati-hati, namun ketika ianya merebak tetap akan terkena juga. Jika difikirkan baik-baik, dan ini menghairankan, selama tempoh wabak itu menyerang, tidak pernah putus orang untuk melakukan tugas tersebut. Tempoh yang kritikal bermula sebelum wabak mencapai titik kemuncaknya, dan Rieux mempunyai alasan untuk merasa bimbang. Tenaga kerja memang tidak mencukupi, baik pekerjaan ringan mahupun pekerjaan berat. Tapi paradoksnya, ketika wabak sudah betul-betul mencengkam seisi bandar, malapetaka ini telah membuatkan kehidupan menjadi mudah. Kegawatan ekonomi telah mengakibatkan pengangguran. Seringkali Rieux dan kawankawannya kekurangan tenaga di bahagian pentadbiran. Sebaliknya, pencarian tenaga untuk pekerjaan berat tidak pula memeningkan kepala.

Sememangnya bermula pada waktu itu, kemiskinan mula lebih dirasai berbanding ketakutan; apatah lagi kerana pekerjaan itu sememangnya berisiko. Di bahagian perkhidmatan kesihatan, permohonan pekerjaan tidak henti-henti masuk. Setiap kali ada kekosongan, nama yang berada di bahagian paling atas senarai akan dipanggil. Mereka akan menjawab panggilan itu, melainkan mereka sudah “dipanggil” ke lubang kubur. Dengan demikian, Prefek yang selalu keberatan untuk menggunakan tenaga banduan dalam melakukan pekerjaan berat, boleh menahan pelaksanaannya. Selagi masih ada pengangguran, dia masih boleh menunggu.

Menuju penghujung bulan Ogos, begitulah keadaannya. Penduduk bandar kami akan dapat dihantar ke tempat persemadian terakhirnya. Kalau tidak secara terhormat pun, cukuplah dengan ritual seadanya. Paling kurang pihak berwajib merasakan telah melaksanakan tanggungjawabnya kepada masyarakat. Namun harus juga diceritakan di sini kejadian selanjutnya untuk menggambarkan kaedah lain yang terpaksa dilakukan.

Bermula Ogos dan seterusnya, kawasan perkuburan kami yang kecil sudah tidak mampu menampung lagi kematian akibat wabak yang cukup melampaui batas. Meskipun pagar perkuburan dirobohkan untuk membolehkan mayat-mayat lain ditanam di sekitar saja, harus difikir cara lain untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pertamanya, mereka telah memutuskan untuk melakukan penguburan pada waktu malam. Dengan cara itu, mereka boleh berbuat sebebas mungkin. Semakin banyak dan banyak mayat yang ditimbun di dalam van ambulans. Mereka yang melanggar peraturan dengan berlegar-legar di luar waktu perintah kurungan, selalu saja melihat van panjang berwarna putih meluncur laju, dengan sirennya yang mendengung melalui jalan yang lengang. Dengan cepat jasad-jasad yang tidak bernyawa itu akan dilempar ke dalam lubang. Jasad yang terakhir masih belum disusun dengan baik, tetapi kapur sudah ditimbus dengan penyodok ke atas wajah mereka, disusuli tanah yang menutup terus kesemuanya. Di dalam lubang yang digali semakin dalam itu, mayat-mayat sudah tidak dapat dibezakan yang satu dengan yang lainnya.

Tidak lama kemudian, ianya menjadi keperluan untuk mencari kawasan yang baru dan juga kaedah yang baru. Prefek mengeluarkan arahan kecemasan dengan menarik balik hak milik tanah perkuburan. Mayat-mayat yang telah dikebumikan digali semula, lalu sisa-sisanya dibawa ke tempat pembakaran mayat. Sejurus selepas itu, semua korban wabak dibawa ke sana untuk dibakar. Ketika itu, pihak berwajib menggunakan “ketuhar” lama yang terletak di luar pintu sebelah timur bandar. Pondok pengawalan yang berada di timur terpaksa ditempatkan lebih jauh lagi. Atas nasihat seorang pekerja majlis perbandaran, tugas Prefek menjadi lebih mudah. Trem yang dahulunya bergerak di pinggiran laut dan tidak digunakan sejak wabak melanda, kini dimanfaatkan kembali. Bahagian dalamannya dibuang. Gerabak dan enjin telah diubah sesuai dengan keperluan. “Ketuhar” pembakar mayat diletakkan di landasan kereta api yang menyimpang. Membuatkan tempat itu kelihatan seperti terminal.

Sepanjang akhir musim panas dan hujan musim luruh, pada waktu malam kelihatan trem tanpa penumpang melewati tebing di atas laut. Akhirnya penduduk mengetahui tujuan trem itu. Dan meskipun pasukan pengawal melarang orang memasuki kawasan yang dilalui trem, ada juga penduduk yang berjaya menyelinap di antara batu-batu karang yang diserang air ombak. Ketika trem melalui, mereka akan melempar bunga ke dalam gerabak. Di tengah kegelapan pada malam musim panas, kedengaran kenderaan itu berdenting sarat dengan muatan bunga dan mayat.

Pada pagi hari-hari pertama selepas itu, asap tebal yang melayanglayang di kawasan timur bandar menimbulkan rasa muak. Walaupun tidak menyenangkan, asap itu tidak membahayakan orang yang menghidunya. Begitulah kata doktor. Namun, penduduk mengancam untuk meninggalkan kawasan mereka. Mereka yakin, dengan cara itulah wabak akan menyerang dari langit. Sehingga pihak berkuasa terpaksa mengubah arah asap itu dengan menggunakan sistem penyaluran yang rumit. Lalu penduduk kembali bertenang. Hanya ketika angin bertiup kencang saja, bau-bau itu datang juga daripada timur, mengingatkan mereka bahawa sudah ada peraturan baru. Dan pada setiap malam, api wabak “membuat persembahan mereka”.

Itu adalah kesan wabak ketika saat kemuncaknya. Mujurlah ia tidak menjadi lebih dahsyat di kemudian harinya. Seandainya demikian, dapat dibayangkan bagaimana dengan sumber alternatif yang terhad di pihak pentadbiran, kemampuan tenaga kerja pegawainya, bahkan kapasiti “ketuhar” pun tidak akan mampu lagi mengawal keadaan. Rieux mengetahui sudah dirancang satu jalan keluar yang lagi menyedihkan. Contohnya, pembuangan mayat ke laut. Dia dapat membayangkan air biru laut yang berbuih akan tercemar kerananya. Dia tahu dengan kadar kematian yang masih meningkat, sehebat mana pun sesuatu organisasi pasti tidak akan mampu bertahan. Sehebat mana pun usaha yang dilakukan pihak pemerintah, penduduk akan mati bertimbunan dan membusuk di jalanan. Dan di tempat awam akan kelihatan orang-orang yang sedang nazak berpaut erat kepada yang masih hidup disertai perasaan penuh benci, bercampur harapan yang tidak masuk akal.

Pendek kata, itulah kenyataan yang membuatkan penduduk bandar tetap rasa terasing dan terpisah daripada orang yang mereka cintai. Mengenai hal ini, dengan penuh rasa kesal penulis tidak dapat menceritakan sesuatu yang hebat di sini; suatu kisah kepahlawanan atau kisah yang dikenang seperti yang diceritakan dalam kisah lampau. Sebenarnya, wabak pun tidak kurang hebatnya. Dan bencana-bencana besar itu mula kelihatan membosankan kerana tempohnya yang lama. Bagi mereka yang hidup pada waktu itu, hari-hari wabak itu bukanlah seperti nyalaan api yang dahsyat dan kejam, melainkan seperti injakan-injakan kaki raksasa yang perlahan-lahan yang menghancurkan semua yang dilaluinya.

Tidak. Wabak yang sebenar tidak sama pun dengan bayangan hebat yang menghantui Rieux sejak dari permulaan waktu jangkitan wabak. Pertama wabak adalah perancang yang teliti, rapi dan sangat berkemahiran. Itulah sebabnya, secara sepintas lalu, untuk tidak lari daripada kenyataan, dan lebih-lebih lagi untuk tidak mengingkari diri sendiri, penulis ini berusaha untuk bercerita dengan penuh objektif. Penulis hampir tidak mengubah sesuatu pun, demi keindahan seni dan sastera, kecuali seminimum yang diperlukan supaya ceritanya dapat lebih difahami. Atas dasar keobjektifan itulah penulis mengatakan, penderitaan yang paling besar dan umum pada waktu itu adalah perpisahan penduduk daripada orang yang mereka cintai. Adalah suatu kemestian untuk menceritakan perihal itu ketika wabak sudah hampir mencapai fasa kemuncaknya. Dan tidak dapat dinafikan lagi penderitaan itu sudah tidak lagi terasa pilu.

Adakah penduduk bandar kami, hatta yang merasa paling terseksa pun, sudah mula rasa terbiasa hidup tanpa yang dicintai? Untuk mengatakan sebegitu mungkin tidak begitu tepat. Lebih tepat lagi, mereka sudah hilang semangat, baik luaran mahupun dalaman. Ketika permulaan wabak, mereka akan langsung teringat kepada mereka yang tiada di samping dan mula menyesali ketidakhadirannya.

Namun, meskipun teringat wajah yang tercinta, senyum tawanya, juga hari-hari bahagia yang pernah dilalui bersama, mereka sukar untuk membayangkan apa yang sedang dilakukan oleh kekasih mereka itu di saat mereka terkenangkan dari tempat yang jauh. Ringkasnya, kenangan itu memang ada, tetapi khayalannya tidak cukup kuat. Ketika fasa kedua wabak, kenangan itu pun sudah terhapus dari minda mereka. Bukanlah mereka sudah melupakan wajah kekasih mereka tetapi wajah itu sudah terlihat lagi di dalam pantulan hati mereka.

Pada minggu-minggu pertama dulu, mereka asyik mengeluh kerana hanya bercinta dengan bayangan. Kemudian mereka menyedari, bayangan itu pun sudah bertambah lesu. Warnawarni kehidupan yang tersimpan di dalam ingatan sudah semakin pudar. Di hujung perpisahan yang panjang itu, mereka sudah tidak dapat membayangkan lagi keakraban yang pernah mereka miliki, bagaimana hidup berdekatan dengan orang yang selalu disentuh dulu.

Dalam keadaan begini, boleh dikatakan mereka sudah membiasakan diri untuk hidup di tengah-tengah serangan wabak. Kerana sudah tidak ada jalan lain. Di bandar kami, tiada lagi yang memiliki perasaan yang luar biasa. Semua orang sudah letih. Sudah tiba masanya semua berakhir. Demikianlah kata penduduk bandar kami. Kerana dalam tempoh bencana, hanya mengharapkan pengakhiran penderitaan itu. Tetapi semua itu dikatakan tanpa semangat dan penuh kepahitan, tidak seperti ketika permulaan bencana dulu. Hanya yang terkeluar adalah beberapa idea yang walaupun jelas, kedengaran tidak meyakinkan. Semangat yang dulu telah diganti dengan kelesuan. Bukanlah bermaksud mereka sudah pasrah, tetapi lebih kepada persetujuan bersama.

Penduduk bandar kami sudah memperlahankan langkahan mereka. Seperti kata orang, mereka mula menyesuaikan diri, kerana sudah tiada apa lagi yang dapat dilakukan. Sudah tentu mereka masih lagi sedih dan menderita, tetapi bisanya itu sudah tidak terasa lagi. Sesetengah orang, Rieux di antaranya, menganggap perasaan pasrah ini lebih teruk daripada kesedihan itu sendiri. Dulunya, mereka yang terpisah dengan yang tercinta masih tidak merasa kesedihan yang melampau, kerana mereka masih menyimpan sedikit harapan. Namun, semuanya sudah padam. Sekarang, mereka berdiri di sudut-sudut jalan, di kafe, atau di rumah kawan-kawan mereka. Kelihatan tenang namun dengan pandangan yang menunjukkan kebosanan. Oleh sebab sebegitu rupa, seluruh bandar ibarat sebuah menunggu di stesen kereta api.

Mereka yang masih mempunyai pekerjaan melaksanakan tugas mereka itu seiring dengan wabak yang berjalan; teliti tapi tanpa semangat. Mereka mula jadi pendiam. Ketika dulunya, mereka yang terpisah tanpa langsung tidak keberatan berbicara tentang kekasih mereka dalam bahasa yang dapat difahami semua. Dan mengira detik perpisahan itu sama seperti mengira statistik kematian. Sebelum wabak itu mencapai kemuncaknya, mereka menolak untuk menyamakan penderitaan mereka dengan yang lainnya, dan sekarang mereka mula menerima hakikatnya. Tanpa kenangan, tanpa harapan, mereka hidup dari hari ke hari saja. Sekarang, semua sudah ada makna bagi mereka. Tidak dapat dinafikan, wabak telah memusnahkan kekuatan cinta bahkan rasa setiakawan di antara penduduk. Ini kerana cinta memerlukan sedikit masa hadapan, sedangkan kami hanya memiliki waktu yang sedikit saja.

Tentu saja tak satu pun dari semua itu bersifat mutlak. Kalau betul semua yang terpisah bersikap sedemikian, masih ada yang tidak sebegitu rupa. Walaupun dalam keadaan sedemikian, masih ada sedikit sinar yang terang, kepingan-kepingan cahaya dari kenangan yang menyegarkan mereka. Ini berlaku apabila, mereka merancang sesuatu, dengan andaian wabak akan berakhir.

Kadang-kadang secara kebetulannya, dalam keadaan yang tidak dijangka juga. Ada yang tiba-tiba menemukan kekuatan. Lantas meninggalkan kelesuan mereka di hari-hari tertentu dalam seminggu. Dan sudah tentulah ianya berlaku pada hari Sabtu malam Ahad dan keesokannya. Ini kerana pada hari-hari itulah mereka menghabiskan masa bersama kekasih mereka dulu. Juga pada waktu senja, ketika merasa gundah-gelana, mereka berharap sedikit kenangan akan menyelinap kembali ke dalam hati. Bagi mereka yang kuat beribadat, waktu malam adalah waktu untuk bermuhasabah. Sebaliknya pula bagi para banduan dan mereka yang rasa terasing, kerana mereka hanya ada kekosongan untuk direnung. Seketika mereka terperangkap dalam ketegangan, kemudian kembali terlelap, menyelimuti diri bersama wabak.

Ini bermakna mereka telah melepaskan segala-galanya yang dimiliki. Ketika wabak mula menyerang dulu, mereka memperbesarkan perkara yang remeh-temeh yang mereka anggap perkara besar, padahal tidak bererti pun di mata orang lain. Sekarang, untuk pertama kalinya mereka menyedari keunikan dalam kehidupan manusia. Mereka hanya mengambil berat seperti yang lain-lain juga. Bahkan kuasa cinta pun kini hanya kelihatan seperti sebuah idea, tidak nyata.

Mereka betul-betul pasrah. Sampaikan ada di antara mereka yang berharap untuk tidur nyenyak selama-lamanya. Dan mereka juga ada terfikir: “Baguslah kalau aku mendapat bengkak-bengkak itu dan cepat mati!” Tetapi di dunia nyata, memang benar mereka sedang tidur. Tempoh itu adalah masa tidur yang panjang. Bandar itu dipenuhi dengan orang yang tidur dengan mata terbuka. Apabila malam menjengah, “luka-luka” yang telah tertutup kembali terbuka. Lantas mereka terbangun. Dengan penuh kebingungan mereka meraba-raba bibir “luka” yang ngilu. Ketika itulah penderitaan mereka terasa lebih menyedihkan. Serentak itu, muncullah kembali wajah sang kekasih. Keesokan paginya, mereka menjalani rutin harian mereka, berjalan bersama-sama dengan wabak.

Pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana agaknya rupa mereka yang terpisah dari orang yang dicintai mereka. Jawapannya mudah saja: tiada yang berbeza. Atau dengan ayat yang lebih jelas, mereka seperti orang lain juga. Dalam kehidupan sehari-hari, aktiviti mereka tiada yang menarik pun. Mereka sudah hilang tanda-tanda waspada, dan mula tidak peduli. Contohnya, yang paling aktif di antara mereka pun, pura-pura mencari berita tentang pengakhiran wabak sama ada di surat khabar ataupun radio. Tanda mereka masih ada sedikit harapan. Kadang-kadang mereka merasakan kebimbangan yang tidak berasas apabila membaca tulisan seorang wartawan yang mungkin sudah kebosanan. Sementara itu, mereka minum bir mereka, merawat kesakitan, melepak atau meletihkan diri dengan kerja, mendaftar laporan kematian, atau memainkan piring muzik di rumah. Dalam ayat yang lain, mereka tidak memilih. Wabak telah menghilangkan pertimbangan pada harga atau nilai. Ini dapat dilihat bagaimana seseorang tidak memilih pun kualiti pakaian atau makanan yang dibeli. Mereka menerima segalanya tanpa memilih.

Senang cerita, sang kekasih tidak lagi nampak berbeza dengan orang yang lainnya di pandangan mata mereka. Mereka telah kehilangan rasa cinta dan manfaat daripadanya. Sekurang-kurangnya keadaan sudah jelas: bencana telah melibatkan semua orang. Kami berada di tengah-tengah bunyi tembakan di pintu bandar, bunyi cop berirama menandakan kematian seseorang. Di tengah-tengah kebakaran atau borang pendaftaran kematian, kekalutan dan segala ritual. Kami semua akan mati dengan perlahan-lahan, dicatat dan didaftarkan, di dalam asap yang mengerikan serta diiringi bunyi siren van ambulans yang tenang. Dan dalam tempoh itu juga kami mendapat makanan yang telah dicatu, tanpa sedar menunggu, pertemuan semula dan keajaiban yang tidak kunjung tiba.

Sudah tentu rasa cinta itu masih wujud, tapi kami tidak lagi menggunakannya. Dalam hati, rasa cinta itu terasa berat dan tidak bergerak. Seolah dikenakan hukuman mati. Hanya rasa sabar yang tinggal, rasa yang tiada masa depan. Menunggu dalam kebuntuan. Dari satu sudut, penduduk bandar kami kelihatan seperti satu barisan panjang yang beratur di satu kawasan bandar, contohnya di depan kedai makanan. Begitulah kepasrahan dan kesabaran mereka, tidak berpenghujung tanpa harapan. Hanya rasa kelaparan saja yang perlu menyamai rasa perpisahan dengan yang tercinta, kerana kelaparan mampu menelan seisi dunia.

Seandainya pembaca ingin membayangkan rasa hati penduduk yang terpisah dari orang yang dicintai ini, mereka harus melukiskan malam-malam suram dan dilatari langit keemasan yang berdebu yang memayungi jalanan tanpa pokok-pokok, di kala lelaki dan perempuan keluar ke jalanan. Dengan tidak ada sebuah kenderaan atau mesin apa pun yang biasanya menjiwai sebuah kota. Di anjunganjung bermandikan cahaya matahari, yang kedengaran hanyalah bunyi langkah-langkah yang cepat disertai suara yang mendengung. Ribuan kasut yang terseret seirama dengan siulan wabak di bawah langit yang lembap. Injakan kaki tanpa henti akhirnya menghambat pernafasan. Bunyi dengungan bencana beransur-ansur memenuhi kota. Dan malam demi malam yang berlalu memberikan ekspresi yang tulus dan menyedihkan kepada segala usaha yang samar, yang menggantikan rasa cinta di hati kami.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience