Kematian Michael menandakan berakhirnya satu fasa pertama yang penuh membingungkan, tetapi juga permulaan kepada fasa kemudiannya yang lebih dahsyat. Kejadian di hari-hari pertama telah membuatkan penduduk panik. Pada awalnya, penduduk tidak pernah menyangka bahawa bandar kecil mereka ‘terpilih’ untuk menjadi lokasi untuk tikus-tikus mati dengan banyaknya, juga sebagai lokasi para penjaga bangunan yang lain mati disebabkan penyakit yang aneh. Sangkaan mereka salah dan pendapat ini harus dikaji semula.
Seandainya kejadian ini tidak berlanjutan, sudah tentu keadaan akan kembali seperti biasa. Tetapi semakin hari semakin ramai yang menyusuli Michael, mati. Saat itulah ketakutan mula menyerang penduduk bandar dan mereka mula memikirkan hal itu dengan serius.
Pun begitu, sebelum diterangkan fasa kejadian yang seterusnya, penulis berasa perlu untuk menceritakan serba sedikit perihal seorang saksi lain di dalam fasa pertama kejadian sebelum ini. Jean Tarrou, seperti yang kita sudah temukan pada permulaan kisah ini, telah datang ke Oran beberapa minggu sebelumnya. Dia menetap di hotel mewah di pusat bandar. Dia kelihatan bersahaja dan tiada sebarang urusan perniagaan di bandar. Lama-kelamaan penduduk bandar mula terbiasa dengan kehadirannya. Tiada siapa tahu dari mana dia datang dan apa yang membawanya ke Oran. Dia selalu kelihatan di tempat awam. Pada musim bunga, dia selalu dilihat berenang-renang di pantai. Seorang yang pandai berjenaka dan murah dengan senyuman. Rutin hariannya adalah bergaul dengan para penari dan ahli muzik berdarah Sepanyol yang ada di bandar kami.
Buku notanya mengandungi catatan berupa perincian kejadian aneh yang menimpa bandar kami sebelum ini. Tetapi bukan sejenis catatan yang biasa kerana kandungannya mengandungi perincian yang kurang tepat. Mungkin kerana Tarrou memerhatikan apa yang berlaku dari sudut pandang yang salah, maksudnya dia meletakkan dirinya sebagai seorang saksi biasa saja. Sudah tentu ini sesuatu yang agak janggal dan menunjukkan dirinya sebagai seorang yang kurang peka. Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan catatannya itu memberikan beberapa perincian penting tentang apa yang terjadi sekaligus dapat menutup kritikan terhadapnya.
Catatan-catatan awalnya berupa perihal ketibaannya ke Oran. Walaupun kedengaran agak paradoks, awal-awal lagi dia telah menyatakan kepuasan hatinya kerana menemukan sebuah bandar yang amat tidak menarik. Lagi dia memperincikan penerangan tentang dua patung singa bersalut perak yang menghiasi pejabat majlis perbandaran. Dia juga sempat mengkritik akan kurangnya pokok, senibina rumah yang hodoh, dan susun atur bandar yang teruk. Dia juga memasukkan perbualan-perbualan yang dia dengar dalam trem dan di jalanan, tanpa menambah sebarang ulasan. Kecuali mengenai perbualan yang dia dengar antara dua orang konduktor trem. Mereka berbual tentang seseorang yang bernama Camps.
“Kamu kenal Camps, kan?”
“Camps? Yang tinggi dan bermisai hitam itu?”
“Ya, betul. Yang bekerja sebagai penjaga landasan kereta api.”
“Oh ya. Aku sudah ingat sekarang.”
“Dia sudah meninggal.”
“Oh! Bila?”
“Selepas masalah dengan tikus-tikus itu.”
“Kenapa sekarang baru cakap! Dia sakit apa?”
“Aku tak pasti. Barangkali demam. Dia memang tidak sihat. Katanya ada nanah di bawah lengannya. Mungkin dia mati disebabkan itu.”
“Padahal dia nampak sihat saja.”
“Tak. Dadanya memang lemah. Dia pernah bermain trombon untuk sebuah kumpulan di bandar. Mungkin sebab itulah paruparunya lemah.”
“Ah, buat apa bermain alat muzik besar macam itu kalau paru-paru sendiri lemah.”
Selepas itu, dia cuba mencari sebab mengapa Camps masih juga menyertai kumpulan muzik itu walaupun dia tidak sihat. Juga apakah yang mendorongnya merisikokan nyawanya hanya untuk berarak di jalanan sambil bermain trombon pada setiap pagi Ahad.
Antara catatannya yang lain, dia agak tertarik dengan apa yang berlaku di balkoni seberang jalan yang menghadap jendela biliknya, yang dipisahkan dengan sebuah jalan kecil. Di jalan itu selalu ada kucing yang tidur di bawah teduhan. Setiap hari selepas makan tengah hari, ketika bahang panas memuncak, seorang lelaki tua keluar dari balkoni yang berseberangan dengan jendela bilik Tarrou itu. Penampilannya ala-ala tentera.
Sambil bersandar di dinding balkoni, dia memanggil kucingkucing itu, “pus, pus.” Kucing-kucing itu mendongak ke atas dengan mata yang separuh terbuka. Lelaki tua itu mencarik helaian kertas menjadi kecil dan menaburkannya di atas jalan. Tertarik dengan ‘hujan rama-rama putih’ itu, kucing-kucing itu menuju ke arah cebisan kertas itu dan menggapainya. Kemudian, selepas menyasarkan dengan betul, dia meludah ke atas kucing-kucing itu. Apabila ludahannya terkena salah seekor daripada kucing-kucing itu, dia ketawa puas.
Akhir sekali, Tarrou nampaknya kagum dengan aktiviti urusniaga yang berlaku di bandar kami. Seolah-olahnya segala aktiviti ini berjalan dengan sendirinya. Dia mengagumi keunikan (istilah yang dia gunakan di dalam catatannya) ini. Dia mengakhiri catatan ini dengan kata seru:
“Akhirnya!”
Setakat sekarang, itulah beberapa catatan Tarrou yang agak bersifat peribadi. Pendek cerita, jika diteliti betul-betul, nampaklah betapa dia tidak serius dalam membuat catatan itu. Sebagai contoh, setelah menceritakan tentang kesilapan juruwang dalam membuat bil hotelnya kerana terkejut dengan penemuan seekor bangkai tikus, dia menambah:
Pertanyaan: Bagaimana caranya jika tidak ingin membazirkan masa seseorang? Jawapan: Peka dengan keadaan. Caranya: Dengan menunggu doktor gigi sepanjang hari duduk di atas kerusi yang tidak selesa; menghabiskan masa hujung minggu di balkoni; mendengar pidato dalam bahasa yang asing; berjalan-jalan dengan mengambil laluan kereta api terpanjang; beratur untuk di kaunter tiket teater tetapi tidak membelinya; dan banyak lagi.”
Selepas keterangan yang aneh itu, Tarrou memperincikan tentang perkhidmatan trem di bandar kami. Reka bentuknya, warnanya yang lusuh, dan selalunya kotor. Dan dia menyimpulkan dengan frasa “Sangat pelik,” yang sebenarnya tidak menjelaskan apa-apa pun.
Sekarang baru akan diceritakan tentang catatan Tarrou berkenaan fenomena tikus-tikus itu.
Hari ini lelaki tua di balkoni itu nampak agak kemurungan sedikit. Kucing-kucing itu tidak kelihatan lagi. Tikus-tikus yang mati di sepanjang jalan itu mungkin telah membangkitkan naluri pemangsa mereka. Aku berfikir, mustahil kucing-kucing itu makan tikus mati. Seingat aku, kucing aku sendiri akan menjauhkan diri. Mungkin mereka sedang galak berburu di bawah tanah, sehingga membuatkan lelaki tua itu murung. Rambutnya tidak kelihatan rapi seperti biasa, dan dia sendiri nampak agak bersahaja. Aku dapat rasa dia sedang risau. Selepas beberapa ketika, dia masuk kembali ke biliknya. Tapi sebelum itu, sempat lagi dia meludah ke jalan yang kosong.
Hari ini, trem di pusat bandar terpaksa dihentikan kerana dijumpai seekor bangkai tikus di dalamnya. Tidak diketahui bagaimana ia boleh sampai ke sana. Dua atau tiga wanita turun. Tikus itu kemudiannya dibuang, dan trem menyambung perjalanannya.
Seorang peronda malam di hotelku, tenang orangnya, meyakinkan aku dengan adanya tikus-tikus itu bermakna sebuah malapetaka akan menyusul. Katanya, ‘Apabila tikus itu meninggalkan kapal…’ Aku membalas betullah kalau bercerita soal kapal, tetapi ianya belum pernah terjadi lagi di bandar. Tapi dia tetap dengan pendiriannya. Aku bertanya, apakah ‘malapetaka’ yang dia maksudkan. Dia juga tidak pasti, kerana perkara itu boleh datang tanpa diduga. Tapi dia tidak akan terkejut jika kekecohan berlaku menyerupai gempa bumi. Kuakui itu memang mungkin. Lalu dia bertanya apakah perkara ini tidak menakutkan aku.
‘Satu-satunya perkara yang menarik bagiku,’ kataku padanya,
‘adalah mencari ketenangan minda.’
Dia memahaminya sepenuhnya.
Di restoran tempat hotel aku menginap, ada satu keluarga yang agak menarik. Si ayah seorang lelaki yang tinggi, berpakaian hitam dengan kolar tebal. Bahagian tengah kepalanya botak, dengan rambut kekelabuan di kiri dan kanan. Matanya kecil, hidungnya sempit ke depan, mulutnya muncung, membuatkan dia kelihatan seperti seekor burung hantu. Selalunya dia yang pertama sampai ke pintu restoran, dan memberikan laluan kepada isterinya - wanita bertubuh kecil seperti seekor tikus - masuk, kemudian datang pula dua orang kanak-kanak lelaki dan perempuan berpakaian seperti anjing sarkas. Di meja, isteri akan duduk dahulu disusuli si ayah dan anak-anaknya. Dia tidak menggunakan panggilan manja kepada isterinya, hanya panggilan yang sopan saja. Lalu berkata kepada anaknya,
‘Nicole! Sopan sikit’
Anak perempuannya itu kelihatan seperti ingin menangis apabila dijerkah begitu.
Pagi ini anak lelakinya itu galak bercerita tentang tikus-tikus itu, dan ingin bercerita lebih lanjut lagi.
‘Philippe, kita tidak akan bincangkan soal tikus di meja makan. Dan ayah melarang kamu daripada bercerita lagi tentang perkara itu.’ ‘Betul cakap ayah kamu tu,’ sokong si ibu.
Anak-anak itu menundukkan pandangan ke pinggan mereka. Dan si ayah menganggap itu sebagai ‘arahan diterima’.
Orang di bandar itu, tidak mencontohi perkara ini. Sebaliknya, semua orang berbicara soal tikus. Di dada-dada akhbar juga tidak terkecuali. Kolum-kolum akhbar mula berkempen secara khusus melawan pihak pemerintah. ‘Adakah orang atasan ini memang tidak sedar akan bahaya yang dibawa oleh bangkai-bangkai tikus itu?’ Pengurus hotel di bawah ini tidak boleh lagi bercakap tentang perkara lain. Dia juga ada kebimbangan tersendiri; dia tidak dapat bayangkan jika bangkai tikus itu mula dijumpai di dalam lif hotel miliknya, itu adalah pengakhiran segala-galanya. Aku cuba menenangkannya, aku berkata: ‘Kita semua kan sama sekarang.’
‘Itulah,’ balasnya. ‘Sekarang kita semua sudah sama macam orang
lain.’
‘Pengurus hotel itu antara yang pertama memberitahu aku tentang kes-kes demam yang pelik itu. Salah seorang pembantu rumahnya juga terkena penyakit itu.’
‘Tapi saya yakin dia tidak akan merebak.’ dia meyakinkanku.
Aku memberitahunya yang aku tidak kisah akan semua itu.
‘Saya faham, tuan. Tuan macam saya, menyerah saja pada nasib.’
‘Aku tidak maksudkan sedemikian. Lagi pula, aku bukanlah orang yang menyerah saja pada nasib.’
Begitulah aku katakan kepadanya…
Mulai dari sini dan seterusnya, catatan Tarrou lebih rinci tentang demam misteri itu yang mencetuskan kerisauan umum. Tarrou mencatat bahawa lelaki tua itu akhirnya menemukan kembali kucing-kucing itu yang telah lama menghilang dan meneruskan tabiat lamanya itu. Tarrou juga menambah, lebih kurang sepuluh kes demam yang berlaku, dan semuanya berakhir dengan kematian.
Sebagai maklumat tambahan, mungkin boleh dimasukkan di sini gambaran Rieux yang ditulis Tarrou. Pada perkiraan penulis, boleh dikatakan gambaran itu agak tepat.
Doktor itu mungkin berumur dalam lingkungan 35 tahun. Ketinggiannya sederhana. Dadanya bidang. Bentuk mukanya hampir petak. Matanya gelap, cuma rahangnya saja agak menonjol. Hidungnya besar. Rambutnya hitam, dipotong pendek. Mulutnya melengkung dan tebal, dan bibirnya selalu tertutup. Dengan kulitnya yang agak keperangan, ditambah sut hitam yang selalu dipakainya, seakannya mirip petani Sicilia.
Dia berjalan dengan laju, hatta ketika melintas jalan sekalipun. Tapi melompat dua tiga kali bila sampai ke hujung jalan. Dia agak cuai ketika memandu kereta, selalu lupa menutup lampu isyarat kereta selepas membelok. Tidak pernah bertopi. Kelihatannya seperti seorang yang pintar.
Share this novel