Maklumat Tarrou itu tepat. Kebimbangan Rieux tentang kejadian itu mungkin ada benarnya. Setelah mayat si penjaga bangunan, Michael, diasingkan, dia menghubungi Richard untuk bertanya perihal demam yang membengkak itu.
“Saya masih tak faham,” akur Richard. “Sudah ada dua kes kematian. Satu dalam tempoh dua hari. Yang kedua pula dalam tempoh tiga hari. Pesakit kedua itu ada menunjukkan tanda-tanda akan sembuh ketika saya melawatnya pada hari kedua.”
“Tolong maklumkan kepada saya jika kamu ada kes terbaru.” kata Rieux.
Dia menghubungi pula beberapa rakannya yang lain. Hasil pertanyaannya mendapati sudah hampir dua puluh kes yang serupa terjadi dalam tempoh beberapa hari terakhir ini. Hampir semuanya berakhir dengan kematian. Kemudian dia menyarankan kepada Richard, yang juga pengerusi Persatuan Pengamal Perubatan di Oran, untuk menguarantinkan pesakit-pesakit baru.
“Maaf, tak boleh,” kata Richard. “Arahan itu hanya boleh dikeluarkan oleh Prefek (ketua pegawai pentadbiran bagi tanah jajahan Perancis) saja. Lagi satu, apakah sebab kamu kata sudah ada tanda-tanda penularan?”
“Tiada sebab yang kukuh. Tetapi tanda-tandanya semakin jelas.”
Walau bagaimanapun, Richard hanya mengulang, membalas, “perkara itu adalah di luar bidang kuasanya. Dia hanya boleh mengajukannya kepada Prefek saja.”
Semasa perbualan mereka berlangsung, cuaca bertambah buruk. Sehari selepas kematian Michael, awan tebal mula meliputi langit dan hujan pun turun mencurah-curah. Hujan itu singkat saja. Kemudian disusuli pula dengan suhu yang panas lembap. Laut juga telah kehilangan birunya. Di bawah langit yang gelap itu, ia bertukar warna menjadi silau keperakan sehingga menyakitkan mata yang memandang. Dengan panas lembap musim bunga, semua orang mengharapkan untuk menikmati musim panas yang segar dan kering.
Di bandar yang kelihatan seperti siput jika dilihat dari udara itu, yang terhalang pemandangannya dari laut, kelesuan mula melanda. Dikelilingi oleh dinding kapur, dengan deretan kedai yang berdebu, dan trem-trem yang kotor, seakannya terperangkap di dalam cuaca yang kotor. Walau bagaimanapun, tidak bagi salah seorang daripada pesakit Rieux, seorang warga emas Sepanyol. Dia seakan-akan menyenangi suasana ini.
“Panas,” katanya. “Bagus untuk dadaku.”
Memanglah panas, seperti demam juga. Dan memang seluruh penduduk bandar dilanda demam. Kesannya mula dirasakan Rieux ketika dia dalam perjalanan ke Jalan Faidherbe untuk bertanyakan tentang cubaan Cottard untuk membunuh diri. Tidak masuk akal hanya kerana demam. Dia berpendapat bahwa itu mungkin berpunca daripada keletihan dan kerisauan yang mencengkam dirinya. Dia berfikir sepatutnya sudah lama dia bercuti seketika daripada kerjanya dan bertukar angin seketika.
Sewaktu tiba di sana, ketua inspektor masih belum tiba lagi. Dia terserempak dengan Grand, dan memutuskan untuk menunggu dulu di rumah Grand. Kerani majlis perbandaran itu mempunyai dua bilik, dengan perabot yang sederhana banyak saja. Objek yang menarik perhatian hanyalah sebuah rak buku berisi kamus dan sebuah papan hitam kecil bertulis “jalan yang dipenuhi bungabunga” di atasnya.
Grand berkata bahawa Cottard kelihatan baik-baik saja semalam. Cuma ketika bangun pada waktu pagi, kepalanya agak sakit sedikit. Grand, yang juga nampak keletihan, berjalan mundar-mandir sambil membuka dan menutup sebuah beg fail berisi lembaran manuskrip di atas meja.
Sementara itu, dia mengatakan kepada Rieux bahawa dia kurang mengenali Cottard. Tapi dia yakin Cottard adalah orang berharta Dia juga kelihatan agak pelik. Pergaulan mereka hanya setakat bertegur sapa di tangga saja.
“Saya pernah berbual dengan dia dua kali sahaja. Beberapa hari yang lalu, saya terjatuhkan kotak kapur saya di luar rumah. Kapur itu ada yang berwarna merah dan biru. Ketika itulah Cottard keluar dari biliknya dan menolong saya mengutip kembali kapur-kapur itu. Dia bertanya apa yang mahu dibuat dengan kapur yang berwarnawarni itu.”
Kemudiannya Grand menjelaskan yang dia cuba mengasah kembali kemahiran bahasa Latinnya. Dia belajar bahasa itu di sekolah, tapi sudah berkarat sekarang.
“Begini doktor, setahu saya, memahami bahasa Latin dapat membantu seseorang itu memahami bahasa Perancis.”
Jadi dia menulis perkataan Latin di papan hitam. Warna kapur biru menunjukkan yang perkataan itu berubah mengikut peredaran zaman. Warna kapur merah pula menunjukkan sebaliknya.
“Saya tak pasti jika Cottard betul-betul faham atau tidak. Tapi dia nampak tertarik, lalu meminta sebatang kapur merah. Hairan saya dibuatnya. Tapi sudah tentulah saya tak dapat meneka apa yang ingin dilakukannya dengan kapur itu.”
Rieux bertanya apa lagi yang dibualkan oleh mereka berdua. Ketika itulah ketua inspektor itu masuk bersama pembantunya. Sebenarnya Rieux berminat untuk mendengar penjelasan Grand terlebih dahulu. Rieux perasan, ketika Grand merujuk kepada Cottard, dia akan menggunakan gelaran “lelaki malang itu,” dan pada satu ketika menggunakan ungkapan “penderitaannya sudah berakhir.” Ketika berbicara soal motif cubaan membunuh diri itu, Grand agak berhati-hati dengan pilihan kata-katanya. Lalu dia memilih ungkapan “kesedihan yang misteri.” Ketua inspektor bertanya lagi jika ada kelakuan Cottard yang memperlihatkan tanda-tanda dia ingin membunuh diri.
“Kelmarin dia mengetuk pintu bilik saya untuk meminta sebatang mancis. Saya memberikannya sekotak. Dia minta maaf kerana mengganggu saya, dia harap saya tidak kisah sebab kami berjiran. Dia berjanji akan pulangkan balik kotak saya itu tapi saya suruh dia simpan saja.”
Ketua inspektor itu bertanya lagi jika Grand ada perasan apa-apa yang pelik tentang Cottard.
“Yang pelik bagi saya adalah kerana dia nampak ingin berbual dengan saya. Tapi saya sedang sibuk waktu itu.” Grand menoleh ke arah Rieux dan berkata dengan malu-malu, “Sibuk dengan pekerjaan peribadi.”
Lalu ketua inspektor itu ingin bertemu dengan si pesakit. Rieux berpendapat adalah lebih baik jika Cottard dapat bersiap terlebih dahulu. Ketika Rieux memasuki bilik, Cottard mengenakan pijama berwarna kelabu. Dia bersandar ke kepala katil dengan riak wajahnya yang menakutkan.
“Di luar itu polis, kan?”
“Ya,” jawab Rieux, “tapi jangan gelabah sangat. Hanya beberapa soalan saja dan selepas itu dia akan tinggalkan kamu.”
Cottard membalas sebenarnya semua ini tidak perlu. Lagipun dia juga kurang suka dengan polis.
Kesabaran Rieux menipis.
“Saya pun sama juga. Hanya jawab soalan-soalan mereka seringkas mungkin, dan semuanya akan selesai.”
Cottard terdiam, dan Rieux kembali menuju ke pintu. Tapi Cottard memanggilnya kembali dan apabila dia berada di sisi katil, Cottard memegang tangannya dan berkata,
“Mereka tak akan tanya soalan yang susah kepada orang sakit, kan doktor? Lagi pula orang yang hendak membunuh diri?”
Rieux melihat ke arahnya sejenak. lalu meyakinkan Cottard yang tidak akan ada soalan semacam itu. Tambahan pula dia akan berada di situ melindungi pesakitnya. Cottard kelihatan lebih tenang, dan Rieux keluar untuk mendapatkan ketua inspektor.
Setelah dibacakan keterangan bersumpah Grand, lalu ketua inspektor bertanyakan motif perbuatannya. Tanpa memandang ketua inspektor, dia menjawab “kesedihan yang misteri” mungkin ungkapan yang paling tepat. Ketua inspektor kemudiannya bertanya sama ada dia berniat ingin mengulangi lagi atau tidak perbuatannya itu. Dengan penuh semangat dia menjawab tidak. Sebenarnya dia hanya tidak ingin diganggu lagi.
“Saya ingin mengingatkan, kamulah yang sebenarnya telah mengganggu orang lain!” bentak ketua inspektor itu. Rieux memandang ke arahnya dan mengisyaratkan supaya berhenti.
“Membazir masa saja!” kata ketua inspektor ketika sudah berada di luar. “Cubalah faham, kami sibuk dengan hal lain juga. Tambahan dengan masalah demam yang melanda sekarang ini.”
Kemudiannya dia bertanya kepada Rieux apakah keadaan sekarang sudah gawat. Rieux bagaimanapun tidak dapat memberikan jawapan.
“Mesti disebabkan cuaca,” teka ketua inspektor itu dengan yakin.
Mungkin ada betulnya. Cuaca semakin bertambah panas setiap hari. Dan kebimbangan Rieux semakin bertambah pada setiap kali kunjungannya ke rumah pesakit. Petang itu, jiran kepada salah seorang pesakitnya menekan-nekan kelenjar di bawah perut serta muntah. Dia mengalami demam panas disusuli dengan meracau. Bengkaknya juga lebih besar daripada mendiang Michael. Salah satunya mula bernanah dan akan pecah tidak lama lagi, bagaikan buah yang busuk.
Sekembalinya ke rumah, dia menghubungi kedai stor ubat-ubatan. Catatan hariannya untuk hari itu hanya tertulis: “Jawapan negatif”, bermaksud ubatan yang diperlukannya tidak ada. Kemudian dia mendapat panggilan untuk kes yang sama di merata tempat. Jelas dia harus membuka bengkak-bengkak itu. Dengan dua kali tekan, bengkak itu akan menyemburkan bisanya. Pendarahan menyebabkan mereka harus duduk mengangkang. Bintik-bintik hitam kelihatan di kaki dan perut. Kadang-kadang bengkak akan berhenti, kemudian tumbuh lagi. Lazimnya si pesakit akan meninggal dunia, dalam bau yang membusukkan.
Akhbar tempatan, yang sebelum ini agak lantang dalam isu bangkai tikus, kini tidak menyiarkan apa pun. Ini kerana tikus-tikus itu mati di jalanan, sedangkan manusia mati di rumah. Dan mereka hanya peduli dengan apa yang berlaku di jalanan saja. Sementara itu, Prefek dan pihak majlis perbandaran mula mengambil serius. Selagi mana para doktor hanya menangani tidak lebih dari dua tiga kes, pihak atasan ini tidak akan berbuat apa-apa. Tetapi angka kes semakin bertambah dan jumlahnya agak memeranjatkan. Dalam beberapa hari saja kes kematian sudah berlipat kali ganda. Dan ini sudah cukup menjadi bukti kepada mereka yang peka, bahawa demam ini sudah menjadi satu epidemik. Ketika waktu itulah, Castel, rakan sekerja Rieux yang lebih senior, datang melawat.
“Sudah tentu kamu mengetahui apa ini semua,” katanya kepada Rieux.
“Saya masih menunggu hasil bedah siasat.”
“Saya tahu ini penyakit apa. Dan saya tak perlukan hasil bedah siasat. Saya pernah bekerja lama di China, dan saya pernah melihat beberapa kes di Paris kira-kira dua puluh tahun dulu. Pada awalnya, mereka tidak akan mengakuinya. Sudah menjadi kebiasaan; jangan bagi orang awam panik. Kata seorang rakan saya, ‘Tak masuk dek akal. Semua orang tahu yang penyakit itu sudah lama hilang di Eropah Barat.’ Ya, memanglah semua orang tahu, kecuali mereka yang sudah mati. Rieux, kamu juga tahu sebenarnya.”
Rieux termenung sejenak. Menembusi jendela bilik bedahnya, ke arah puncak tebing tinggi di pinggir teluk itu. Meskipun langit masih kelihatan cerah, sinarnya mula beransur pudar mengikut matahari berlabuh.
“Ya, Castel,” jawabnya. “Hampir sukar dipercayai. Tanda-tandanya jelas kelihatan seperti sebuah wabak.”
Castel bangkit dan menuju ke arah pintu.
“Kamu pasti tahu jawapan mereka nanti, bukan? Yang penyakit ini sudah lama hilang dari negara beriklim sederhana sudah berabad lamanya.”
“Juga apa yang dimaksudkan dengan ‘hilang’ itu sebenarnya?” sambung Rieux sambil mengangkat kedua bahunya.
“Ya. Dan jangan lupa, baru dua puluh tahun yang lalu di Paris juga.”
“Betul. Harapnya kali ini tidaklah seteruk dulu. Tapi ianya sungguh tak masuk akal.”
Share this novel