Beberapa hari sebelum pembukaan pintu-pintu bandar, Rieux pulang pada waktu tengah hari sambil tertanya-tanya adakah telegram yang ditunggu-tunggunya sudah sampai. Walaupun harihari terakhir itu sama sibuknya seperti masa-masa wabak, harapan kebebasan yang semakin mendekat memusnahkan rasa letihnya. Harapan sudah kembali bersama segala nikmat kehidupan. Tiada seorang pun yang boleh hidup dalam tekanan sepanjang masa. Satu kegembiraan apabila dapat berehat dan meregangkan otot dan urat saraf yang telah digunakan untuk berjuang. Kalau telegram yang ditunggu-tunggu itu membawa khabar yang baik, Rieux akan dapat memulakan kehidupan baru. Dia memang merasakan semua orang akan memulakan kehidupan baru.
Dia melewati bilik penjaga bangunan. Pengganti Michael tersenyum kepada Rieux. Wajahnya rapat pada kaca pintu. Ketika menaiki tangga untuk naik ke apartmennya, masih terbayang oleh Rieux wajah penjaga yang baru itu, pucat, disebabkan kehidupan yang serba kekurangan selama ini.
Ya, dia akan memulakan kehidupan baru sebaik saja tempoh “perpisahan” berakhir, dan dengan sedikit nasib… Ketika itu dia sudah sampai di atas, sedang membuka pintu apartmen. Ibunya menyambut dan memberitahu yang Tarrou kurang sihat. Kawannya itu bangun pagi seperti biasa. Tetapi berasa kurang sihat untuk keluar, lalu berbaring semula. Ibu Rieux sangat risau.
“Mungkin tidak ada yang serius sangat,” kata Rieux.
Tarrou berbaring terlentang. Kepalanya yang berat tertanam dalamdalam di atas bantal. Dadanya yang bidang jelas kelihatan di bawah selimut. Suhu badannya menaik dan kepalanya terasa sakit sekali. Simptom itu tidak jelas, katanya kepada Rieux, tapi mungkin juga itu simptom wabak.
Setelah memeriksanya, Rieux berkata,
“Tak. Masih tak ada tanda-tanda yang pasti.”
Tapi kerongkong Tarrou dibakar oleh rasa haus. Di luar bilik, Rieux berkata kepada ibunya, barangkali Tarrou terkena wabak.
“Oh! Tak mungkinlah. Bukan sekarang!”
Selepas itu ibunya menambah,
“Kita rawat dia di sini je, Bernard.”
Rieux berfikir sejenak,
“Aku tak ada hak untuk buat macam itu,” katanya, “tapi pintu-pintu bandar akan tetap dibuka juga. Kalau kau tak ada di sini, aku fikir aku akan buat sendiri.”
“Bernard, biarlah dia tinggal di sini. Aku pun. Kau tahu kan aku pun baru disuntik.”
Tarrou pun baru saja disuntik, kata Rieux. Mungkin kerana keletihan, dia melambatkan pengambilan serum terakhir atau kurang berwaspada.
Sambil berkata sedemikian, Rieux menuju ke bilik kerjanya. Ketika kembali mendekati Tarrou, dia membawa botol-botol berisi serum.
“Ah, jadi wabak-lah ni!” kata Tarrou.
“Belum tentu. Tapi lebih baik berjaga-jaga.”
Sebagai respon, Tarrou menghulurkan lengannya. Lalu dia disuntik dengan lebih lama, yang sering dia lakukan sendiri kepada pesakitpesakitnya yang lain. Rieux menatap wajah kawannya dan berkata,
“Kita tengok petang nanti macam mana.”
“Bukan ke saya kena diasingkan, Rieux?”
“Belum tentu lagi kamu terkena wabak.”
Tarrou berusaha untuk tersenyum,
“Ini kali pertama saya melihat kamu menyuntikkan serum tanpa mengarahkan pesakit ke wad pengasingan.”
Rieux memandang ke arah lain, dan berkata,
“Lebih baik kamu di sini. Ibu saya dan saya sendiri akan menjaga kamu.”
Tarrou terdiam. Rieux mengatur botol-botol serum sambil menunggu. Kalau kawannya itu bersuara dia akan menoleh. Tapi Tarrou tidak bersuara sepatah perkataan pun. Akhirnya Rieux mendekati katil. Pesakit itu memandang kepadanya. Wajahnya lesu, tetapi matanya yang kelabu itu tenang. Rieux tersenyum kepadanya.
“Cubalah tidur. Saya akan datang balik.”
Sampai di muka pintu, dia mendengar suara Tarrou memanggil. Rieux kembali ke sisi kawannya. Tarrou nampak sedang bergelut untuk meluahkan isi hatinya. Dengan segala kepayahan dia berkata,
“Rieux, kamu perlu berterus-terang. Saya harus tahu. Semuanya!”
“Saya janji.”
Garis-garis wajah Tarrou yang lebar kelihatan bergerak dalam senyumnya.
“Terima kasih. Saya tak nak mati. Saya akan lawan. Tapi kalau saya tewas. Saya akan ‘akhirinya’ dengan baik.”
Rieux menunduk. Tangannya mencengkam bahu kawannya.
“Tak! Untuk menjadi wali keramat, kamu harus hidup. Jadi, lawanlah!”
Udaranya yang dingin sepanjang hari menjadi lebih berangin. Tibatiba, air hujan mencurah-curah deras disertai udara yang lebih dingin sehingga menusuk tulang. Petang itu, Rieux pulang. Tanpa membuka baju kotnya, dia masuk ke bilik kawannya. Kelihatannya Tarrou masih tidak bergerak sejak dia keluar. Bibirnya yang putih kerana kepanasan demam itu memberitahu yang dia sedang melawan.
“Bagaimana khabarnya?” tanya Rieux.
Bahu Tarrou yang bidang terkeluar dari selimutnya.
“Khabarnya,” kata Tarrou, “saya sedang tewas dalam perlawanan.”
Rieux menunduk. Beberapa bengkak tumbuh di bawah kulit yang terbakar, dan di dadanya terdengar bunyi dentuman, seperti bunyi besi ditempa. Anehnya, Tarrou menunjukkan simptom kedua-dua jenis wabak. Sambil menegakkan badannya kembali Rieux berkata serum masih mengambil masa untuk berkesan. Tarrou cuba untuk bercakap, namun suaranya tenggelam dalam demam yang melanda kerongkongnya.
Selepas makan malam, Rieux dan ibunya berjaga-jaga di sisi katil pesakit. Malam itu, pertarungan sudah bermula. Dan Rieux tahu pergelutan dengan “malaikat wabak” itu akan berlangsung hingga ke subuh. Dalam pergelutan ini, senjata terbaik bukanlah bahu Tarrou yang bidang dan kuat itu, tetapi darah yang memercik di bawah jarum itulah senjata yang paling ampuh. Dan di dalam darah, ada sesuatu yang lebih penting dari jiwa dan tiada satu kepandaian manusia pun yang mampu menguraikan rahsianya. Rieux hanya mampu memandang kawannya yang sedang bergelut. Apa yang harus dilakukan Rieux? Menyuntik ubat perangsang atau membelah bengkak? Kegagalan yang berbulan lama-lamanya telah mengajar Rieux untuk menunggu masa yang sesuai. Sebenarnya, satu-satunya cara untuk dia menolong adalah menyediakan peluang keemasan kepada satu kejadian, satu ‘kebetulan’ yang boleh juga nasib, yang akan sudi datang kalau dilawan. Memang, nasib wajib datang kali ini, kerana Rieux berhadapan dengan wajah wabak yang sangat membingungkan. Sekali lagi ia melakukan untuk melawan taktik yang digunakan untuk melawannya. Ia menyerang dari tempat yang tidak disangka-sangka dan menghilang dari tempat yang biasa dihuninya. Sekali lagi dia bertekad melakukan kejutan.
Tarrou melawan tanpa bergerak. Di sepanjang malam, tidak sekali pun dia melawan serangan musuh dengan keresahan. Berjuang dengan kebisuan seluruh tubuhnya yang besar. Tak sekali pun dia bersuara. Dengan cara itu, dia tak boleh mengalihkan perhatiannya. Rieux mengikuti fasa-fasa pergelutan ini hanya melalui mata kawannya, yang satu ketika terbuka, kemudian tertutup pula. Sekejap kelopak matanya bercantum dengan anak mata, sekejap mengembung dengan pandangan yang terpaku kepada salah satu objek atau ke arah Rieux dan ibunya. Setiap kali pandangannya bertembung dengan pandangan Rieux, dengan susah payah dia cuba tersenyum.
Seketika kemudian, kedengaran bunyi tapak kaki yang tergesa-gesa di atas jalan. Langkah itu seperti melarikan diri daripada guruh di kejauhan yang beransur-ansur memenuhi jalan dengan curahan air. Hujan badai melanda lagi beserta hujan batu, membuat bunyi bising di kaki lima. Tirai meliuk-liuk di depan jendela. Dalam kegelapan ruang, perhatian Rieux yang dirampas sebentar oleh hujan, kini kembali mengamati Tarrou yang diterangi lampu di sisi katil. Ibunya sedang mengait. Kadang-kadang mengangkat muka memandang pesakit. Rieux sudah melakukan apa yang terdaya.
Setelah hujan berhenti, kesepian semakin menyelubungi ruangan bilik. Hanya dipenuhi dengan kekacauan bisu dari pergelutan yang tidak kelihatan. Uratnya terasa tegang kerana kurang tidur. Di perbatasan kesunyian, dia terdengar siulan perlahan yang menghantui telinganya sepanjang masa wabak. Dia memberi isyarat kepada ibunya supaya masuk tidur. Wanita itu menggelengkan kepala, dan dalam sinar yang samar menerangi, dia meneliti jahitan yang tidak kena dihujung jarumnya. Rieux bingkas bangun untuk memberi minuman kepada pesakit, lalu kembali duduk.
Memanfaatkan hujan yang sudah berhenti, penduduk berjalan dengan cepat di kaki lima. Langkah mereka bersilangan dan saling menjauh. Buat pertama kalinya, Rieux menyedari yang lewat malam yang penuh dengan pejalan kaki itu mirip dengan malammalam sebelum wabak melanda. Itu adalah malam yang bebas dari wabak. Seakannya wabak yang diburu oleh kedinginan udara, lampu-lampu jalan, dan orang ramai itu telah melarikan diri dari bawah tanah bandar dan mencari perlindungan di bilik yang panas ini untuk membuat serangan terakhir pada tubuh Tarrou yang kaku itu. Tongkat wabak tidak lagi berputar di langit bandar. Tetapi dia bersiul lembut dalam udara yang padat di dalam bilik. Dialah yang didengari oleh Rieux sejak beberapa jam lalu. Sekarang Rieux harus menunggu sehingga bunyi aneh itu berhenti di situ, dan di situ jugalah wabak akan mengaku kalah.
Menjelang subuh, Rieux mendekati ibunya.
“Lebih baik kau masuk tidur dulu. Pukul lapan nanti boleh ganti aku. Minta ambil jahitan kau itu dulu sebelum keluar.”
Ibu Rieux bangkit, melipat jahitannya dan pergi ke sisi katil. Mata Tarrou terpejam untuk beberapa ketika. Rambut melekat di dahinya yang berpeluh. Wanita itu menarik nafas panjang, dan pesakit itu membuka mata. Tarrou melihat wajah yang lembut menunduk ke arahnya. Dari gelombang demam yang melintang, senyum yang cekal itu muncul kembali. Kemudian matanya tertutup kembali. Ditinggal bersendirian, Rieux duduk di kerusi ibunya tadi. Jalan lengang. Tiada langsung suara kedengaran dari bandar yang sedang tidur. Udara dingin waktu pagi mula memenuhi ruangan bilik.
Doktor tertidur. Tetapi dikejutkan oleh bunyi kereta pertama di waktu subuh. Dengan sedikit menggigil dia melihat Tarrou. Fahamlah dia yang saat-saat tenang sedang berlangsung, dan Tarrou pun sedang tidur. Roda-roda kayu dan besi kereta kuda meluncur di kejauhan. Pemandangan dari jendela masih gelap. Ketika Rieux menghampiri katil, Tarrou memandangnya dengan pandangan yang kosong, seolah-olah masih setengah tidur.
“Kamu tidur kan?”
“Ya.”
“Nafas lebih baik?”
“Sedikit. Ada makna ke?”
Rieux tidak segera menjawab, kemudian berkata,
“Tak, Tarrou. Itu tak bermakna apa-apa. Kamu pun tahu yang keadaan akan lebih baik pada waktu pagi.”
“Terima kasih,” Tarrou mengangguk. “Selalulah berterus-terang dengan saya.”
Rieux duduk di sisi katil. Di sebelahnya, dia dapat merasakan betis lelaki yang sakit itu, beku dan keras seperti patung di atas makam. Nafas Tarrou kedengaran lebih kencang.
“Demam ini akan datang balik kan, Rieux?” suara Tarrou termengahmengah.
“Ya. Tengah hari nanti kita tengoklah macam mana.”
Tarrou menutup matanya, seolah-olah sedang mengumpulkan seluruh kekuatannya. Riak keletihan jelas terpancar di wajahnya. Dia menunggu demam itu menaik dari suatu tempat di dalam dirinya. Ketika dia membuka mata, pandangannya kabur. Hanya ketika Rieux mendekat pandangannya kembali jelas.
“Minum!”
Tarrou minum, lalu menjatuhkan kembali kepalanya ke bantal. “Lama sungguh.”
Rieux memegang lengan kawannya, tetapi muka Tarrou yang berpaling ke arah lain, tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tibatiba, seakan telah berjaya menghancurkan benteng di dalam badan pesakit, nampak demam menyerang kembali sehingga ke dahinya. Ketika mukanya kembali ke arah Rieux, doktor itu menatapnya dengan wajah yang tegang dan riak memberi semangat. Tarrou berusaha tersenyum. Tetapi senyuman itu tidak berkuasa menembus rahang serta bibir yang tertutup oleh air liur yang kering. Di wajah yang kaku itu, kedua-dua matanya bersinar dengan penuh keberanian.
Pukul tujuh pagi, ibu Rieux masuk ke dalam bilik. Rieux pergi ke ruangan kerjanya untuk menghubungi hospital, meminta supaya ada doktor lain yang menggantikannya hari itu. Dia juga membatalkan temu janjinya. Kemudian merebahkan badan sebentar ke atas sofa bedahnya. Lalu dia segera bangkit, dan kembali ke bilik pesakit. Kepala Tarrou menoleh ke arah ibu Rieux. Di sisinya itu, dia memandang bayangan kecil yang duduk dengan kedua-dua tangan di atas riba. Tarrou melihat wanita itu dengan sepenuh perhatian. Sehinggakan ibu Rieux meletakkan jarinya ke bibir, lalu bangun untuk memadamkan lampu di meja kecil di sisi katil. Di balik tirai, cahaya mula bersinar terang. Dalam ruangan bilik yang sudah cerah tanpa cahaya lampu itu, ibu Rieux perasan yang Tarrou masih lagi memandangnya. Dia menunduk, membetulkan bantal Tarrou. Ketika dia menegakkan badannya kembali, dia sempat meletakkan tangan di atas rambut yang basah dan kusut-masai itu. Waktu itu, ibu Rieux terdengar suara yang berbisik mengucapkan terima kasih dan semuanya baik-baik saja. Ibu Rieux kembali duduk, dan Tarrou sudah pun menutup matanya. Walaupun dengan mulut yang tertutup, wajahnya yang lesu itu seolah-olah kembali tersenyum.
Tengah hari, demam itu mencapai kemuncaknya. Batuk yang keras menggoncangkan tubuh Tarrou yang baru saja meludahkan darah. Bengkak itu tidak membesar lagi, tapi masih ada, bagaikan gumpalan besi yang keras melekat di sendi-sendi. Rieux merasakan adalah tidak praktikal untuk membelahnya. Di bawah serangan demam dan batuk, Tarrou masih memandang kawannya itu. Kemudian, pandangan matanya semakin mengecil. Bayangan kedua-dua anak beranak di hadapannya semakin lemah. Angin ribut membuatkan tubuhnya menggeletar, diterangi dengan panahan kilat yang makin sirna, perlahan-lahan tubuhnya terlantar di tengah-tengah ribut taufan itu.
Sekarang, yang tinggal di hadapan Rieux ialah sebuah topeng yang diam dan kaku, dengan senyuman yang telah menghilang. Jasad ini, tubuh kawannya, kini terkoyak-koyak oleh tusukan tombak “malaikat wabak”, terbakar oleh rasa sakit di luar batas kemampuan manusia, dipukul oleh tiupan angin jahat dari langit. Di depan mata Rieux, Tarrou tenggelam di dalam banjir wabak. Sedangkan dia tidak mampu melakukan sesuatu pun terhadap serangan yang menenggelamkan kawannya. Dia hanya boleh berdiri di pinggiran, dengan tangan yang kosong dan hati yang sakit, tanpa senjata dan tanpa bantuan untuk menghadapi malapetaka ini. Ketika detik terakhir itu tiba, pandangan Rieux dikaburkan oleh air matanya yang keluar, sehingga dia tidak melihat kepala Tarrou yang tidak semena-mena terkulai, dengan wajah menghadap ke dinding, lalu meninggal dunia setelah mendengungkan keluhan pendek, seakanakan seutas tali telah terputus di suatu tempat dalam dirinya.
Malam berikutnya itu bukan lagi malam pergelutan, melainkan malam penuh kesunyian. Di dalam bilik yang sudah terpisah dari dunia ini, di sebelah tubuh tidak bernyawa yang kini sudah berpakaian rapi, Rieux merasakan ketenangan luar biasa yang sama seperti beberapa malam yang lalu di atas beranda lelaki tua penderita asma, jauh dari kekacauan wabak. Ketenangan itu datang selepas kekecohan kecil di pintu bandar. Pada malam di beranda itu, dia memikirkan tentang kebisuan dari katil-katil yang Rieux telah membiarkan pesakit-pesakit meninggal dunia. Di sana-sini adalah keredaan yang sama menyusul selepas pergelutan, ianya adalah kesunyian tanda kekalahan. Tetapi kesunyian itulah yang menyelubungi kawannya sekarang, seperti kesunyian jalan dan bandar pada malam hari yang telah bebas dari wabak. Sehingga Rieux merasakan kekalahan kali ini adalah yang terakhir. Kekalahan yang mengakhiri segala peperangan dan yang membuatkan ketenangan itu satu penderitaan yang tidak dapat disembuhkan. Rieux tidak tahu sama ada Tarrou sudah bertemu dengan ketenangan yang diinginkannya. Tetapi pada waktu itu, sekurang-kurangnya Rieux mengetahui, bagi dirinya sendiri sudah tiada lagi ketenangan. Sama seperti tiada lagi makna gencatan senjata bagi seorang ibu yang kehilangan anaknya dalam peperangan, ataupun seorang lelaki yang mengebumikan kawannya.
Malam itu tetap dingin. Bintang-bintang menggigil di langit yang terang dan membeku. Di dalam bilik itu, terasa udara dingin yang datang menekan kaca jendela. Kedengaran tarikan nafas yang panjang dari malam yang berkutub. Ibu Rieux duduk di sisi katil seperti biasa, di sebelah kanannya lampu meja kecil menerangi ruangan. Di tengah-tengah bilik, jauh dari sinaran lampu, Rieux duduk menunggu. Kadangkala isterinya datang bertandang ke ruang memorinya, dan setiap kali itulah dia mengusirnya.
Malam pun tiba, dan langkah-langkah pejalan kaki bergema jelas dalam udara yang dingin.
“Kau sudah uruskan semuanya?” tanya ibu Rieux.
“Ya, aku dah telefon.”
Kemudian, mereka kembali berjaga dalam diam. Kadang-kadang wanita tua itu memandang ke arah anaknya. Jika Rieux perasan akan pandangan ibunya itu, dia akan menoleh dan tersenyum. Suara-suara pada malam itu seperti biasa, memecah kesunyian di jalanan. Walaupun belum secara rasmi diizinkan, banyak kereta sudah meluncur kembali. Bunyi tayar mendecit di jalanan, datang dan pergi. Suara-suara manusia, teriakan di kejauhan, menyepi kembali, bunyi pacuan kuda, trem-trem menempik di landasan, orang berbisik dalam kesamaran. Kemudian nafas malam kembali berhembus tenang.
“Bernard.”
“Ya.”
“Kau tak letih?”
“Tak.”
Rieux tahu apa yang bermain di fikiran ibunya. Dia tahu ibunya sangat mencintainya. Tapi Rieux juga tahu, mencintai seseorang bukanlah sesuatu yang hebat. Dalam kata lain, cinta tak pernah cukup kuat untuk mencari perkataan yang tepat untuk cinta itu sendiri. Begitulah, dia dan ibunya saling mencintai dalam diam, sehingga sampai suatu masa, dia atau ibunya akan meninggal dunia. Selama hidup mereka, tak pernah mereka meluahkan isi hati mereka lebih dari apa yang mereka tunjukkan. Sama seperti ketika Rieux hidup di sisi Tarrou. Dan dia telah mati malam ini, tanpa mendapat kesempatan untuk betul-betul menyalakan api persahabatan mereka. Tarrou telah “tewas dalam perlawanan”, seperti yang dikatakannya sendiri. Tapi Rieux, apa yang telah dia menangkan? Dia hanya menang kerana mengenali wabak dan mengingatinya, mengenali persahabatan dan mengingatinya, mengenali kasihsayang dan ditakdirkan untuk mengingatinya kelak. Jadi, semua yang dimenangkan manusia dalam konflik antara wabak dan kehidupan hanyalah pengetahuan dan kenangan. Barangkali itulah yang disebut Tarrou memenangi perlawanan.
Kereta yang lain pula melintas. Ibu Rieux bergerak sedikit di kerusi. Rieux tersenyum kepadanya. Wanita itu meyakinkan dia tidak letih dan berkata lagi,
“Ada baiknya juga kau pergi berehat lama-lama di pergunungan.”
“Ya, Ibu.”
Memang dia akan berehat “di sana”. Itu juga satu alasan untuk kenangan. Tapi jika itulah yang disebutkan sebagai memenangi perlawanan, alangkah sukarnya hidup hanya dengan apa yang diketahui dan apa yang diingati, tanpa apa yang diharapkan. Barangkali dengan cara itulah Tarrou hidup selama ini, sehingga dia menyedari betapa mandulnya hidup tanpa khayalan. Tidak akan ada ketenangan tanpa harapan. Dan Tarrou yang menafikan hak manusia untuk menghukum sesiapa pun, mengetahui tak seorang pun terhindar dari perbuatan menghukum, dan bahkan mangsa pun kadang-kadang boleh bertukar menjadi penghukum. Tarrou telah hidup dalam dunia yang penuh kontradiksi dan tidak pernah mengenal apa itu harapan. Adakah kerana itu dia menginginkan kehidupan laksana wali keramat, dan mencari ketenangan dengan jalan pengabdian kepada manusia? Rieux benar-benar tidak tahu jawapannya, dan dia tidak kisah sangat pun. Gambaran mengenai Tarrou yang akan selalu diingati Rieux hanyalah seorang lelaki yang memandu kereta dengan memegang stereng dengan keduadua tangannya, atau tubuhnya yang besar yang kini terbujur kaku. Mengetahui tentang itu bermakna: kehidupan yang penuh citra persahabatan, dan gambaran kematian.
Barangkali itu dapat menjelaskan ketenangan Rieux ketika dia menerima berita kematian isterinya. Ketika itu dia berada di bilik kerjanya. Ibunya hampir berlari ketika membawakan telegram itu kepadanya, lalu keluar semula untuk memberi upah kepada pembawa kiriman. Telegram itu terbuka di tangan Rieux ketika ibunya kembali. Wanita tua itu memandang kepadanya, tetapi matanya masih terpaku ke arah jendela. Cahaya matahari pagi yang cerah itu sedang naik di pelabuhan.
“Bernard,” tegur ibunya.
Rieux menoleh, dan melihat ibunya seolah-olah tidak mengenalinya.
“Telegram?”
“Ya,” akhirnya Rieux bersuara, “betul. Dia meninggal seminggu yang lalu.”
Ibu Rieux membuang pandangannya ke jendela. Rieux terdiam. Lalu dia berkata kepada ibunya supaya tidak menangis. Dia sudah agak perkara itu akan terjadi. Pun begitu, agak sukar juga menerima kenyataan. Dia juga tahu, penderitaan ini bukanlah perkara baru, kerana sejak berbulan-bulan yang lalu sehinggalah dua hari lepas, penderitaan yang samalah akan terus berterusan.
Share this novel