Perkataan “wabak” baru saja diungkapkan untuk pertama kalinya. Setakat cerita ini berjalan, Rieux sedang berdiri di jendela pejabatnya.
Izinkan penulis untuk menjelaskan kebimbangan yang dirasakan Dr. Rieux. Reaksinya lebih kurang sama saja dengan penduduk yang lain. Memang benar wabak adalah sesuatu yang lumrah. Namun ianya sukar dipercayai jika terjadi ke atas diri kita. Dalam sejarah dunia, telah berlaku banyak wabak, sama banyaknya dengan peperangan. Dan kedua-dua jenis bencana ini selalu menyerang manusia secara tiba-tiba.
Seperti penduduk yang lain, Rieux juga terkejut. Harus difahami juga mengapa dia juga bertindak sedemikian; adalah kerana dia terperangkap di antara rasa takut dan yakin. Apabila perang meletus, orang akan kata: “Bodoh betul. Ianya tak akan berlangsung lama.” Walaupun perang itu boleh dikatakan “bodoh”, ianya tidak menghalang daripada berterusan. Kebodohan pun ada caranya sendiri. Kita harus sedar perkara itu, jika kita tidak hanya mementingkan diri sendiri.
Dalam hal ini, penduduk bandar kami hanya mementingkan diri masing-masing. Dalam erti kata lain, mereka tidak percaya akan bencana. Bencana bukanlah sesuatu yang mungkin terjadi. Jadi mereka menganggap bencana itu sesuatu yang ilusi, seperti sebuah mimpi buruk yang akan berlalu. Tapi ianya tidak berlalu begitu saja. Malah dari satu mimpi buruk ke mimpi buruk yang lain. Yang berlalu hanyalah manusia, mati. Itu juga kerana sikap mereka yang mengambil mudah.
Sememangnya penduduk kami yang sepatutnya dipersalahkan. Mereka lupa bersikap sederhana. Mereka percaya segalanya akan mengikut kehendak mereka. Dengan itu mengandaikan bencana tidak mungkin menimpa. Mereka tetap menjalankan urusan harian mereka seperti biasa. Bagi mereka, apa gunanya memikirkan tentang sesuatu wabak yang akan memusnahkan masa depan mereka. Mereka mengira mereka dapat bebas, padahal tiada siapa yang akan sepenuhnya bebas selagi mana ada bencana.
Walaupun dia pernah mengaku kepada rakannya bahawa ada beberapa orang pesakit yang meninggal dunia secara mengejut kerana wabak itu, bahaya itu masih tidak jelas baginya. Bagi seorang doktor, dia mempunyai pengetahuannya sendiri tentang penderitaan fizikal lebih daripada orang lain. Sambil memandang ke tengah bandar dari jendela biliknya, Rieux tidak merasakan timbulnya rasa cemas dalam diri mereka dalam menempuh hari mendatang.
Dia cuba mengingati kembali apa yang dia baca tentang penyakit itu. Fakta-fakta berterbangan di dalam memorinya. Seingatnya lebih kurang tiga puluh atau lebih wabak besar yang pernah terjadi sepanjang sejarah, mengorbankan hampir seratus juta nyawa. Apakah makna seratus juta kematian? Apabila menyertai peperangan, selepas sekian lama, seseorang tidak akan lagi tahu makna kematian. Dan kerana kematian seseorang itu hanyalah ibarat metafora yang tiada jasad fizikal melainkan dilihat sendiri mayatnya, maka seratus juta mayat yang tercatat dalam sejarah juga hanyalah umpama dongengan.
Rieux cuba untuk mengingat kembali wabak yang pernah melanda Konstantinopel. Menurut Procopius, wabak itu telah mengorbankan sepuluh ribu nyawa dalam sehari. Sepuluh ribu nyawa adalah lima kali ganda penonton di sebuah pawagam. Begitulah perkiraannya. Bayangkan mengiringi para penonton keluar dari lima buah pawagam, bawa mereka ke tengah bandar, dan melihat mereka mati sekaligus. Untuk gambaran yang lebih jelas, mungkin boleh ditambah orang-orang yang kita kenal ke dalam kumpulan itu.
Tapi sudah tentulah ianya sesuatu yang mustahil dilakukan. Lagi pula, siapa saja boleh mengenal sepuluh ribu orang? Hatta sejarawan terkenal seperti Procopius sekalipun, masih membuat hitungan yang silap. Tujuh puluh tahun yang lalu, di Canton, empat puluh ribu tikus mati diserang wabak sebelum ianya merebak kepada para penduduk. Tapi pada waktu itu, mereka tidak mempunyai cara yang khusus untuk mengira bilangan tikus itu. Mereka hanya membuat anggaran secara kasar, dengan kemungkinan terdedah kepada kesilapan. “Baik,” Rieux bercakap sendirian, “katakanlah panjang seekor tikus adalah sepuluh inci, maka empat puluh ribu tikus disusun memanjang boleh jadi sepanjang…”
Rieux kembali dari lamunannya. Padahal tidak sepatutnya dia berbuat demikian. Beberapa kes yang berlaku tidak menjadikan ianya sesuatu wabak, mungkin lebih kepada langkah berjaga-jaga saja. Dia mesti kembali fokus, terutamanya kepada fakta kejadian: kelesuan yang melampau, bengkak-bengkak, rasa haus, racauan, bintik-bintik pada tubuh, rasa tubuh ditarik-tarik dari dalam, dan kesimpulannya…
Kesimpulannya, sesuatu mula menerjah ingatannya kembali, seperti mana kesimpulan tentang perincian penyakit yang terdapat di dalam buku panduan perubatannya: “Denyutan nadi semakin perlahan, dan kematian boleh berlaku dengan pergerakan yang sedikit saja.” Senang cerita, seperti nyawa pesakit yang bergantung harap pada seutas benang, tiga daripada empat pesakit dengan tidak sabarnya bergerak-gerak dan memutuskan benang itu.
Rieux masih memandang ke luar jendela. Di kejauhan, langit musim bunga bersinar tenang; sedangkan perkataan “wabak” masih bergema-gema ke segenap ruang biliknya. Perkataan itu, yang bukanlah dipilih secara rambang saja dalam dunia keilmuan. Juga sebuah perkataan yang sangat tidak cocok dengan bandar yang berwarna kelabu kekuningan di depan matanya itu. Dengan aktiviti bandar yang suram saja; hiruk-pikuknya seakan ditelan kesunyian. Pendek kata, sebuah bandar yang tenang tapi dalam masa yang sama, suram.
Sebuah ketenangan yang dengan mudahnya menepis gambaran pernah berlakunya wabak. Contohnya, wabak yang terjadi di bumi Athens yang berselerakan dengan bangkai manusia sehinggakan dihuni oleh burung-burung; pekan-pekan di China yang dipenuhi mangsa yang membisu menunggu mati; banduan di Marseille yang membuang mayat yang mereput ke dalam lubang; Tembok Besar China yang bertujuan menghalang dari penyebaran wabak; jerami lembap yang membusuk di lantai berlumpur di rumah kurungan Konstantinopel; di mana pesakit ditarik dengan menggunakan cangkuk; para doktor yang lengkap dengan penutup muka ketika peristiwa Wabak Hitam; mayat lelaki dan perempuan berpelukan di sepanjang perkuburan di Milan; mayat-mayat diusung dengan kereta sorong yang memenuhi ibu kota London - siang dan malam yang dipenuhi dengan jeritan batin penderitaan manusia.
Tidak. Semua itu tidak cukup untuk menggugah ketenangan hari ini. Bunyi trem yang tidak kelihatan tiba-tiba mengumandang dari luar jendela – seakan membantah akan kekejaman dan kesakitan itu. Hanya laut yang berada jauh di balik petak-petak rumah itu saja yang mampu mewakili akan segala ketidaktenteraman sekarang ini.
Sambil melihat ke arah teluk, Rieux cuba mengingati semula tentang wabak api yang pernah diceritakan oleh Lucretius. Wabak yang dicetuskan oleh penduduk Athens di pesisir pantai. Kisahnya: Mayat-mayat dibawa ke sana menjelang malam. Tetapi oleh kerana keterbatasan ruang, para waris berkelahi sesama sendiri dengan obor-obor kerana berebut ruang untuk menanam mayat-mayat ahli keluarga masing-masing. Dia dapat membayangkan, bagaimana kawasan pembakaran mayat itu menjadi bersemburan dengan pekat darah berwarna merah gelap sambil disaksikan laut yang tenang. Percikan api obor menerangi kegelapan malam. Asap tebal berbau busuk itu berterbangan ke arah langit yang sedang memerhati.
Boleh jadi sebegitu….
Tetapi firasat yang keterlaluan ini agak tidak masuk akal juga. Memang benar perkataan “wabak” telah diungkapkan. Benar juga pada saat ini wabak itu telah mengorbankan seorang dua nyawa. Itupun ia masih boleh berhenti merebak. Yang lebih penting ialah mengenal pasti apa yang harus dilakukan; membuang keraguan yang tidak berkaitan dan bertindak dengan betul. Kemudian wabak mungkin saja akan berhenti, kerana ianya perkara yang tidak dapat diduga dan buat mengelabui mata saja. Seandainya wabak itu berhenti, semuanya akan kembali seperti biasa. Jika tidak, orang akan tahu juga berkenaan wabak itu dan dapat merangka langkah yang harus dilakukan untuk mengatasinya.
Rieux membuka jendela. Kebingitan bandar semakin jelas kedengaran. Bunyi gergaji memotong kedengaran dari bengkel berdekatan.
Dia sedar, itulah tugasnya setiap hari. Usah dibazirkan masa pada benda yang tidak pasti dan remeh-temeh. Kerja sehari-hari harus berjalan seperti biasa.
Share this novel