BAHAGIAN EMPAT : BAB TIGA

Others Completed 4183

Menjelang penghujung Oktober, serum anti-wabak ciptaan Castel diuji buat pertama kalinya. Itulah harapan Rieux yang terakhir. Kalau gagal juga, dia yakin Oran akan berada di bawah “kekuasaan” wabak. Sama ada ia akan terus merebak sehingga waktu yang tidak dapat ditentukan, atau berhenti mengejut tanpa sebab.

Sehari sebelum Castel mengunjungi Rieux, anak Othon jatuh sakit menyebabkan seluruh ahli keluarganya dikuarantin. Puan Othon yang baru saja keluar dari sana kerana ibunya sudah meninggal, merasai pengalaman itu untuk kali kedua. Mengetahui dengan baik undang-undang yang telah dikeluarkan, tuan hakim memanggil segera memanggil Rieux setelah dia melihat simptom wabak di tubuh anaknya. Ketika Rieux datang, ibu dan ayah pesakit berdiri di sisi katil. Anak perempuan mereka tidak kelihatan. Anak lelaki mereka yang sakit itu sudah berada di puncak keletihan, membiarkan saja diri diperiksa tanpa mengeluh. Sewaktu Rieux mengangkat muka, matanya bertemu pandangan si hakim. Di belakangnya pula kelihatan wajah pucat Puan Othon. Wanita itu memegang sapu tangan buat menutup mulutnya. Matanya terbuntang luas mengikut gerakan Dr..

“Dia dah terkena kan?” hakim itu bersuara dingin.

“Ya,” sahut Rieux sambil sekali lagi menoleh ke arah si anak yang sakit.

Mata Puan Othon semakin membesar, namun dia masih tidak bersuara. Tuan hakim terbungkam, lalu berkata dengan nada yang lebih rendah,

“Jadi, doktor, kita kena buat seperti yang diarahkan.”

Rieux mengelak daripada memandang si ibu yang masih memegang sapu tangan di mulut.

“Ya, akan segera dilaksanakan,” kata Rieux kekok, “boleh pinjamkan saya telefon kamu?”

Othon berkata akan membawanya ke tempat telefon. Sebelum pergi, Rieux berpaling menghadap Puan Othon dan berkata,

“Saya tumpang simpati dengan apa yang terjadi. Tapi kamu dah kena mula kemaskan barangan kamu. Kamu tahu macam mana selepas

ini.”

Si ibu termangu. Pandangannya menunduk ke lantai.

“Ya,” sambil mengangguk dia berbisik, “saya akan segera bersiap.”

Sebelum meninggalkan keluarga itu, Rieux tidak dapat menahan diri daripada bertanya kalau-kalau mereka memerlukan sesuatu. Puan Othon hanya memandangnya tanpa suara. Ketika itu si hakim mengelakkan pandangannya,

“Tidak,” sahutnya sambil menelan air liur dan berkata, “tapi tolong selamatkan anak saya.”

Kuarantin yang hanya satu formaliti pada awalnya, kemudian diatur ketat oleh Rieux dan Rambert. Mereka mewajibkan ahli keluarga dipisahkan. Jika salah seorang ahli keluarga telah terkena jangkitan tanpa disedari, risiko penularan akan dapat dikurangkan dengan pemisahan itu. Rieux menjelaskan alasan tersebut kepada Othon yang menganggapnya idea yang baik. Ketika suami dan isteri itu memandang satu sama lain, Rieux dapat merasakan perpisahan itu sangat menyedihkan mereka. Puan Othon dan anak perempuannya ditempatkan di hotel, tempat kuarantin yang diuruskan Rambert. Tiada pilihan lagi buat tuan hakim, kecuali di kem pengasingan yang didirikan pihak pemerintah di stadium majlis perbandaran, menggunakan khemah yang dibekalkan oleh Jabatan Kerja Raya. Rieux meminta maaf kepada tuan hakim atas pemisahan ini. Othon menjawab hanya peraturan itu saja yang ada, dan sudah semestinya ia harus dipatuhi.

Anak lelakinya yang sakit itu telah dikejarkan ke hospital bantuan, iaitu sebuah ruang bilik darjah yang telah diisi sepuluh katil. Setelah 24 jam berlalu, Rieux menganggap si anak itu sudah tidak punya harapan. Tubuh kecil itu tidak memberikan sebarang tindak balas, membiarkan diri dilahap penyakit. Bengkak-bengkak kecil yang tumbuh, walaupun masih baru tetapi sangat menyakitkan, dan menjalar ke seluruh tubuh yang kurus itu. Kelihatan dia sudah menyerah sebelum berjuang. Itulah sebabnya Rieux ingin mencuba serum itu ke atas anak kecil itu. Sebelum makan malam, mereka melakukan suntikan vaksin yang mengambil masa yang lama, tanpa mendapatkan sebarang tindak balas pun dari pesakit. Keesokan harinya, mereka datang kembali untuk mengetahui hasil eksperimen yang menentukan nasibnya itu.

Setelah lama tidak bergerak, anak itu mula gelisah dan membalikbalikkan tubuh di atas katil. Sejak pukul empat pagi, Rieux, Castel dan Tarrou berada di sampingnya memerhatikan perkembangan atau keredaan penyakit. Di kepala katil, tubuh Tarrou yang agak sasa itu nampak membongkok. Di kaki katil pula, Rieux sedang berdiri, berdampingan dengan Castel yang sedang duduk sambil membaca sebuah buku berkulit usang dengan penuh tenang.

Seorang demi seorang datang, bersama dengan cahaya lampu yang semakin menerangi ruangan yang dulunya bilik darjah itu. Paneloux yang pertama datang, bersandar di dinding menghadap Tarrou. Wajahnya menceritakan bahasa kesedihan. Keletihan bertugas sejak akhir-akhir ini telah meninggalkan beberapa kedutan di dahi yang merah kepanasan. Selepas itu Joseph Grand pula datang. Ketika itu pukul tujuh malam. Dia meminta maaf kerana nafasnya tercungapcungap dan tidak dapat duduk lama. Dia hanya ingin mengetahui sama ada sudah ada keputusan muktamad. Tanpa sepatah kata pun, Rieux menunjuk ke arah pesakit kecil itu. Matanya terpejam, giginya terketap-ketap, tubuhnya tidak bergerak. Hanya kepalanya yang menoleh ke kanan dan kiri bantal. Ketika cahaya lampu sudah terang untuk melihat angka-angka yang separuh terpadam di atas papan hitam di hujung bilik, Rambert datang. Dia bersandar di tiang kati bersebelahan dan mengeluarkan kotak rokok. Tetapi melihat saja anak kecil yang sakit itu, dia memasukkan semula kotak rokok itu ke dalam saku.

Masih lagi duduk di kerusinya, Castel memandang ke arah Rieux dari celah kaca matanya.

“Ada berita dari ayahnya?”

“Tak,” sahut Rieux. “Dia berada di kem pengasingan.”

Rieux memegang erat katil di mana pesakit itu sedang merintih. Matanya terpaku melihat tubuh kecil itu yang tiba-tiba mengejang, bahagian pinggang agak kendur, lalu perlahan-lahan lengannya mendepa dan kedua kakinya mengangkang. Dari badan kecil yang bertelanjang di bawah selimut itu naik bau kain kapas dan peluh yang busuk. Sedikit demi sedikit kekejangan mengurang, lengan dan kaki kembali rapat. Dengan mata yang terpejam, nafas anak kecil itu kelihatan beralun lebih cepat. Rieux menoleh ke arah Tarrou, yang cuba menghindari pandangan matanya.

Mereka sudah banyak kali melihat anak-anak kecil meninggal dunia, kerana sejak berbulan lamanya wabak tidak menunjukkan sikap pilih kasih. Tetapi mereka belum pernah memerhatikan penderitaan itu minit demi minit seperti yang mereka lakukan pada pagi itu. Sudah tentu mereka tidak habis-habis menganggap kesakitan yang dirasakan makhluk kecil yang tidak berdosa itu sebagai sesuatu yang amat mengerikan. Boleh dikatakan sebelum saat itu mereka merasakan kengerian itu secara abstrak, kerana tidak pernah menyaksikan dengan mata kepala sendiri, bagaimana seorang anak yang tidak berdosa dalam keadaan nazak.

Bagaikan digigit sesuatu di perutnya, anak kecil itu kembali membongkokkan diri sambil merintih. Setelah beberapa saat dalam keadaan begitu, badannya menggigil, seolah-olah tulangbelulangnya dilanda angin wabak yang datang bertiup dan dihembus nafas demam yang kencang. “Angin ribut” itu berlalu, dan tubuh itu sudah agak tenang. Demam seolah-olah semakin menurun dan meninggalkannya dengan nafas termengah-mengah di pesisir pantai yang beracun, di mana kelesuan itu sudah mirip dengan kematian. Sewaktu gelombang panas datang menyerang untuk kali ketiga, tubuhnya terangkat, kemudian meringkuk kembali, mengecut di atas katil yang panas dan menyeramkan. Kepalanya bergerak tidak tentu arah, lalu selimutnya tersingkap. Air mata deras keluar daripada kelopak matanya yang membakar, membasahi wajahnya yang pucat. Akhirnya, dia seakan sudah letih, lengan dan kakinya menegang, dalam tempoh 48 jam dagingnya telah lumat. Di atas katil yang bersepah itu, anak kecil itu terdiam dalam posisi orang yang disalib.

Tarrou menunduk. Tangannya yang besar mengusap wajah si anak yang basah dengan air mata dan peluh. Beberapa saat sebelum itu, Castel telah menutup bukunya dan memerhatikan pesakit. Dia hendak bersuara, tapi batuk dulu sebelum meneruskan,

“Tak ada pengurangan rasa sakit pagi ini, Rieux.”

Rieux menganggukkan kepalanya. Umumnya, anak kecil itu menunjukkan tanda semakin baik, meskipun boleh berubah lagi ketika siang dan malam nanti. Kata Rieux lagi, anak kecil itu bertahan lebih lama daripada yang lain. Paneloux yang bersandar di dinding, bersuara rendah,

“Kalau dia memang ditakdirkan mati, kenapa penderitaannya dipanjangkan lagi.”

Rieux menoleh ke arah paderi itu dan membuka mulutnya ingin berkata sesuatu. Namun dia tidak mampu. Jelas dia mengumpulkan segala kekuatan untuk menahan emosinya. Kemudian dia mengalihkan pandangan kepada si anak itu.

Cahaya ruangan itu semakin terang. Di atas lima buah katil yang lain, lembaga di bawah selimut itu bergerak dan merintih, dalam suara yang berbisik. Satu-satunya jeritan datang daripada hujung ruangan, kadang-kadang berteriak pendek yang lebih bernada kehairanan berbanding kesakitan. Seolah-olah fasa permulaan wabak yang mengerikan telah berlalu. Kini semacam ada sikap pasrah dalam menerima penyakit. Hanya anak kecil itu yang bertahan sehabis daya. Kadang-kadang Rieux meraba denyut nadinya di pergelangan tangan, walaupun benda itu tidak perlu. Hanya ingin menutup ketidakupayaannya yang tidak mampu menolong. Lalu, sambil menutup mata, dia merasakan keributan fikirannya yang bercampur dengan kepanasan darahnya sendiri. Lalu dia bersatu dengan anak kecil yang terseksa itu, berusaha untuk menolong dengan segala kudrat yang tersisa. Hanya seketika saja, degupan jantung mereka berdua tidak seirama lagi. Anak kecil itu melarikan diri daripadanya dan Rieux kehampaan. Dia melepaskan pergelangan tangan yang kecil itu dan kembali ke tempatnya.

Di sepanjang dinding yang berkapur itu, cahaya merah jambu mula bertukar kepada kuning. Pagi yang panas mula membakar di balik jendela. Mereka kurang dengar apabila Grand mengatakan dia hendak keluar dan akan kembali semula. Semua menunggu. Mata anak kecil itu masih tertutup, dan kelihatan lebih tenang. Tangannya seolah-olah mencakar, perlahan-lahan menggaru kedua sisi tempat tidur. Kemudian mencakar pula selimut di paras lutut. Dengan tidak semena-mena dia melipat kakinya, menarik paha ke perut, kemudian terdiam. Untuk pertama kalinya dia membuka mata, memandang Rieux yang kini berada di depannya. Pada wajah yang kini kaku bagaikan topeng yang berlumpur, mulutnya perlahan terbuka. Keluarlah satu jeritan yang panjang dan nyaring, tidak terhenti oleh satu tarikan nafas pun, memenuhi ruang dengan nada sumbang yang memprotes, seakan-akannya datang daripada seluruh penderitaan manusia. Rieux merapatkan giginya. Tarrou mengalihkan pandangan. Rambert mendekati katil. Castel menutup bukunya yang dari tadi berada di pangkuan. Paneloux melihat ke arah muluk anak kecil itu yang kotor oleh penyakit dan menghamburkan jeritan kematian manusia dari semua zaman.

Lalu paderi itu jatuh melutut. Semua yang ada di situ sudah menjangka akan mendengar suara yang tertahan-tahan yang jelas di antara teriakan berterusan yang tidak terluah itu.

“Ya Tuhan! Selamatkanlah anak kecil ini!”

Tetapi anak kecil itu terus berteriak. Di sekelilingnya, pesakitpesakit lain mulai gelisah. Di hujung ruangan, pesakit yang dari tadi tidak pernah diam, melajukan keluhannya hingga akhirnya dia pun turut sama berteriak. Lain-lainnya juga merintih, semakin lama semakin keras. Suara esakan menyelubungi ruangan, menandingi doa Paneloux. Dengan tangan yang menggenggam birai katil, Rieux menutup mata, mabuk kerana keletihan dan rasa meluat.

Ketika matanya terbuka kembali, Tarrou sudah berada di sisinya.

“Saya kena keluar,” kata Rieux, “saya tak tahan lagi.”

Tetapi, pesakit-pesakit lain tiba-tiba terdiam. Ketika itu Rieux melihat teriakan anak kecil itu menjadi lemah, semakin lemah, dan berhenti. Di sekelilingnya, rintihan-rintihan kedengaran semula. Namun kali ini sangat lemah, bagaikan gema yang sayup menandakan pertarungan sudah berakhir.

Memang pertarungan itu sudah berakhir. Castel berpindah ke arah sisi lain katil anak kecil itu dan berkata, semuanya sudah berakhir. Dengan mulut yang ternganga tidak bersuara, anak kecil itu terbaring di antara selimut yang lintang-pukang. Sosok tubuhnya mengecut, dengan sisa-sisa air mata di wajahnya.

Paneloux mendekati katilnya, membuat tanda merestui. Lalu keluar melalui lorong antara katil sambil memegang jubahnya supaya tidak terseret ke lantai.

“Kamu nak cuba lagi?” tanya Tarrou kepada Castel.

Doktor tua itu mengangguk, disertai senyuman yang kelat.

“Mungkin. Sebab anak kecil ini mampu bertahan lebih lama.”

Rieux juga sedang berjalan keluar. Langkahnya tergesa-gesa dengan riak aneh di wajahnya. Ketika dia berada di samping Paneloux, paderi ini menghulurkan tangan cuba menahannya.

“Bertenang, doktor,” kata Paneloux.

“Ah! Anak kecil itu tak bersalah. Dan kamu pun tahu tu!”

Lalu dia berpaling kembali dan mendahului Paneloux melalui pintu bilik, menuju ke halaman belakang sekolah. Dia duduk di sebuah bangku, yang berada di antara pokok-pokok rendah penuh debu. Tangannya mengesat peluh yang menitik dari kening ke matanya. Dia berteriak lagi melepaskan simpulan ketat yang mencekik jantungnya. Udara panas jatuh perlahan-lahan dari celah-celah dahan pokok ara. Langit biru pada pagi itu dilitupi oleh kabus tebal yang membuatkan udara terasa lebih menyesakkan. Rieux membiarkan dirinya mencari ketenangan di atas bangku. Wajahnya mendongak melihat ranting dahan, dan langit. Perlahan-lahan dia menemukan kembali nafasnya. Sedikit demi sedikit menelan keletihannya.

“Kenapa kamu marah sangat?” terdengar suara di belakangnya, “Apa yang baru berlaku tadi pun menyedihkan saya juga.” Rieux menoleh ke arah Paneloux.

“Saya tahu. Maafkan saya. Tapi keletihan ini satu benda gila. Ada ketikanya saya ada perasaan memberontak.”

“Saya faham,” kata Paneloux hampir berbisik, “itu membuatkan kita memberontak kerana melampaui batas kemampuan kita. Tapi mungkin kita patut suka apa yang kita tak faham.”

Rieux menegakkan badannya perlahan-lahan. Matanya menatap paderi itu dengan kekuatan dan kemarahan yang masih tidak hilang. Sambil menggelengkan kepala dia berkata,

“Tak, paderi. Gambaran saya terhadap cinta bukan seperti itu. Dan sampai akhir hayat saya akan menolak takdir yang menyeksa anakanak.”

Kesedihan menyelubungi wajah Paneloux.

“Ah, doktor,” suaranya berbaur duka, “saya baru sedar apa yang dimaksudkan dengan anugerah Tuhan.”

Rieux kembali menyandarkan diri ke bangku. Disertai dengan kelelahan yang masih ada, dia menjawab dengan suara yang lebih lembut,

“Anugerah tu lah yang saya tak terima. Saya tahu pasal itu. Tapi saya tak nak bercakap pasal perkara itu dengan kamu. Kita bekerjasama untuk suatu perkara yang menyatukan kita, merentasi cercaan kepada Tuhan ataupun doa-doa. Ini yang penting.”

Paneloux duduk bersebelahan Rieux, nampak terharu.

“Ya,” katanya, “ya, doktor. Kamu pun bekerja untuk menyelamatkan manusia juga.”

Rieux mencuba untuk tersenyum.

“Menyelamatkan manusia adalah kata-kata yang terlalu besar buat saya. Kerja saya tidak sebesar itu. Kesihatan manusia yang saya ambil berat. Bagi saya itu yang paling utama.” “Doktor,” kata Paneloux lagi, ragu-ragu.

Dia berhenti. Peluh mula membasahi dahinya. Lalu berkata perlahan,

“Semoga berjumpa lagi.”

Ketika dia bangkit, matanya berkaca-kaca. Ketika dia berpaling hendak beredar, Rieux berfikir sejenak, lalu bangkit dan berjalan mendekati paderi.

“Sekali lagi maafkan saya,” kata Rieux, “kemarahan macam tadi tak akan berulang lagi.”

Paneloux menghulurkan tangan, suaranya sedih,

“Tapi saya tak berjaya meyakinkan kamu.”

“Itu tak penting,” sahut Rieux, “yang saya benci adalah penyakit dan kematian. Kamu pun tahu. Mahu atau tak, kita sama-sama akan menanggung penderitaannya dan bersama-sama melawannya.”

Rieux masih menggenggam tangan Paneloux, menghindari

pandangan mata paderi itu lalu berkata lagi,

“Kamu tengok, Tuhan tak dapat memisahkan kita sekarang!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience